(Penulis dengan anak pengasas Ikwanul Muslimin, Saiful Islam)
Ramai kalangan yang terpegun dengan kemenangan mengejut calon
Presiden dari Ikhwan Muslimin, Dr. Mohamed Morsi dalam pilihanraya
Presiden Mesir yang berlangsung baru-baru ini, namun siapakh sebenarnya
Ikhwan Muslimin?
Beliau dicalonkan bertanding di bawah parti politik yang baru ditubuh
oleh Ikhwan, Freedom and Justice Party (FJP) atau ‘Al-Hurriyat Wal
Adalah’ sebaik sahaja selepas kejatuhan rejim Hosni Mubarak pada awal
tahun lepas.
Begitu juga berapa bulan lepas apabila calon-calon FJP telah
memenangi lebih dari 40 peratus kerusi parlimen yang dipertandingkan
serta memenangi lebih 60 peratus kerusi ‘Majlis Syura’ yang
dipertandingkan bagi meneliti penggubalan perlembagaan baru Mesir
selepas kejatuhan rejim Mubarak.
Akan tetapi, pihak tentera SCAF telah bertindak membubarkan kedua-dua
institusi ini beberapa minggu lepas setelah Mahkamah Perlembagaan Mesir
mengambil keputusan membatalkan keputusan pilihanraya yang telah
dijalankan itu.
Namun, ramai yang masih tidak memahami akan dasar dan liku-liku
perjuangan yang telah dilalui oleh Ikhwan Muslimin ini sendiri. Ada yang
menuduh ia sebagai sebuah ‘pegerakan yang radikal dan extremis, ada
yang melebelkan ia sebagai ‘pertubuhan haram yang amat bahaya’ dan ada
juga yang menggangap ia sebagai ‘pergerakan agama yang sesat’.
Bagi menanggapi persoalan ini, berikut adalah rumusan pandangan
seorang pimpinan Ikhwan Muslimin, Saiful Islam Hassan al-Banna yang
juga merupakan putera sulung pengasas pergerakan ini, Hassan Al-Banna
sewaktu penulis sempat menziarahi beliau di kota Kairo baru-baru ini.
1. SEJARAH AWAL IKHWAN MUSLIMIN
Nama Ikhwan Muslimin amat sinonim dengan pemimpin-pemimpin agung
seperti Hassan Al Banna, Syed Qutb, Omar Telmisani, Mehdi Akiff serta
pimpinan gerakan Islam yang lain. Ia mempunyai sejarah serta pengaruh
yang amat besar di Mesir serta seluruh rantau Arab.
Sejak ia mula ditubuhkan oleh Hassan Al Banna pada tahun 1927
Ikhwan telah berkembang di seluruh pelusuk dunia dengan pemikiran
‘tajdid’ atau perubahan terutamanya selepas kejatuhan kerajaan Islam
Othmaniah. Pemikiran serta pengaruh yang di bawa oleh Hassan Al Banna
telah menggerakkan satu cetusan kebangkitan baru di kalangan masyarakat
Arab di rantau tersebut pada waktu itu.
2. CABARAN YANG DI HADAPI
Aliran pemikiran serta pendekatan yang di bawa oleh Hassan Al Banna
telah mendapat tentangan hebat dari kalangan pemimpin-pemimpin
kebanyakan negara Arab sehingga pergerakan ini telah di haramkan dari
bergerak aktif di kabanyakan negara. Malah Ikhwan Muslimin telah di
tuduh sebagai sebuah pertubuhan ‘bahaya’ yang mahu merampas kuasa secara
kekerasan dan membawa pendekatan yang militan.
Ramai pimpinan mereka yang di bunuh dengan kejam termasuk
pengasasnya Hasan Al Banna. Sebahagian yang lain pula dikenakan hukuman
penjara di serata negara Arab pada waktu itu. Walaupun mereka di uji
dengan cabaran yang besar ini, pengaruh Ikhwan Muslimin tetap berkembang
sehingga sekarang ke seluruh pelusuk dunia.
3. IKHWAN DAN DEMOKRASI
Kini Ikhwan Muslimin dipimpin oleh Dr. Mohamed Al-Badie’ (gambar) yang
merupakan seorang tokoh gerakan Islam yang tidak asing lagi di benua
Arab dan dunia Islam. Di bawah pimpinan beliau, Ikhwan telah mengambil
pendekatan politik yang bersifat ‘engagement’ atau berdailog dan
bergerak aktif secara terbuka dalam kancah demokrasi di serata dunia
Islam.
Pendekatan terbuka dan telus yang di ambil ini telah membuahkan hasil
yang amat positif. Mereka terlibat secara langsung dalam sistem
demokrasi dan pilihanraya Mesir sejak beberapa siri pilihanraya yang
telah di adakan walaupun kedudukan Ikhwan Muslimin di Mesir waktu
pemerintahan Anwar Sadat dan Hosni Mubarak berstatuskan ‘haram’.
Calon-calon Ikhwan Muslimin telah masuk bertanding sebagai calon
bebas dan juga menumpang di atas tiket parti lain. Uniknya, ia telah
menang besar dalam setiap pilihanraya umum yang diadakan di Mesir
walaupun telah berlaku banyak penipuan.
4. PENDEKATAN POLITIK IKHWAN
Menurut Saiful Islam, Ikhwan bertekad untuk melakukan perubahan
sosial dan politik di Mesir secara aman dan merubah sebarang bentuk
penyelewengan dan salah-guna kuasa yang berlaku di sana. Bagi Ikhwan
agenda reformasi politik di Mesir adalah amat penting bersesuaian dengan
suasana globalisasi dunia yang mahu mewujudkan sebuah kerajaan yang
bersih dan telus.
Beliau menegaskan bahawa setiap rakyat dan warganegara mempunyai
hak mereka untuk bersuara demi kebaikan serta masa depan negara
tersebut.
Beliau juga menegaskan bahawa Ikhwan Muslimin akan terus berjuang
serta komited kepada penglibatan secara demokratik walaupun ianya masih
banyak kepincangannya. Beliau juga memberi jaminan bahawa Ikhwan tetap
mengambil sikap untuk terus berdialog dengan mana-mana pihak termasuk
tentera SCAF serta kuasa Barat seperti Amerika Syarikat, Perancis,
Britain dan sekutunya.
5. DASAR UTAMA IKHWAN
Ikhwan Muslimin juga turut menggariskan empat polisi penting bagi
berhadapan dengan cabaran semasa. Pertamanya, penegasan penglibatan
politik parti politk yang diasaskan oleh Ikhwan melalui sistem demokrasi
dan menyuarakan setiap pandangan rakyat di Parlimen Mesir.
Bagi Saiful Islam, parti-parti politik, badan-badan NGO serta
individu-individu sepatutnya dilibatkan dalam membincangkan masa depan
negara secara telus.
Keduanya, beliau juga menegaskan bahawa sistem kuasa mutlak
hanya kepada sebuah parti dan individu sahaja tidak sesuai lagi dengan
peredaran zaman globalisasi yang lebih terbuka ini. Ikhwan komited
kepada sebuah negara berlandaskan ‘Civil State’ dan bukannya sebuah
negara berlandaskan ‘theocracy’.
Ketiganya, Ikhwan Muslimin juga berpendirian agar dilaksanakan
segera reformasi politik dan perubahan perlembagaan terutamanya bagi
menghapuskan segala bentuk perundangan yang bertentangan dengan
norma-norma demokrasi dan kebebasan.
Yang
keempat, beliau menegaskan bahawa Ikhwan Muslimin mempunyai misi untuk
melakukan reformasi politik, sosial, budaya dan ekonomi. Reformasi ini
hanya akan berlaku sekiranya ada ketelusan dalam sistem pemerintahan.
6. KEMENANGAN DR. MOHAMED MORSI
Saiful Islam menegaskan bahawa kejayaan calon Ikhwan Dr. Mohamed Morsi (gambar)
memenangi pilihanraya Presiden Mesir serta menang majoriti kerusi
Parlimen tidak sepatutnya menakutkan mana-mana pihak. Ikhwan menghormati
hak semua agama serta mana-mana parti politik. Sejarah telah
membuktikan bahawa sistem politik yang tidak telus di sesebuah negara
akan membawa kepada salah guna kuasa, rasuah serta penyelewengan yang
mengakibatkan kehancuran negara tersebut.
Beliau juga menyatakan bahawa Ikhwan tidak mempunyai pilihan yang
lain kecuali meletakkan agenda reformasi politik dan pendemokrasian
sebagai agenda utama. Bagi Ikhwan, tuntutan demokrasi dan kebebasan
serta ketelusan pilihanraya adalah merupakan langkah pertama ke arah
reformasi yang lebih besar bagi mewujudkan masa depan negara yang lebih
positif selepas kejayaan Dr. Morsi sebagai Presiden.
Sebagai akhirnya, Saiful Islam turut menegaskan bahawa Ikhwan
Muslimin akan terus berperanan kepada mewujudkan sebuah Masyarakat
Madani serta bersifat terbuka dan bekerjasama dengan mana-mana pihak
bagi mencapai perubahan dan reformasi kearah mewujudkan keadilan dan
kebebasan dan kepada seluruh rakyat dan negara.
-------------------------------------------------------------
Penulis adalah Penolong Setiausaha Agong PAS. Beliau boleh dihubungi melalui e-mail:
syedazmans@yahoo.co.uk,Twittter: @syedazman