~ DIA yang menciptakan hidup dan mati untuk menguji antara kamu siapakah yang terlebih baik amalannya ~ (Al-Mulk:2)
Jaringan Ukhwah
04 February 2010
Tanyakan khabar iman..
Alhamdulillah, pujian selayaknya untuk empunya Agung, maha suciNya dari segala kekurangan, selawat dan salam ke atas junjungan besar baginda saw, para sahabat dan sekalian para tabi'en..
Manusia sememangnya amat-amat prihatin dengan fizikal dan tubuh badan mereka sehinggakan alat-alat mekap, menjadi kemestian, bukan sahaja perempuan malah lelaki juga ada alatan mekap yang khusus untuk mereka. Kosmetik ini pasti cukup bekalannya kerana pelbagai istilah pengguna bijak diamalkan; belilah secara borong,kenapa bayar lebih? anda pembeli bijak, belilah secara borong dan berbagai-bagai moto menggoda pengguna yang lain.
Kalau kehabisan stok mereka terus berusaha untuk mencari yang baru sebagai ganti, penerus alat mekap yang lama, takut-takut memberi kesan sampingan dan tidak berkesan sepenuhnya andai tidak istiqomah, mereka sangat istiqomah menjaga tubuh badan mereka, sifat istiqomah itu digunakan dalam bab ini!
Fitrah manusia itu mudah terpengaruh dengan sesuatu yang nampak zahir pada pandangannya, berapa ramai antara manusia yang merasai rohaninya perlu kepada pengisian? Perlunya penggilap khusus untuk hati agar sentiasa tenang, sabar dalam mentaati perintah Pencipta? Berapa ramai yang inginkan ramuan khas agar nafsu tunduk menyerah diri, agar hati menjadi raja dalam diri? Siapakah yang istiqomah menambah saham akhirat takut-takut menyesal di sana nanti?
Orang yang memiliki iman yang mantap sudah tentu sentiasa ada dalam hati mereka sifat-sifat di atas tadi, walaupun tidak zahir pada pandangan mata tetapi mata hati merekalah yang memberi isyarat sedemikian. Jarang antara kita yang bertanyakan khabar iman, renung ke dalam diri, selidiki iman yang terkadang naik dan turun ini.
Apa itu iman?
Iman ialah ikrar dengan lisan, iktikad di hati, beramal dengan seluruh anggota badan, ia bertambah dengan ketaatan (ibadah) dan berkurangan dengan kemaksiatan.
Iman juga dimaksudkan dengan keyakinan atau keimanan iaitu; ikatan tauhid yang kukuh, teguh dan kuat sehingga memantapkan keyakinan seseorang terhadap Allah swt, para MalaikatNya, kitab-kitabNya, para rasulNya, hari akhirat dan keyakinan terhadap penentuan qada' dan qadar, sama ada yang baik atau buruk semuanya adalah dari Allah swt.
Maksud hadis nabi saw:
"Iman itu ialah mengimani Allah, para MalaikatNya, Kitab-KitabNya, para RasulNya, Hari Akhir dan beriman dengan Qadar sama ada yang baik atau yang buruk" (HR Muslim)
Iman kita, kitalah yang menjaganya, taqwa lahir dari iman yang terisi dalam hati, sesungguhnya iman inilah yang akan mengenderai hati agar menjadi raja dalam diri.
Wallahu a'lam..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment