Jaringan Ukhwah

06 October 2011

HUDUD: DI ANTARA TAHU DAN MAHU


1. Agak lama perbahasan isu hukum hudud di negara kita berlangsung. Sehingga hari ini masih ada kenyataan yang menyokong dan menolak. Sama ada mereka tahu atau tidak, mahu melaksanakannya atau sebaliknya, tidak dapat dipastikan. Yang pastinya ia telah menjadi ‘seminar ummah’ yang semua orang boleh memberikan pandangan secara bebas. Ia memberi impak positif selepas sekian lama ia tersembunyi dalam timbunan khazanah turath Islam. Yang tidak pernah tahu menjadi tahu, yang sudah faham menjadi semakin mantap, dan ia telah memasuki fasa perbincangan yang lebih ilmiah.  


2. Kita semua telah mengetahui bahawa pada asasnya setiap muslim wajib beramal dan melaksanakan semua hukum hakam syari’at yang telah ditetapkan oleh Allah SWT serta tidak menafikan walau sedikit pun daripadanya. Kerana Allah Azza wa Jalla telah menyempurnakan agamaNya sebagaimana firmanNya dalam surah al-Maidah ayat 3:
Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redha bahawa Islam itu menjadi agama untuk kamu.

3. Syariat itulah sebenarnya agama, yang meliputi hukum hakam yang berkaitan dengan ibadah dan mu’amalat. Menegakkan, melaksanakan dan berusaha ke arahnya adalah tanggungjawab kita semua, bukan hanya tertanggung ke atas pihak tertentu sahaja. Bukan hanya kepada kerajaan pemerintah, pembangkang, parti politik atau NGO semata-mata, tetapi kepada ummah seluruhnya. Firman Allah Azza wa Jalla dalam suruh al-Syura ayat 13 ditujukan kepada seluruh umat Islam:
Allah telah menerangkan kepada kamu apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami  wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: Tegakkanlah agama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisih pada dasarnya.

4. Maka tiada satu pihak pun yang boleh memberikan alasan itu dan ini. Lebih-lebih lagi alasan untuk tidak mahu melaksanakannya. Kerana kita semua sudah tahu kewajipan dan tanggungjawab ini. Allah SWT pernah menegur dan menempelak Ahli Kitab kerana tidak mahu melaksanakan syariat mereka, jadi bagaimana pula dengan kita, adakah kita bernilai jika tidak melaksanakan syari’at Islam? FirmanNya dalam surah al-Maidah ayat 68 bermaksud:
Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai ahli Kitab, kamu tidak dikira mempunyai sesuatu sehingga kamu tegakkan ajaran kitab Taurat dan Injil, dan apa yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu.

5. Kita juga sedia maklum bahawa hukum hudud adalah satu juzu’ daripada perlaksanaan syariah yang lengkap dan menyeluruh. Ia ada hubungkait dengan sistem ekonomi, sosial dan siasah sesuatu tempat. Membincangkan perlaksanakan hukum hudud bererti membincangkan dan memperbaiki juga sistem ekonomi, sosial dan siasah agar semuanya mengikut syariat Allah SWT dalam perkara prinsip. Adapun perkara yang melibatkan teknikal perlaksanaan yang tiada nas padanya, maka ia bebas dilaksanakan mengikut maslahat yang mu’tabar. Memahami konteks ini menjadikan kita tidak pelik apabila Umar al-Khattab pernah tidak melaksanakan hukum hudud ketika suasana tidak mengizinkan yang digelar sebagai hari-hari lapar (aiyam al-maja’ah).

6. Bahkan kajian dan penelitian terhadap mafsadah (keburukan) yang bakal terjadi dalam perlaksanaan hukum hudud juga tidak boleh dipandang ringan. Kerana tujuan perlaksanaan adalah maslahat, tetapi jika mafsadah yang datang maka ia perlu dinilai semua, kerana mungkin ada kaitan dengan sistem sosial dan pendidikan sedia ada yang juga memerlukantransformasi menyeluruh. Ibn Taimiah (728H) menyatakan:
Sesungguhnya ia (hudud) termasuk dalam perkara amar ma’ruf dan nahi munkar, jika perlaksanaannya mempunyai keburukan terhadap pemerintah atau rakyat melebihi daripada tidak melaksanakannya, maka keburukan tidak ditolak dengan keburukan yang lebih buruk daripadanya. (Ibn Taimiah, al-Siyasah al-Syar’iah fi Islah al-Ra’ie wa al-Ra’iyah)

7. Kita semua juga tahu bahawa kesalahan jenayah yang diperuntukkan dengan hukum hudud adalah hanya sebahagian sahaja daripada sejumlah kesalahan jenayah yang sangat banyak. Dinamakan hudud kerana ia disebut secara tepat dan jelas di dalam al-Qur’an sesuatu kesalahan jenayah beserta hukumannya. Ia seperti jenayah zina, mencuri, dan minum arak. Ia ditentukan dan ditetapkan oleh Allah Azza wa Jalla yang maha mengetahui akan makhlukNya. Kesalahan jenayah selainnya tidak dikategorikan sebagai hudud. Ia mungkin qisas (balas balik) dan ta’zir (budibicara hakim). Jadi membincangkan perkara teknikal berkaitan dengan hukum hudud tidak menjadi kesalahan. Tetapi jika mempertikaikan dan menolaknya secara prinsip itulah yang memberi kesan terhadap akidah seseorang. Menolak ketetapan yang ditentukan oleh Allah SWT yang terkandung di dalam al-Qur’an bermakna tidak beriman kepada sebahagian isi kandungannya. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 85:
Patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian isi kitab dan mengingkari akan sebahagian yang lain? maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.

8. Apabila kita tahu yang hukum hudud adalah untuk sebahagian kesalahan jenayah, maka masih banyak lagi kesalahan jenayah lain yang perlu kita ketengahkan berdasarkan syari’at Islam. Sudah sampai masanya kita cabut dan buang acuan barat daripada sistem perundangan kita. Kerana para sarjana Islam juga mempunyai pandangan dan ijtihad yang jauh lebih menepati ruh al-maqasid al-syar’iyah (objektif pensyariatan) yang bersumberkan al-Qur’an dan al-Sunnah. Ibn al-‘Arabi (543H) ketika membicarakan tentang jasus (agen pengintip negara asing) menyatakan:
Bagi sesiapa yang banyak mengintip aurat (sesuatu yang perlu ditutup) umat Islam untuk dilaporkan segala berita kepada musuh mereka, maka dia bukan seorang kafir dengan perbuatannya itu jika niatnya adalah untuk kepentingan dunia, dan akidahnya masih lagi elok, sebagaimana yang dilakukan oleh Hatib bin Abi Balta’ah ketika dia lakukan perkara yang sama dengan tujuan ingin menyelamatkan (saudaranya), dan dia tidak berniat riddah (keluar) daripada agama. (Ibn al-‘Arabi, Ahkam al-Qur’an).

Mengetahui polemik dan syubhah
9. Melaksanakan hukum hudud yang fungsinya mendidik dan mencegah, bukan boleh dilakukan dengan sambil lewa. Ia memerlukan sistem perlaksanaan yang berkesan kerana ia melibatkan perkara lain yang menjadi tunjang kepada perlaksanannya. Antaranya ialah kewujudan syubhah (keraguan) dalam sesuatu kesalahan jenayah, maka hukum hudud ini tidak akan dilaksanakan, kerana secara prinsipnya, seboleh-bolehnya hukum hudud hendaklah dielakkan. Diriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda:
Lepaskan hudud daripada orang Islam setakat kemampuan kamu, dan sebarang jalan keluar yang kamu dapati, maka biarkan ia lepas. Sesungguhnya seorang imam (ketua) tersilap membebaskan (pesalah) adalah lebih baik daripada tersilap melaksanakan hukuman jenayah. (Riwayat Tirmizi)

10. Terdapat juga pelbagai polemik yang timbul dalam melaksanakan hukum hudud yang kebanyakannya melibatkan kebimbangan dan kurang percaya terhadapnya. Hukum ini dilihat tidak adil ketika membincangkan kedudukan non muslim dalam hukum hudud ini. Ketika ada pihak yang cuba menunjukkan adilnya hukum ini dengan memberikan pilihan kepada pesalah non muslim sama ada hudud atau civil, rupanya ia membuka ruang menunjukkan bahawa ia lebih tidak adil kerana hanya pesalah Islam sahaja yang akan dikenakan hukuman hudud.

Perlu tahu
11. Sebenarnya kita perlu mengetahui perbezaan definisi adil di antara Islam dengan barat. Barat menyatakan adil adalah sama rata, sedangkan Islam mendefinisikan dengan meletakkan sesuatu pada tempatnya. Jadi kita perlu tentukan definisi yang mana yang dipakai oleh seseorang yang mengatakan hukum hudud itu tidak adil. Boleh jadi juga polemik yang timbul ini kerana mereka tidak memahami konsep hukum hudud yang sebenar. Hal ini pernah berlaku ketika ayat berkaitan qisas diturunkan, mereka mempersendakan wahyu Allah SWT, firmanNya dalam surah al-Baqarah ayat 179:
Dan di dalam hukuman qisas itu ada kehidupun bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa.

12. Musyrikin Mekah tidak memahami konsep hukum qisas yang Allah Azza wa Jalla perintahkan untuk dilaksanakan. Yang mereka faham adalah yang lain daripada yang sepatutnya. Mereka menyangka dengan melaksanakan hukum qisas bagi kesalahan jenayah membunuh iaitu dengan balas bunuh, maka ia maksudnya kematian bukannya kehidupan sebagaimana dalam ayat tadi. Lalu mereka mempersendakan ayat ini dengan pelbagai tuduhan jahat. Sedangkan maksud kehidupan dalam ayat tersebut adalah bagi orang ramai dan masyarakat bukannya bagi pembunuh yang bakal dihukum mati. Kerana dengan hukuman qisas bunuh yang dijalankan ke atas pembunuh, maka selamatlah masyarakat daripada berleluasanya jenayah pembunuhan. Masyarakat akan hidup dengan penuh harmoni dan aman. Inilah kehidupan sebenar yang dimaksudkan oleh ayat di atas. Jadi polemik ini perlu diurus dengan memperbanyakkan lagi diskusi ilmiah yang menerangkan dan mendedahkan konsep hukum hudud yang sebenarnya agar ia dapat difahami dengan baik.  

13. Bagi mereka yang ragu dengan keberkesanan hukum hudud pula, perlu ditegaskan bahawa salah satu eleman penting dalam perlaksanaan hukum ini ialah ia mesti dilakukan di khalayak ramai. Maknanya mesti disaksikan oleh orang ramai. Hikmahnya ialah untuk menjadi pengajaran kepada orang lain supaya tidak sekali-kali berniat untuk cuba melakukan jenayah, kerana nasib yang sama bakal menimpa. Belum lagi perasaan malu yang ditanggung oleh pesalah dan ahli keluarganya. Inilah jaminan pencegahan yang Allah SWT nyatakan menerusi firmanNya berkenaan hukum mencuri dalam surah al-Maidah ayat 38:
Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumannya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegahan daripada Allah.

14. Syarat untuk mensabitkan sesuatu kesalahan jenayah yang melibatkan hudud juga sangat ketat. Walaupun ia telah dipolemikkan, seperti bilangan saksi, minimum jumlah harta yang dicuri, ada unsur paksaan atau tidak dan sebagainya, ia sebenarnya menunjukkan dan membuktikan ketelitian syariat Islam dalam mensabitkan seseorang dengan sesuatu kesalahan jenayah. Ia sukar untuk seseorang mengambil kesempatan untuk melakukan kezaliman menuduh orang lain dengan sewenang-wenangnya. Kerana hukum hudud tidak akan melepaskan penjenayah, sebagaimana ia juga tidak akan menzalimi mereka yang tidak bersalah. Kaedah yang digunapakai cukup jelas iaitu sesuatu jenayah mesti ada yang melakukannya sama ada sengaja atau tidak, dan sesorang tidak akan menanggung kesalahan orang lain sama ada bermotif atau tidak. Punca utama kejadian juga menjadi persoalan utama dalam sesuatu kes. Al-Kasani (587H) menyatakan:
Jika seseorang meletakkan batu di jalan, kemudian orang lain tersepak batu tersebut lalu jatuh ke dalam lubang yang dikorek oleh orang lain dan meninggal dunia, maka dhoman (gantirugi) dikenakan ke atas orang yang meletakkan batu. Ini kerana mati terjatuh disebabkan tersepak batu, manakala tersepak batu pula puncanya ialah batu yang diletakkan (di jalan). (al-Kasani, Bada’I al-Sona’I fi Tartib al-Syara’i)    

15. Kesimpulannya, kita sebenarnya sudah mengetahui banyak perkara tentang hukum hudud. Yang menjadi halangan utama dalam melaksanakannya ialah mahu atau tidak. Tiada maknanya tahu jika tidak mahu. Allah SWT menceritakan golongan yang tidak mahu turut serta dalam peperangan Tabuk, firmanNya dalam surah al-Taubah ayat 46:
Dan kalaulah mereka mahu keluar (untuk turut serta berperang), tentulah mereka menyediakan persiapan untuknya; tetapi Allah tidak suka pemergian mereka, lalu dilemahkanyya semangat mereka, dan dikatakan: Tinggalah kamu bersama-sama orang yang tinggal.


7 Zul Kaedah 1432H
Sweileh, Amman  

No comments: