Jaringan Ukhwah

22 December 2010

Belasungkawa Syeikh Nuh 'Ali Salman al-Qudah




Seorang lagi mutiara ummah gugur, seluruh isi alam meratapi kembalinya ulama' ummah ini, Samahatus Syeikh Nuh 'Ali Salman al-Qudah, mantan mufti Jordan, ke sisi Rabbul Jalil pada pagi 19 Disember 2010, dalam usia sekitar 71 tahun. Beliau dilahirkan pada tahun 1939 di 'Ain Jina, Muhafazah 'Ajlun. Bapanya Syeikh 'Ali al-Qudah adalah faqih mazhab Syafi'i. Beliau menerima ijazah dari ramai ulama Syam, terutamanya Syeikh 'Ali al-Daqr. Antara guru-guru Syeikh Nuh al-Qudah yang lain ialah, Syeikh 'Abd al-Karim al-Rifa'i, Syeikh 'Abd al-Razzaq al-Himsi, Syeikh Mahmud al-Rankusi, Syeikh al-Murabbi Muhammad al-Hasyimi dan lain-lain. Dari Syeikh Muhamad al-Hasyimi beliau mengambil Tariqat Syaziliyyah.

Beliau juga pernah belajar dengan ramai ulama Dimasyq di Fakulti Syariah, Dimasyq, seperti Syeikh Mustafa al-Zarqa, Dr. Wahbah al-Zuhayli, Syeikh 'Abd al-Rahman al-Sabuni, Syeikh 'Abd al-Fattah Abu Ghuddah, Syeikh Fawzi FayduLlah dan lain-lain. Beliau merupakan graduan dari fakulti tersebut pada tahun 1965. Antara rakannya pada masa itu ialah al-Muhaddith Syeikh Muhammad 'Awwamah. Pada tahun 1972, beliau dilantik sebagai mufti Tentera.

Pada tahun 1977 beliau ke Kaherah, Mesir dan menimba ilmu dari ulama-ulama seperti Syeikh 'Abd al-Ghani 'Abd al-Khaliq, Syeikh Hasan al-Syazili dan juga Syeikhul Azhar pada masa itu Syeikh 'Abd al-Halim Mahmud. Beliau berjaya memperolehi ijazah masternya dari Universiti al-Azhar di bawah seliaan Syeikh Muhammad al-Anbabi dengan tajuk (قضاء العبادات والنيابة فيها) pada tahun 1980. Manakala ijazah kedoktorannya pula diperolehi dari Universiti Islam Muhammad bin Su'ud di Riyadh pada tahun 1986 dengan tajuk (إبراء الذمة من حقوق العباد).

Sepanjang tugasnya sebagai mufti, beliau telah mengeluarkan ribuan fatwa berkaitan agama dan juga manusia. Pada tahun 1996 beliau menjadi duta Kerajaan Jordan di Iran sehingga tahun 2001. Pada tahun 2004, beliau bertugas dalam bidang penfatwaan di Emirates dan juga sebagai penasihat Menteri Keadilan, Wakaf dan Hal Ehwal Islam sehingga tahun 2007. Pada tahun tersebut beliau dilantik sebagai mufti am Kerajaan Jordan sehinggalah beliau bersara pada bulan Februari 2010 yang lalu.

Antara karya-karya beliau ialah;


* قضاء العبادات والنيابة فيها.
* إبراء الذمة من حقوق العباد.
* محاضرات في الثقافة الإسلامية.
* المختصر المفيد في شرح جوهرة التوحيد.
* شرح المنهاج في الفقه الشافعي.
* كيف تخاطب الناس.
* لم تغب شمسنا بعد.
* صفات المجاهدين.
* مولد الهادي صلى الله عليه وسلم.

No comments: