Jaringan Ukhwah

18 April 2011

Syuhada Mu'tah Dalam Kenangan


Dataran Syuhada’ menjadi saksi pertempuran sengit di antara umat Islam dan Rom. Ia adalah bukti bahawa nabi SAW sangat mengambil berat untuk membebaskan Masjid al-Aqsa, yang berada dalam cengkaman kuasa Rom, walaupun hanya berjaya dibebaskan pada zaman Umar al-Khattab RA, dan sekali lagi oleh Salahuddin al-Ayubi.

Berbetulan dengan bulan Jumada al-Awal sekarang, peperangan Mu’tah berlaku dalam bulan ini. Rasulullah SAW telah menghantar Al-Harith bin Umair Al-Azdi sebagai utusan membawa surat untuk menyeru Raja Rom kepada Islam, tetapi utusan ini telah dibunuh dengan kejam. Maka Rasulullah SAW mempersiapkan tiga ribu tentera Islam untuk memerangi mereka sebagai menuntut bela atas kematian sahabat nabi ini. Al-Mubarakfuri menyatakan tentang peperangan ini, katanya:

Peperangan ini (Mu’tah) adalah pertempuran paling sengit dan peperangan paling dahsyat yang pernah dihadapi oleh umat Islam pada zaman nabi SAW. Ia adalah permulaan kepada pembukaan negara-negara nasrani, berlaku pada bulan Jamadi al-Awwal tahun ke lapan Hijrah bersamaan bulan Ogos atau September tahun 926M. (al-Rahiq al-Makhtum)

Wasiat nabi SAW sebelum peperangan sudah mengisyaratkan syahidnya beberapa panglima perang yang dilantik. Jarang berlaku dalam peperangan-peperangan sebelum ini. Namun tiada sebarang tanda-tanda gentar dalam kalangan para sahabat. Mereka berperang bukan untuk kehidupan dunia, bukan juga untuk harta dan kemewahan, tetapi untuk meninggikan kalimah Allah, bagi mereka syurga adalah segala-galanya. Slogan mereka sama ada menang atau syahid. Diriwayatkan daripada Ibn Umar RA bahawa:

Rasulullah SAW telah melantik Zaid bin Harithah sebagai panglima dalam peperangan Mu’tah, nabi SAW bersabda: Sekiranya Zaid terbunuh, maka Ja’far (menjadi panglima), dan sekiranya Ja’far terbunuh maka Abdullah bin Rawahah (menjadi panglima). (Riwayat al-Bukhari).

Imam Ibn Hajar al-Asqolani (852H) ketika menghuraikan hadith ini, menyatakan tentang salah satu kaedah perlantikan dalam kepimpinan. Beliau menjelaskan dalam kitabnya:

Daripada wasiat nabi SAW ini, menunjukkan hukum harus bagi seorang khalifah atau ketua umat Islam untuk meletakkan syarat kepada seseorang yang dilantiknya. Begitu juga boleh melantik beberapa pemimpin kepada umat Islam mengikut tertib, sebagaimana yang dilakukan oleh nabi SAW dengan melantik Zaid, kemudian Ja’far dan kemudian Abdullah bin Rawahah. Para ulama’ berkata: Dan benar jika khalifah melantik yang demikian, maka terlantiklah kesemuanya dalam satu masa, namun demikian ia tidak akan berlaku melainkan secara mengikut turutan. (Fathu al-Bari)

Iman yang benar menatijahkan kekuatan dan keajaiban. Semua ujian dan rintangan yang terbentang bukan penghalang untuk meneruskan perjalanan. Ia hanya cabaran yang mesti dilalui sebelum sampai ke destinasi. Matlamat yang lebih besar iaitu redha Allah menjadikan selainnya kecil dan tidak bernilai. Itulah iman dan keyakinan terhadap janji Allah. Keyakinan tentang hari akhirat yang kekal abadi, hari pengadilan yang tiada kezaliman dan hari kebahgiaan untuk mereka yang telah dijanjikan. Keimanan inilah yang menjadikan Abdullah bin Rawahah meminta kepada tentera Islam untuk meneruskan misi walaupun akan berhadapan dengan jumlah tentera Rom yang terlalu ramai. Ibn al-Qaiyim al-Jauziah (751H) merakamkan:

Kemudian mereka semua bertolak sehinggalah sampai di Ma’an. Maka Sampai berita yang menyatakan Hiraqle di al-Balqa’ bersama tentera Rom yang berjumlah seratus ribu orang, kemudian bergabung lagi tentera daripada Lakhmin, Judzam, Balqain, Bahra’ dan Baliy seramai seratus ribu orang. Apabila tentera Islam mengetahui berita tersebut, mereka berbincang di Ma’an selama dua malam... Abdullah bin Rawahah telah memberi motivasi kepada mereka, katanya: Wahai kaum, demi Allah apa yang kamu semua bencikan untuk keluar mendapatkan syahid. Kita bukan berperang kerana kuantiti, atau kekuatan atau jumlah yang ramai. Tiadalah kita berperang dengan mereka melainkan kerana agama ini, yang Allah telah muliakan kita dengannya. Berjalanlah, sesungguhnya ia adalah salah satu daripada dua kebaikan, sama ada menang atau syahid. (Zad al-Ma’ad, jilid 3, hlmn 336).

Keajaiban iman juga yang menyaksikan bagaimana syahidnya Ja’far yang baru berusia tiga puluh tiga tahun, sehingga mendapat gelaran al-Toiyyar (yang terbang) menerusi peperangan Mu’tah ini. Diriwayatkan daripada al-Sya’bi bahawa:

Adalah Ibn Umar RA apabila memberi salam kepada anak Ja’far, dia akan berkata: Assalamualaika wahai anak kepada zi al-janahain (yang mempunyai dua sayap). Dinamakan demikian kerana khabar daripada nabi SAW yang menyebut bahawa Allah SWT menggantikan kedua-dua tangannya yang terpotong dalam peperangan Mu’tah dengan dua sayap yang membolehkannya terbang di dalam syurga. (Riwayat al-Bukhari)  

Jaafar At-Thoyyar r.a
Makam Jaafar At-Thoyyar di Mazar,Karak,Jordan

Peperangan ini juga mencatatkan kepentingan syura walaupun di saat genting, dan juga keperluan ijtihad meskipun ketika hayat baginda SAW. Rasulullah hanya menyebut tiga orang panglima dalam peperangan ini, namun ketiga-tiganya telah syahid. Para sahabat tidak hilang punca sebaliknya mereka mecadangkan Khalid bin al-Walid yang baru sahaja tiga bulan masuk Islam untuk memimpin pasukan tentera Islam, sehingga berjaya mengundurkan tentera musuh. Anas bin Malik meriwayatkan bahawa:

Nabi SAW berkabung bersama umat Islam atas syahidnya Zaid, Ja’far dan Ibn Rawahah sebelum berita sampai kepada orang ramai. Nabi bersabda: Zaid memegang bendera, kemudian terbunuh, Ja’far pula mengambil bendera, kemudian terbunuh, seterusnya Ibn Rawahah mengambil bendera, dan kemudian terbunuh, kedua-dua mata nabi SAW bergenang air mata, sabdanya lagi: hinggalah pedang daripada pedang-pedang Allah (Khalid bin al-Walid) mengambil bendera, lalu Allah membukakan ke atas mereka. (Riwayat al-Bukhari)

Zaid Harithah r.a
Bersemadinya Zaid Bin Harithah di kawasan yang bersebelahan

Abdullah Rawahah r.a
Makam Abdullah Rawahah agak berjauhan sket dari kedua-dua sahabat di atas

Begitulah ajaibnya iman, ia mampu bertahan dan melawan. Ia mampu mencipta sejarah. Rom tidak pernah terfikir yang mereka akan diusir oleh kuasa keimanan yang dimiliki oleh  orang-orang Arab yang satu ketika dahulu adalah bangsa yang tidak pernah mereka hiraukan. Rom tidak pernah menyangka jumlah mereka yang banyak boleh dikalahkan oleh ketulenan iman kumpulan yang sedikit. Dan Rom tidak pernah terlintas yang empayar kuasa besar mereka boleh digugat oleh keajaiban keimanan umat pimpinan utusan akhir zaman.


Sumber : Ustaz Anhar Opir

No comments: