Jaringan Ukhwah

24 October 2011

MANUSIA MENJADI BAIK APABILA MENERIMA KEBENARAN


FIRMAN Allah Taala yang bermaksud : "(Katakanlah Wahai Muhammad), sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan-keterangan (dalil-dalil dan bukti) daripada Tuhan kamu".
(Surah Al An'am:104).

Ibnu Kathir di dalam kitab tafsirnya menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan 'Basoir' dalam ayat ini ialah keterangan-keterangan dan hujah-hujah yang mengandungi dalil yang jelas dalam Al Quran serta apa yang didatangkan oleh Nabi SAW (sunnahnya).

Firman Allah yang bermaksud : "Oleh itu sesiapa melihat (kebenaran itu serta menerimanya) maka faedahnya terpulang kepada dirinya". (Surah Al An'am:104).

Sesiapa yang menerima keterangan dan hujah Al Quran dan sunnah Nabi SAW serta meyakininya dan beriman dengannya maka faedahnya ialah untuk dirinya sendiri, untuk kebaikan dunia dan akhirat sebagaimana dinyatakan oleh Allah di dalam firman-Nya yang lain yang bermaksud :
 "Sesiapa yang memperolehi hidayah petunjuk (menurut panduan Al Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya keburukan kesesatannya hanya ditanggung oleh  dirinya juga". (Surah Al Isra':15).


Justeru Allah Taala menegaskan dalam ayat seterusnya yang bermaksud : "Dan sesiapa buta (dan enggan menerimanya) maka tertimpalah ke atas dirinya sendiri". (Surah Al An'am:104).

Yakni sesiapa yang sengaja tidak nampak kebenaran dalam keterangan ayat-ayat Allah dan hujah Nabi-Nya SAW maka keburukan keengganan dan penolakan itu akan menimpa diri sendiri sebagaimana Allah menjelaskan dalam ayat yang lain tentang apa sebenarnya berlaku yang bermaksud, "Keadaan sebenarnya bukanlah mata kepala buta tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada". (Surah Al Haj:46)

Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud, "Dan tiadalah aku berkewajipan menjaga dan mengawasi kamu". (Surah al-An'am:104)

Dalam ayat ini Allah memerintahkan Nabi SAW supaya menjelaskan bahawa kewajipan Baginda SAW menyampaikan kebenaran itu kepada manusia. Allah SWT tidak mempertanggungjawabkan Nabi SAW untuk memastikan manusia menerima kebenaran tersebut.

Soal siapa yang menerima petunjuk hidayah itu atau tetap dalam kesesatan, urusan itu terserah kepada Allah SWT. Baginda SAW tidak dipertanggungjawabkan untuk mengawasi manusia dan memastikan mereka menerima kebenaran tetapi kewajipan Baginda SAW ialah menyampaikan keberanan itu semuanya tanpa sembunyikannya dari pengetahuan manusia.

Nabi SAW juga memerintahkan umatnya turut berbuat demikian melalui hadisnya yang popular yang bermaksud, "Sampaikan dari aku walaupun satu ayat". Kemudian Allah berfirman yang bermaksud : "Dan demikianlah Kami menerangkan ayat-ayat keterangan Kami". (Surah Al An'am:105)

Sebagaimana Allah berikan keterangan-keterangan hujah-Nya di dalam surah ini dalam persoalan ketauhidan dan kesuciannya dari sebarang syirik bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Dia begitu juga Allah SWT menjelaskannya keterangan-keterangan-Nya dalam ayat ini untuk menjadi hujah kepada manusia-manusia yang jahil supaya hilang kejahilan mereka.

Bagaimanapun apa yang didustakan oleh orang-orang kafir musyrikin itu adalah dengan mendakwa penjelasan Nabi SAW ialah penjelasan yang telah mereka dengar dari ahli-ahli kitab zaman dahulu. Mereka berkata kononnya mereka telah belajar dan mengetahuinya dari ahli kitab tersebut dan jelas bahawa ahli-ahli kitab telah membawa cerita-cerita dongeng orang zaman dahulu kala yang tidak berpijak di bumi nyata. Maka samalah kamu seperti mereka wahai Muhammad, dakwa golongan musyrikin tersebut.

Sedangkan merekalah yang menggelarkan Nabi Muhammad SAW Al Amin (yang amanah) sejak dari kecil sehingga Baginda SAW menerima wahyu dan menyampaikannya kepada mereka. Lalu mereka menuduh Nabi Muhammad SAW dengan tuduhan yang bohong dan fitnah semata-mata.

Mereka mendakwa sama sahaja apa yang diberitahu oleh Nabi SAW dengan apa yang diberitahu oleh ahlil kitab. Pembohongan ini ditentang oleh Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud : 
"Dan orang-orang kafir itu berkata, (Al Quran ini) hanyalah satu perkara dusta yang direka-reka oleh Muhammad, dan ia dibantu membuatnya oleh kaum yang lain. Maka (dengan kata-kata itu) sesungguhnya mereka telah mendatangkan satu tuduhan yang zalim dan dusta.Dan mereka berkata lagi, Al Quran itu adalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala, yang diminta oleh Muhammad supaya dituliskan, kemudian perkara yang ditulis itu dibacakan kepadanya pagi dan petang (untuk dihafaznya)". (Surah Al Furqan:4-5). 

Sumber : Tarbawi

No comments: