Assalamualaikum wbt.. Agak lama laman ini dibiarkan tidak terisi, mungkin sibuk dengan persiapan untuk menghadapi imtihan. Saat ini saya cuba gagahkan diri untuk menaip, bermonolog sendirian. Peperiksaan berbaki satu kertas lagi, madah Fiqh Ibadah oleh Dr. Ali Zuqaili bakal melabuhkan tirai imtihan kali ini.
Alhamdulillah, rasa sedikit ketenangan setelah hari-hari yang dilalui agak mencabar, berhempas pulas mencipta ayat dan formula baru menjawab soalan-soalan yang dikemukakan. Minggu depan akan bermulanya cuti sebelum semester soifi (musim panas) menjengah, ada yang merancang percutian, ziarah, jaulah untuk menambah pengalaman dan pengetahuan luar bilik kuliah.
Syria medan ilmu dan mujahadah, Turki tinggalan Sultan Muhammad Al-Fateh pastinya dalam lakaran peta jaulah. Mudah-mudahan manfaat diperolehi, taqwa dikecapi, ruh pemuda pemudi Islam makin melekat dalam diri..natijahnya hamba hakiki..
Saya pula menanti saat untuk menziarahi rumahNya..pertama kali bakal mengerjakan umrah, mudah-mudahan tercapai hasrat itu. Saya mengikuti rombongan umrah PERMATA dan dijangka bertolak dari bumi syuhada' ini pada hari Khamis (10/6/2010) Ya Allah, permudahkan urusan hambaMu ini..!
Saya mengharapkan doa dari sahabat-sahabat sekalian, dilicinkan segala urusan perjalanan dan dikurniakan tubuh badan yang sihat seterusnya dapat mengerjakan ibadah dengan sempurna. Segala salah dan silap harapnya dimaafkan agar ketenangan mengiringi di sana nanti..hayyakumulah..Allahu yu'tikumul 'afiah..
labbaikallahumma labbaik...Ya Allah, hambaMu ini menyahut seruanMu..
Ya Rasulallah..kami merinduimu, izinkan kami bersamamu..
Dalam perang Tabuk, ada beberapa sahabat yang tidak berangkat berperang. Salah seorang di antara mereka adalah Ka’ab bin Malik.
“Aku sama sekali tidak pernah tinggal daripada mengikuti semua peperangan bersama Rasululah saw, kecuali dalam perang Tabuk. Aku tidak turut serta dalam perang Tabuk itu adalah karena kelalaian diriku terhadap perhiasan dunia; yang ketika itu keadaan ekonomiku jauh lebih baik daripada hari-hari sebelumnya” bisik hati Kaab keseorangan.
“Demi Allah, aku tidak pernah memiliki barang dagangan lebih dari dua muatan unta, akan tetapi pada waktu peperangan itu aku memilikinya” sambung bisikan hatinya lagi.
Ketika berlaku peperangan tabuk, keadaan sangat panas. Disamping, perjalanan dari Madinah ke Tabuk [tempatnya di antara hijir dan Damsyik di syria] amat jauh, juga pertempuran kali ini dengan bala tentera Rom, yang merupakan suatu kuasa besar di dunia ketika itu.
Ketika Rasulullah SAW mempersiapkan untuk berangkat, Kaab juga bersiap-siap. Namun, sedang dia bersiap-siap, hatinya mula berkata-kata untuk membatalkan hasratnya untuk tidak turut serta bersama dengan Nabi SAW.
Para sahabat sudah bertolak meninggalkan Madinah bersama dengan Nabi. Kaab bin Malik masih lagi berlengah-lengah di Madinah, sehingga semua para sahabat telah meninggalkan Madinah.
Ketika semua para sahabat telah meninggalkan Madinah, maka tinggallah Kaab bin malik. Apabila beliau keluar dari rumah, beliau hanya ternampak golongan yang tidak diwajibkan berperang, seperti orang-orang tua, kanak-kanak, perempuan dan sebilangan orang-orang munafiq.
Melihat keadaan itu, menyebabkan hati Kaab bin Malik mula mengeluh. Beliau sedar, bahawa beliau bukan dari kalangan mereka, terutama beliau bukan salah seorang dari kalangan orang munafiq.
Di Tabuk, Rasulullah SAW ada bertanya sahabat tentang Kaab. Soalan Rasulullah SAW itu dijawab oleh seorang lelaki dari Bani Salamah dengan menyatakan bahawa Kaab seorang yang sombong sehingga tidak terlibat dalam peperangan Tabuk pada kali itu.
Jawapan lelaki dari Bani Salamah itu disangkal oleh Mu’az bin Jabal, dan Kaab bin Malik dipertahankan oleh Mu’az dengan sedemikian hebat sekali.
Setelah pulang dari Tabuk, kebiasaan Rasulullah SAW setelah pulang dari medan peperangan, Baginda SAW tidak terus pulang ke rumah, sebaliknya menuju ke Masjid terlebih dahulu, dan menunaikan solat dua rakaat, dan berjumpa dengan tetamu-tetamu yang berkunjung tiba.
Setelah selesai menunaikan solat, ramai yang datang berjumpa dengan Rasulullah SAW. kebanyakkan mereka yang hadir ketika itu adalah orang-orang yang tidak terlibat dalam peperangan. Berbagai-bagai alasan yang dikemukakan, sehingga tidak dinafikan juga ada dari kalangan mereka yang bersumpah dengan nama Allah untuk mengukuhkan alasan mereka dihadapan Rasulullah SAW. Selalunya, mereka yang bersumpah tersebut adalah orang-orang munafiq.
Antara yang turut hadir berjumpa dengan Rasulullah SAW ketika itu adalah Kaab bin Malik. Apabila melihat Kaab hadir, Rasulullah SAW senyum kelat terhadap Kaab, namun tetap juga memanggil Kaab agar datang berhampiran dengan baginda.
Rasulullah bertanya Kaab, mengapa beliau tidak turut serta dalam peperangan Tabuk. Kaab berterus terang, memberitahu kepada Rasulullah atas tindakannya yang tidak hadir dalam peperangan Tabuk tersebut.
Mendengar penjelasan tulus dari Kaab bin Malik, Nabi SAW terus mengarahkan Kaab pergi. Tidak lama kemudian, kedengaran bahawa Nabi SAW telah mengarahkan para sahabat agar memboikot Kaab bin Malik; agar tidak bercakap dan melayan kaab bin Malik.
Arahan itu, bukan sahaja terhadap Kaab bin Malik, malahan terhadap dua orang sahabat lagi, iaitu Murarah bin Rabi’ Al-Amiri dan Hilal bin Umayyah Al-Waqifi.
Kemana sahaja Kaab pergi, boleh dikatakan semua tidak melayan beliau. Keadaan ini berlanjutan, sehingga Kaab dan dua orang sahabat lagi hidup dalam keadaan amat tertekan sekali.
Waima diboikot, Kaab tetap juga ’menebalkan mukanya’ menghadiri majlis-majlis yang melibatkan Nabi SAW, seperti majlis ilmu dan solat berjemaah.
Namun, disebabkan diboikot oleh sahabat, Madinah yang dahulunya dikenali sebagai bandar tempat mereka berbahagia telah bertukar seperti tempat yang dipenuhi dengan seribu satu kedukacitaan. Semuanya berpunca dari sikap malas mereka tidak mahu terlibat dalam peperangan Tabuk, ekoran mengenangkan ekonomi mereka perlu didahulukan.
Suatu hari, Kaab bin Malik telah pergi ke rumah Abu Qatadah. Semasa sampai di situ, Kaab mengetuk mengetuk pintu rumah Abu Qatadah.
Kaab mengucapkan salam kepada Abu Qatadah, tetapi salam Kaab itu tidak dijawab.
Kaab menegur, “Wahai Abu Qatadah! Aku mohon dengan nama Allah, apakah kau tahu bahawa aku mencintai Allah dan Rasul-Nya?”
Abu Qatadah diam. Sekali lagi, Kaab mengulangi perkataannya, namun Abu Qatadah tetap mendiamkan diri. Berkali-kali Kaab mengulangi perkataannya, tetapi tetap Abu Qatadah mengambil sikap mendiam diri sehingga dia hanya menyebut, “Allah dan Rasul-Nya lebih tahu!”
keadaan itu, benar-benar terkesan pada diri Kaab bin Malik, menyebabkan air matanya tidak tertahan lagi, menitis gugur ke bumi.
Kaab pulang ke rumah dalam keadaan sedih. Kesedihan seperti itu berlanjutan berhari-hari. Sehari dirasakan bagaikan setahun. Betapa dahsyatnya tekanan yang dihadapi oleh Kaab.
Dalam keadaan kesedihan sedemikian rupa, suatu hari datang seorang lelaki dari negara Syam menemui Kaab. Dia telah memberikan kepada Kaab sepucuk surat. Apabila Kaab membaca surat itu, ternyata ia datang dari Raja Ghassan.
Kandungan surat itu antara lain menyebut, ”… Selain dari itu, bahawa sahabatmu sudah bersikap dingin terhadapmu. Allah tidak menjadikan kamu hidup terhina. Maka, ikutlah dengan kami di Ghassan, kami berjanji akan menghiburkanmu!”
membaca kandungan surat itu, hati Kaab terus berkata, “Ini juga salah satu ujian!”
Lalu Kaab telah memasukkan surat itu ke dalam tungku dan membakarnya.
Dalam keadaan sedemikian sedih sekali, datang pula seorang utusan dari Rasulullah SAW kepada Kaab.
“Rasulullah memerintahkan kepadamu supaya kamu menjauhi isterimu!” kata lelaki itu sebagai membawa pesanan dari Rasulullah SAW.
Pesanan itu menambah lagi kesedihan hati Kaab.
”Apakah Rasulullah mengarahkanku agar aku menceraikan isteriku itu?” soal Kaab kepada lelaki terbabit.
“Tidak. Akan tetapi, kamu harus menjauhkan dirimu darinya dan isterimu itu, hendaklah menjauhkan dirinya dari dirimu!” kata utusan Rasulullah SAW itu lagi.
Arahan tersebut, bukan sekadar terkena kepada Kaab bin Malik, malahan terkena juga kepada dua lagi sahabat, iaitu Murarah bin Rabi’ Al-Amiri dan Hilal bin Umayyah Al-Waqifi.
Kesedihan dan hidup dalam keadaan serba salah itu berlarutan sehingga sampai cukup bilangan 50 hari. Setelah cukup 50 hari, di suatu pagi ketika Kaab baru selesai menunaikan solat subuh, sedang berzikir dan berdoa meminta ampun dengan Allah, agar dilepaskan dari kesempitan hidup dalam alam yang luas ini.
Sedang bermunajat tersebut, tiba-tiba kedengaran suara memanggil namanya.
”Wahai Kaab, bergembiralah kamu. Wahai Kaab bergembiralah kamu” kedengaran suara begitu berkali-kali.
Mendengar suara menyebut demikian, Kaab terus memahami bahawa Allah SWT telah memberi kemaafan terhadap kesilapan yang telah dilakukannya.
Dia terus sujud kepada Allah, mengucapkan syukur kepada ilahi. Apabila dia keluar dari rumah, kelihatan ramai yang hadir hendak memaklumkan berita gembira itu kepada Kaab. Ada yang datang dengan menaiki kuda, ada yang berlari-lari dan sebagainya.
Mulut mereka, tidak habis-habis menyebut, ”wahai Kaab, berbahagialah kamu. Wahai Kaab, berbahagialah kamu”
Kaab pun terus pergi mencari Rasulullah SAW. sesampai di hadapan Masjid, didapati ramai dari kalangan sahabat yang sedang menunggu kedatangan Kaab. Apabila sampai, Kaab terus masuk untuk berjumpa dengan rasulullah SAW dan didapati, bersama baginda ada dua orang sahabat lagi, iaitu Hilal bin Umayyah dan Murarah bin Rabi'.
Apabila berjumpa dengan Rasullullah SAW, Kaab tersenyum melihat Baginda, dan senyuman kaab itu dibalas oleh Rasulullah SAW. Baginda SAW terus membacakan satu firman Allah dari surah At-Taubah ayat ke 118 yang berbunyi;
Maksudnya; ”Dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat) mereka, hingga apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka, padahal bumi itu luas dan jiwa merekapun telah sempit (pula terasa) oleh mereka, serta mereka telah mengetahui bahwa tidak ada tempat lari dari (siksa) Allah, melainkan kepada-Nya saja. Kemudian Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah-lah Yang maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang”
Abu Ubaidah al Jarrah antara 10 sahabat Rasulullah saw yang dijamin masuk Syurga. Nama sebenarnya Amir bin Abdullah bin Al Jarrah bin Hilal Al Fihri Al Quraisy. Beliau terkenal dengan nama Abu Ubaidah al Jarrah. Beliau memeluk Islam selepas Abu Bakar as Siddiq dan amat disayangi Rasulullah saw sehingga digelar pemegang amanah. Baginda bersabda yang maksudnya, “Tiap-tiap umat ada pemegang amanah, pemegang amanah umat ini ialah Abu Ubaidah al Jarrah.” Abu Ubaidah al Jarrah antara sahabat Rasulullah saw yang banyak menanggung penderitaan akibat penganiayaan orang-orang Quraisy termasuk ayahnya sendiri Abdullah. Dalam perang Badar Abdullah memburu anaknya dengan niat hendak membunuhnya. Akhirnya berlaku pertarungan antara ayah dengan anak yang berkesudahan Abdullah terbunuh. Abu Ubaidah al Jarrah berasa amat sedih sehingga turun ayat al Quran yang membenarkan tindakannya demi untuk mempertahankan aqidah Islam. Setelah Rasulullah saw wafat Abu Ubaidah al Jarrah antara nama yang dicalonkan menjadi khalifah tetapi beliau menolaknya lalu menyokong perlantikan Abu Bakar as Siddiq. Beliau dilantik menjadi penjaga Baitulmal atau perbendaharaan. Kemudian Abu Ubaidah al Jarrah memohon untuk menyertai pasukan tentera Islam ke medan perang. Abu Ubaidah al Jarrah antara nama yang dicalunkan untuk memimpin pasukan tentera Islam ke Yarmuk tetapi akhirnya Khalifah Abu Bakar as Siddiq memilih Khalid al Walid. Sehubungan dengan itu Khalid al Walid berkata, “Wahai Abu Ubaidah al Jarrah, kamu yang lebih layak memimpin pasukan ini, tetapi saya patuh dengan arahan khalifah.” Ketika berlakunya Perang Yarmuk, Khalifah Abu Bakar as Siddiq meninggal dunia lalu digantikan dengan Umar al Khattab. Beliau telah melucutkan jawatan Khalid al Walid dengan melantik Abu Ubaidah al Jarrah menjadi ketua. Khalid al Walid menerima keputusan itu dengan rela hati. Begitu juga dengan Abu Ubaidah al Jarrah yang menerima jawatan itu. Keduanya terus berkerjasama sehingga tentera Islam mencapai kemenangan. Semasa pemerintahan Khalifah Umar al Khattab, Abu Ubaidah al Jarrah terus diberi tanggung jawab memimpin tentera Islam menakluk Parsi. Setelah berlaku pertempuran demi pertempuran akhirnya kerajaan Parsi dapat ditumbangkan. Kemudian beliau menghadapi tentera Rom sehingga berjaya menakluk Baitul Muqaddis.Ketika berada di Syam berlaku serangan wabak taun menyebabkan ramai yang menjadi mangsa termasuk Abu Ubaidah al Jarrah. Sebelum itu Khalifah Umar al Khattab memerintahkan Abu Ubaidah al Jarrah meninggalkan Syam tetapi beliau enggan kerana tidak sanggup meninggalkan tenteranya dan penduduk Syam yang sedang menghadapi wabak taun. Beliau meninggal dunia pada tahun 640 masihi lalu dikebumikan di Syam (Jordan). Ketika itu beliau berumur 58 tahun.
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan seorang pemuda yang mengugut untuk membunuh Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz. Bukan sahaja ugut bunuh bahkan rela dihukum gantung andai berjaya membunuh TGNA (klik sini). Pemuda jenis apakah ini? Adab dan akhlaknya langsung tiada, hendak berpolitik tetapi jahil tata tertib politik, jahil adab dan disiplin politik.
Orang Kelantan khususnya mengenali susuk tubuk 'lemah' yang hendak dibunuh itu, susuk tubuh itulah yang mendidik kami semua dengan didikan Islam, beliaulah pewaris para anbiya', berfikir siang dan malam demi melihat rakyat berbahagia, kebahagiaan yang kekal abadi. Hampir 20 tahun merintis jalan, jalan yang dahulunya diketawakan orang, menjadi bahan lawak dan sembang di kedai-kedai kopi, bahkan ada yang mengatakan hanya kekal selama tiga bulan sahaja.
Alhamdulillah hari ini, hampir 20 tahun beliau menerajui pemerintahan bersumberkan wahyu Ilahi, sekaligus menutup mulut para pengkeji sebelum ini. Semenjak saya mengenali Menteri Besar Kelantan, selama itulah saya mendapati orangnya penuh tawadhuk, sentiasa dengan wudhuk, siang malam rukuk dan sujudnya penuh khusyu'.
Adakah wajar susuk tubuh yang setiap pagi Jumaat menyampaikan kuliah di hadapan beribu-ribu rakyat dihina sebegini rupa? Saya tidak rela beliau diperlakukan sedemikian, saya pasti ummat Islam di luar sana pun berpendirian serupa. Saya dapat bersabar jika sebelum ini pelbagai kejian dan fitnah yang dilemparkan kepada TGNA, tapi ugutan bunuh kali ini memang melampau. Ramai pencinta kebenaran di luar sana telah pun melaporkan kepada pihak berwajib, tindakan samseng sebegini seharusnya diambil tindakan. Jika dibiarkan pasti ramai lagi yang berani bertindak samseng selepas ini. Pemuda itu rasanya tidak mengenali siapa yang diugutnya itu, mungkin hanya terikut-ikut dan terpengaruh dengan 'geng-geng'nya sahaja.
Saya mendoakan agar pemuda itu kembali ke pangkal jalan, kenal ulama' dan buka minda untuk cuba menerima pandangan serta pendapat orang lain. Itulah sebenarnya adab dan akhlak dalam berpolitik, bukan sekadar berani mengeluarkan pendapat dan pandangan yang tidak berasas sahaja. Politik itu hendaklah berilmiah dan terisi dengan 'tertib terning'nya, inilah kehendak politik zaman perubahan!
Sembang-sembang FB bersama sahabat-sahabat membuahkan hasil, tercerna kata kritis dan kreatif, belajar menulis kata hikmah..
Hayyi Mohamad Tulusnya hati..jd raja dlm diri..kebaikan diteliti..kejahatan dijauhi..mahmudah mengelilingi..mazmumah diketepi..janji alam ruh ditepati..mengakui Allah sbg rabbi..dipastikan jd ibadah segala gerak geri..inilah hati hamba hakiki, jiwa abduh yg sejati..alangkah bahagia menanti..pasti nnti kembali pd Tuhannya redha lg diredhai..
Hayyi Mohamad istighfar pelembut hati..akui kesilapan diri, lantas berazam agr x kembali lagi..tips hamba hakiki..yg mengaku Allah sbg Rabbi..
Aiwah..inilah hati, seketul daging yang terdapat dalam jasad manusia, jika ia baik maka baiklah segala jasad keseluruhannya dan jika ia rosak tidak berfungsi maka jadilah sebaiknya.
Hati inilah yang akan mengarahkan manusia sama ada melakukan kejahatan atau kebaikan. Ia jadi suis utama bagi segala amal perbuatan manusia. Sesiapa yang menjadikan hati sebagai raja, maka akan hiduplah hatinya dan sesiapa yang nafsunya menguasai diri, maka nafsulah yang akan memanduinya.
Berutung bagi pemilik hati yang hidup, dia akan berusaha sedaya upaya agar status hamba hakiki diperolehi. Hidup di dunia ini seolah-olah melalui jalanan yang dipenuhi duri yang bisa mencederakan kaki, maka dia akan melalui dengan teliti, sekira-kira tidak tersentuh duri.
Nauzubillah dari hati menjadi mati, ibarat bumi gersang yang tandus, tiada sebarang tanaman mahupun rumput yang tumbuh. Dunia ini seolah-olah dia yang miliki, halal haram tiada diteliti, asalkan cukup untuk anak dan isteri. Amat merugi, tertipu dengan diri sendiri !
"Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, berambut sangat hitam, yang tidak ternampak pada dirinya kesan-kesan tanda musafir dan tidak seorangpun di kalangan kami yang mengenalinya. Lalu dia duduk menghampiri Nabi SAW lalu disandarkan kedua-dua lututnya ke lutut Baginda dan meletakkan dua tapak tangannya atas dua paha Baginda seraya berkata: "Wahai Muhammad! Terangkan kepadaku tentang lslam". Lalu Rasulullah SAW bersabda: "lslam itu ialah engkau bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, dan engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke Baitullah, sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya". Lelaki tersebut berkata: "Benarlah engkau". Maka kami pun merasa hairan kepadanya, dia yang bertanya dia pula yang membenarkannya. Dia berkata, "Terangkan kepadaku tentang lman". Baginda bersabda: "lman itu ialah bahawa engkau percaya kepada Allah, para MalaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari Qiamat dan engkau percaya kepada Qadar baik dan buruk". Lelaki itu berkata: "Benarlah engkau". Dia berkata lagi: "Terangkanlah kepadaku tentang Ihsan". Baginda bersabda: "Ihsan itu ialah ialah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu". Lelaki itu berkata lagi: "Terangkan kepadaku tentang Qiamat". Baginda bersabda: "Orang yang ditanya tentang Qiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya". Lelaki itu berkata: "Maka terangkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya". Baginda bersabda: "Antara tanda-tandanya ialah apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila engkau melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menjadi pengembala kambing berlumba-lumba membina bangunan (iaitu bertukar menjadi kaya raya)". Kemudian lelaki itu berlalu, lalu aku terdiam sebentar. Kemudian Baginda bertanya: "Wahai 'Umar, adakah engkau tahu siapa lelaki yang bertanya itu?" Aku berkata: "Allah dan RasulNya lebih mengetahui". Baginda bersabda: "Sesungguhnya dia adalah Malaikat Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu".
Hadis riwayat al-lmam Muslim (Hadis riwayat Muslim, kitab al-iman, no: 9 dan 10, al-Tirmizi, kitab al-iman, no: 2535, beliau berkata: hadis ini hasan shahih, al-Nasaa’ie, kitab al-iman, no: 4904, 4905, Abu Dawud, kitab al-sunnah, no:4075, Ibn Majah, kitab al-muqaddimah, no: 62 dan 63, Ahmad, musnad العشرة المبشرین , no: 346).
Pengajaran hadis
Agama lslam adalah agama yang datang dari Allah. Oleh itu ia dipanggil agama samawi atau bersifat Rabbaani, iaitu bersumberkan wahyu dari langit yang diturunkan melalui malaikat Jibril. la bukanlah agama ciptaan akal manusia yang cetek, kerana itu ia amat sesuai untuk seluruh umat manusia di setiap tempat dan zaman.
Hadis ini menerangkan tiga tunggak agama, iaitu rukun lslam, rukun iman dan ihsan. Rukun lslam lima perkara iaitu mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan sembahyang lima waktu, membayar zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan mengerjakan haji di Baitullahilharam.
Rukun lman enam perkara iaitu percaya atau beriman kepada Allah, para malaikat, kitab-kitab, para Rasul, hari Qiamat dan beriman dengan qadar baik dan buruk datang dari Allah. Kesempurnaan seorang mukmin akan tercapai apabila dia menunaikan segala rukun lslam, menyempurnakan tuntutan rukun iman dan sifat ehsan.
lslam tidak sempurna kalau hanya diambil dari segi zahir sahaja, atau batin sahaja atau aspek kerohanian semata-mata. Kesempurnaan lslam hanya akan terserlah apabila diamalkan keseluruhannya. llmu dalam lslam mestilah dipelajari secara berguru dan berdasarkan panduan yang betul. llmu agama tidak boleh dipelajari melalui mimpi dan sebagainya.
Seorang murid mestilah mempunyai adab-adab yang tinggi sebagaimana beradabnya Jibril ketika datang mengadap Rasulullah SAW untuk bertanya beberapa soalan agama. Demikian juga seorang guru mestilah mempunyai adab yang tinggi. Dia sewajibnya hanya mengajar atau menjawab soalan yang diketahui dan meninggalkan apa yang dia tidak tahu. ltu adalah tanda wara' para ulama dan orang berilmu.
Hari qiamat adalah peristiwa besar yang menjadi salah satu rukun lman. Tiada seorang manusia pun yang tahu bila ia akan berlaku, walaupun Rasulullah SAW. la adalah sebahagian dari ilmu ghaib yang tidak diketahui kecuali oleh Allah SWT. Sesiapa yang mengaku tahu bila berlaku qiamat atau mengetahui ilmu ghaib, maka dia adalah seorang penipu besar.
Walaupun tarikh qiamat tidak diketahui, namun ada beberapa tanda yang menunjukkan ia hampir tiba, antaranya ialah terjadi peristiwa seorang ibu melahirkan tuannya atau bosnya sendiri, iaitu ibu yang menjadi hamba kepada anaknya. Antara tanda-tandanya juga ialah berlaku peristiwa si miskin yang papa merempat bertukar menjadi hartawan yang kaya raya.
Alhamdulillah..peperiksaan telah berlalu, hilanglah sedikit kekalutan yang melanda diri, tapi tak bermakna segala buku dan kitab akan diletak tepi, memang sudah menjadi wajibat penuntut, selalu berdamping dengan sumber-sumber ilmu. Tempoh masa lebih kurang tiga tahun bermusafir inilah yang akan digunakan untuk 'menelan' seberapa banyak 'bahan-bahan mentah', bahan mentah ini akan dimuntahkan di tanah air nanti, bekal buat diri untuk berdepan dengan kondisi yang sebenar..
Tarbiyyah Ilahi..
Bila direnung, muhasabah, terlalu banyak kekurangan diri ini..semuanya itu perlu kepada azam yang tinggi dan cita-cita untuk berubah ke arah yang lebih baik, tazkirah dan tarbiyah merupakan asas utama memandu diri ke arah yang terbaik.."ahsanu 'amala" yang disebut pada ayat yang kedua dalam surah Al-Mulk.
"Dialah yang mentaqdirkan adanya mati dan hidup untuk menguji dan menzahirkan siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya dan Dia maha berkuasa lagi maha pengampun"
Maha benarlah firman Allah swt, hidup dan kematian adalah tarbiyyah, untuk mengetahui siapakah yang terbaik amalannya. Hidup di dunia ini seolah-olah berada di alam fantasi, tidak hakiki, kesenangannya bukanlah kesenangan abadi, keseronokannya akan terhenti, kekayaan dan kemewahan hanya pinjaman Ilahi, kecantikan serta keindahan yang dihidangkan untuk menguji.
Hanya manusia yang punyai nurani sejati mampu hidup dengan berhati-hati, gerak langkahnya penuh teliti, seolah-olah berjalan di celahan duri. Maka merugilah bagi yang terleka dibuai duniawi, tertipu dengan diri sendiri. Dunia dirasakan segala-gala, sehingga bagaikan mereka yang miliki, hingga akhirnya kematian melewati.
Perincian Tarbiyyah
Bagi tarbiyyah itu ada 10 perinciannya (muwasofat) :
Akidah yang sejahtera (Salimul Aqidah)
• Redha Allah sebagai tuhan, Islam sebagai Agama dan Muhammad saw sebagai Nabi.
• Sentiasa muraqabah Allah dan mengingati akhirat, memperbanyakkan nawafil dan zikir.
• Menjaga kebersihan hati, bertaubat, istighfar, menjauhi dosa dan syubhat.
Ibadah yang betul (Sahihul Ibadah)
• Perlu melakukan ibadat yang meninggikan roh dan jiwanya.
• Perlu belajar untuk membetulkan amalannya dan mengetahui halal dan haram.
• Tidak melampau atau berkurang (pertengahan).
Akhlak yang mantap (Matinul Khuluq)
• Akhlak kita ialah Al-Quran dan ditunjukkan oleh Nabi saw.
Dijelaskan beberapa unsur oleh Imam Al-Banna dalam kewajipan daie iaitu sensitif, tawadhu’, benar dalam perkataan dan perbuatan, tegas, menunai janji, berani, serius, menjauhi teman buruk dll.
Mampu berusaha (Qadiran ala Kasbi)
• Walaupun kaya, perlu bekerja.
• Meletakkan jawatan dan tempat kerja mengikut keperluan dakwah lebih utama dari gaji dan pendapatan.
• Melakukan setiap kerja dengan betul dan sebaiknya (ihsan).
• Menjauhi riba dalam semua lapangan.
• Menyimpan untuk waktu kesempitan.
• Menjauhi segala bentuk kemewahan dan pembaziran.
Berpengetahuan luas (Mutsaqqafal Fikri)
• Perlu berpengetahuan tentang Islam dan maklumat am supaya mampu menceritakan kepada orang lain.
• Perlu bersumberkan kepada Al-Quran dan Hadis dan diterangkan oleh ulama yang thiqah.
• Pesan Imam Banna: Perlu boleh membaca dengan baik, mempunyai perpustakaan sendiri dan cuba menjadi pakar dalam bidang yang diceburi.
• Mampu membaca Al-Quran dengan baik, tadabbur, mempelajari sirah, kisah salaf dan kaedah serta rahsia hukum yang penting.
Kuat tubuh badan (Qawiyyal Jism)
• Dakwah berat tanggungjawab dan tugas - perlukan badan yang sihat dan kuat.
• Rasulullah saw menitikberatkan soal ini. Maksud Hadis : “Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dikasihi Allah dari mukmin yang lemah, tetapi pada keduanya ada kebaikan”
• Pesanan al-Banna:
“Memeriksa kesihatan diri,mengamalkan riyadhah dan tidak memakan/minum suatu yang merosakkan badan”
Mampu melawan nafsu (Mujahadah ala Nafsi)
• Perlu azam yang kuat untuk melawan kehendak nafsunya dan mengikut kehendak Islam.
• Tidak menghiraukan apa orang kata dalam mempraktikkan Islam.
• Pendakwah mungkin melalui suasana sukar yang tidak akan dapat dihadapi oleh orang yang tidak biasa dengan kesusahan.
Menjaga waktu (Haarithun ala Waqtihi)
• Waktu lebih mahal dari emas, waktu adalah kehidupan yang tidak akan kembali semula.
• Sahabat sentiasa berdoa agar diberkati waktu yang ada pada mereka.
Tersusun dalam urusan (Munazzamun fi syu’unihi)
• Untuk manfaatkan waktu dengan baik.. perlu penyusunan dalam segala urusan.
• Gunakan segala masa dan tenaga tersusun untuk manfaat Islam dan dakwah.
Berguna untuk orang lain. (Nafi’un li ghairihi)
• Daie umpama lilin yang membakar diri untuk menyuluh orang lain.
• Daie adalah penggerak dakwah dan Islam. Masa depan Islam, hidup mati Islam bergantung kepada daie.
• Amal Islam ialah untuk menyelamatkan orang lain dari kesesatan.
• Merasa gembira bila dapat membantu orang lain, paling indah dalam hidupnya ialah bila dapat mengajak seorang manusia ke jalan Allah.