Jaringan Ukhwah

26 August 2010

Perang Badar Dan Nuzul Al-Quran



Dua peristiwa besar dalam Islam yang berlaku pada 17 Ramadan ialah nuzul al-Quran dan peperangan badar. Nuzul al-Quran dalam konteks ini ialah penurunan al-Quran buat kali yang pertama.

Penulis sumber sejarah Islam yang berautoriti seperti Ibn Ishaq, al-Tabari, Ibn Hisyam, al-Asqalani dan Ibn Sayyid al-Nas mencatatkan bahawa peristiwa nuzul al-Quran berlaku ketika Nabi Muhammad S.A.W.bertahannuth di gua Hira'.

Baginda dilaporkan pergi ke gua Hira' bersama-sama isterinya Khadijah. Ketika sedang tidur, baginda didatangi Jibrail yang memintanya membaca. "Bacalah! Namun, Nabi Muhammad SAW menjawab: Apa akan ku baca (wa ma aqra'?)"

Sebaik sahaja mendengar jawapan Nabi Muhammad SAW, Jibrail terus memeluk baginda dengan kuat sehingga baginda sukar untuk bernafas. Kemudian baginda dilepaskan lalu disuruh lagi: "Bacalah! Nabi Muhammad masih menjawab: Apa akan ku baca?" Lalu Jibrail menarik dan memeluknya sekali lagi. Perkara ini berterusan sehingga beberapa kali. Lalu Jibrail melepaskan Nabi Muhammad SAW dan seterusnya membacakan lima ayat pertama dari surah al-Alaq.

Lima ayat pertama dari surah al-Alaq inilah yang pertama diturunkan kepada baginda SAW. Lima ayat ini jugalah yang mempunyai kaitan langsung dengan peristiwa nuzul al-Quran.

Apa pula kaitan antara nuzul al-Quran dengan peperangan Badar? Untuk melihat lebih lanjut mengenai perkara ini, mari kita lihat pandangan-pandangan yang timbul mengenai tarikh berlakunya peristiwa nuzul al-Quran. Pandangan-pandangan inilah nantinya akan membawa kita kepada hubung kait antara nuzul al-Quran dengan peperangan Badar.

Ulama menyepakati bahawa nuzul al-Quran berlaku pada hari Isnin. Jika ditinjau pandangan Ibn Kathir, kita akan dapati bahawa persepakatan ini disandarkan kepada sabda Nabi Muhammad SAW sendiri ketika ditanya tentang puasa pada hari Isnin. Baginda mengatakan bahawa baginda dilahirkan pada hari Isnin dan al-Quran juga diturunkan kepadanya pada hari Isnin.

Sekalipun terdapat persepakatan dari segi hari berlakunya peristiwa nuzul al-Quran, namun terdapat perselisihan pendapat dari segi tarikh dan bulan berlakunya peristiwa tersebut.

Beberapa tarikh telah dilaporkan oleh sumber sejarah Islam sebagai tarikh berlakunya nuzul al-Quran seperti 10 Ramadan, 17 Ramadan, 18 Ramadan ataupun 24 Ramadan.

Selain bulan Ramadan, terdapat juga pandangan yang mengatakan bahawa nuzul al-Quran berlaku pada bulan Rabiulawal atau bulan Rejab. Walau bagaimanapun, pandangan yang paling masyhur menyebut bahawa peristiwa nuzul al-Quran berlaku pada bulan Ramadan.

Kebanyakan sumber sejarah Islam yang menyebut mengenai perkara ini di dapati melaporkan pandangan Ibn Ishaq.

Mari kita lihat apa pula bukti yang mengukuhkan hujah bahawa nuzul al-Quran berlaku pada bulan Ramadan.

Menurut kebanyakan penulis sumber sejarah Islam yang berautoriti seperti Ibn Ishaq, Ibn Hisham, Ibn Kathir, al-Suhayli dan juga al-Bayhaqi, ayat 185 surah al-Baqarah adalah bukti jelas bahawa nuzul al-Quran berlaku pada bulan Ramadan.

Ini terbukti menerusi apa yang boleh difahami dari ayat tersebut iaitu, "bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu…".

Selain ayat tersebut, terdapat juga ayat lain yang turut digunakan sebagai bukti bahawa peristiwa nuzul al-Quran berlaku pada bulan Ramadan. Antaranya ialah ayat 41 surah al-Anfal.

Menariknya ialah, ayat ini tidak hanya menentukan bulan berlakunya peristiwa tersebut. Bahkan ia juga turut mendedahkan tarikh berlakunya peristiwa nuzul al-Quran itu sendiri.

Ini boleh difahami menerusi maksud ayat tersebut iaitu ketahuilah, sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil, jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami Muhammad di hari Furqan iaitu hari bertemunya dua pasukan.

Apa yang dimaksudkan dengan hari bertemunya dua pasukan di sini ialah pertemuan antara orang Islam dan orang kafir dalam peperangan Badar yang berlaku pada 17 Ramadan.

Oleh kerana ayat 41 sebelum ini menjelaskan mengenai nuzul al-Quran berlaku pada hari tersebut, maka tarikhnya pastilah 17 Ramadan. Cuma bezanya, peperangan Badar berlaku pada 17 Ramadan tahun ke-2 hijrah.

Walau bagaimanapun, baik nuzul al-Quran mahupun peperangan Badar, kedua-duanya adalah peristiwa besar dalam sejarah Islam. Nuzul al-Quran menjadi titik tolak kepada pelantikan Nabi Muhammad SAW sebagai utusan Allah untuk membawa risalah Islam.

Peperangan Badar pula mencerminkan kekuatan pihak Islam hanya dalam tempoh lebih kurang dua tahun selepas mereka meninggalkan kota Mekah untuk berhijrah ke Madinah.

*Sumber : Mymaqaz

17 August 2010

Hadis Keutamaan dan Kelebihan Ramadhan

Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya : Apabila telah tiba Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup semua pintu neraka dan diikat semua syaitan.(HR Imam Bukhari, Muslim, Nasai’e, Ahmad dan Baihaqi)

Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya :Siapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu.
(HR Imam Nasai’e, Ibn Majah, Ibn Hibban dan Baihaqi)

Rasulullah S.A.W telah bersabda yang maksudnya : Setiap amalan anak Adam baginya melainkan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara .Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa, demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya.(HR Imam Bukhari, Muslim, Nasai’e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Hibban dan Baihaqi)

Barangsiapa memberi makan kepada orang yang berbuka puasa maka dia memperoleh pahalanya, dan pahala bagi yang (menerima makanan) berpuasa tidak dikurangi sedikitpun (HR Tirmidzi)

Diriwayatkan daripada Sahl bin Sa’d R.A daripada Nabi SAW bersabda yang maksudnya: ‘Sesungguhnya di dalam syurga terdapat satu pintu yang disebut Ar-Rayyan yang mana pada hari Kiamat orang-orang yang berpuasa masuk daripadanya (dan) tidak seorangpun selain mereka memasukinya. Dikatakan: ‘Dimanakah orang-orang yang berpuasa?’ Maka mereka pun berdiri (untuk memasukinya), tidak ada seorang pun selain mereka yang memasukinya. Apabila mereka telah masuk maka pintu itu ditutup sehingga tidak ada seorang pun yang masuk dari padanya.’ (HR Bukhari)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A daripada Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: ‘Segala amal kebajikan anak Adam itu dilipat-gandakan pahalanya kepada sepuluh hinggalah ke 700 kali ganda. Allah berfirman: ‘Kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu adalah untuk-Ku dan Aku memberikan balasan (pahala) kepadanya, (kerana) dia(orang yang berpuasa) telah meninggalkan syahwat dan makan minumnya kerana Aku.’ (H.R Muslim)

Diriwayatkan daripada Abu Sa’id Al-Khudri R.A, aku mendengar Nabi SAW bersabda: Maksudnya: ‘Barangsiapa yang berpuasa sehari pada jalan Allah nescaya Allah akan menjauhkan mukanya dari api neraka (sejauh perjalanan) 70 tahun.’ (HR Bukhari)
Dari Ibnu ‘Umar RA, katanya Rasulullah saw. bersabda: ‘Carilah malam qadar itu pada sepuluh malam yang akhir bulan Ramadhan. Jika kamu lelah, maka janganlah dilewatkan pada tujuh malam yang masih tinggal.’ (HR Muslim)

Dari Abdullah bin Umar RA. bahwa Nabi SAW. bersabda: ‘Puasa dan Al Qur’an memberi syafaat kepada hamba Allah pada hari kiamat. Puasa berkata, ‘Wahai Tuhanku, aku telah menghalanginya makan minum dan memenuhi syahwatnya pada siang hari, maka perkenankanlah aku memberi syafaat baginya.’ Dan Al Qur’an pun berkata, ‘Aku telah menghalanginya tidur pada malam hari, maka perkenankanlah aku memberi syafaat baginya.’ Lalu syafaat keduanya diterima Allah.’( H.R Ahmad)

Dari Abu Hurairah RA bahwa Nabi SAW bersabda: ‘Di dalam bulan Ramadhan umatku diberi lima perkara yang tidak pernah diberikan kepada umat-umat sebelumnya:
1. Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.
2. Para malaikat selalu meminta keampunan untuk mereka hingga mereka berbuka.
3. Setiap hari Allah menghias syurgaNya sambil berkata, ‘Hamba-hamba Ku yang soleh ingin melepas beban dan penderitaannya dan mereka rindu untuk memasukimu.’
4. Pada bulan ini diikat syaitan-syaitan yang derhaka sehingga mereka tidak berleluasa mencapai apa yang dapat dicapainya pada bulan lain.
5. Mereka diampuni oleh Allah SWT pada malam yang terakhir dari bulan itu. Para sahabat bertanya, ‘Wahai Rasulullah, apakah itu malam Lailatul Qadar?’ Beliau menjawab, ‘Tidak, kerana orang yang bekerja itu akan dipenuhi upahnya manakala sudah menyelesaikan pekerjaannya.’ (H.R Ahmad)

Dari Jabir RA bahwa Nabi SAW bersabda: ‘Puasa itu perisai yang digunakan seorang hamba untuk membentengi dirinya dari siksaan neraka.’ (HR Ahmad)

Rasulullah SAW bersabda: Sahur itu seluruhnya berkat, kerana itu janganlah kamu meninggalkannya walaupun hanya dengan seteguk air, kerana Allah dan malaikatNya memberi salawat kepada orang-orang yang makan pada waktu sahur. (H.R Ahmad)

Sabda Rasulullah SAW : ‘Tiga doa yang sangat mustajab, doa orang yang puasa, doa orang yang di zalimi dan orang yang musafir.’ (H.R Ahmad, Bukhari, Abu Dawud & Tirmidzi)
Nabi SAW bersabda; ‘Tidurnya orang yang puasa tetap dalam ibadat dan diamnya dianggap tasbih dan amalnya dilipat gandakan dan doanya mustajab dan dosanya diampunkan.’ (Riwayat Al Baihaqi)

Rasululah SAW bersabda; ‘Puasa itu bagaikan perisai, maka apabila seseorang kamu berpuasa, jangan berkata kotor dan jangan berkata kasar. Jika seseorang mencacinya atau menyerangnya maka hendaklah dia mengatakan. Aku ini puasa.’ ( Sahih Bukhari)

Semoga mendapat faedah dan manfaat daripada perkongsian ringkas ini. Dan mungkin juga boleh dikongsikan dengan sahabat-sahabat yang lain.

* sumber :Artikel Indahnya Ramadhan di http://www.islam.gov.my/e-rujukan/

    11 August 2010

    Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan..



    Ahlan wasahlan Ramadhan Kareem..... 


    Ramadhan yang sama, natijah yang berbeza

    Salam Ramadhan, salam imtihan diucapkan kepada semua sahabat khususnya di perantauan ini yang akan menghadapi peperiksaan akhir tidak lama lagi, mudah-mudahan barokah dan semangat Ramadhan mengalir dalam diri kita, menyebabkan kita semua bersemangat untuk study ya..

    Masa begitu pantas berlalu, Alhamdulillah tahun ini kita sekali lagi diberi peluang utk berada dalam bulan rahmat, bulan padanya satu malam yang lebih baik dari seribu malam, bulan Quran, bulan qiam, bulan infaq dan bulan pembebasan dari neraka Allah SWT. Bagaimanakah persediaan kita utk menyambut tetamu mulia ini?

    Ya Allah jadikan kami golongan yang mendirikan Ramadhan dgn penuh kesungguhan.Jangan sesekali jadikan kami golongan yang menyembah Ramadhan kerana sesungguhnya sesiapa yang beribadah krn Ramadhan, maka Ramadhan akan berlalu meninggalkannya,sesiapa yang beribadah menyembah Allah SWT,maka Allah Maha Hidup dan sesekali tidak akan mati.

    Rasulullah SAW telah bersabda sebagaimana yg diriwayatkan Bukhari dan Muslim: “ Sesiapa yang berpuasa (mendirikan) Ramadhan dengan penuh keimanan (iaitu dgn Allah) dan penuh pengharapan (dgn ganjaran dari Allah),maka akan diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu”.

    Allah SWT telah berfirman dalam Hadis Qudsi: “ Setiap amalan anak Adam bagi mereka sendiri melainkan puasa, sesungguhnya ia bagiKu, Aku sendiri yang akan akan membalasnya”. Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan, satu kegembiraan ketika berbuka puasa dan satu kegembiraan ketika bertemu Tuhannya.

    Ini hanya sebahagian kecil dari kelebihan dan keutamaan Ramadhan, seolah-olah satu promosi jualan besar-besaran yang menyediakan diskaun tertinggi sedang dijalankan, hanya menunggu pembeli yang bijak dan berfikiran jauh sahaja untuk mendapatkannya.

    Marilah sama-sama kita bermuhasabah, merenung ke dalam diri dan beristighfar di atas segala kelalaian yang lalu, marilah kita menyambut tetamu mulia ini dalam keadaan bersedia dan pastinya kita mengharapkan segala ganjaran yang ditawarkan. Mudah-mudahan kita keluar dari Universiti Ramadhan nanti dengan penuh ketaqwaan seperti yang dijanjikan Allah SWT.


    Amalan wajib daie khususnya dalam bulan Ramadhan:

    - Solat berjemaah di masjid (syabab)
    - Baca dan tadabbur Al-Quran
    - Berzikir
    - Al-Mathurat pagi dan petang
    - Qiamullai
    - Solat tarawih dan witir
    - Banyakkan berselawat
    - Lazimi bersedekah
    - Banyakkan berdoa
    - Bersihkan hati (banyakkan beristighfar)
    - Banyakkan bersabar
    - Banyakkan beriktikaf di masjid