Jaringan Ukhwah

07 November 2010

Aku Menyahut SeruanMu

Assalamualaikum wbt..


Setinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah SWT atas pelbagai nikmatNya, sungguh banyak nikmatNya sehingga tidak terhitung, tinggallah kita sama ada hendak bersyukur atau pun engkar, sesiapa yang cerah mata hatinya itulah orang yang mencapai darjat 'falah' di dunia ini. Dia menyedari hakikat dirinya, makhluk yang amat lemah lantas dia mengagungkan Penciptanya yang Maha Kuat, Maha Kaya.


Sudah lama rasanya saya membiarkan latihan menulis ini makin menumpul, laman ini dibiarkan kosong tidak terisi, moga-moga saya kembali kepada niat asal...insya Allah..[datanglah azam itu...]


Bulan Zulhijjah yang penuh kemuliaan, barokah dan keberkatan mula menjengah kita, bakal menyajikan kita dengan segala fadhilatnya. Alhamdulillah, saya diizinkan kali ini untuk bersama-sama jemaah yang lain menjadi tetamuNya. Setinggi kesyukuran yang layak kepadaNya, saya dan sahabat-sahabat diizinkan menggunakan kelebihan berada di bumi Jordan ini, kosnya tentulah jauh lebih murah berbanding kos di tanah air. Saya memohon doa dari sahabat-sahabat sekalian agar dipermudahkan urusan di sana dan dikurniakan haji yang mabrur..insya Allah.


Zulhijjah Bulan Agung..



Allah berfirman dalam Surah Al-Fajr,maksudnya:

 "Demi fajar, dan malam yang sepuluh, " [Al-Fajr 89:1-2].

Kebanyakan ulama' bersetuju bahawa sepuluh malam ini merujuk kepada sepuluh malam pertama Zulhijjah. Ibnu Kathir juga telah membenarkan pendapat ini dengan menyatakan: "Ini adalah pendapat yang benar." [Tafsir Ibnu Katsir, 8 / 413]
Ibnu Abbas melaporkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 "Tiada amalan baik yang dilakukan pada hari-hari lain yang lebih unggul dari amalan-amalan yang dilakukan pada bulan Zulhijjah."

 Di antara amalan yang digalakkan pada sepuluh hari ini adalah berpuasa sunat, menawarkan korban binatang (biri-biri, kambing, dll), bertaubat dengan ikhlas, membaca Quran, melakukan solat malam dan akhirnya menunaikan solat hari raya pada hari kesepuluh Zulhijjah .

 Hafsah r.a menceritakan, "Ada lima perkara yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah SAW: Puasa hari 'Asyura, puasa yang 10 [iaitu pada hari pertama Zulhijah], puasa 3 hari pada setiap bulan dan solat dua rakaat sebelum solat subuh ". [diriwayatkan oleh Ahmad dan Nasa'i].

Abu Hurairah menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada hari yang lebih dicintai oleh Allah untuk anda beribadah padanya berbanding sepuluh hari Zulhijjah. Berpuasa pada mana-mana hari sepanjang waktu itu adalah sama dengan puasa satu tahun, dan melakukan solat malam pada mana-mana malam sepanjang tempoh itu adalah seperti melaksanakan solat malam pada malam Alqadr."[diriwayatkan oleh Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Baihaqi].

Nabi (s.a.w) memerintahkan kita untuk memperbanyakkan tasbih ("Subhanallah"), tahmid ("Alhamdulillah") dan takbir ("Allahu Akbar") selama waktu ini. 'Abdullah bin' Umar r.a melaporkan bahawa Nabi SAW bersabda: "Tidak ada hari yang lebih agung pada pandangan Allah dan tiada amalan-amalan yang lebih dicintaiNya berbanding sepuluh hari ini , jadi pada waktu ini banyakkanlah bertahlil ("Lailaha illallah"), takbir dan tahmid ". (HR Ahmad, 7 / 224; Ahmad Shakir menyatakan bahawa itu adalah sahih).
Kalau nak dibandingkan umur kita dengan ummat terdahulu, kitalah yang paling singkat umurnya. Kalau nak dibandingkan kelebihan sahabat baginda SAW dengan kita, sudah tentu kita tidak setanding mereka. Atas sebab itulah, amat-amat rugi andai kita tidak bijak merebut kelebihan dan ganjaran yang disajikan kepada kita ini. Wallahu a'lam...
Selamat berebut...selamat beramal.. :)