Jaringan Ukhwah

13 August 2011

Ramadhan Harapan Kemenangan


1. Setiap kali kita masuk bulan Ramadhan, kita akan masuk dengan seribu satu harapan. Kerana kita cukup yakin bahawa Ramadhan adalah bulan persaingan yang menjanjikan kejayaan dan kemenangan. Lipatan sejarah Ramadhan mencatatkan kejayaan cemerlang umat Islam. Maka itulah harapannya. Sebagaimana setiap kali kita masuk pertandingan tertentu, harapannya adalah menjulang sebuah kemenangan. 
 
2. Beberapa siri kemenangan umat Islam dalam beberapa peristiwa sangat memberikan harapan baru kepada kita. Antaranya peperangan Badar al-Kubra yang berlaku pada tahun kedua Hijrah. Ia berlaku dalam bulan Ramadhan ini pada tanggal 17 haribulan dan dengan jumlah tentera Islam yang nisbahnya 1:3 berbanding musuh. Firman Allah Azza wa Jalla dalam surah Ali Imran ayat 123:
Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu dalam keadaan lemah (kerana bilangan kamu sedikit dan peralatan yang kurang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur.
3. Selain itu, pada bulan Ramadhan seumpama ini tahun kelima Hijrah, umat Islam membuat persiapan untuk berhadapan dengan tentera musuh dalam peperangan Khandaq atau Ahzab. Dengan izin Allah SWT tentera Islam mendapat kememengan tanpa sebarang pertumpahan darah dan peperangan. Sebaliknya dengan bantuan dan kelebihan daripada Allah SWT, antaranya dengan angin ribut. Ia mencetuskan harapan dan motivasi kepada kita. Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 25 bermaksud:
Dan Allah telah menghalau kembali (angkatan tentera) orang-orang yang kafir itu (ke tempat masing-masing dengan keadaan mereka geram marah (kerana gagal dan hampa), mereka tidak mendapat sebarang keuntungan. Dan Allah selamatkan orang-orang yang beriman dari bencana menghadapi peperangan itu. Dan (ingatlah) adalah Allah maha kuat, lagi maha kuasa.
4. Di samping itu, pembukaan Kota Mekah juga dalam bulan Ramadhan 21 haribulan, tahun kelapan Hijrah. Jauh perjalanan yang terpaksa dilalui oleh nabi SAW dan tentera Islam, lebih 400 kilometer. Tanpa kenderaan seperti sekarang, tiada hawa dingin dan tanpa hentian sebelah mahupun Rawat dan Rehat. Mereka mengharungi padang pasir yang kontang dan gersang. Namun, kemenangan ini juga menjadi harapan kepada kita untuk mencatat kemenangan baru. Diriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda:
Tiada lagi hijrah selepas pembukaan (kota Mekah), tetapi yang ada ialah jihad dan niat. (Riwayat al-Bukhari).
5. Demikianlah Ramadhan yang mengembalikan semula kota Mekah kepada umat Islam. Dalam bulan ini juga Rasulullah SAW seterusnya menerima kedatangan rombongan manusia yang berbondong-bondong menyatakan keIslaman mereka. Mereka daripada kabilah yang pelbagai dan datang dari tempat yang berbagai-bagai, tetapi tujuannya untuk menyatakan tauhid selepas keyakinan mereka terhadap kebenaran agama Islam.
6. Ramadhan terus mencatat kemenangan demi kemenangan yang tidak sempat untuk dicatatkan semuanya di sini satu persatu. Sekadar menyebut dan menyorot sahaja antaranya juga ialah; kemenangan ke atas tentera Salib yang dipimpin oleh Salahuddin al-Ayubi, berlaku pada tahun 584 Hijrah, kemengan peperangan Ain Jalut, dan yang terkini kemenangan peperangan ‘Asyir Ramadhan, tentera Yahudi tewas di tangan tentera Mesir dan Syria.
7. Oleh itu Ramadhan adalah kemenangan dan kemuliaan bagi umat Islam. Taghut dan kezaliman musnah, syirik dan kesesatan tewas dalam bulan ini. Umat Islam yang dikatakan lemah, pernah ditindas dan yang telah diseksa telah menang dan berjaya. Lembaran emas ini tidak boleh diubah dan dipadam. Yang pastinya kemenangan itu tidak datang percuma, kerana kememenangan memerlukan jihad, kesabaran, thabat (tetap teguh) dan taqarrub kepada Allah Azza wa Jalla. Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 45-47:
Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu bertemu dengan pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya. Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran); sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.
8. Semua ini adalah faktor dan sebab kemenangan yang perlu kita ambil perhatian. Kerana jika ia wujud pada diri kita, maknanya kita juga sudah mencukupi syarat kemenangan yang kita harapkan. Dalam bulan Ramadhan ini, kita mempelajari sabar dalam melaksanakan ibadah puasa pada siang hari dan qiam pada malam hari. Kita juga bersabar meninggalkan segala larangan puasa daripada makan minum, perkataan tidak baik, dan juga nafsu syahwat. Inilah yang disebut sebagai mujahadah, dan ia adalah pra syarat sebelum bertempur di medan perang. Diriwayatkan daripada Fadhalah bin Ubaid bahawa nabi SAW bersabda:
Tidakkah aku ingin beritahu kamu tentang orang mukmin, iaitu mereka yang manusia selamat diri dan harta mereka darinya, seorang muslim adalah orang Islam lain yang selamat daripada lidah dan tangannya. Seorang mujahid itu ialah yang besungguh-sungguh dengan dirinya dalam melaksanakan ketaatan, manakala muhajir pula ialah yang meninggalkan kesalahan dan dosa. (Riwayat Muslim)
9. Kesimpulannya, semoga kemenangan Ramadhan memberi harapan baru kepada terciptanya kemenangan yang lebih bermakna.

11 Ramadhan 1432H
Swileh, Amman

No comments: