1.
Syura atau bermesyuarat dalam sesuatu perkara adalah disyari’atkan
dalam Islam. Ia bertujuan untuk mengambil satu keputusan bersama dalam
semua peringkat kehidupan manusia daripada yang paling tinggi seumpama
urusan pemerintahan negara hinggalah kumpulan yang paling kecil iaitu
urusan keluarga. Apa yang menjadi persoalan ialah adakah keputusan itu
wajib dilaksanakan atau hanya sekadar cadangan semata-mata yang tidak
wajib dituruti?
gambar hiasan
2.
Menoleh sejarah, pengamalan syura ini bukan perkara yang baharu, ia
juga dilakukan oleh umat terdahulu lalu mereka melaksanakan hasil
keputusannya secara bersama. Kita boleh lihat wujudnya maksud berunding
ini ketika Firaun yang zalim ingin berhadapan dengan nabi Musa AS,
Firaun telah berbincang dengan kaumnya yang hanya menurut sahaja tanpa
sebarang pandangan lain, jauh sekali bantahan. Firman Allah SWT dalam
surah al-Zukhruf ayat 51-54 bermaksud:
Dan
Firaun menyeru kaumnya, katanya: Wahai kaumku, bukankah kerajaan negeri
Mesir ini akulah yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di
bawah (istana) ku, tidakkah kamu melihatnya? Bahkan bukankah aku lebih
baik daripada orang yang hina keadaannya ini, dan yang hampir-hampir
tidak dapat menjelaskan perkataannya? (Kalau betul dia seorang Rasul)
maka sepatutnya dia dipakaikan gelang-gelang emas, atau datang malaikat
bersama-sama dengannya, maka Firaun menakutkan kaumnya, lalu mereka
mematuhinya. Sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik.
3.
Begitu juga Raja Saba’ yang telah berbincang dengan kaumnya ketika
menerima surat daripada nabi Sulaiman AS. Firman Allah SWT dalam surah
al-Naml ayat 29-33 bermaksud:
Raja
perempuan itu berkata lagi: Wahai ketua-ketua kaum, berilah pandangan
kepadaku mengenai perkara yang aku hadapi ini, aku tidak pernah
memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir memberi pendapat dan
mempersetujuinya. Mereka menjawab: Kita adalah orang-orang yang kuat
gagah dan amat berani merempuh peperangan; namun perkara itu terserahlah
kepadamu. Oleh itu fikirkanlah apa yang engkau hendak perintahkan.
4.
Menerusi kedua-dua ayat tadi, kita dapati Firaun berunding dengan
kaumnya namun tidak berlaku bertukar-tukar pandangan dan idea, mereka
hanya menurut sahaja kata-kata Firaun tanpa membantah. Kaum Saba’ pula
memberikan respon tetapi memulangkan semula sebarang keputusan kepada
ketuanya. Nampaknya seperti tidak berlaku sebarang rundingan pun. Jadi,
kita perlu mengetahui apakah maksud syura yang sebenarnya?
Maksud Syura
5.
Syura maksudnya ialah berunding dan bertukar-tukar pandangan. Paling
minimum dua orang dan maksimum tanpa sebarang had. Ia melibatkan urusan
umum atau khusus untuk menyaring pendapat yang paling sesuai dan paling
tepat demi merealisasikan kepentingan manusia dan negara serta menolak
kerosakan secara menyeluruh. Semua ini hanya berlaku jika sesuatu
perkara itu dibentangkan untuk dibahaskan. Ibn al-‘Arabi (543H)
mendifinisikan syura sebagai:
Perhimpunan
ke atas satu perkara untuk meminta pandangan setiap seorang dan
mengeluarkan apa yang ada padanya. (Ibn al-‘Arabi, Ahkam al-Qur’an)
6.
Ia membawa maksud kumpulan yang terdiri daripada lebih seorang yang
masing-masing memberikan pendapat. Pandangan yang pelbagai diperlukan
untuk mencari yang paling tepat. Ini seperti yang ditegaskan oleh Dr.
Abd Rahman Abd Khaliq bahawa syura ialah:
Meminta
pandangan daripada orang yang pakar dalam perkara yang dibincangkan
untuk sampai kepada yang paling hampir dengan kebenaran. (Abd Rahman Abd
Khaliq, al-Syura fi Dzilli Nizomi al-Hukmi al-Islami, Dar al-Salafiah,
Kuwait, 1975, hlmn 14)
7.
Dengan makna dan maksud di atas, kita dapati dalam Islam syura
mempunyai kedudukan yang penting. Sebab itu Islam memerintahkan umatnya
agar sentiasa bermesyuarat. Bahkan salah satu daripada nama-nama surah
di dalam al-Qur’an adalah al-Syura yang menunjukkan kepentingannya untuk
dijadikan mekanisme utama dalam kehidupan seharian kita dengan menjaga
adab-adabnya. Allah SWT meletakkan syura sebaris dengan ibadat solat dan
zakat yang hukum kedua-duanya adalah wajib. Firman Allah SWT dalam
surah al-Syura ayat 38 bermaksud:
Dan
juga orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta
mendirikan solat dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara
bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian
daripada apa yang Kami berikan kepadanya.
8.
Demikian syura yang diperintahkan dengan maksud mencari keputusan yang
paling hampir dengan tepat yang perlu dijaga adab-adabnya dalam
kehidupan seorang muslim. Sehingga dalam urusan kekeluargaan terutamanya
pasangan suami isteri pun ia sangat dituntut. Ini jelas kita dapati
menerusi firmanNya dalam surah al-Baqarah ayat 233 bermaksud:
Kemudian
jika kedua-duanyanya (suami isteri) mahu menghentikan penyusuan itu
dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding,
maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya).
9.
Syura dengan maksud ini juga yang telah nabi SAW sebutkan kepada Abu
Bakar RA dan Umar RA apabila kedua-duanya telah bersetuju terhadap suatu
perkara, maka nabi SAW tidak akan menyalahinya, sabdanya:
Sekiranya kamu berdua telah sepakat melalui mesyuarat nescaya aku tidak akan menyalahinya. (Riwayat Ahmad).
10.
Maka syura dianggap satu mekanisma yang berkesan untuk mengetahui
keputusan terbaik yang paling sesuai melalui proses perbincangan dan
perbahasan. Ia diyakini mampu mengurangkan kesalahan dan kesilapan. Ia
lebih utama jika berkaitan dengan urusan pemerintahan negara. Sebab itu
ia menjadi pemisah di antara pemerintahan Islam dengan pemerintahan kuku
besi dan selainnya. Seorang sarjana Arab Farid Abd Khaliq menerangkan
bahawa:
(Pemisah)
di antara pemerintahan Islam dengan pemerintahan kuku besi ialah
meninggalkan syura. (Farid Abd Khaliq, Fi al-Fiqhi al-Siyasi al-Islami,
Dar al-Syuruq, 1998, hlmn 39)
Syura: mulzimah atau mu’limah?
11.
Kita semua memahami keperluan dan kepentingan syura ini dengan
maksudnya yang betul. Cuma perselisihan berlaku tentang status keputusan
syura yang dilakukan sama ada hukumnya wajib dilaksanakan atau tidak?
Ia berlaku kesan pendapat para ulama’ yang tidak sepakat dalam hal ini.
Sebahagiannya mewajibkan imam (pemimpin negara) melaksanakan keputusan
syura yang diistilahkan sebagai bersifat mulzimah (mewajibkan), manakala sebahagian yang lain mengatakan tidak, ia hanya bersifat mu’limah (memberitahu) sahaja.
12.
Dalam hal ini, sebahagian ulama’ menyatakan bahawa hukum melaksanakan
keputusan syura adalah wajib. Maknanya satus syura ialah mulzimah (wajib). Al-Qurtubi (671H) menjelaskan tentang ayat 38 surah al-Syura:
Ibn
‘Atiyah berkata: Dan syura adalah salah satu daripada asas syari’at dan
rukun hukum hakam, barangsiapa yang tidak berbincang dengan ahli ilmu
dan agama maka wajib dipecat, dan tiada perselisihan dalam hal ini.
(al-Qurtubi, Jami’ li Ahkam al-Qur’an)
13.
Terdapat juga di dalam al-Qur’an ayat lain yang memerintahkan agar kita
melakukan mesyuarat. Kaedah dalam feqh ada menyebut bahawa sesuatu
perintah adalah menunjukkan kewajipan. Firman Allah SWT dalam surah Ali
Imran ayat 159 bermaksud:
Maka
dengan sebab rahmat daripada Allah, engkau telah bersikap lemah-lembut
kepada mereka, dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati,
tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka, dan
pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka
dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila
engkau telah berazam maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya
Allah mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepadaNya.
14. Berkenaan ayat ini Imam al-Razi (606H) dalam tafsirnya menyebut:
Secara
zahir perintah suruhan adalah untuk hukum wajib, firmanNya: Dan
bermesyuaratlah dengan mereka, maka hukumnya adalah wajib. (al-Razi:
Tafsir al-Kabir)
15.
Ini ditambah dengan beberapa tindakan nabi SAW yang jelas menunjukkan
kepada perlaksanaan keputusan syura yang telah dipersetujui bersama.
Peristiwa dalam peperangan Badar al-Kubra yang berlaku pada bulan
Ramadhan tahun kedua Hijrah menjelaskan perkara ini. Setelah nabi SAW
mendapat pandangan daripada kedua-dua golongan Muhajirin dan Ansar maka
nabi SAW meneruskan perjalanannya. Manakala keputusan syura dalam
peperangan Uhud yang berlaku pada tahun ketiga Hijrah pula lebih kuat
membuktikan hukum wajibnya melaksanakan keputusan syura, sehingga nabi
SAW tidak berganjak daripadanya selepas keputusan dibuat. Diriwayatkan
bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud:
Tidak
patut bagi seorang nabi apabila telah memakai (baju besi) untuk
umatnya, dia menanggalkannya sehinggalah berperang. (Riwayat Ahmad)
16.
Hukum wajib ini juga bersandarkan kepada ijma’ para sahabat selepas
kewafatan nabi SAW ketika mereka memutuskan Abu Bakar RA sebagai
khalifah. Ia adalah hasil syura yang berlaku di Saqifah Bani Sa’idah.
Maka ijma’ mereka ini adalah dalil kewajipan syura dalam urusan yang
sangat penting, dan keputusannya juga wajib dilaksanakan. Ibn al-‘Arabi
(543H) menegaskan:
Sesungguhnya perkara pertama yang para sahabat lakukan syura adalah dalam urusan khilafah. (Ibn al-‘Arabi, al-Ahkam al-Qur’an)
17.
Manakala sebahagian ulama’ yang lain menyatakan bahawa hukum
melaksanakan keputusan syura adalah tidak wajib. Dengan erti kata lain
syura sifatnya hanyalah mu’limah (memberitahu) sahaja. Mereka
bersandarkan kepada ayat yang sama iaitu surah Ali Imran ayat 159,
tetapi dengan kaedah yang berlainan iaitu sesuatu perintah hanya
menunjukkan hukum sunat, bukannya wajib. Mereka juga mendakwa bahawa
sebenarnya cukup bagi nabi SAW dengan wahyu sahaja tanpa perlu kepada
syura. Syura yang nabi SAW lakukan dalam peperangan Badar dan Uhud tidak
lain hanyalah sebagai galakan dan panduan kepada umat Islam selepasnya.
Nabi SAW juga ada hak untuk menerima dan menolak segala keputusan yang
dibuat.
Pendapat terpilih
18.
Melihat kepada sistem pemerintahan negara atau sesuatu organisasi, maka
syura adalah satu institusi terpenting untuk membuat sebarang
keputusan. Selagi mana ahli syura yang terlibat mempunyai kelayakan dan
mematuhi prinsip syura Islam maka keputusan syura mampu menyatukan suara
yang berpecah dan mengurangkan perselisihan yang boleh membawa kepada
perbalahan. Kerana perkara yang tiada nas padanya memang bersifat ijtihadi
(boleh difikirkan dan dibahaskan) yang terdedah kepada perselisihan.
Pada waktu ini kayu ukur lain adalah diperlukan terutamanya maqasid syari’ah (objektif pensyari’atan) yang berdiri di atas maslahah dan menolak mafsadah untuk
mengelakkan perselisihan. Sebagaimana kepentingan ramai akan diutamakan
daripada kepentingan peribadi, maka demikianlah pandangan ramai akan
diutamakan juga daripada pandangan peribadi.
19.
Seorang insan tidak boleh mendakwa pandangannya sahaja yang paling
benar walaupun dia cukup yakin dengan benarnya pandangannya. Tiada
ikutan sebaik ikutan nabi SAW yang diriwayatkan antara manusia yang
paling banyak berbincang dan berunding dengan para sahabatnya seterusnya
melaksanakan keputusan bersama. Baginda adalah nabi dan rasul pilihan
Allah Azza wa Jalla yang diperteguhkan dengan wahyu, pun begitu masih
ingin mendengar pandangan orang lain. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah
RA bahawa:
Aku tidak pernah melihat seorang pun yang paling banyak mesyuaratnya dengan sahabatnya melainkan nabi SAW. (Riwayat Tirmizi)
20.
Seorang tokoh pemikir Islam Abu al-A’la al-Maududi (1979M) sendiri
telah menukar pandangan awalnya yang menyatakan bahawa syura adalah mu’limah dalam bukunya Nidzomu al-Hayati fi al-Islam, kepada syura adalah mulzimah dalam kitabnya al-Hukumah al-Islamiyah.
Maknanya seorang ketua tiada pilihan untuk menerima atau menolak
keputusan syura, sebaliknya dia mesti melaksanakannya. Menurutnya jika
seorang pemimpin tidak melaksanakan keputusan syura yang diadakan maka
hilanglah makna dan nilai sebuah syura. Inilah juga pandangan kebanyakan
para ulama’ kontemporari seperti Dr. Abdul Karim Zaidan, Syeikh
Muhammad al-Ghazali, Syeikh Muhammad Syaltut, Syed Qutb dan Dr. Yusuf
al-Qaradhawi.
21.
Kesimpulannya, keputusan syura wajib dilaksanakan terutamanya pada
zaman sekarang yang segala-galanya berbeza dengan zaman para sahabat RA. Apakah suasana sekarang terlalu kondusif untuk menyifatkan syura hanya sebagai mu’limah?
12 Jumada al-Ula 1433H
Sweileh, Amman
(Calon PHD World Islamic Science and Education University, Jordan)
(Calon PHD World Islamic Science and Education University, Jordan)
No comments:
Post a Comment