Jaringan Ukhwah

01 November 2011

ZULHIJJAH DAN AMAL SOLEH


Sebenarnya bulan Zul-Hijjah mempunyai fadhilatnya yang tersendiri yang telah Allah Azza wa Jalla pilih berbanding bulan-bulan lain. Selain ia termasuk miqat zamani(ketentuan masa) bagi ibadah haji bersama-sama bulan Syawal dan Zul-Qa’idah, ia juga sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 27-28 bermaksud:
Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan Ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari pelbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.


Berkenaan ayat ini, diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA dalam Sohih al-Bukhari bahawa maksud pada hari-hari yang tertentu ialah hari-hari yang sepuluh. Kita juga boleh merujuk tentang hari-hari yang sepuluh ini menerusi firman Allah SWT dalam surah al-Fajr ayat 1-2 bermaksud:
Demi waktu fajar. Dan malam yang sepuluh.

Majoriti ahli tafsir menyatakan bahawa malam-malam yang sepuluh itu ialah sepuluh yang pertama daripada bulan Zul-Hijjah. Antaranya Ibn Kathir (774H) berkata tentang ayat ini:
Daripada Ibn Abbas bahawa ia adalah sepuluh malam yang pertama daripada Zul-Hijjah. (Ibn Kathir, Tafsir al-Qur'an al-‘Azim).

Fadhilat bulan Zul-Hijjah kerana berhimpunnya kebanyakan ibadah pada satu masa yang sama dalam bulan ini. Ibn Hajar al-Asqolani (852H) menyatakan:
Dan apa yang nyata bahawa sebab lebihnya sepuluh hari yang pertama bulan Zul-Hijjah kerana ia menghimpunkan ibu ibadah di dalamnya, iaitu solat, puasa, sedekah dan haji. Ia tidak berlaku pada selainnya. (Ibn Hajar, Fath al-Bari)

Ibn al-Qaiyim (751H) pula menyatakan tentang fadhilat bulan Zul-Hijjah katanya:
Maka sesungguhnya tiada satu hari pun yang beramal pada hari tersebut lebih disukai oleh Allah SWT selain daripada sepuluh hari pertama Zul-Hijjah. Padanya terdapat hari Arafah (9hb), hari Nahar (10hb) dan hari Tarwiyah (8hb). Adapun sepuluh malam terakhir Ramadhan pula ialah malam-malam untuk dihidupkan sebagaimana nabi SAW menghidupkan kesemua malamnya, dan salah satu daripadanya lebih baik daripada seribu bulan. (Ibn al-Qaiyim, Bada’ie al-Fawa’id)

GALAKAN AMAL SOLEH

Dengan sebab fadhilat yang ada pada sepuluh hari yang awal daripada bulan Zul-Hijjah, maka kita sangat digalakkan untuk memperbanyakkan amal soleh pada hari-hari tersebut, iaitu di antara 1 hingga 10 haribulan Zul-Hijjah. Ini kerana diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud:
Tiada amalan yang lebih afdhal daripada beramal pada hari-hari ini. Mereka bertanya: Walaupun jihad? Nabi SAW menjawab: Walaupun jihad, kecuali seorang lelaki yang keluar membahayakan (jihad) diri dan hartanya dan tidak kembali dengan sesuatu pun. (Riwayat al-Bukhari)

Terdapat juga riwayat-riwayat lain yang menyatakan fadhilat yang seperti hadith di atas. Di samping ia menunjukkan kelebihan berjihad di jalan Allah SWT, ia juga memberi isyarat kepada kita kelebihan melakukan amalan soleh secara umum pada sepuluh hari tersebut. Ibn Hajar al-‘Asqolani (852H) menyatakan:
Di dalamnya (hadith) melebihkan sebahagian masa berbanding yang lain sebagaimana juga tempat. Dan jelaslah faedah daripadanya seperti sesiapa yang bernazar untuk berpuasa, atau melakukan satu amalan pada hari-hari yang afdhal. Jika ingin salah satu daripadanya maka pilihlah hari Arafah (9hb Zul-Hijjah) kerana ia merupakan hari yang paling afdhal daripada sepuluh yang lain menurut riwayat yang sohih. (Ibn Hajar, Fath al-Bari)

Jelas bahawa daripada sepuluh hari pertama bulan Zul-Hijjah, hari Arafah iaitu 9 haribulan adalah lebih utama. Kita yang tidak menunaikan ibadah haji disunatkan berpuasa pada tarikh ini. Bahkan sebahagian ulama’ menyatakan sunat juga berpuasa bermula darpada 1 hingga 9 haribulan Zul-Hijjah. Ibn Rejab al-Hanbali (795H) dalam kitabnya Lato’if al-Ma’arif menyatakan antara sahabat nabi SAW yang mengamalkan puasa sembilan hari ini ialah Abdullah bin Umar RA. Ia tidak bercanggah dengan riwayat daripada ‘Aisyah RA yang menyebut:
Aku tidak pernah melihat nabi SAW berpuasa pada sepuluh haribulan (ZulHijjah). (Riwayat Muslim)

Ketika membicarakan hadith ini, imam al-Nawawi (676H) berkata:
Sesungguhnya hadith ini menjadikan orang menyangka tidak boleh berpuasa sepuluh. Dan maksud daripada sepuluh ialah sembilan hari pertama daripada bulan Zul-Hijjah. Mereka berkata: Dan ini sebahagian daripada ta’wilan. Tiadalah berpuasa pada sembilan hari ini makruh hukumnya, bahkan ia sangat-sangat digalakkan, terutamanya pada sembilan haribulan iaitu hari Arafah. (al-Nawawi, Syarh Sohih Muslim)

Terdapat riwayat khusus yang menggalakkan berpuasa pada hari Arafah iaitu 9 Zul-Hijjah. Bagi sesiapa yang berpuasa pada tarikh ini dosanya selama dua tahun akan diampunkan oleh Allah SWT. Diriwayatkan daripada Qotadah al-Ansori RA bahawa nabi SAW ditanya tentang berpuasa pada hari Arafah, jawab nabi SAW:
Ia akan menghapuskan dosanya setahun yang lalu dan akan datang. (Riwayat Muslim)

Dosa yang akan diampunkan adalah dosa-dosa kecil bukannya dosa besar, sebagaimana wudhu’ boleh menghapuskan dosa kecil. Jika tiada dosa kecil, semoga Allah Azza wa Jalla akan mengangkat darjat kita semua. Maka perbanyakkanlah amalan soleh pada hari-hari ini dan seluruh hari yang lain sepanjang tahun seperti berzikir, membaca al-Qur’an, bertaubat, qiamullail dan sebagainya. Mereka yang ada kelebihan dan kemampuan melakukan ibadah korban juga, ia sangat-sangat dituntut. Bagi yang sudah berniat dan mewajibkan dirinya berkorban maka jangan lepaskan peluang melakukan beberapa perkara sunat, antaranya elakkan memotong kuku dan rambut bermula awal bulan Zul-Hijjah hinggalah binatang korbannya disembelih. Diriwayatkan daripada Ummu Salamah RA bahawa nabi SAW bersabda bermaksud:
Barangsiapa yang melihat anak bulan Zul-Hijjah, dan berniat ingin melakukan korban, maka janganlah dia mengambil (memotong) daripada rambut dan kukunya. (Riwayat Tirmizi)

Kesimpulannya, fadhilat sepuluh hari pertama ZulHijjah perlu direbut dengan melakukan pelbagai amalan soleh. Membiarkannya berlalu begitu sahaja merupakan kerugian yang tidak sepatutnya.

Amman, Jordan.

No comments: