1. Kita disuruh untuk menyampaikan apa yang kita tahu daripada Islam kepada orang lain. Kita juga diminta untuk menyeru orang lain kepada Allah SWT. Menyeru kepada Allah SWT bermaksud mengajak orang lain agar mengikut segala perintah Allah SWT dalam segenap aspek kehidupan. Inilah yang dipanggil agama sebagai cara hidup. Persoalannya ialah tidak semua yang disuruh oleh Allah Azza wa Jalla disukai oleh manusia walaupun ia baik. Kerana baik dan buruk bukan akal yang menentukan sebaliknya adalah syara’. Akal fikiran yang tidak dibimbing oleh agama inilah yang bakal melahirkan tindakan yang mungkin akan menolak kebaikan.
2. Dakwah yang peranannya menyeru manusia kepada kebaikan agama pasti akan berhadapan dengan tindakan penolakan dan penentangan. Kebenaran yang berada di pihak benar akan berhadapan dengan penentangan daripada pihak batil. Sunnatullah ini telah menjadi fenomena yang tidak boleh dielakkan. Para anbiya’ yang diutuskan oleh Allah SWT untuk membimbing manusia supaya kembali kepada Allah SWT juga menghadapi penentangan ini. Semuanya berlaku dengan hikmah Allah SWT. Kita juga melihat orang kaya diuji dengan orang miskin, orang yang sihat dengan kesihatannya, dan peniaga dengan barang perniagaannya. Firman Allah SWT dalam surah al-Insan ayat 2 bermaksud:
Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani yang bercampur, serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikannya berkeadaan mendengar dan melihat.
3. Kalau demikian sunnatullah kepada makhlukNya, maka mereka yang menyeru manusia lain kepada kebaikan lebih lagi ujiannya, kerana sedang membawa amanah Allah Azza wa Jalla. Ujian ini pula tidak sama di antara seorang dengan seorang yang lain, ia berbeza-beza mengikut tahap agama masing-masing. Diriwayatkan daripada Sa’ad RA bahawa:
Nabi SAW ditanya: Siapakah manusia yang paling hebat ujiannya? Nabi menjawab: Para nabi dan kemudian yang seumpama mereka, dan kemudian yang seumpama mereka. Seseorang akan diuji berdasarkan tahap agamanya, jika kuat agamanya maka besarlah ujiannya, dan jika lemah agamanya maka diringankan ujian. (Riwayat Tirmizi)
4. Jelas, wujud perbezaan ujian terhadap manusia. Manakala kuat atau tidak kuat agama pula yang menjadi punca perbezaan ujian, sifatnya umum. Kita semua memang ingin mempunyai iman yang kuat dan mantap. Tambahan pula seorang pendakwah perlu sampai ke peringkat ini, kerana menyeru manusia kepada kebaikan memerlukan kefahaman dan kekuatan dalaman yang tidak sedikit. Kita semua adalah pendakwah yang perlu bersedia dengan hujjah, perlu memiliki ilmu psikologi, perlu mengenal siapakah mad’u di hadapan kita, perlu memilih kaedah yang paling berkesan dan pastinya memerlukan kesabaran. Justeru, ujian yang lebih besar bakal dihadapi.
5. Semua ini bukan bermakna kita boleh memilih untuk memiliki agama yang tidak kuat dengan tujuan supaya mendapat ujian yang ringan. Tidak tentu lagi ujian yang ringan boleh kita hadapi dalam keadaan iman dan agama yang longgar. Pada waktu ini, ujian yang ringan jika dinisbahkan kepada muslim yang mempunyai agama yang lemah, sebenarnya ujian tersebut adalah besar baginya. Tidak perlu kita terlalu memikirkan ujian sama ada besar atau kecil, kerana ia adalah jalan yang pasti dilalui oleh kita semua. Allah Azza wa Jalla telah menyediakan ganjaran bagi setiap ujian, jika ujiannya besar maka besarlah ganjarannya, tetapi jika kecil ujiannya maka ganjarannya adalah sebaliknya. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA bahawa nabi SAW bersabda bermaksud:
Sesungguhnya besarnya ganjaran adalah kerana besarnya ujian. Dan Allah Azza wa Jalla apabila menyukai satu kaum, maka Dia akan menguji mereka, barangsiapa yang redha maka baginya keredhaanNya, dan barangsiapa yang marah maka baginya kemurkaanNya. (Riwayat Tirmizi)
6. Jadi jalan dakwah adalah jalan ujian. Ia telah dilalui oleh nabi SAW, sebelum berdakwah mereka memuji dan menggelarnya al-amin, yang pada waktu itu, nabi SAW banyak beribadah dan berulang alik ke gua Hira’. Namun semua itu berubah apabila nabi mula berdakwah membawa ajaran Islam. Gelaran tadi telah beubah menjadi gelaran yang kasar lagi keras. Penghinaan dan cercaan yang tidak sanggup kita mendengarnya apatah lagi menulisnya untuk dibaca oleh orang ramai. Namun itulah faktanya yang dilalui oleh nabi SAW, tidak cukup sekadar mental sahaja, ia menjangkau kesakitan fizikal dan cubaan membunuhnya yang merupakan kemuncak penolakan dan penentangan mereka terhadap dakwah nabi SAW. Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 30 menggambarkan cabaran yang nabi SAW hadapi bermaksud:
Dan ingatlah (Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya.
7. Ujian yang dilalui oleh setiap pendakwah mampu mematangkan mereka. Pengalaman ujian yang pernah dilaluinya menjadikannya berharga ‘mahal’ berbanding orang lain. Ia seumpama emas yang yang mahal, sebelum menjadi perhiasan perlu dilebur dahulu dalam api yang sangat panas. Orang munafik dalam menghadapi ujian seumpama sebatang mancis yang menyala tetapi akan padam dengan mudahnya apabila angin bertiup. Tetapi ujian bagi seorang mukmin adalah seperti kebakaran api dihutan, setiap kali angin datang bertiup maka semakin marak membakar. Ujian mampu menambah iman seorang pendakwah menjadi semakin yakin terhadap janji Allah Azza wa Jalla. Allah SWT berfirman dalam surah al-Ahzab ayat 22 bermaksud:
Dan ketika orang-orang yang beriman melihat tentera al-Ahzab, berkatalah mereka: Inilah yang telah dijanjikan oleh Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) oleh Allah dan RasulNya. Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka pasrah kepada Allah.
8. Selain perbezaan ujian di antara seseorang dengan seorang yang lain, ujian yang datang mempunyai pelbagai bentuk. Sebagaimana kesusahan itu adalah ujian, maka kesenangan serta kemewahan juga adalah ujian. Ini pernah berlaku kepada tiga orang daripada Bani Israel yang diceritakan oleh nabi SAW, mendapat nikmat Allah SWT lalu diuji olehNYa. Ujian juga datang dalam bentuk ketakutan, kelaparan, ketidakcukupan harta, dan juga sebarang penyakit. Nabi Ayub AS diuji oleh Allah SWT dengan penyakit, sebagaimana firmanNya dalam surah Sod ayat 41-42 bermaksud:
Dan (ingatlah peristiwa) hamba Kami nabi Ayub ketika dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Sesungguhnya aku diganggu oleh syaitan dengan (hasutannya semasa aku ditimpa) kesusahan dan azab seksa (penyakit). (maka Kami tunaikan permohonannya serta Kami perintahkan kepadanya): Hentakkanlah (bumi) dengan kakimu, (setelah ia melakukannya maka terpancarlah air, lalu Kami berfirman kepadanya): ini ialah air sejuk untuk mandi dan untuk minum (bagi menyembuhkan penyakitmu zahir dan batin).
9. Oleh itu, kita selaku pendakwah perlu memahami sunnatullah ini. Kerana pendakwah bukannya jawatan yang ada gaji atau elaun, tetapi pendakwah adalah amanah dan taklif. Kita semua adalah pendakwah yang perlu memainkan peranan mengikut kedudukan masing-masing. Mediumnya mungkin persatuan atau sebarang pertubuhan. Seorang doktor perubatan adalah pendakwah, seorang guru juga adalah pendakwah, dan seorang jurutera juga adalah pendakwah. Sampaikanlah apa yang kita tahu daripada agama ini walaupun sedikit kepada orang lain. Jika kita pandai menulis maka gunakanlah penulisan sebagai berdakwah, jika pandai mengurus, maka jadikan pengurusan sebagai dakwah, dan bagi mereka yang mempunyai kepakaran bercerita, maka berdakwahlah dengan cara bercerita. Ujian yang bakal dilalui ketika berdakwah adalah cabaran yang perlu dihadapi yang kemanisannya akan kita rasai selepas melepasinya. Dalam perkataan yang lain, kerehatan selepas kesakitan adalah lebih baik daripada kerehatan yang selepasnya adalah penderitaan.
10. Kesimpulannya, jalan dakwah adalah jalan penuh ujian yang perlu dilalui. Kerana melaksanakan amanah dengan jaminan ganjaran yang besar itulah kita akan terus sabar berdakwah walau berhadapan dengan ujian yang hebat.
15 Muharram 1433H
Swileh, Amman
No comments:
Post a Comment