Jaringan Ukhwah

Showing posts with label Diari Dakwah. Show all posts
Showing posts with label Diari Dakwah. Show all posts

18 October 2012

Kelebihan 10 Awal Bulan Zulhijjah

Kenangan Haji 2010 yang lalu

Kita telah memasuki bulan Zulhijjah, 10 hari awalnya penuh dengan kemuliaan, hari-hari tersebut disediakan oleh Allah sebagai musim ketaatan dan kesempatan beramal soleh. Alhamdulillah, Allah kurniakan kita musim untuk memperbanyakkan amal ibadah dengan menjanjikan pahala yang berganda banyaknya.

Beberapa dalil daripada al-Quran dan Hadis telah menyebut tentang kelebihannya:

1. Firman Allah SWT maksudnya:
“Demi fajar dan malam yang sepuluh.” (Al-Fajr: 1-2)

Kata Ibnu Kathir: “Yang dimaksudkan di sini ialah 10 malam yang pertama pada bulan Zulhijjah. Demikian juga tafsiran Ibnu Abbas, Ibnu Az-Zubair, Mujahid dan lainnya.” HR: Imam Bukhari.

2. Daripada Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya;
“Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi Allah selain daripada hari-hari yang 10 ini. Para sahabat bertanya: Walaupun berjihad di jalan Allah? Rasulullah bersabda: Walaupun berjihad di jalan Allah, kecuali lelaki yang keluar (berjihad) membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid).” HR: Ahmad, At-Tirmizi.
3. Firman Allah SWT, maksudnya;
“Hendaklah kamu menyebut nama Allah pada hari-hari yang ditentukan.” (Surah Al-Haj: 28).
Kata Ibnu Abbas RA: Maksudnya ialah hari-hari yang 10 itu.

4. Dari Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya;
“Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah daripada hari-hari yang 10 ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid.”

5. Adalah Said bin Jubir RA (perawi yang meriwayatkan Hadis Ibnu Abbas di atas) apabila tiba hari yang tersebut beliau beribadah bersungguh-sungguh sedaya-upayanya. HR Ad-Darimi- Hasan.

6. Daripada Abi Qatadah al-Ansari bahawa Rasulullah S.A.W pernah ditanya tentang (keutamaan) puasa hari Arafah, baginda menjawab, ''Menghapuskan dosa selama setahun yang lalu dan yang akan datang".
(Hadis sahih dikeluarkan oleh imam Muslim, Tarmizi, Ibnu Khuzaimah dan Baihaqi)

7. Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar: "Yang jelasnya, antara sebab keistimewaan 10 hari Zulhijjah ini ialah kerana terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu: Solat, puasa, sedekah dan haji. Pada waktu lain, ibadat-ibadat ini tidak pernah terhimpun sebegitu ".
8. Ibnu Taimiah bila ditanya tentang kelebihan 10 akhir Ramadhan dan 10 awal Zulhijjah, beliau menjawab : " 10 akhir Ramadhan malamnya lebih afdhol dari malam-malam lain kerana ada padanya Lailatul Qadr, 10 awal Zulhijjah siangnya lebih afdhol dari hari-hari lain kerana ada padanya hari Arofah".

Jom sama-sama kita beramal, jadikan setiap inci kehidupan kita ada nilai ibadah.

10 April 2012

SIRI UCAPAN TARBIAH

Ustaz Murabbi Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

Ijtimak Tarbawi 2011 : Kuliah Subuh Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man (Siri 1) 

Ijtimak Tarbawi 2011 : Kuliah Subuh Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man (Siri 2) 

Ijtimak Tarbawi 2011 : Kuliah Subuh Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man (Siri 3) 

Ijtimak Tarbawi 2011 : Kuliah Subuh Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man (Siri 4) 

Ijtimak Tarbawi 2011 : Kuliah Subuh Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man (Siri 5) 

 Prof Madya Dr MAZA

 
Kekalkan di atas tabiat DAKWAH
 

Tribulasi Dakwah
 
Ust Nasruddin Hasan Tantawi


Kuliah Subuh (1)


Kuliah Subuh (2)


Kuliah Subuh (3)

SYURA: WAJIB DILAKSANAKAN ATAU TIDAK?

1. Syura atau bermesyuarat dalam sesuatu perkara adalah disyari’atkan dalam Islam. Ia bertujuan untuk mengambil satu keputusan bersama dalam semua peringkat kehidupan manusia daripada yang paling tinggi seumpama urusan pemerintahan negara hinggalah kumpulan yang paling kecil iaitu urusan keluarga. Apa yang menjadi persoalan ialah adakah keputusan itu wajib dilaksanakan atau hanya sekadar cadangan semata-mata yang tidak wajib dituruti?

gambar hiasan

2. Menoleh sejarah, pengamalan syura ini bukan perkara yang baharu, ia juga dilakukan oleh umat terdahulu lalu mereka melaksanakan hasil keputusannya secara bersama. Kita boleh lihat wujudnya maksud berunding ini ketika Firaun yang zalim ingin berhadapan dengan nabi Musa AS, Firaun telah berbincang dengan kaumnya yang hanya menurut sahaja tanpa sebarang pandangan lain, jauh sekali bantahan. Firman Allah SWT dalam surah al-Zukhruf ayat 51-54 bermaksud:
Dan Firaun menyeru kaumnya, katanya: Wahai kaumku, bukankah kerajaan negeri Mesir ini akulah yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawah (istana) ku, tidakkah kamu melihatnya? Bahkan bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina keadaannya ini, dan yang hampir-hampir tidak dapat menjelaskan perkataannya? (Kalau betul dia seorang Rasul) maka sepatutnya dia dipakaikan gelang-gelang emas, atau datang malaikat bersama-sama dengannya, maka Firaun menakutkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya. Sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik.

3. Begitu juga Raja Saba’ yang telah berbincang dengan kaumnya ketika menerima surat daripada nabi Sulaiman AS. Firman Allah SWT dalam surah al-Naml ayat 29-33 bermaksud:
Raja perempuan itu berkata lagi: Wahai ketua-ketua kaum, berilah pandangan kepadaku mengenai perkara yang aku hadapi ini, aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir memberi pendapat dan mempersetujuinya. Mereka menjawab: Kita adalah orang-orang yang kuat gagah dan amat berani merempuh peperangan; namun perkara itu terserahlah kepadamu. Oleh itu fikirkanlah apa yang engkau hendak perintahkan.

4. Menerusi kedua-dua ayat tadi, kita dapati Firaun berunding dengan kaumnya namun tidak berlaku bertukar-tukar pandangan dan idea, mereka hanya menurut sahaja kata-kata Firaun tanpa membantah. Kaum Saba’ pula memberikan respon tetapi memulangkan semula sebarang keputusan kepada ketuanya. Nampaknya seperti tidak berlaku sebarang rundingan pun. Jadi, kita perlu mengetahui apakah maksud syura yang sebenarnya?

Maksud Syura
5. Syura maksudnya ialah berunding dan bertukar-tukar pandangan. Paling minimum dua orang dan maksimum tanpa sebarang had. Ia melibatkan urusan umum atau khusus untuk menyaring pendapat yang paling sesuai dan paling tepat demi merealisasikan kepentingan manusia dan negara serta menolak kerosakan secara menyeluruh. Semua ini hanya berlaku jika sesuatu perkara itu dibentangkan untuk dibahaskan. Ibn al-‘Arabi (543H) mendifinisikan syura sebagai:
Perhimpunan ke atas satu perkara untuk meminta pandangan setiap seorang dan mengeluarkan apa yang ada padanya. (Ibn al-‘Arabi, Ahkam al-Qur’an)

6. Ia membawa maksud kumpulan yang terdiri daripada lebih seorang yang masing-masing memberikan pendapat. Pandangan yang pelbagai diperlukan untuk mencari yang paling tepat. Ini seperti yang ditegaskan oleh Dr. Abd Rahman Abd Khaliq bahawa syura ialah:
Meminta pandangan daripada orang yang pakar dalam perkara yang dibincangkan untuk sampai kepada yang paling hampir dengan kebenaran. (Abd Rahman Abd Khaliq, al-Syura fi Dzilli Nizomi al-Hukmi al-Islami, Dar al-Salafiah, Kuwait, 1975, hlmn 14)

7. Dengan makna dan maksud di atas, kita dapati dalam Islam syura mempunyai kedudukan yang penting. Sebab itu Islam memerintahkan umatnya agar sentiasa bermesyuarat. Bahkan salah satu daripada nama-nama surah di dalam al-Qur’an adalah al-Syura yang menunjukkan kepentingannya untuk dijadikan mekanisme utama dalam kehidupan seharian kita dengan menjaga adab-adabnya. Allah SWT meletakkan syura sebaris dengan ibadat solat dan zakat yang hukum kedua-duanya adalah wajib. Firman Allah SWT dalam surah al-Syura ayat 38 bermaksud:
Dan juga  orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan solat dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami berikan kepadanya.

8. Demikian syura yang diperintahkan dengan maksud mencari keputusan yang paling hampir dengan tepat yang perlu dijaga adab-adabnya dalam kehidupan seorang muslim. Sehingga dalam urusan kekeluargaan terutamanya pasangan suami isteri pun ia sangat dituntut. Ini jelas kita dapati menerusi firmanNya dalam surah al-Baqarah ayat 233 bermaksud:
Kemudian jika kedua-duanyanya (suami isteri) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya).

9. Syura dengan maksud ini juga yang telah nabi SAW sebutkan kepada Abu Bakar RA dan Umar RA apabila kedua-duanya telah bersetuju terhadap suatu perkara, maka nabi SAW tidak akan menyalahinya, sabdanya:
Sekiranya kamu berdua telah sepakat melalui mesyuarat nescaya aku tidak akan menyalahinya. (Riwayat Ahmad).

10. Maka syura dianggap satu mekanisma yang berkesan untuk mengetahui keputusan terbaik yang paling sesuai melalui proses perbincangan dan perbahasan. Ia diyakini mampu mengurangkan kesalahan dan kesilapan. Ia lebih utama jika berkaitan dengan urusan pemerintahan negara. Sebab itu ia menjadi pemisah di antara pemerintahan Islam dengan pemerintahan kuku besi dan selainnya. Seorang sarjana Arab Farid Abd Khaliq menerangkan bahawa:
(Pemisah) di antara pemerintahan Islam dengan pemerintahan kuku besi ialah meninggalkan syura. (Farid Abd Khaliq, Fi al-Fiqhi al-Siyasi al-Islami, Dar al-Syuruq, 1998, hlmn 39)

Syura: mulzimah atau mu’limah?
11. Kita semua memahami keperluan dan kepentingan syura ini dengan maksudnya yang betul. Cuma perselisihan berlaku tentang status keputusan syura yang dilakukan sama ada hukumnya wajib dilaksanakan atau tidak? Ia berlaku kesan pendapat para ulama’ yang tidak sepakat dalam hal ini. Sebahagiannya mewajibkan imam (pemimpin negara) melaksanakan keputusan syura yang diistilahkan sebagai bersifat mulzimah (mewajibkan), manakala sebahagian yang lain mengatakan tidak, ia hanya bersifat mu’limah (memberitahu) sahaja.

12. Dalam hal ini, sebahagian ulama’ menyatakan bahawa hukum melaksanakan keputusan syura adalah wajib. Maknanya satus syura ialah mulzimah (wajib). Al-Qurtubi (671H) menjelaskan tentang ayat 38 surah al-Syura:
Ibn ‘Atiyah berkata: Dan syura adalah salah satu daripada asas syari’at dan rukun hukum hakam, barangsiapa yang tidak berbincang dengan ahli ilmu dan agama maka wajib dipecat, dan tiada perselisihan dalam hal ini. (al-Qurtubi, Jami’ li Ahkam al-Qur’an)

13. Terdapat juga di dalam al-Qur’an ayat lain yang memerintahkan agar kita melakukan mesyuarat. Kaedah dalam feqh ada menyebut bahawa sesuatu perintah adalah menunjukkan kewajipan. Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 159 bermaksud:
Maka dengan sebab rahmat daripada Allah, engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka, dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka, dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepadaNya.

14. Berkenaan ayat ini Imam al-Razi (606H) dalam tafsirnya menyebut:
Secara zahir perintah suruhan adalah untuk hukum wajib, firmanNya: Dan bermesyuaratlah dengan mereka, maka hukumnya adalah wajib. (al-Razi: Tafsir al-Kabir)

15. Ini ditambah dengan beberapa tindakan nabi SAW yang jelas menunjukkan kepada perlaksanaan keputusan syura yang telah dipersetujui bersama. Peristiwa dalam peperangan Badar al-Kubra yang berlaku pada bulan Ramadhan tahun kedua Hijrah menjelaskan perkara ini. Setelah nabi SAW mendapat pandangan daripada kedua-dua golongan Muhajirin dan Ansar maka nabi SAW meneruskan perjalanannya. Manakala keputusan syura dalam peperangan Uhud yang berlaku pada tahun ketiga Hijrah pula lebih kuat membuktikan hukum wajibnya melaksanakan keputusan syura, sehingga nabi SAW tidak berganjak daripadanya selepas keputusan dibuat. Diriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud:
Tidak patut bagi seorang nabi apabila telah memakai (baju besi) untuk umatnya, dia menanggalkannya sehinggalah berperang. (Riwayat Ahmad)

16. Hukum wajib ini juga bersandarkan kepada ijma’ para sahabat selepas kewafatan nabi SAW ketika mereka memutuskan Abu Bakar RA sebagai khalifah. Ia adalah hasil syura yang berlaku di Saqifah Bani Sa’idah. Maka ijma’ mereka ini adalah dalil kewajipan syura dalam urusan yang sangat penting, dan keputusannya juga wajib dilaksanakan. Ibn al-‘Arabi (543H) menegaskan:
Sesungguhnya perkara pertama yang para sahabat lakukan syura adalah dalam urusan khilafah. (Ibn al-‘Arabi, al-Ahkam al-Qur’an)  

17. Manakala sebahagian ulama’ yang lain menyatakan bahawa hukum melaksanakan keputusan syura adalah tidak wajib. Dengan erti kata lain syura sifatnya hanyalah mu’limah (memberitahu) sahaja. Mereka bersandarkan kepada ayat yang sama iaitu surah Ali Imran ayat 159, tetapi dengan kaedah yang berlainan iaitu sesuatu perintah hanya menunjukkan hukum sunat, bukannya wajib. Mereka juga mendakwa bahawa sebenarnya cukup bagi nabi SAW dengan wahyu sahaja tanpa perlu kepada syura. Syura yang nabi SAW lakukan dalam peperangan Badar dan Uhud tidak lain hanyalah sebagai galakan dan panduan kepada umat Islam selepasnya. Nabi SAW juga ada hak untuk menerima dan menolak segala keputusan yang dibuat.

Pendapat terpilih
18. Melihat kepada sistem pemerintahan negara atau sesuatu organisasi, maka syura adalah satu institusi terpenting untuk membuat sebarang keputusan. Selagi mana ahli syura yang terlibat mempunyai kelayakan dan mematuhi prinsip syura Islam maka keputusan syura mampu menyatukan suara yang berpecah dan mengurangkan perselisihan yang boleh membawa kepada perbalahan. Kerana perkara yang tiada nas padanya memang bersifat ijtihadi (boleh difikirkan dan dibahaskan) yang terdedah kepada perselisihan. Pada waktu ini kayu ukur lain adalah diperlukan terutamanya maqasid syari’ah (objektif pensyari’atan) yang berdiri di atas maslahah dan menolak mafsadah untuk mengelakkan perselisihan. Sebagaimana kepentingan ramai akan diutamakan daripada kepentingan peribadi, maka demikianlah pandangan ramai akan diutamakan juga daripada pandangan peribadi.

19. Seorang insan tidak boleh mendakwa pandangannya sahaja yang paling benar walaupun dia cukup yakin dengan benarnya pandangannya. Tiada ikutan sebaik ikutan nabi SAW yang diriwayatkan antara manusia yang paling banyak berbincang dan berunding dengan para sahabatnya seterusnya melaksanakan keputusan bersama. Baginda adalah nabi dan rasul pilihan Allah Azza wa Jalla yang diperteguhkan dengan wahyu, pun begitu masih ingin mendengar pandangan orang lain. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa:
Aku tidak pernah melihat seorang pun yang paling banyak mesyuaratnya dengan sahabatnya melainkan nabi SAW. (Riwayat Tirmizi)

20. Seorang tokoh pemikir Islam Abu al-A’la al-Maududi (1979M) sendiri telah menukar pandangan awalnya yang menyatakan bahawa syura adalah mu’limah dalam bukunya Nidzomu al-Hayati fi al-Islam, kepada syura adalah mulzimah dalam kitabnya al-Hukumah al-Islamiyah. Maknanya seorang ketua tiada pilihan untuk menerima atau menolak keputusan syura, sebaliknya dia mesti melaksanakannya. Menurutnya jika seorang pemimpin tidak melaksanakan keputusan syura yang diadakan maka hilanglah makna dan nilai sebuah syura. Inilah juga pandangan kebanyakan para ulama’ kontemporari seperti Dr. Abdul Karim Zaidan, Syeikh Muhammad al-Ghazali, Syeikh Muhammad Syaltut, Syed Qutb dan Dr. Yusuf al-Qaradhawi.

21. Kesimpulannya, keputusan syura wajib dilaksanakan terutamanya pada zaman sekarang yang segala-galanya berbeza dengan zaman para sahabat RA. Apakah suasana sekarang terlalu kondusif untuk menyifatkan syura hanya sebagai mu’limah? 


12 Jumada al-Ula 1433H
Sweileh, Amman
(Calon PHD World Islamic Science and Education University, Jordan)

TRAUMA PERSEPSI, PENYAKIT BANI ISRAEL DI ZAMAN NABI MUSA A.S

"Trauma Persepsi", merupakan suatu gejala psikologi yang mendorong kepada ketakutan jiwa dan pemikiran, akibat penindasan, kekangan, penderitaan dan himpitan yang panjang, yang berlaku dalam seluruh aspek kehidupan yang pernah mereka lalui. Trauma seperti ini dapat kita fahami dari kisah seekor anak gajah liar yang kakinya dibelenggu sejak kecil. Anak gajah itu memberontak, namun ikatan yang melilit di kakinya begitu kukuh dan mustahil untuknya terlepas dari belenggu tersebut. Akhirnya anak gajah itu pasrah, dan berhenti dari bersikap liar, akur dengan seutas tali yang terikat di kakinya yang difikirkan lebih ampuh.

Hari demi hari, tahun demi tahun, anak gajah tersebut semakin membesar dewasa bahkan lebih besar dari ikatan tali yang berada di pergelangan kakinya. Namun, gajah itu tetap berdiam dan tidak melepaskan dirinya bahkan membiarkan sahaja kakinya terikat, padahal dengan tubuh dan tenaganya yang dimilikinya sekarang, dengan sekali hentakan sahaja ia pasti mampu memutuskan tali tersebut.

Inilah gejala fikiran terkunci yang turut dialami kaum Bani Israel. Ketika mereka diperintah untuk masuk ke Palestin, mereka enggan dan takut dengan kaum lain yang dikira gagah perkasa (kaum jabbarin). Pada anggapan mereka, orang di Palestin itu kuat-kuat, padahal mereka belum pernah bertemu dengannya. Lebih parah lagi, Bani Israel justeru yang menyuruh Nabi Musa bersama Tuhannya berhadapan dengan bangsa Palestin. Fikiran negatif mereka tentang kelemahan diri sendiri lebih menguasai perasaan mereka. Itulah yang disebut sebagai "Trauma Persepsi".

Masalah psikologi yang dialami oleh kaum Bani Israel ini diceritakan di dalam Al Quran, dan ia didatangkan bukan hanya menyebut tentang titik permasalahan sahaja, bahkan di dalamnya turut terdapat garis panduan, solusi atau jalan keluar dari masalah tersebut.

Kita sedari, kaum Bani Israel adalah bangsa yang istimewa. Berkali-kali kisah mereka diceritakan dalam Al Quran. Bukan hanya disebut dari seorang Nabi sahaja, tetapi sebahagian besar kisah-kisah Para Nabi dan Rasul mengisahkan tentang kebiasaan perangai buruk bangsa Israel waktu itu. Berikut adalah petikan kisah Nabi Musa ketika memberikan perintah Hijrah kepada kaumnya yang termaktub dalam surat al Maidah ayat 20 sampai 25.

"Dan (Ingatlah) ketika Musa Berkata kepada kaumnya; Wahai kaumku, ingatlah nikmat Allah atasmu ketika dia mengangkat Nabi-Nabi diantaramu, dan dijadikan-Nya kamu orang-orang merdeka, dan diberikan-Nya kepadamu apa yang belum pernah diberikan-Nya kepada seorangpun diantara umat-umat yang lain".

"Wahai kaumku, masuklah ke tanah suci (Palestin) yang telah ditentukan Allah bagimu, dan janganlah kamu lari ke belakang (kerana takut kepada musuh), kerana kelak kamu menjadi orang-orang yang rugi"

"Mereka berkata; Wahai Musa, sesungguhnya dalam negeri itu ada orang-orang yang gagah perkasa, sesungguhnya kami sekali-kali tidak akan memasukinya sebelum mereka ke luar daripadanya. Jika mereka keluar daripadanya, pasti kami akan memasukinya".

"Berkatalah dua orang (Bani Israel) di antara orang-orang yang takut (kepada Allah) yang Allah telah memberi nikmat atas keduanya; Serbulah mereka melalui pintu gerbang (kota) itu, maka bila kamu memasukinya nescaya kamu akan menang dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakal jika kamu benar-benar orang yang beriman".

"Mereka berkata; Wahai Musa, kami sekali-kali tidak akan memasukinya selagi mereka ada didalamnya, kerana itu pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua, Sesungguhnya kami hanya duduk menanti di sini sahaja".

"Berkata Musa; Ya Tuhanku, aku tidak menguasai kecuali diriku sendiri dan saudaraku. sebab itu pisahkanlah antara kami dengan orang-orang yang fasik itu".  

Yang dimaksudkan ‘kami’ dalam doa Nabi Musa di atas adalah dua orang soleh yang terdapat di ayat 23, dalam Tafsir Ibnu Katsir mereka bernama Yusya’ bin Nun dan Kalim bin Yaufuna. Seperti yang disebutkan pada ayat 22 hingga 24, hal ini merupakan pengertian kepada "Trauma Persepsi" yang dialami oleh Bani Israel ketika mereka berkata, "Sesungguhnya dalam negeri itu ada orang-orang yang gagah perkasa, sesungguhnya kami sekali-kali tidak akan memasukinya sebelum mereka ke luar daripadanya. Jika mereka ke luar daripadanya, pasti kami akan memasukinya".

Apa yang dialami oleh kaum Bani Israel dan keengganan mereka mematuhi arahan Baginda Musa A.S merupakan gejala "Trauma Persepsi" atau dalam ungkapan lainnya "mental block", iaitu suatu perasaan merasakan diri tidak mampu sebelum melakukan sesuatu, sudah menyerah sebelum berperang. Sedangkan dalam ayat sebelumnya, Nabi Musa A.S telah mengingatkan nikmat-nikmat kurniaan Allah yang begitu banyak diberikan kepada mereka.

"Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya; Wahai kaumku, ingatlah nikmat Allah atasmu ketika dia mengangkat Para Nabi di antaramu, dan dijadikan-Nya kamu orang-orang merdeka, dan diberikan-Nya kepadamu apa yang belum pernah diberikan-Nya kepada seorangpun di antara umat-umat yang lain"
"Wahai kaumku, masuklah ke tanah suci (Palestin) yang telah ditentukan Allah bagimu, dan janganlah kamu lari kebelakang (kerana takut kepada musuh), kerana kelak kamu menjadi orang-orang yang rugi"

Pengertian ayat di atas ini sekaligus memberikan solusi tentang bagaimana untuk mengatasi "Trauma Persepsi" yang dialami oleh mereka, iaitu dengan cara kembali mengingati nikmat-nikmat Allah Taala. Sebagaimana disebut dalam ayat tersebut, bahawa Para Nabi dan Rasul kebanyakannya berasal dari Bani Israel. Kemudian Bani Israel juga terdiri dari orang-orang yang bebas merdeka. Allah Taala juga turut memberikan kepada mereka kelebihan yang banyak, iaitu kelebihan-kelebihan yang tidak diberikan kepada kaum yang lain selain Bani Israel.

Sebelum perintah hijrah menuju ke Palestin terungkap dalam arahan Nabi Musa A.S, Bani Israel terlebih dahulu mendapat kemenangan menghadapi Firaun. Tetapi malangnya, "Trauma Persepsi" yang dialami oleh Bani Israel saat itu menyebabkan mereka sanggup mengatakan, "Wahai Musa, kami sekali-kali tidak akan memasukinya, selagi mereka ada di dalamnya. Kerana itu, pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua, sesungguhnya kami hanya duduk menanti di sini sahaja".

Kata-kata ini jika mahu disifatkan, ia adalah perkataan yang melampau, biadab dan kurang ajar. Masakan tidak, setelah mereka diberi nikmat yang sangat besar, diangkat Nabi dari kalangan mereka, diselamatkan Allah dari Firaun, tiba-tiba mereka berlepas diri dan 'menyuruh' Nabi Musa pergi bersama Tuhannya menguasai Palestin. Sedangkan di dalam Tafsir Ibnu Katsir, beliau menyebutkan bahawa kekuatan kaum Palestin ketika itu hanya 1/10 daripada jumlah penduduk Mesir.

Akibat kebiadaban kaum Bani Israel itu, Nabi Musa pun berdo’a dalam ayat ke-25, "Wahai Tuhanku, aku tidak menguasai kecuali diriku sendiri dan saudaraku. Sebab itu pisahkanlah antara kami dengan orang-orang yang fasik itu". Diceritakan bahawa Bani Israel selepas saat doa itu dibacakan Nabi Musa, mereka lantas tersesat di Padang Tiih selama 40 tahun.

Pengajaran Dari Kisah Ini

Pengajaran dari kisah ini ialah kita mesti berani untuk melakukan perubahan, bukan takut sebelum berani, bersembunyi sebelum bertemu, padahal kita belum tahu keuntungan ataupun kerugian apa yang bakal kita perolehi. Janganlah menjadi bangsa penakut seperti kaum Bani Israel, yang sehingga ke hari ini perangai mereka direkodkan di dalam Al Quran.

"(Orang-orang Yahudi dan munafik dengan keadaan bersatu padu sekalipun) tidak berani memerangi kamu melainkan di kampung-kampung yang berbenteng kukuh, atau dari sebalik tembok, kerana permusuhan di antara mereka sesama sendiri amatlah keras. Engkau menyangka mereka bersatu padu, sedang hati mereka berpecah belah disebabkan berlainan kepercayaan mereka, yang demikian itu, kerana mereka adalah kaum yang tidak memahami perkara yang sebenarnya yang memberi kebaikan kepada mereka" - 
Al Hashr:14.

Oleh kerana itu, yakinlah kita ini umat Islam memiliki kehebatan yang besar, kehebatan yang diberi jaminan oleh Allah Taala. Silapnya kita seringkali merasa tidak mampu, tidak berdaya menghadapi sesuatu sebelum mencuba sesuatu, tidak mencuba sebelum mengetahui potensi yang dimiliki.

Kita memang memiliki kekurangan di satu sisi, tapi boleh jadi, kita memiliki kelebihan besar di sisi lain yang belum tentu orang lain memilikinya.

"Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana" - An Nisa':104.

Sepatutnya kita bergerak memperbaiki umat yang mentauhidkan Allah ini kerana gerak kerja kita pasti dibantu oleh Allah Taala. Bahkan Allah telah mengamanahkan kepada kita, umat Islam untuk membangunkan umat yang lebih baik, bermartabat dan melaksanakan usaha amar makruf nahi mungkar. Umat Islam sewajibnya juga kembali mengingati dan bersyukur atas nikmat yang telah dilimpahkan oleh Allah. Kerana kita tahu sumber kekayaan alam yang dimiliki oleh umat Islam sangat besar, namun kekufuran ke atas nikmat tersebut menyebabkan kemuliaan umat Islam terhijab dari pandangan masyarakat lain kerana kita menjadi umat yang takut sebelum melakukan sesuatu atau dalam pemerhatian psikologinya, suatu simptom yang pernah dialami oleh kaum Bani Israel yang dikenal simptom "Trauma Persepsi".

Sumber : Tarbawi.my

25 December 2011

KRISIS IDENTITI

PAS : Berindentitikan Islam.

1. Parti Islam Se Malaysia [PAS] didakwa mengalami krisis identiti oleh Ustaz Abdullah Zaik selaku Presiden ISMA berasaskan kenyataan beberapa individu lalu menyifatkan PAS tidak konsisten dan mengalami kekeliruan terhadap hala tuju partinya. Asas dakwaan ini tidak valid.

2. Pertama : Saya ucapkan terima kasih atas perhatian yang diberikan oleh Presiden ISMA terhadap PAS sekaligus menarik perhatian umum khasnya anggota ISMA sendiri kepada PAS untuk mengenalinya dengan lebih dekat dan biasanya apabila dicetuskan sesuatu polemik, maka ia akan menarik perhatian serta perasaan ingin tahu terhadap perkara tersebut. Dalam kes ini, PAS menjadi subjek polemik yang dicetuskan oleh Presiden ISMA, sekaligus memberikan publisiti kepada PAS.

3. Kedua : Identiti ialah pengenalan dan jati diri. Apabila kita bercakap soal Identiti PAS, ertinya kita bercakap mengenai pengenalan dan jati diri PAS. Kepada siapa yang belum mengenali PAS atau buat - buat tidak kenal, maka izinkan saya memperkenalkan buat kesekian kalinya setelah PAS ditubuhkan sejak 1951 berasaskan undang - undang tubuhnya.

Inilah Pengenalan dan Jati diri PAS :

a] Fasal 3 . Perlembagaan PAS : Dasar PAS ialah Islam .
b] Fasal 4 . Perlembagaan PAS : Seruan PAS ialah Allahu Akbar.
c] Fasal 5 . Perlembagaan PAS : Tujuan PAS ialah :

~ Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai – nilai hidup Islam dan hukum – hukumnya menuju keredhaan Allah .

~ Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan Negara .

d] Fasal 6 . Perlembagaan PAS : Usaha – usaha :

~ Menyeru ummat Manusia kepada syariat Allah dan Sunnah RasulNya melalui dakwah secara lisan , tulisan dan amalan .

~ Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai – nilai keislaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan disegenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran , ekonomi dan social serta pelajaran dan pendidikan .

4. Isu negara berkebajikan sering dijadikan turning point untuk menyerang PAS kononnya PAS telah tersasar dari landasan perjuangan asal iaitu Negara Islam, lalu mereka mendesak supaya PAS kembali menggunakan istilah Negara Islam bukannya Negara Berkebajikan.

5. Lebih menarik, UMNO juga menyatakan demikian sedang UMNO lah antara yang paling kuat menentang hasrat PAS sewaktu PAS menggunakan istilah Negara Islam sebelum ini. Sekarang apabila PAS menggunakan istilah Negara Berkebajikan, mereka sibuk pula mendesak supaya PAS tukar kembali kepada istilah Negara Islam. Mengada - ngada betul lah mereka ni !

6. Suka saya jelaskan di sini bahawa langkah dan usaha PAS Membangun Negara Berkebajikan adalah merupakan Fasa 2 pembinaan Negara Islam. Setelah PAS menerbitkan dokumen Negara Islam tempoh lalu, maka ia seperti plan induk bagi PAS menjayakan hasrat mendaulatkan Syariat Allah swt. Itulah Fasa 1 projek PAS.

7. Fasa ke 2 , PAS bergerak dengan lebih praktikal. Bukan sahaja membentang plan induk [ Fasa 1 ] yang lengkap dengan teorinya, kini PAS tampil dengan Negara Berkebajikan sebagai subtance kepada Negara Islam. Ia adalah pengisian dan perlaksanaan. Sekaligus menjawab pelbagai tohmahan kononnya Negara Islam adalah negara hukum semata - mata atau juga di tohmah sebagai negara mullah.

8. Negara Islam ialah negara yang dibina berasaskan bimbingan syariat Islam. Sementara elemen utama dalam Syariat Islam ialah adil, telus, integriti dan amanah selain ubudiyyah [pengabdian diri kepada Allah] . Ia menepati pembentukan Good Governence yang menjadi sendi utama bagi Negara Berkebajikan yang mahu dibangunkan oleh PAS.

9. Menganggap PAS telah tersasar dari landasan asal perjuangannya adalah berpunca dari salah faham atau buat - buat tidak faham terhadap matlamat dan objektif perjuangan PAS. Selayaknya mereka terlebih dahulu membuka dan melihat Plan Lengkap Projek PAS bagi memahami keseluruhan Fasa yang akan dibina oleh arkitek PAS.

10. Negara Berkebajikan bukan krisis identiti tetapi ia adalah Pengukuhan Identiti. Justeru ia memantapkan lagi pengenalan dan jati diri PAS dengan usaha bina dan tawaran yang lebih praktikal, mudah dan boleh laksana.

Ust Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia