Jaringan Ukhwah

15 December 2011

Rahmat DIA untuk Kita


DIA lah yang menciptakan segala kesempurnaan, DIA lah yang telah mengurniakan segala limpah rahmat, DIA lah yang menciptakan kepelbagaian manusia, berbeza warna kulitnya, berbeza sifat fizikalnya, berbeza fikiran dan minda. Kepelbagaian ini satu keistimewaan, bukan bermakna yang lebih itu adalah terbaik, juga bukan bermakna yg kurang itu adalah buruk, pokok pangkalnya andai taqwa yg menjadi tunjangnya, maka itu adalah yang terbaik. Maksud FirmanNya :

“ Wahai manusia, sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak agar kamu saling mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu ialah orang yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Teliti ”.
(Al-Hujurat : 13)



Percambahan idea dan buah fikiran dalam sesebuah gerakan bukanlah suatu permasalahan, bahkan merupakan suatu keistimewaan. Ahli makin cakna dengan isu seputar dan tidak bertindak tanpa matlamat yang jelas, bahkan akan bekerja mengikut kesesuaian dan keperluan semasa, tambahan pula pada fatrah perlumbaan perkembangan minda ini. Ia ibarat pengairan air, arusnya usahlah disekat, nanti ia akan melimpah dan meranapkan tebing sungai, bahkan perlu dibentuk agar mengalir dengan baik.

Namun perlu diingat, meneroka idea dan buah fikiran baru serta kritikal amat digalakkan tetapi jangan pula sehingga terpaksa mengabaikan kerja-kerja yang perlu dilaksanakan. Hilang pertimbangan sehingga kerja yang sepatutnya tidak disempurnakan, akhirnya manfaat yang diharapkan menghilang, matlamat yg dikejar tercicir. Pada permasalahan ini, kaedah Fiqh :

 درء المفاسد اولى من جلب المصالح

Menghilangkan mafsadah (keburukan) lebih utama dari mendapatkan (masolih) kebaikan hendaklah diperhalusi. Orang akan menilai, memadankan buah fikiran dan idea yang dilontarkan dengan kerja dan usaha yang dilakukan. Jalan yang terbaik adalah menilai sejauh manakah kemampuan kita. Tetapi tidak menjadi masalah andai ada orang lain mampu meneruskan idea tersebut walau kita tidak mampu melaksanakannya. 

Orang muda sememangnya sinonim dengan idea dan pendekatan baru, Abdullah Nasih Ulwan ada mengatakan bahawa kekuatan anak muda ialah fizikal yang kuat, cita-cita yang tinggi, semangat membara serta idealisme yang hebat. Sememangnya tidak dapat dinafikan, kerana inilah kelainan dan ciri unggul pemuda. Cuma perlu diingat, semasa mengolah idea dan pendekatan baru, kepilkan sekali dengan hati yang tawadhuk, rendah diri dan keikhlasan agar barokahnya terasa, lalu menjaga hati orang-orang lama yang sememangnya banyak pengalaman, mereka telah melalui pelbagai jalan berliku. Pendekatan itu disusuli dengan gerak kerja yang teratur agar manfaat darinya dapat dirasai bersama, orang lama dapat merasa dan mereka rela dengan perubahan si anak muda.


Ijtihad lama diserikan dengan ijtihad serta pendekatan baru yg amat diperlukan pada zaman yang berwarna-warni, anak muda yang diredhai orang lama, perubahan itu makin berlaku sedikit demi sedikit. Orang lama telah cuba sedaya upaya dan itu yang sesuai pada zamannya, diwarnai dengan pendekatan baru yang sesuai mengikut perubahan semasa. Jika ini sifirnya, masa itu makin hampir !

[ Pendekatan lama + pendekatan baru = Keistimewaan ]

No comments: