Jaringan Ukhwah

17 February 2010

IDEOLOGI MODEN & KESAN TERHADAP ISLAM

Kekalahan tentera salib yang dipimpin oleh Raja Louis (Perancis) dalam peperangan salib ke-8 pada tahun 1291M (690H) telah mendorong beliau untuk menulis 1 watikah yang menyatakan bahawa tiada lagi jalan untuk menewaskan umat Islam melainkan melalui serangan pemikiran.

Bermula dari saat itulah Barat mula mengatur langkah. Pertembungan antara Islam dan musuhnya kini beralih ke medan Aqidah & pemikiran. Barat menggerakkan seribu satu senjata dan wasilah dalam usaha mereka menyelewengkan umat Islam daripada landasan kebenaran. Benarlah firman Allah SWT dalam Al-Quran:



Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. 
(Al-Baqarah : 120)


Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran)
(Al Baqarah : 217)


Musuh-musuh Islam tidak pernah jemu menjalankan tugas-tugas mereka. Serangan pemikiran dilancarkan ke atas umat Islam meliputi hampir keseluruhan bidang kehidupan manusia. Atas dasar inilah munculnya ideologi-ideologi ciptaan yang merupakan racun berbisa kepada pemikiran umat Islam.

DEFINISI IDEOLOGI

Ideologi berasal daripada perkataan Perancis, merupakan istilah yang sukar untuk ditakrifkan. Para pengkaji bertentangan pendapat dalam mentafsirkan istilah moden ini. Ada pendapat yang menyempitkan skopnya dengan menghadkan ideologi kepada fahaman-fahaman & aliran-aliran pemikiran yang berkaitan dengan politik, kuasa & pemerintahan negara sahaja. Sememangnya definisi inilah yang digunakan dan difahami oleh masyarakat. Namun hakikatnya lebih luas daripada itu, meliputi segala jenis hasil pemikiran dan thaqafah masyarakat, merangkumi politik, ekonomi, sosial, psikologi, thaqafah & sebagainya.

Oleh itu, ideologi ditakrifkan ‘Fahaman dan pegangan yang dihasilkan melalui pemikiran & thaqafah masyarakat’.

Ada juga yang mentakrifkan ideologi sebagai ‘Rangkaian pemikiran dan pandangan bertujuan menentukan pendirian seseorang terhadap isu-isu dan persoalan-persoalan kehidupan yang dihadapi oleh masyarakat’.

Berdasarkan kepada takrif di atas, perbezaan ketara antara keduanya adalah ideologi bersumberkan akal manusia, manakala agama, sumbernya wahyu Ilahi.

Oleh kerana ideologi manusia terlalu banyak, di mana bermulanya ideologi pada ketika umat manusia mula melanggar hukum-hakam Allah SWT dan menjadikan akal & hawa nafsu sebagai tuhan mereka.

1- RASIONALISME (AQLANIYAH)

Rasionalisme atau ‘Aqlaniyah adalah aliran yang menjadikan akal manusia sebagai asas dan tunggak yang menentukan hak atau batil, dengan mengenepikan agama sebagai sumber utama dalam menentukan hukum.

Daripada aliran ini, terpancarnya pelbagai mazhab dan teori dalam pelbagai bidang ilmu, pemikiran & kehidupan. Pendokong-pendokong fahaman ini menggunakan akal semata hatta dalam perkara ghaib, yang terbatas pada pemikiran manusia. Justeru lahirlah pandangan-pandangan berkenaan hakikat manusia, kejadian alam, yang didasarkan kepada akal semata-mata, bertentangan dengan hakikat yang sebenar.

Fahaman ini lahir lebih awal sedikit daripada sekularisme iaitu selepas pemberontakan rakyat terhadap penyelewengan gereja. Rasionalisme menolak ketuhanan sebagai sumber, sekaligus bermakna pemberontakan terhadap agama Kristian di Eropah ketika itu. Walaubagaimanapun fahaman ini tenggelam selepas kemunculan sekularisme pada zaman kebangkitan Eropah (Renaissance; kurun ke-16) yang menggabungkan antara akal & fakta-fakta ilmu yang dihasilkan melalui kajian & percubaan .

2- SEKULARISME (العلمانية)

Definisi :

Sekularisme berasal daripada perkataan Inggeris (Secularism) yang bererti : fahaman tidak beragama. ‘Secular’ ditakrifkan oleh kamus Oxford sebagai : ‘Wordly or material, not religious or spiritual’ yang bermaksud : Keduniaan atau kebendaan, tidak beragama atau tiada roh.

Dalam bahasa Arab, para ulama’ berbeza pendapat dalam mencari istilah terbaik terhadap istilah Inggeris (Secularism).

a) Pendapat pertama menyatakan istilah sebetulnya adalah (العلمانية) yang dinisbahkan kepada (العلم) yang bermaksud (العالم) alam atau dunia; iaitu fahaman keduniaan dan kebendaan, material, bertentangan dengan roh, alam ghaib dan ketuhanan. Bukannya (العلمانية) dinisbahkan kepada (العلم). Mereka yang berpendapat sebegini ialah Dr. Abdul Halim Mahmud, Dr. Mohd Al-Bahiy & Sheikh Jadal Haq Ali Jadal Haq.

Mu’jam Arabi Asasi juga sealiran dengan pendapat ini, di mana disebut definisi (علماني) ;

علماني (منسوب الى العلم و هو العالم): غير ديني (لا ديني)

b) Pendapat yang menyatakan terjemahan yang betul adalah (العلمانية) dinisbahkan kepada (العلم) ilmu kerana asal sekularisme adalah daripada perkataan Latin (Secularius) yang bermaksud : Orang yang berilmu tinggi. Pendapat ini adalah pandangan Dr. Ali Juraishah.

Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menyatakan, diterjemahkan (Secularism) kepada (العلمانية) dinisbahkan kepada (العلم) ilmu kerana yang dikehendaki di situ adalah ilmu yang dihasilkan melalui kajian-kajian, percubaan material dan pemikiran manusia yang tiada kaitan dengan agama, wahyu & ketuhanan.

Perlu difahami bahawa sekularisme tidak mengingkari kewujudan tuhan & alam ghaib. Sekularisme hanya mengenepikan agama daripada urusan kenegaraan, kemasyarakatan & ekonomi. Sekularisme berlainan daripada fahaman Atheis yang mengingkari kewujudan tuhan. Sekularisme meletakkan agama dalam ruang lingkup yang sempit dan membenarkan setiap individu menganut agama yang disukainya.

Sejarah Kemunculan :

Sekularisme lahir di tengah-tengah masyarakat Eropah yang dikuasai gereja. Pada zaman kegelapan (عصر الظلام) sehingga kurun ke 17, gereja berkuasa penuh dalam pemerintahan negara. Penyelewengan agama Allah SWT yang diturunkan kepada Nabi Isa AS dilakukan sesuka hati gereja berdasarkan maslahat & kepentingan duniawi semata. Pada tahun 1215M, perhimpunan Rome memberikan Pope hak pengampunan dosa & kesalahan. Pada 1869M pula, perhimpunan yang sama memberikan Pope keistimewaan terpelihara daripada dosa (عصمة) dan kesilapan, sekaligus memberikan hak ketaatan mutlak kepada Pope daripada para penganut Kristian. Inilah gambaran penyelewengan gereja yang bertujuan mengekalkan kuasa mereka.

Tidak cukup dengan itu, pada tahun 1478M, ditubuhkan di Sepanyol (ada yang menyatakan di Perancis) mahkamah yang dinamakan (محاكم التفتيش) yang menggambarkan sifat gereja dan kemenangan mereka yang tidak terhingga. Mahkamah ini bertugas menghukum sesiapa sahaja yang menentang atau mempertikaikan gereja & kebenaran ajaran pegangannya. Dianggarkan mangsa mahkamah ini menjangkau angka 300 ribu. Sebanyak 32 ribu dibakar hidup-hidup. Antaranya ialah ahli geografi terkenal, Bruno yang mengeluarkan teori pusingan bumi.

Dari segi politik & ekonomi, sistem feudal berleluasa. Politik & ekonomi dilindungi golongan feudal yang memperhambakan rakyat. Pemerintah-pemerintah negara mengamalkan sistem diktator yang menghalang kesedaran rakyat untuk bersuara dan menikmati hak-hak mereka.

Tekanan-tekanan yang melingkungi dunia barat inilah yang meledakkan kebangkitan rakyat bagi mengubah keadaan. Lalu muncullah seruan agar dipisahkan agama daripada urusan negara dengan meletakkan Kristian di sudut yang sempit sahaja. Lahirlah para pemikir, ahli falsafah, tokoh reformasi seumpama Martin Luther, Voltier, Jean Jack Rosseau dan sebagainya yang menyeru ke arah pembaharuan, antaranya pemisahan agama daripada urusan pemerintahan.

Kemunculan arus pembaharuan ini berlaku apabila tercetusnya Revolusi Perancis pada tahun 1789M yang mengangkat slogan ‘Gantunglah Raja Yang Terakhir Dengan Tali Perut Paderi Yang Terakhir’.

Revolusi Perancis telah membuahkan beberapa perkara :

i- Menyempitkan bidang agama Kristian dalam bidang-bidang keagamaan sahaja.
ii- Menolak kristian sebagai sistem politik, ekonomi & pelbagai sistem kehidupan
iii- Muncul aliran rasionalisme yang meletakkan akal sebagai asas
iv- Muncul fahaman sekularisme & individualisme yang memberikan kebebasan penuh kepada manusia dalam menjalani kehidupannya.

Suasana baru yang melanda Eropah telah membawa mereka kepada Zaman Pembaharuan & Pembangunan. Eropah berjaya mencetuskan Revolusi Perindustrian yang memberikan saham utama kepada Eropah bagi membina kekuatan mereka. Kemudian berlaku perluasan kuasa di Eropah apabila mereka menjajah negara-negara di bawah Khilafah Uthmaniyah dan akhirnya menghancurkan khilafah.

Pada ketika itu, bermulalah pertarungan antara Islam & sekularisme.

Ciri-ciri fahaman sekularisme:

i- Mengenepikan perkara-perkara ketuhanan, alam roh & segala pegangan yang berkaitan dengannya dalam seluruh kajian & teorinya.
ii- Memusuhi agama, berusaha meletakkan agama dalam lingkungan yang sempit dan menjadikan agama sebagai hak kebebasan individu
iii- Material, kebendaan & duniawi semata

Sekularisme dalam beberapa bidang sosial:

Pendidikan
i) Menyekat pendidikan agama
ii) Menggalakkan pendidikan bukan agama
iii) Memandang rendah pendidikan agama & menyifatkannya sebagai kolot & mundur
iv) Menghadkan peluang pekerjaan bagi lulusan bidang agama.
v) Membangunkan dengan pesat pusat-pusat pengajian yang tiada pengajian agama
vi) Memperbanyakkan penghantaran pelajar-pelajar ke luar negara dalam pelbagai bidang ilmu selain bidang agama
vii) Menggalakkan percampuran lelaki & perempuan di sekolah & pusat pengajian
viii) Tiada penekanan akhlak & norma-norma Islam; menutup aurat, pakaian Islam & sebagainya.

Media Massa
Seandainya pensekularan pendidikan bertujuan untuk melahirkan generasi yang memisahkan agama & kehidupan pada masa akan datang, maka pensekularan media massa bertujuan mendoktrinkan pemikiran generasi masa kini. Bidang pendidikan hanya membabitkan golongan pelajar sahaja, tetapi media massa mampu menusuk masuk ke kepala setiap anggota masyarakat.

Media massa dikotori dengan cara :
i) Menyiarkan gambar & filem yang lucah
ii) Menyiarkan filem-filem yang menghina & memburukkan Islam
iii) Mengagung-agungkan kehidupan dunia, alam maksiat & fasiq
iv) Mengagungkan artis & seniman
v) Menggalakkan unsur-unsur seks, ganas & keruntuhan nilai & akhlak
vi) Mengagungkan dunia barat sebagai simbol kemajuan, pembangunan & kemajuan dunia
vii) Menyebarkan ideologi-ideologi manusia yang tidak bertepatan lagi bertentangan dengan agama.

Undang-undang
Pensekularan undang-undang di dunia Islam bermula di Turki pada 1857M, kemudian merebak ke Mesir pada 1875M, di mana munculnya beberapa undang-undang yang diambil bukan bersumberkan syariah Islamiyah.

Di Turki, apabila khilafah dihapuskan secara rasmi pada tahun 1924, undang-undang Turki diubah:
1- Undang-undang sivil diambil dari Switzerland
2- Undang-undang jenayah diambil dari Itali
3- Undang-undang perniagaan diambil dari Jerman
Undang-undang Islam yang menjadi kanun di kebanyakan negara umat Islam berjaya ditukar dengan undang-undang sekular oleh Barat, berlaku ketika penjajahan Barat ke atas negara-negara umat Islam. Negara kita Malaysia juga tidak terlepas daripada usaha ini.

Perlembagaan negara sehingga kini adalah perlembagaan yang diletakkan oleh Suruhanjaya Lord Reid diambang kemerdekaan dahulu. Begitu juga kebanyakan undang-undang negara adalah tidak berdasarkan kepada syariat Allah SWT, bahkan membelakangkan syariat-Nya.

Wasilah-wasilah penyebaran sekularisme:

1) Orientalis - Gerakan yang diasaskan oleh Barat untuk mengkaji ilmu, adab, bahasa, thaqafah & tamadun Timur khasnya Islam, dengan tujuan menjahanamkannya.
2) Gerakan Kristianisasi
3) Gerakan Pembaratan - Seperti usaha Mustafa Kamal Attartuk membaratkan negara Turki selepas keruntuhan Khilafah Uthmaniyah.
4) Penjajahan negara umat Islam
5) Gerakan Yahudi Sedunia (FREEMASON).

3- LIBERALISME (اللبرالية)

Falsafah ini muncul di Eropah pada permulaan kurun ke-19. Tiada satu definisi yang disepakati terhadap istilah ini. Kefahamannya berlainan antara satu tempat dengan yang lain, antara seorang ahli falsafah dengan yang lain.

Fahaman ini mula-mula muncul di England, bermaksud menyeru kepada kebebasan individu dalam menjalani hak-hak mereka tanpa ada campurtangan negara. Fahaman ini menekankan aspek persamaan taraf & kebebasan.

Ia memusuhi agama yang dianggap menyekat kebebasan manusia. Liberisme biasanya dikaitkan dengan slogan ‘Pembangunan & Kemajuan’. Berakar umbikan fahaman inilah munculnya kapitalisme yang terpengaruh dengan pendapata Adam Smith, yang memberikan kebebasan berniaga & berlumba dalam pasaran.

Liberalisme muncul kesan daripada kekejaman gereja & kediktatoran pemerintah pada waktu itu yang membawa kepada pemberontakan rakyat menuntut hak-hak mereka.

4- KAPITALISME

Sistem ekonomi lahir ekoran daripada fahaman sekularisme, individualisme & liberalisme. Pengasasnya ialah Adam Smith (1723-1790) yang mengarang buku bertajuk ‘An Inquiry into the Nature and Causes of the Wealth of Nations’.

Buku beliau dikira pencetus kapitalisme sebagai sebuah sistem ekonomi.

Antara ciri-ciri kapitalisme :
i- Kebebasan ekonomi
ii- Kebebasan individu memiliki harta; dibahagikan kepada 2 peringkat:
• Pemilikan mutlak tanpa sebarang had (peringkat permulaan munculnya kapitalisme)
• Pemilikan tidak mutlak, dihadkan sebahagian milik individu sebagai kepentingan sosial. (Peringkat inilah yang berleluasa di negara-negara kapitalis ketika ini)
iii- Sistem faedah atau riba’

Antara kegagalan sistem ini :
i- Pengangguran
ii- Inflasi
iii- Ihtikar
iv- Sifat individualisme yang menghancurkan hubungan dalam masyarakat
v- Kebebasan perniagaan yang tiada had meliputi anasir-anasir yang memudaratkan seperti dadah, arak & seumpamanya.

5- SOSIALISME & KOMUNISME

Sosialisme adalam sistem ekonomi yang dihasilkan oleh pemikiran komunis. Karl Marx dianggap pengasas kepada sistem ini. Sosialisme adalah marhalah pelaksanaan ekonomi yang akan membawa akhirnya kepada komunisme. Perbezaan antara kedua-duanya boleh dilihat dalam slogan ini :

Sosialisme -

من كل حسب طاقته, و لكل حسب عمله

Daripada setiap individu mengikut kekuatan & tenaganya (penentu kerja) dan bagi setiap individu mengikut kerja yang dilakukan (upah).
Komunisme –
من كل حسب طاقته, و لكل حسب حاجته

Daripada setiap individu mengikut kekuatan dan tenaganya dan bagi setiap individu mengikut keperluannya.

Ciri utama sistem ini adalah menghapuskan hak milik harta individu. Namun penghapusan ini tidaklah secara total seperti mana yang dilaungkan. Negara memiliki komponen-komponen pengeluaran & rakyat berhak memiliki barang keperluan.

Kegagalan sistem sosialis tidak dapat dinafikan lagi. Fenomena ekonomi & kemunduran yang wujud di negara-negara sosialis dan kejatuhan Soviet Union menjadi sejelas-jelas bukti kegagalan sistem ini.


SLOGAN-SLOGAN BERACUN

Dalam usaha Barat memastikan kejayaan mereka meracuni pemikiran umat Islam, pelbagai slogan yang mengaburkan mata dilaungkan di samping ideologi-ideologi perosak yang lain. Melalui tangan-tangan penjajah, zionis sedunia, orientalis & musuh-musuh Islam yang lain, mereka berjaya mengubah corak pemikiran umat Islam.

Slogan-slogan yang sering dipromosi sebagai slogan kemanusiaan adalah :

A) Kebebasan

Mencakupi segala-galanya; berfikir, beri’tikad, bersosial, bersuara dan sebagainya. Kebebasan yang tidak dihadkan dengan Ubudiyyah kepada Allah SWT.

B) Persamaan taraf dalam segalanya sehingga wanita pun menuntut persamaan taraf dengan lelaki

C) Kemajuan & kemunduran

Pengukur kemajuan & kemunduran berdasarkan material semata. Barat & tamadunnya digambarkan sebagai simbol kemajuan. Islam & tamadunnya pula dicop sebagai mundur & kolot.

D) Semangat perkauman (nasionalisme)

Dengan tujuan memecah-belahkan umat manusia & memadamkan kekuatan Islam yang mampu menyatukan bangsa yang berbilang-bilang

E) Kebebasan wanita

Tuntutan wanita akan hak-hak kebebasan mereka dalam kehidupan tanpa hudud atau sempadan yang menyekat kebebasan mutlak wanita. Tujuan jahat mereka ini bertitik tolak daripada pengetahuan bahawa jalan paling dekat untuk merosakkan sesebuah masyarakat adalah dengan merosakkan terlebih dahulu wanitanya.

Ideologi yang bertumbuh di Barat seperti cendawan merebak ke negara-negara umat Islam. Negara-negara yang mengamalkan Islam sebagai cara hidup meliputi bidang-bidang sosial, politik, ekonomi dan sebagainya.

Persoalan timbul; adakah ideologi-ideologi tersebut sesuai untuk menggantikan Islam sebagaimana Kristian digantikan di Barat?

Sudah tentulah jawapannya tidak, kerana Islam Deen yang syumul merangkumi segenap aspek kehidupan manusia. Tidak boleh disamakan sama sekali dengan keadaan yang wujud di dunia Barat. Perbezaan tersebut ternyata sekali :

(1) Kristian menerima pemisahan antara perkara-perkara ibadah dan ketuhanan dengan perkara-perkara pemerintahan & negara. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh injil kata-kata Nabi Isa AS

دع ما لقيصر لفيصر , و ما للٌة للُة

(2) Di dalam kristian tiada manhaj kehidupan yang sempurna berbanding Islam yang mencakupi segala penjuru kehidupan
(3) Tiada dalam Islam kuasa mutlak ketua agama, sebagaimana Pope dalam Kristian
(4) Sejarah Kristian berlainan daripada sejarah Islam. Zaman Kristian memerintah di Eropah (kurun 11-16) dikenali sebagai Zaman Kegelapan. Sementara Islam ketika menerajui kepimpinan dunia mencipta keagungan tamadun yang tiada tolok bandingnya dalam sejarah manusia.

Faktor-faktor Ideologi dianuti dalam dunia Islam

i) Umat Islam meninggalkan ajaran Islam yang syumul
ii) Kejahilan tentang Islam
iii) Tersebarnya ideologi-ideologi tanpa disedari
iv) Usaha sungguh musuh-musuh Islam
v) Kagum dengan Tamadun Material Barat

Senario pertembungan antara Islam & musuh-musuhnya tidak pernah berakhir. Sejak kebangkitan Rasulullah SAW membawa risalah Islam sehingga hari ini, Islam sentiasa dicabar & tercabar. Musuh sentiasa memerhatikan gerak geri umat Islam dan tidak henti-henti mencari peluang untuk merosakkan Islam.

Umat Islam mestilah bersedia menghadapi cabaran ini sekiranya mahu melihat Islam kembali menerangi dunia yang sekian lama diliputi awan mendung.


**diringkas & diedit semula daripada Kertas Kerja susunan Unit Bimbingan Rohani PERMATA sesi 2001/2002


1 comment:

Anonymous said...

Appreciate the recommendation. Will try it out.

my web page; adult sex games