Ramai kalangan individu dan kumpulan yang mengisytiharkan menjadi
pejuang Melayu, secara laungan lisan yang bersuara dan tulisan yang
dicatit di dada akhabar, majalah dan sepanduk yang direntang, semuanya
penuh bersemangat yang berkobar-kobar, sehingga sanggup melakukan apa
sahaja. Bagi penganut Islam, yang menjadi kebanggaan bangsa Melayu juga,
wajiblah benar-benar ikhlas kerana Allah dan kepada Allah kembalinya,
hendaklah menjadikan Islam itu satu-satunya petunjuk yang diyakini
benarnya menyelamatkan manusia seluruhnya, termasuklah bangsa Melayu.
Saya ulangi kenyataan saya, bahawa tidak menjadi salah, kecintaan
seseorang itu, atau kumpulannya atau bangsanya terhadap bangsanya,
kerana inilah sifat semula jadi manusia yang disebut fitrah atau naluri,
tetapi sifat fitrah juga adanya dalam alam dunia ini berbagai bangsa,
suku kaum, berkeluarga yang hidup secara bermasyarakat, sehingga tidak
mungkin bersendirian. Inilah ketetapan Allah pencipta alam yang dipuji
setiap rakaat sembahyang. Allah berfirman (maksudnya):
"Wahai
manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan
seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku
kaum, supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling
mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di
antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal".
(Al-Hujurat: 13)
Kita tidak dapat menghapuskan sifat fitrah kecintaan kepada bangsa,
samalah juga tidak boleh menghapuskan wujudnya berbagai bangsa, serta
tidak dapat menghapuskan wajibnya hidup bermasyarakat, sehingga Ibnu
Khaldun, seorang tokoh ilmuan sedunia menegaskan ;”Manusia itu bersifat masyarakat madani secara tabiinya”.
Nabi Muhammad s.a.w yang dilantik menjadi Rasul kepada seluruh
manusia juga sayangkan bangsa dan tanah air, tetapi kesayangan dan
kecintaan itu diatur dengan petunjuk Islam, tanpa merosakkan hubungan
kemanusiaan di kalangan berbagai bangsa dan suku kaum serta berbagai
agama yang wajib hidup bermasyarakat, walaupun menegaskan hanya Islam
yang diakui benarnya. Namun tidak boleh memaksa sesama manusia, kerana
keperluan manusia seluruhnya dalam kehidupan dunia, sebelum berpijak ke
alam akhirat, tidak boleh dihasilkan secara individu sahaja dan satu
bangsa sahaja dan satu suku kaum sahaja.
Sempadannya ialah menegakkan Islam yang adil untuk semua. Sempadannya
haram berlaku zalim terhadap sesiapa sahaja, sehingga zalim itu
diharamkan terhadap kaum lain dan diharamkan juga membela kezaliman kaum
dan bangsanya sendiri. Sabda Rasulullah s.a.w:
لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى
عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ
مِنَّا مَنْ مَاتَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ
سنن أبي داود - (ج 13 / ص 325)
Maksudnya: (Bukan daripada kalangan kami orang yang menyeru
kepada asabiyyah, bukan daripada kalangan kami orang yang berperang di
atas tujuan asabiyyah dan bukan daripada kalangan kami orang yang mati
di atas perjuangan asobiyyah).
Asabiyyah itu ialah fanatik terhadap kaum bangsa sendiri kerana kasih
tanpa dasar yang benar dan adil sehingga menzalimi terhadap kaum dan
bangsa lain dalam semua urusan cara hidup dan beragama.
Maka Islam telah berjaya menyelamatkan bangsa Arab dengan Islam,
sehingga menghapuskan asabiyyah kabilah suku kaum sesama bangsa Arab
yang berperang sejak ribuan tahun dan permusuhan bangsa Arab terhadap
bangsa lain, sehingga bangsa Arab setelah menganut Islam berjaya menjadi
kuasa besar dunia yang mengambil alih pengaruh dua kuasa besar dunia
Parsi dan Rom di zamannya.
Bangsa Arab yang memimpin negara kuasa besar Islam akhirnya berjaya
menerima masyarakat majmuk kalangan berbagai bangsa dan berbagai agama
yang berlainan dengan Islam. Walaupun penganut Islam diwajibkan
berdakwah mengajak manusia kepada Islam, tetapi diharamkan memaksa
terhadap penganut agama lain, diharamkan zalim, serta diwajibkan berlaku
adil terhadap semua manusia, binatang dan alam seluruhnya. Akhirnya
Islam berjaya mengumpulkan daripada masyarakat majmuk itu, ilmu duniawi
yang memberi manfaat dari segi kemanusiaan daripada berbagai bangsa dan
penganut agama, sehingga berjaya melahirkan tamadun majmuk yang
menyumbang kepada dunia seluruhnya sehingga hari ini.
Kejatuhan dua kuasa besar dunia berlaku di zaman khalifah kedua Umar
bin al- Khattab r.a. Apabila khalifah dijemput datang oleh paderi besar
Bait al-Maqdis yang sangat gembira dengan kejatuhan kuasa besar Rom
yang zalim terhadap mereka sejak beberapa abad. Khalifah disambut oleh
para pemimpin kalangan para sahabat yang berbangsa Arab menyampaikan
ucapannya yang masyhur, antara lain menegaskan:
“Kita adalah kaum bangsa yang diberi kemuliaan dengan
Islam, sekiranya kita mencari yang lain daripada Islam untuk mencapai
kemuliaan kononnya, nescaya kita ditimpa hukuman menjadi kaum bangsa
yang hina“.
Kenyataan ini berasaskan firman Allah:
" Ingatlah, kamu ini
orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) pada jalan Allah.
Maka di antara kamu ada yang bakhil, dan sesiapa yang bakhil
sesungguhnya dia hanyalah bakhil terhadap dirinya sendiri, dan Allahlah
yang Maha Kaya sedangkan kamulah orang-orang yang sangat berhajat kepada
pertolongan Allah; dan jika kamu berpaling daripada menegakkan agama
Allah (Islam) nescaya dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain;
dan mereka tidak akan seperti kamu ini."
(Surah Muhammad: 38)
Firman Allah dan ucapan ini menjadi kenyataan, apabila bangsa Arab
yang memimpin umat Islam tidak lagi berpegang kepada Islam kerana leka
dengan kuasa yang dijadikan peluang mengumpul harta kekayaan dan
kemewahan. Maka Allah menukarkan kepimpinan kepada kalangan kaum bangsa
bukan Arab, penganut Islam yang berpegang dengan Islam yang sempurna
secara silih berganti di kalangan berbagai bangsa yang menganut Islam
dan beramal dengannya dalam seluruh cara hidup. Apabila seluruh bangsa
umat Islam bersemangat bangsa masing-masing dan berpuak, Islamnya
menjadi sampingan amalan peribadi masing-masing, sehingga urusan
politik, ekonomi, pendidikan dan lain-lain dipisahkan daripada Islam,
maka umat Islam dan tanah air bumi Islam dijajah oleh kuasa asing yang
menindas mereka dengan hina.
Walaupun penjajah terpaksa memberi kemerdekaan pada akhirnya, tetapi
mereka berjaya mengekalkan kemerdekaan di atas semangat bangsa mengatasi
petunjuk Islam. Maka kemerdekaannya tidak sampai kepada matlamat yang
sebenar, kerana jasad dan tanah sahaja ditinggalkan oleh penjajah,
sedangkan akal fikran dan kefahaman masih dijajah, termasuk bangsa Arab
sendiri yang kaya-raya dengan hasil semula jadi yang luasnya laksana
laut. Apabila semangat kebangsaan Arabnya mengatasi petunjuk Islam,
menjadikan mereka terus lemah dan dipermainkan oleh kuasa-kuasa besar
yang berebut dan berlumba-lumba mengambil kesempatan daripada bumi Arab,
sehingga Arab boleh dilagakan sesama satu bangsa dan satu agama.
Inilah juga pendekatan semangat kebangsaan Melayu yang dibawa oleh
UMNO sejak lebih lima puluh tahun mencapai kemerdekaan. Islam hanyalah
satu religion atau agama, bukan al-Din yang dinyatakan oleh al-Quran.
UMNO tidak mampu menempatkan dan melahirkan pemimpin yang perkasa dengan
ilmu dan sakhsiah Islam, UMNO hanya berjaya melahirkan ramai pemimpin
yang dicantas kerana kesalahan rasuah sesama sendiri, atau salah laku
sesama sendiri dalam perebutan pertandingan kepimpinan negara apabila
berjaya memimpin parti.
Maka kepimpinan dianggap peluang untuk diri,
keluarga dan rakan keliling, bukannya menunaikan amanah memperkasakan
bangsa bersama Islam yang sempurna, dengan iman, ilmu dan akhlak dan
mampu menguasai berbagai kaum dengan menegakkan Islam adil untuk semua,
yang terkandung dalam ajaran Islam yang sempurna. Islam mengikut
pendekatan UMNO, dilaksanakan secara terpilih bagi kepentingan
duniawinya, bukannya memperhambakan diri menunaikan amanah daripada
Allah yang menjadikan Islam adalah rahmat kepada seluruh alam.
Agama Islam yang diterima oleh penganut agama lain menjadi agama
persekutuan, kerana penganutnya adalah bangsa Melayu yang diakui oleh
semua kaum kerana majoritinya, tiba-tiba tidak berjaya memuliakan bangsa
Melayu sendiri dengan iman, ilmu dan akhlak, selagi pemimpin UMNO
diberi amanah memimpin negara di atas nama Melayunya sahaja dengan
pendekatan Islam terpilih mengikut para pemimpin UMNO.
Walaupun orang
Melayu diapikan semangat kebangsaannya yang bertopengkan Islam,
sedangkan isi kandungan menipu umat, dengan media upahan dan media abdi
kepadanya. Akhirnya bangsa Melayu bukan sahaja tidak boleh bertahan
dengan UMNO, bahkan jatuh terhumban bersamanya.
PAS berulang kali mengajak UMNO bermuzakarah, bukan berdebat
menentukan menang dan kalah, tetapi UMNO sepanjang masa tidak bersedia.
Debat bukannya kerana di musim pilihanraya dan ketika terdesak, bahkan
diajak sejak berpuluh tahun. Kalau UMNO ada Biro Agamanya, ilmuan
agamanya, para mufti yang berada di bawah kerajaannya yang mampu
merojak sumber Islam dengan bahasa al-Quran, bukannya yang berwajah
ulama dalam UMNO tetapi buta bahasa al-Quran atau terlalu lemah bahasa
al-Qurannya yang ramai dipergunakan. PAS juga ada Majlis Syura Ulama dan
ahli Dewan Ulama yang terlalu ramai.
Tibalah masanya, para pejuang Melayu menyedari dan memahami bahawa
slogan yang benar bukannya, pertahankan Melayu dahulu, Islam di
belakangnya. Percayalah bahawa Melayu tidak selamat dengan diri mereka
sendiri tanpa petunjuk Islam, sebagaimana Arab bangsa Rasulullah s.a.w
porak-peranda sekarang, kerana kebangsaan Arabnya mengatasi Islamnya,
tetapi yang sebenarnya ialah tegakkan Islam dan selamatkan bangsa dengan
Islam, tunjukkan Islam yang sempurna, maka Melayu selamat dan semua
kaum, bangsa dan penganut berbagai agama diselamatkan.
Islam yang terkandung dalam al-Quran dan hadith itu tidak menolak
kasih kepada bangsa masing-masing, tetapi melarang zalim terhadap bangsa
selain bangsa kita. Islam tidak menghapuskan hak sesuatu bangsa secara
tabii, seperti bahasa ibunda masing-masing dan budaya kaum
masing-masing, tetapi melarang menjadi jahil dan keruntuhan akhlak dan
Islam melarang paksaan dalam anutan agama dan Islam mewajibkan adil
terhadap semua. Islam membetulkan cara hidup seluruhnya. Di sinilah
perbezaan PAS dan UMNO.
Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS
No comments:
Post a Comment