Jaringan Ukhwah

05 November 2011

LEBIHNYA HARI ARAFAH


1. Padang Arafah akan menjadi saksi sekali lagi kepada perhimpunan raksasa umat sedunia pada 9 Zul-Hijjah. Tiada agama selain Islam yang mempunyai program tahunan seumpama himpunan ini. Para jemaah haji pula sekarang sedang mempersiapkan diri, mental dan fizikal untuk hari yang sangat penting bagi ibadah haji mereka. Allah Azza wa Jalla telah menetapkan tarikh ini sebagai ijtima’ seluruh jemaah haji di tempat yang sama dan pada masa yang sama, walaupun mereka mempunyai pilihan yang banyak dalam perlaksanaan ibadah ini sama ada ifradtamattu’ dan qiran.

Wukuf di Arafah

2. Bahkan selepas tamat wukuf di Arafah juga para jemaah haji ada pilihan sama ada ingin terus ke mina untuk melontar jamarat atau ke Masjid al-Haram untuk melakukan tawaf ifadhah. Pendek kata dalam ibadah haji sendiri tidak ada manasik yang semua para hujjaj akan berhimpun di tempat yang sama dan dalam masa yang sama secara serentak melainkan wukuf di Arafah. Masanya bermula zohor 9 Zul-Hijjah dan berakhir apabila terbit fajar keesokan harinya 10 Zul-Hijjah iaitu Hari Raya Eid al-Adha. Wukuf di Arafah pada tarikh ini menjadi rukun ibadat haji. Tiada haji bagi mereka yang tidak berwukuf di Arafah. Diriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda:

Haji itu adalah (wukuf) di Arafah. (Muttafaqun ‘Alaihi)

3. Mengingat peristiwa Haji Wada’ pada zaman nabi SAW, kita bakal mengerti bahawa hari Arafah ini merupakan tarikh penting dalam agama Islam. Pada hari inilah telah disempurnakan agama ini dan dicukupkan segala nikmat. Tarikh ini menunjukkan lengkapnya syari’at Islam, tidak ada yang tertinggal dan tidak ada yang tidak cukup. Islam telah lengkap dengan semua elemen yang sepadu dan holistik. Aspek sosial, ekonomi dan politik telah mempunyai dasar dan prinsip yang diatur mengikut kehendak al-Khaliq pencipta manusia dan sekalian alam. Mungkin inilah hari raya yang bakal dirayakan dengan meriah dan gilang gemilang jika berlaku dalam agama lain. Diriwayatkan daripada Umar al-Khattab RA bahawa seorang Yahudi berkata kepadanya:
Wahai Amiru al-Mukminin, satu ayat dalam kitab kamu yang kamu membacanya, jika sekiranya ia diturunkan kepada kami orang-orang Yahudi, nescaya kami akan mengambil hari tersebut sebagai hari raya. Katanya: Ayat yang manakah? Jawabnya: (Firman Allah SWT) Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agama untuk kamu (al-Maidah ayat 3). Umar berkata: Kami mengetahui hari tersebut dan kami juga tahu tempat diturunkan ayat tersebut kepada nabi SAW, dan pada waktu itu nabi SAW sedang berdiri di Arafah pada hari Jumaat. (Riwayat al-Bukhari)

4. Hari Arafah ini juga sebenarnya adalah hari perjanjian di antara manusia dengan Allah Azza wa Jalla. Tarikh ini menjadi saksi kepada perjanjian penting ini. Memang ada juga manusia yang memungkirinya dan ada juga yang tidak ambil tahu tentangnya, tetapi hari berlakunya perjanjian ini adalah sejarah yang tidak boleh diubah. Ini berdasarkan kepada riwayat Ibn Abbas bahawa nabi SAW bersabda bermaksud:
Sesungguhnya Allah mengambil janji daripada Adam di Na’man (iaitu Arafah), dan Dia telah mengeluarkan zuriat dari sulbinya, maka menjadi ramai di hadapannya seumpama semut kecil, kemudian Allah berfirman kepada mereka: Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang ini. Atau supaya kamu tidak mengatakan: Sesungguhnya ibu bapa kamilah yang melakukan syirik dahulu sedang kami ialah keturunan (mereka) yang datang kemudian daripada mereka. Oleh itu, patutkah Engkau (wahai Tuhan kami) hendak membinasakan kami disebabkan perbuatan orang-orang yang sesat itu? (al-A’araf ayat 171-172). (Riwayat Ahmad)

5. Di samping itu, hari Arafah ini merupakan salah satu hari yang Allah Azza wa Jalla bersumpah dengannya. Allah SWT yang sifatnya maha agung sudah pasti akan bersumpah dengan sesuatu yang agung dan besar juga. Dalam surah al-Buruj ayat yang ketiga kita akan bertemu dengan perkataan masyhud. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud:
Al-Yaumu al-maw’ud (hari yang dijanjikan) adalah hari kiamat, adapun al-yaumu al-masyhud pula adalah hari Arafah, manakala al-syahid pula adalah hari Jumaat. (Riwayat Tirmizi).

Hari keampunan bagi para hujjaj

6. Bagi jemaah haji yang berwukuf di Arafah pada hari ini, mereka beruntung kerana hari ini merupakan hari pengampunan dan pembebasan daripada api neraka untuk mereka. Allah SWT juga berbangga dengan mereka pada hari ini. Diriwayatkan daripada ‘Aisyah RA bahawa nabi SAW bersabda:
Tiada satu hari yang Allah membebaskan hambanya dari api neraka lebih banyak daripada hari Arafah. Sesungguhnya Dia akan (turun) rendah kemudian berbangga di hadapan malaikat, lalu berfirman: Apakah yang mereka semua inginkan? (Riwayat Muslim)    

7. Demikianlah para hujjaj yang Allah Azza wa Jalla berbangga dengan apa yang sedang mereka lakukan pada hari Arafah. Diriwayatkan daripada Ibn Umar RA bahawa nabi SAW besabda bermaksud:
Sesungguhnya Allah SWT berbangga di hadapan malaikatnya dengan ahli Arafah, lalu berfirman: Lihatlah kepada hamba-hambaKu, mereka datang kepadaKu dalam keadaan rambut kusut masai dan berdebu. (Riwayat Ahmad)  

8. Bagi para hujjaj, jaminan dan peluang yang sangat cerah untuk mendapat kelebihan ini. Mereka bertuah kerana berpeluang dan mendapat rezeki berada di Arafah pada hari yang besar ini bersama-sama jutaan manusia yang kembali kepada Allah SWT dengan hati yang khusyu’ syahdu dan linangan air mata taubat yang mampu membelah kekerasan batu. Berapa ramai daripada mereka yang menjadi takut walaupun dahulu sangat takabbur, tidak kurang yang datang dalam keadaan biasa, menjadi terlalu rindu untuk bertemu denganNya, dan tidak sedikit yang menjadi yakin dengan janjiNya. Maka sepatutnya mereka menjaga dan memastikan semua asbab yang melayakkan mereka mendapat keampunan dan pembebasan api neraka sebagaimana yang dijanjikan khusus untuk mereka. Beberapa adab dan amalan hendaklah dilaksanakan sebagaimana catatan sebelum ini dalam tajuk supaya mendapat haji yang mabrur.

Puasa dan takbir bagi selain hujjaj

9. Bagi kita yang belum mendapat rezeki berada di Arafah pada hari agung ini dengan pelbagai kelebihan yang tersedia, janganlah berdukacita. Tanamkan azam dan niat yang benar untuk berada di tanah dan tarikh bertuah ini. Azam dan niat yang benar ini memerlukan tindakan. Kerana kita tidak akan sampai ke tempat ini tanpa menabung daripada sekarang dengan merancang kewangan dan masa yang ada. Alasan 'belum sampai seru' adalah tidak relevan dan memustahilkan sebuah kemungkinan dan peluang.

10. Kita juga perlu menyatakan kebersamaan kita dengan para hujjaj yang wukuf di Arafah dengan melakukan puasa sunat pada tarikh ini. Dengan rahmat daripadaNya, Allah SWT memberikan kepada kita fadhilat lain walaupun bukan menjadi hujjaj yang berada di Arafah. Maha suci Allah Azza wa Jalla yang maha pemurah dengan hamba-hambanya, walaupun hanya sedikit dalam kalangan mereka yang bersyukur. Tentang fadhilat puasa 9 Zul-hijjah ini bagi selain jemaah haji, diriwayatkan bahawa:
Nabi SAW ditanya tentang puasa pada hari Arafah. Jawabnya: Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun akan datang (Riwayat Muslim)


11. Kita juga boleh mula bertakbir pada hari ini sebagaimana mazhab sebahagian para sahabat. Para ulama’ telah menyatakan bahawa takbir terbahagi kepada dua iaitu muqaiyaddan mutlaq. Yang dimaksudkan di sini adalah takbir muqaiyad iaitu yang dilakukan setiap kali selepas solat fardhu, dan ia bermula dari selepas terbit fajar hari Arafah. Ibn Hajar al-Asqolani (852H) menyatakan:
Tidak thabit sebarang hadith perkara itu daripada nabi SAW. Dan yang paling tepat apa yang warid daripada sahabat iaitu kata-kata Ali dan Ibn Mas’ud RA, bahawa ia (takbir) bermula daripada subuh hari Arafah sehingga akhir hari-hari Mina. (Ibn Hajar, Fathu al-Bari)

12. Kesimpulannya, hari Arafah merupakan hari istimewa bagi umat Islam yang mempunyai pelbagai fadhilat. Ia hanya boleh diperolehi dengan amal dan usaha yang bersungguh-sungguh daripada sama ada para hujajj atau kita yang tidak berada di Arafah. Salam Eid al-Adha untuk seluruh umat Islam.

7 Zul-Hijjah 1432H
Sweileh, Amman

1 comment:

ibn suhaimi™ said...

Salam aidil adha dari ana dan keluarga ya ustaz...