Jaringan Ukhwah

03 January 2010

Seminar takhrij hadis pertama..

Alfu mabruk di ucapkan kepada pihak penganjur seminar, Biro Akademik Permata di atas penganjuran julung-julung kali ini..mudah-mudahan menjadi perintis untuk penganjuran seumpama ini pada masa akan datang. Pastinya program ini meningkatkan thaqofah dan pengetahuan ahli-ahli berkenaan ilmu hadis yang telah sedia maklum sebagai sumber kedua selepas Al-Quran.

Antara yang telah dibentangkan ialah ringkasan ilmu Ulum Hadis, bayangkan pengajian Ulum Hadis yang memakan masa selama satu sem (beberapa bulan) di jamiah dibentangkan hanya selama tidak lebih dari dua jam! Betapa ringkas dan padat pengisian yang dibawakan..jazakillah kepada ustazah yang berkongsi membentangkan, mudah-mudahan dibalas dengan selayaknya.


LDK takhrij hadis

Ustaz Afiq selaku bendahari MPPMJ mengisi untuk slot 'Memahami dan Menyingkap Ilmu takhrij Hadis sesuai dengan kefaqihannya dalam bidang ini. Dijelaskan begitu daqiq dan telitinya ulama muhaddithin dalam mengistinbatkan sesuatu hadis.

Apakah itu Takhrij Hadis ?

Takhrij hadis sebenarnya dapat diertikan dalam beberapa erti dan yang paling terkenal adalah seperti berikut:

1. Al-istinbat (mengeluarkan)
2. At-tadrib (meneliti, melatih)
3. At-tawjih (menerangkan, memperhadapkan).

Menurut istilah:Perkataan takhrij memiliki beberapa erti :

1. Menjelaskan hadith pada orang lain dengan menyebutkan para periwayatnya dalam sanad hadis dengan metod periwayatan yang mereka lakukan. Pengertian ini merupakan salah satu kegiatan yang telah dilakukan oleh para periwayat hadis yang menghimpun hadis ke dalam kitab hadis yang disusun oleh mereka masing-masing misalnya Imam Bukhari dengan kitab sahihnya.

2. Mengeluarkan dan meriwayatkan hadis dari beberapa kitab.

3. Menunjukkan asal-usul hadis dan mengemukakan sumber pengambilannya dari pelbagai kitab hadis yang disusun oleh para mukharrijnya dan mengisbatkannya dengan cara menyebutkan metod periwayatan dan sanadnya masing-masing.

4. Menunjukkan tempat hadith pada sumber-sumber aslinya, di dalamnya dikemukakan hadis itu secara lengkap dengan sanadnya masing-masing kemudian menjelaskan darjatnya jika diperlukan.

Kesimpulannya secara ringkas, ilmu takhrij bermaksud ilmu yang membahaskan usul-usul dan metodologi yang memudahkan ataupun pengetahuan terhadapnya membolehkan untuk menjejaki tempat-tempat terletaknya hadis, mutabaat, syawahid, sama ada terletak pada rujukan asal, menyerupai asal atau tidak serta mengetahui martabat hadis sama ada diterima atau ditolak.

Tuan Presiden khusyu' berbincang

Kertas kerja 'Fiqh dan Hadis : Antara Penilaian dan Teladan Ilmu yang dibentangkan oleh Ustaz Syahrul Ifwat menjelaskan bahawa ilmu hadis dan fiqh sememangnya tidak dapat dipisahkan bahkan selari keduanya, buktinya imam-imam mazhab seperti Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad Bin Hanbal menguasai kedua-dua bidang ini.

Jazakumullah khairal jaza' ditujukan kepada semua pembentang kertas kerja, pihak penganjur dan semua yang terlibat dalam menjayakan seminar penting ini. Selayaknya Dialah yang akan membalas segala pengorbanan kalian..Wallahu a'lam.

No comments: