Jaringan Ukhwah

Showing posts with label Jejak Sahabat. Show all posts
Showing posts with label Jejak Sahabat. Show all posts

18 April 2011

Syuhada Mu'tah Dalam Kenangan


Dataran Syuhada’ menjadi saksi pertempuran sengit di antara umat Islam dan Rom. Ia adalah bukti bahawa nabi SAW sangat mengambil berat untuk membebaskan Masjid al-Aqsa, yang berada dalam cengkaman kuasa Rom, walaupun hanya berjaya dibebaskan pada zaman Umar al-Khattab RA, dan sekali lagi oleh Salahuddin al-Ayubi.

Berbetulan dengan bulan Jumada al-Awal sekarang, peperangan Mu’tah berlaku dalam bulan ini. Rasulullah SAW telah menghantar Al-Harith bin Umair Al-Azdi sebagai utusan membawa surat untuk menyeru Raja Rom kepada Islam, tetapi utusan ini telah dibunuh dengan kejam. Maka Rasulullah SAW mempersiapkan tiga ribu tentera Islam untuk memerangi mereka sebagai menuntut bela atas kematian sahabat nabi ini. Al-Mubarakfuri menyatakan tentang peperangan ini, katanya:

Peperangan ini (Mu’tah) adalah pertempuran paling sengit dan peperangan paling dahsyat yang pernah dihadapi oleh umat Islam pada zaman nabi SAW. Ia adalah permulaan kepada pembukaan negara-negara nasrani, berlaku pada bulan Jamadi al-Awwal tahun ke lapan Hijrah bersamaan bulan Ogos atau September tahun 926M. (al-Rahiq al-Makhtum)

Wasiat nabi SAW sebelum peperangan sudah mengisyaratkan syahidnya beberapa panglima perang yang dilantik. Jarang berlaku dalam peperangan-peperangan sebelum ini. Namun tiada sebarang tanda-tanda gentar dalam kalangan para sahabat. Mereka berperang bukan untuk kehidupan dunia, bukan juga untuk harta dan kemewahan, tetapi untuk meninggikan kalimah Allah, bagi mereka syurga adalah segala-galanya. Slogan mereka sama ada menang atau syahid. Diriwayatkan daripada Ibn Umar RA bahawa:

Rasulullah SAW telah melantik Zaid bin Harithah sebagai panglima dalam peperangan Mu’tah, nabi SAW bersabda: Sekiranya Zaid terbunuh, maka Ja’far (menjadi panglima), dan sekiranya Ja’far terbunuh maka Abdullah bin Rawahah (menjadi panglima). (Riwayat al-Bukhari).

Imam Ibn Hajar al-Asqolani (852H) ketika menghuraikan hadith ini, menyatakan tentang salah satu kaedah perlantikan dalam kepimpinan. Beliau menjelaskan dalam kitabnya:

Daripada wasiat nabi SAW ini, menunjukkan hukum harus bagi seorang khalifah atau ketua umat Islam untuk meletakkan syarat kepada seseorang yang dilantiknya. Begitu juga boleh melantik beberapa pemimpin kepada umat Islam mengikut tertib, sebagaimana yang dilakukan oleh nabi SAW dengan melantik Zaid, kemudian Ja’far dan kemudian Abdullah bin Rawahah. Para ulama’ berkata: Dan benar jika khalifah melantik yang demikian, maka terlantiklah kesemuanya dalam satu masa, namun demikian ia tidak akan berlaku melainkan secara mengikut turutan. (Fathu al-Bari)

Iman yang benar menatijahkan kekuatan dan keajaiban. Semua ujian dan rintangan yang terbentang bukan penghalang untuk meneruskan perjalanan. Ia hanya cabaran yang mesti dilalui sebelum sampai ke destinasi. Matlamat yang lebih besar iaitu redha Allah menjadikan selainnya kecil dan tidak bernilai. Itulah iman dan keyakinan terhadap janji Allah. Keyakinan tentang hari akhirat yang kekal abadi, hari pengadilan yang tiada kezaliman dan hari kebahgiaan untuk mereka yang telah dijanjikan. Keimanan inilah yang menjadikan Abdullah bin Rawahah meminta kepada tentera Islam untuk meneruskan misi walaupun akan berhadapan dengan jumlah tentera Rom yang terlalu ramai. Ibn al-Qaiyim al-Jauziah (751H) merakamkan:

Kemudian mereka semua bertolak sehinggalah sampai di Ma’an. Maka Sampai berita yang menyatakan Hiraqle di al-Balqa’ bersama tentera Rom yang berjumlah seratus ribu orang, kemudian bergabung lagi tentera daripada Lakhmin, Judzam, Balqain, Bahra’ dan Baliy seramai seratus ribu orang. Apabila tentera Islam mengetahui berita tersebut, mereka berbincang di Ma’an selama dua malam... Abdullah bin Rawahah telah memberi motivasi kepada mereka, katanya: Wahai kaum, demi Allah apa yang kamu semua bencikan untuk keluar mendapatkan syahid. Kita bukan berperang kerana kuantiti, atau kekuatan atau jumlah yang ramai. Tiadalah kita berperang dengan mereka melainkan kerana agama ini, yang Allah telah muliakan kita dengannya. Berjalanlah, sesungguhnya ia adalah salah satu daripada dua kebaikan, sama ada menang atau syahid. (Zad al-Ma’ad, jilid 3, hlmn 336).

Keajaiban iman juga yang menyaksikan bagaimana syahidnya Ja’far yang baru berusia tiga puluh tiga tahun, sehingga mendapat gelaran al-Toiyyar (yang terbang) menerusi peperangan Mu’tah ini. Diriwayatkan daripada al-Sya’bi bahawa:

Adalah Ibn Umar RA apabila memberi salam kepada anak Ja’far, dia akan berkata: Assalamualaika wahai anak kepada zi al-janahain (yang mempunyai dua sayap). Dinamakan demikian kerana khabar daripada nabi SAW yang menyebut bahawa Allah SWT menggantikan kedua-dua tangannya yang terpotong dalam peperangan Mu’tah dengan dua sayap yang membolehkannya terbang di dalam syurga. (Riwayat al-Bukhari)  

Jaafar At-Thoyyar r.a
Makam Jaafar At-Thoyyar di Mazar,Karak,Jordan

Peperangan ini juga mencatatkan kepentingan syura walaupun di saat genting, dan juga keperluan ijtihad meskipun ketika hayat baginda SAW. Rasulullah hanya menyebut tiga orang panglima dalam peperangan ini, namun ketiga-tiganya telah syahid. Para sahabat tidak hilang punca sebaliknya mereka mecadangkan Khalid bin al-Walid yang baru sahaja tiga bulan masuk Islam untuk memimpin pasukan tentera Islam, sehingga berjaya mengundurkan tentera musuh. Anas bin Malik meriwayatkan bahawa:

Nabi SAW berkabung bersama umat Islam atas syahidnya Zaid, Ja’far dan Ibn Rawahah sebelum berita sampai kepada orang ramai. Nabi bersabda: Zaid memegang bendera, kemudian terbunuh, Ja’far pula mengambil bendera, kemudian terbunuh, seterusnya Ibn Rawahah mengambil bendera, dan kemudian terbunuh, kedua-dua mata nabi SAW bergenang air mata, sabdanya lagi: hinggalah pedang daripada pedang-pedang Allah (Khalid bin al-Walid) mengambil bendera, lalu Allah membukakan ke atas mereka. (Riwayat al-Bukhari)

Zaid Harithah r.a
Bersemadinya Zaid Bin Harithah di kawasan yang bersebelahan

Abdullah Rawahah r.a
Makam Abdullah Rawahah agak berjauhan sket dari kedua-dua sahabat di atas

Begitulah ajaibnya iman, ia mampu bertahan dan melawan. Ia mampu mencipta sejarah. Rom tidak pernah terfikir yang mereka akan diusir oleh kuasa keimanan yang dimiliki oleh  orang-orang Arab yang satu ketika dahulu adalah bangsa yang tidak pernah mereka hiraukan. Rom tidak pernah menyangka jumlah mereka yang banyak boleh dikalahkan oleh ketulenan iman kumpulan yang sedikit. Dan Rom tidak pernah terlintas yang empayar kuasa besar mereka boleh digugat oleh keajaiban keimanan umat pimpinan utusan akhir zaman.


Sumber : Ustaz Anhar Opir

28 December 2010

Abu Ayyub Al-Ansari




Entri ini sengaja saya postkan bersempena dengan pementasan teater muzikal Festival Sukan dan Kesenian Islam 2010 (FESKEI '10) anjuran PERMATA. Batch KAMI (TABAH) a.k.a pelajar-pelajar tahun dua cuba mementaskan jalan cerita Abu Ayyub Al-Ansari ini. KAMI cuba menjejaki para sahabat radhiallahu anhum, mereka adalah bintang di langit, sesiapa yang mengikuti mereka pasti merekalah golongan yang diberi hidayah. Relevan KAMI, mudah-mudahan pementasan ini menyedarkan sahabat-sahabat semangat pengorbanan yang ada pada insan agung ini. Moga-moga terketuk hati-hati kita menghayati jalan hidup sahabat yang agak rapat dengan baginda SAW ini.



ABU AYYUB AL-ANSARI

Khalid Ibn Zayd Ibn Kulayb dari Bani Najjar adalah seorang sahabat yang gemilang di dalam lipatan sejarah generasi pertama. Ia adalah seorang sahabat yang amat karib dengan Rasulullah SAW. Kerana anaknya Ayyub, ia dikenali sebagai Abu Ayyub. Di kalangan penduduk Madinah Abu Ayyub ialah seorang yang amat dihormati oleh kaum Ansar kerana keakrabannya dengan Rasulullah SAW.


Dalam detik-detik bersejarah ketibaan Rasulullah SAW di Madinah dalam hijrahnya, beliau telah diberi sambutan yang hangat oleh penduduk Madinah. Mereka mencurahkan seluruh jiwa raga dan kecintaan mereka kepada manusia kecintaan Allah yang memilih untuk tinggal bersama mereka. Seolah-olahnya menyambut pemimpin besar yang baru pulang dari perantauan malah bukan setakat itu sahaja, manusia agung ini juga disambut dengan penuh kecintaan seolah-olah sebagai kekasih hati yang telah lama berpisah.

Perhentian pertama Rasul SAW di Quba membawa Rasulullah SAW tinggal di situ beberapa hari. Di sinilah masjid pertama dibina seperti yang diabadikan Allah di dalam al-Quran sebagai masjid yang dibina di atas asas taqwa.

Unta Rasulullah berjalan terus melintasi rumah demi rumah sambil diikuti oleh setiap tuan rumah yang dilintasi dengan rasa kecewa sedangkan mereka yang masih di jalanan unta terus menaruh harapan yang tinggi kerana unta Rasulullah yang mulia memilih untuk terus berjalan.

Unta Rasulullah terus berjalan diikuti oleh penduduk Madinah hinggalah ia berhenti sambil enggan berjalan lagi di kawasan lapang di hadapan rumah Abu Ayyub Al-Ansari. Rasulullah SAW tidak turun dari unta sambil melepaskan tali unta. Selepas beberapa ketika menanti, unta Baginda SAW bangun dan berjalan lagi. Namun selepas beberapa ketika unta tersebut pulang kembali menelusuri jalan asalnya ke rumah Abu Ayyub.

Alangkah gembiranya Abu Ayyub sambil berlari menyambut Rasulullah SAW dan membawa barangan Rasulullah SAW ke rumahnya seolah-olah ia sedang mengangkat harta yang paling berharga di dunia.

Abu Ayyub mengosongkan tingkat atas rumahnya dan meminta Rasulullah SAW tinggal di tingkat atas. Rasulullah SAW menolak dan meminta untuk tinggal di tingkat bawah. Malam tiba dan Rasulullah SAW masuk berehat. Abu Ayyub naik ke tingkat atas dan terus berkata kepada isterinya dengan penuh kegugupan, “ Celakalah kita !! apa yang telah kita lakukan? Rasulullah di bawah dan kita lebih tinggi darinya? Sanggupkah kita berjalan di atas Rasulullah SAW? Adakah kita akan berada di antara Rasulullah SAW dan wahyu? Jika demikian pastilah kita akan celaka !!” Pasangan tersebut amat gusar dan tidak tahu apa lagi yang dapat mereka lakukan. Sepanjang malam mereka hanya berjalan di bahagian tepi bangunan yang tidak berada tepat di atas Rasulullah SAW.

Pada pagi keesokan harinya, Abu Ayyub berkata kepada Rasulullah SAW, “ Demi Allah aku dan Ummu Ayyub tidak tidur semalaman !” Kenapa tidak Abu Ayyub?, “ Tanya Rasulullah. Abu Ayyub menyatakan rasa hatinya kepada Rasulullah SAW dan kegusarannya berada di kedudukan yang lebih tinggi dari Rasulullah SAW dan kebimbangan bahawa mereka akan mengganggu turunnya wahyu. Rasulullah SAW yang amat penyayang tersenyum sambil berkata “ Jangan bimbang aku memilih tingkat bawah kerana ramainya manusia yang datang melawat kami. ” Abu Ayyub berkata “ Aku tunduk kepada kehendak Rasulullah SAW ” sehinggalah pada suatu malam yang dingin kendi air kami pecah dan airnya membasahi ruang atas. Ummu Ayyub dan aku melihat dengan bimbang. Kami hanya memiliki sehelai kain sutera yang kami gunakan sebagai selimut. Lantas kami menggunakannya untuk mengeringkan air tersebut kerana takut ia akan menyerap turun dan mengenai Rasulullah SAW. Pada waktu paginya aku pergi kepada Rasulullah SAW dan menyatakan kami tidak suka berada di atas engkau ya Rasulullah !, sambil aku menceritakan apa yang berlaku. Barulah Rasulullah SAW menerima permohonanku dan kami pun bertukar paras”.

Rasulullah SAW tinggal bersama Abu Ayyub selama hampir 7 bulan sehingga masjid yang dibina siap di kawasan lapang di hadapan rumah Abu Ayyub. Rasulullah SAW berpindah ke masjid tersebut dan menjadi jiran kepada Abu Ayyub. Abu Ayyub amat mengasihi Rasulullah SAW begitu juga Rasulullah amat mencintai Abu Ayyub. Mereka begitu akrab sehingga Rasulullah SAW sentiasa menganggap rumah Abu Ayyub sebagai rumahnya sendiri. Kisah berikut menggambarkan bagaimana karibnya Rasulullah SAW dan Abu Ayyub sebagai jiran.

Pada suatu hari, Sayidina Abu Bakar R.A keluar meninggalkan rumahnya di waktu rembang tengahari ketika matahari panas terik menuju ke masjid. Sayidina Umar melihat lantas bertanya, “ Ya Abu Bakar ! Apakah yang telah membawa kamu keluar pada waktu begini? Abu Bakar menyatakan bahawa ia telah meninggalkan rumahnya kerana kelaparan yang amat sangat. Sayidina Umar lantas menyatakan bahawa dia juga sebenarnya sedang berada dalam keadaan yang sama.

Maha suci Allah yang mempertemukan mereka dengan Rasulullah SAW. Rasulullah melihat mereka berdua lantas bertanya soalan yang sama, “ Apakah yang telah mengeluarkan kamu dari rumah kamu pada masa begini? ” Mereka menjelaskan kepada Rasulullah keadaan mereka. Rasulullah SAW menjelaskan bahawa “Demi Allah yang nyawa ku berada di tangan Nya, hanyalah kelaparan yang telah juga mengeluarkan aku dari rumah ku, mari bersama ku ”.

Rasulullah SAW amat memahami ke manakah tujuan yang amat disenanginya. Mereka menuju ke rumah Abu Ayyub Al-Ansari. Sebagai wanita Mukminah yang terdidik dengan didikan iman kepada Allah dan hari akhirat, isteri Abu Ayyub membuka pintu lantas menyambut mereka dengan katanya “ Selamat datang Rasulullah SAW dan siapa saja yang bersamanya ”.

“ Di mana Abu Ayyub? “ Rasulullah SAW bertanya seolah-olah seperti saudara rapat yang amat memahami satu sama lain. Abu Ayyub yang sedang bekerja di kebun tamar berhampiran mendengar suara Rasulullah SAW lantas bergegas datang mendapatkan Rasulullah dan sahabat-sahabatnya sambil mengalu-alukan Rasulullah SAW dengan ucapan penuh kemesraan dan kerelaan hati menyambut jirannya yang mulia “ Selamat datang Rasulullah dan siapa saja yang bersamanya ”. Abu Ayyub yang amat memahami Rasulullah SAW menyapa “ Ya Rasulullah, ini bukan masa yang biasa engkau selalu ke mari ” sebenarnya Abu Ayyub sememangnya selalu menyediakan sedikit makanan kepada Rasulullah setiap hari dan jika Rasulullah SAW tidak datang mengambilnya pada masa-masa tertentu, ia akan menghantarnya kepada keluarga Baginda. “ Engkau benar...wahai Abu Ayyub ”.

Maha suci Allah yang maha pemurah yang menjadikan Rasulnya yang mulia dan para sahabatnya yang gemilang sebagai contoh jiran terbaik yang pernah wujud dalam sejarah kemanusiaan. Abu Ayyub lantas keluar menuju ke kebun tamarnya lalu memotong serumpun tamar yang bercampur antara tamar yang masak dan separa masak. Rasulullah SAW menegurnya “ Aku tidak mahu kamu mengambil yang ini, tidakkah kamu hanya mengambil yang masak sahaja? ( Rasulullah tidak mahu Abu Ayyub mengambil semuanya hingga yang separa masak- hadis lain menunjukkan Rasulullah sebenarnya gemar memakan tamar yang separa masak ). Abu Ayyub berkata, “ Ya Rasulullah, makanlah dari kedua-duanya yang masak dan yang separa masak. Aku akan menyembelih seekor ternakan ku untuk mu juga ” Rasulullah SAW menyebut “ jika engkau akan menyembelih, jangan menyembelih ternakan yang sedang mengeluarkan susu ”. Abu Ayyub akhirnya menyembelih seekor kambingnya yang muda, memasak separuh darinya dan memanggang separuh yang lain.

Apabila makanan telah dihidangkan di hadapan Rasulullah SAW dan sahabat-sahabatnya, Rasulullah SAW mengambil sepotong daging dan meletakkannya di dalam roti lalu berkata kepada Abu Ayyub ” bawalah ini kepada Fatimah, dia telah beberapa hari tidak merasakan makanan sebegini ”.

Setelah makan dan merasa puas, Rasulullah SAW lantas bersabda “ Roti, daging, busr dan rutab...! ” lantas baginda menangis hingga mengalir air mata nya. Rasulullah SAW menyebut “ Ini ialah rahmat dari Allah yang akan ditanya ke atas kamu di hari akhirat nanti. Jika rezeki sebegini datang kepada mu, letakkan tangan kamu padanya dan bacalah Bismillah dan setelah kamu habis, sebutlah Alhamdulillah hilazi huwa ashbana wa an-‘ama alaina. Inilah yang terbaik ”.

Inilah sekilas dari kehidupan Abu Ayyub Al-Ansari, sahabat Rasulullah SAW yang terkenal ketika masa damainya, Abu Ayyub juga sebenarnya adalah mujahid yang telah meninggalkan kisah hebat yang menjadi tauladan sepanjang zaman.

Sesungguhnya Abu Ayyub telah menghabiskan kebanyakan dari detik hidupnya berperang di jalan Allah. Dikatakan bahawa Abu Ayyub tidak pernah meninggalkan mana-mana medan peperangan yang disertai oleh kaum muslimin sejak dari zaman Rasulullah SAW hinggalah ke zaman Muawiyyah R.A melainkan pada ketika itu dia sedang terlibat di dalam peperangan yang lain pada masa yang sama.

Kempen peperangan terakhir Abu Ayyub ialah di zaman Muawiyyah dalam peperangan ke atas Konstantinopel. Abu Ayyub ketika itu berumur sekitar 80 tahun. Sesungguhnya ketuaan yang sebegitu tidak menghalang Abu Ayyub dari menyertai pasukan tentera menyeberangi lautan di jalan Allah SWT. Walau bagaimanapun selepas masa yang singkat, Abu Ayyub jatuh sakit dan terpaksa dibawa keluar dari medan. Yazid bin Muawiyyah sebagai panglima perang datang kepadanya lalu bertanya; “ Adakah engkau memerlukan apa-apa wahai Abu Ayyub? ”. Abu Ayyub pada ketika detik-detik terakhir kehidupannya di medan juang meninggalkan pesan yang menjadi 'ibrah kepada setiap mujahidin selepas daripadanya. Dia menjawab; “ Sampaikan salam ku kepada tentera muslimin dan katakan kepada mereka, Abu Ayyub menggesa kamu untuk menyerang jauh ke dalam perbatasan musuh semampu kamu. Kamu mesti membawanya ( Abu Ayyub ) bersama dan kamu mengebumikannya di bawah kaki-kaki kamu di tepi dinding kubu Konstentinopel !!”.

Abu Ayyub akhirnya menghembuskan nafas yang terakhir di medan peperangan dengan penuh kemuliaan seorang pahlawan yang terbilang dan mujahidin fisabilillah. Tentera muslimin telah memenuhi kehendaknya. Mereka menyerang pasukan musuh dalam serangan demi serangan hingga mereka sampai ke dinding kota Konstentinopel. Di situlah Abu Ayyub telah dikebumikan.


Kehebatan Al-Fateh dibongkarkan dalam buku ini.

(Pasukan Muslimin telah mengepung kubu tersebut selama 4 tahun tetapi terpaksa berundur selepas mengalami kehilangan yang besar sehinggalah Konstentinopel di buka semula pada zaman Sultan Muhammad Al-Fateh dari Uthmaniyyah,Turki).

Sumber Abu Ayyub Al-Ansari : Encik Syakirin bin Syaari

15 May 2010

KISAH KAAB BIN MALIK

Gambar hiasan


Dalam perang Tabuk, ada beberapa sahabat yang tidak berangkat berperang. Salah seorang di antara mereka adalah Ka’ab bin Malik.


“Aku sama sekali tidak pernah tinggal daripada mengikuti semua peperangan bersama Rasululah saw, kecuali dalam perang Tabuk. Aku tidak turut serta dalam perang Tabuk itu adalah karena kelalaian diriku terhadap perhiasan dunia; yang ketika itu keadaan ekonomiku jauh lebih baik daripada hari-hari sebelumnya” bisik hati Kaab keseorangan.


“Demi Allah, aku tidak pernah memiliki barang dagangan lebih dari dua muatan unta, akan tetapi pada waktu peperangan itu aku memilikinya” sambung bisikan hatinya lagi.


Ketika berlaku peperangan tabuk, keadaan sangat panas. Disamping, perjalanan dari Madinah ke Tabuk [tempatnya di antara hijir dan Damsyik di syria] amat jauh, juga pertempuran kali ini dengan bala tentera Rom, yang merupakan suatu kuasa besar di dunia ketika itu.


Ketika Rasulullah SAW mempersiapkan untuk berangkat, Kaab juga bersiap-siap. Namun, sedang dia bersiap-siap, hatinya mula berkata-kata untuk membatalkan hasratnya untuk tidak turut serta bersama dengan Nabi SAW.


Para sahabat sudah bertolak meninggalkan Madinah bersama dengan Nabi. Kaab bin Malik masih lagi berlengah-lengah di Madinah, sehingga semua para sahabat telah meninggalkan Madinah.


Ketika semua para sahabat telah meninggalkan Madinah, maka tinggallah Kaab bin malik. Apabila beliau keluar dari rumah, beliau hanya ternampak golongan yang tidak diwajibkan berperang, seperti orang-orang tua, kanak-kanak, perempuan dan sebilangan orang-orang munafiq.


Melihat keadaan itu, menyebabkan hati Kaab bin Malik mula mengeluh. Beliau sedar, bahawa beliau bukan dari kalangan mereka, terutama beliau bukan salah seorang dari kalangan orang munafiq.


Di Tabuk, Rasulullah SAW ada bertanya sahabat tentang Kaab. Soalan Rasulullah SAW itu dijawab oleh seorang lelaki dari Bani Salamah dengan menyatakan bahawa Kaab seorang yang sombong sehingga tidak terlibat dalam peperangan Tabuk pada kali itu.


Jawapan lelaki dari Bani Salamah itu disangkal oleh Mu’az bin Jabal, dan Kaab bin Malik dipertahankan oleh Mu’az dengan sedemikian hebat sekali.


Setelah pulang dari Tabuk, kebiasaan Rasulullah SAW setelah pulang dari medan peperangan, Baginda SAW tidak terus pulang ke rumah, sebaliknya menuju ke Masjid terlebih dahulu, dan menunaikan solat dua rakaat, dan berjumpa dengan tetamu-tetamu yang berkunjung tiba.


Setelah selesai menunaikan solat, ramai yang datang berjumpa dengan Rasulullah SAW. kebanyakkan mereka yang hadir ketika itu adalah orang-orang yang tidak terlibat dalam peperangan. Berbagai-bagai alasan yang dikemukakan, sehingga tidak dinafikan juga ada dari kalangan mereka yang bersumpah dengan nama Allah untuk mengukuhkan alasan mereka dihadapan Rasulullah SAW. Selalunya, mereka yang bersumpah tersebut adalah orang-orang munafiq.


Antara yang turut hadir berjumpa dengan Rasulullah SAW ketika itu adalah Kaab bin Malik. Apabila melihat Kaab hadir, Rasulullah SAW senyum kelat terhadap Kaab, namun tetap juga memanggil Kaab agar datang berhampiran dengan baginda.


Rasulullah bertanya Kaab, mengapa beliau tidak turut serta dalam peperangan Tabuk. Kaab berterus terang, memberitahu kepada Rasulullah atas tindakannya yang tidak hadir dalam peperangan Tabuk tersebut.


Mendengar penjelasan tulus dari Kaab bin Malik, Nabi SAW terus mengarahkan Kaab pergi. Tidak lama kemudian, kedengaran bahawa Nabi SAW telah mengarahkan para sahabat agar memboikot Kaab bin Malik; agar tidak bercakap dan melayan kaab bin Malik.


Arahan itu, bukan sahaja terhadap Kaab bin Malik, malahan terhadap dua orang sahabat lagi, iaitu Murarah bin Rabi’ Al-Amiri dan Hilal bin Umayyah Al-Waqifi.


Kemana sahaja Kaab pergi, boleh dikatakan semua tidak melayan beliau. Keadaan ini berlanjutan, sehingga Kaab dan dua orang sahabat lagi hidup dalam keadaan amat tertekan sekali.


Waima diboikot, Kaab tetap juga ’menebalkan mukanya’ menghadiri majlis-majlis yang melibatkan Nabi SAW, seperti majlis ilmu dan solat berjemaah.


Namun, disebabkan diboikot oleh sahabat, Madinah yang dahulunya dikenali sebagai bandar tempat mereka berbahagia telah bertukar seperti tempat yang dipenuhi dengan seribu satu kedukacitaan. Semuanya berpunca dari sikap malas mereka tidak mahu terlibat dalam peperangan Tabuk, ekoran mengenangkan ekonomi mereka perlu didahulukan.


Suatu hari, Kaab bin Malik telah pergi ke rumah Abu Qatadah. Semasa sampai di situ, Kaab mengetuk mengetuk pintu rumah Abu Qatadah.


Kaab mengucapkan salam kepada Abu Qatadah, tetapi salam Kaab itu tidak dijawab.


Kaab menegur, “Wahai Abu Qatadah! Aku mohon dengan nama Allah, apakah kau tahu bahawa aku mencintai Allah dan Rasul-Nya?”


Abu Qatadah diam. Sekali lagi, Kaab mengulangi perkataannya, namun Abu Qatadah tetap mendiamkan diri. Berkali-kali Kaab mengulangi perkataannya, tetapi tetap Abu Qatadah mengambil sikap mendiam diri sehingga dia hanya menyebut, “Allah dan Rasul-Nya lebih tahu!”


keadaan itu, benar-benar terkesan pada diri Kaab bin Malik, menyebabkan air matanya tidak tertahan lagi, menitis gugur ke bumi.


Kaab pulang ke rumah dalam keadaan sedih. Kesedihan seperti itu berlanjutan berhari-hari. Sehari dirasakan bagaikan setahun. Betapa dahsyatnya tekanan yang dihadapi oleh Kaab.


Dalam keadaan kesedihan sedemikian rupa, suatu hari datang seorang lelaki dari negara Syam menemui Kaab. Dia telah memberikan kepada Kaab sepucuk surat. Apabila Kaab membaca surat itu, ternyata ia datang dari Raja Ghassan.


Kandungan surat itu antara lain menyebut, ”… Selain dari itu, bahawa sahabatmu sudah bersikap dingin terhadapmu. Allah tidak menjadikan kamu hidup terhina. Maka, ikutlah dengan kami di Ghassan, kami berjanji akan menghiburkanmu!”


membaca kandungan surat itu, hati Kaab terus berkata, “Ini juga salah satu ujian!”


Lalu Kaab telah memasukkan surat itu ke dalam tungku dan membakarnya.


Dalam keadaan sedemikian sedih sekali, datang pula seorang utusan dari Rasulullah SAW kepada Kaab.


“Rasulullah memerintahkan kepadamu supaya kamu menjauhi isterimu!” kata lelaki itu sebagai membawa pesanan dari Rasulullah SAW.


Pesanan itu menambah lagi kesedihan hati Kaab.


”Apakah Rasulullah mengarahkanku agar aku menceraikan isteriku itu?” soal Kaab kepada lelaki terbabit.


“Tidak. Akan tetapi, kamu harus menjauhkan dirimu darinya dan isterimu itu, hendaklah menjauhkan dirinya dari dirimu!” kata utusan Rasulullah SAW itu lagi.


Arahan tersebut, bukan sekadar terkena kepada Kaab bin Malik, malahan terkena juga kepada dua lagi sahabat, iaitu Murarah bin Rabi’ Al-Amiri dan Hilal bin Umayyah Al-Waqifi.


Kesedihan dan hidup dalam keadaan serba salah itu berlarutan sehingga sampai cukup bilangan 50 hari. Setelah cukup 50 hari, di suatu pagi ketika Kaab baru selesai menunaikan solat subuh, sedang berzikir dan berdoa meminta ampun dengan Allah, agar dilepaskan dari kesempitan hidup dalam alam yang luas ini.


Sedang bermunajat tersebut, tiba-tiba kedengaran suara memanggil namanya.


”Wahai Kaab, bergembiralah kamu. Wahai Kaab bergembiralah kamu” kedengaran suara begitu berkali-kali.


Mendengar suara menyebut demikian, Kaab terus memahami bahawa Allah SWT telah memberi kemaafan terhadap kesilapan yang telah dilakukannya.


Dia terus sujud kepada Allah, mengucapkan syukur kepada ilahi. Apabila dia keluar dari rumah, kelihatan ramai yang hadir hendak memaklumkan berita gembira itu kepada Kaab. Ada yang datang dengan menaiki kuda, ada yang berlari-lari dan sebagainya.


Mulut mereka, tidak habis-habis menyebut, ”wahai Kaab, berbahagialah kamu. Wahai Kaab, berbahagialah kamu”


Kaab pun terus pergi mencari Rasulullah SAW. sesampai di hadapan Masjid, didapati ramai dari kalangan sahabat yang sedang menunggu kedatangan Kaab. Apabila sampai, Kaab terus masuk untuk berjumpa dengan rasulullah SAW dan didapati, bersama baginda ada dua orang sahabat lagi, iaitu Hilal bin Umayyah dan Murarah bin Rabi'.


Apabila berjumpa dengan Rasullullah SAW, Kaab tersenyum melihat Baginda, dan senyuman kaab itu dibalas oleh Rasulullah SAW. Baginda SAW terus membacakan satu firman Allah dari surah At-Taubah ayat ke 118 yang berbunyi;


وَعَلَى الثَّلَاثَةِ الَّذِينَ خُلِّفُوا حَتَّى إِذَا ضَاقَتْ عَلَيْهِمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ وَضَاقَتْ عَلَيْهِمْ أَنْفُسُهُمْ وَظَنُّوا أَنْ لَا مَلْجَأَ مِنَ اللَّهِ إِلَّا إِلَيْهِ ثُمَّ تَابَ عَلَيْهِمْ لِيَتُوبُوا إِنَّ اللَّهَ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ


Maksudnya;
”Dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat) mereka, hingga apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka, padahal bumi itu luas dan jiwa merekapun telah sempit (pula terasa) oleh mereka, serta mereka telah mengetahui bahwa tidak ada tempat lari dari (siksa) Allah, melainkan kepada-Nya saja. Kemudian Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah-lah Yang maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang”




*sumber : Al-Bakistani

11 May 2010

Abu Ubaidah Al Jarrah

Gambar hiasan



Abu Ubaidah al Jarrah antara 10 sahabat Rasulullah saw yang dijamin masuk Syurga. Nama sebenarnya Amir bin Abdullah bin Al Jarrah bin Hilal Al Fihri Al Quraisy. Beliau terkenal dengan nama Abu Ubaidah al Jarrah.

Beliau memeluk Islam selepas Abu Bakar as Siddiq dan amat disayangi Rasulullah saw sehingga digelar pemegang amanah. Baginda bersabda yang maksudnya, “Tiap-tiap umat ada pemegang amanah, pemegang amanah umat ini ialah Abu Ubaidah al Jarrah.”


Abu Ubaidah al Jarrah antara sahabat Rasulullah saw yang banyak menanggung penderitaan akibat penganiayaan orang-orang Quraisy termasuk ayahnya sendiri Abdullah. Dalam perang Badar Abdullah memburu anaknya dengan niat hendak membunuhnya.



 Akhirnya berlaku pertarungan antara ayah dengan anak yang berkesudahan Abdullah terbunuh. Abu Ubaidah al Jarrah berasa amat sedih sehingga turun ayat al Quran yang membenarkan tindakannya demi untuk mempertahankan aqidah Islam.

Setelah Rasulullah saw wafat Abu Ubaidah al Jarrah antara nama yang dicalonkan menjadi khalifah tetapi beliau menolaknya lalu menyokong perlantikan Abu Bakar as Siddiq. Beliau dilantik menjadi penjaga Baitulmal atau perbendaharaan. Kemudian Abu Ubaidah al Jarrah memohon untuk menyertai pasukan tentera Islam ke medan perang.


Abu Ubaidah al Jarrah antara nama yang dicalunkan untuk memimpin pasukan tentera Islam ke Yarmuk tetapi akhirnya Khalifah Abu Bakar as Siddiq memilih Khalid al Walid. Sehubungan dengan itu Khalid al Walid berkata, “Wahai Abu Ubaidah al Jarrah, kamu yang lebih layak memimpin pasukan ini, tetapi saya patuh dengan arahan khalifah.”


Ketika berlakunya Perang Yarmuk, Khalifah Abu Bakar as Siddiq meninggal dunia lalu digantikan dengan Umar al Khattab. Beliau telah melucutkan jawatan Khalid al Walid dengan melantik Abu Ubaidah al Jarrah menjadi ketua. Khalid al Walid menerima keputusan itu dengan rela hati. Begitu juga dengan Abu Ubaidah al Jarrah yang menerima jawatan itu. Keduanya terus berkerjasama sehingga tentera Islam mencapai kemenangan.


Semasa pemerintahan Khalifah Umar al Khattab, Abu Ubaidah al Jarrah terus diberi tanggung jawab memimpin tentera Islam menakluk Parsi. Setelah berlaku pertempuran demi pertempuran akhirnya kerajaan Parsi dapat ditumbangkan.


Kemudian beliau menghadapi tentera Rom sehingga berjaya menakluk Baitul Muqaddis.Ketika berada di Syam berlaku serangan wabak taun menyebabkan ramai yang menjadi mangsa termasuk Abu Ubaidah al Jarrah.



Sebelum itu Khalifah Umar al Khattab memerintahkan Abu Ubaidah al Jarrah meninggalkan Syam tetapi beliau enggan kerana tidak sanggup meninggalkan tenteranya dan penduduk Syam yang sedang menghadapi wabak taun. Beliau meninggal dunia pada tahun 640 masihi lalu dikebumikan di Syam (Jordan). Ketika itu beliau berumur 58 tahun.

* Sumber : Abdul Latip Talib


TETAMU DATARAN SYAM


Tetamu di Dataran Syam ini,
Harus gagah seperti Abu Ubaidah,
Tanah yang gersang disuburkan,
Dengan darah jihad dan jiwa pahlawan.
Di celah pohon yang zaitun yang rendang,
Bersemadi syuhada’ pahlawan Islam,
Menanti dan terus menanti,
Hadirnya barisan waris perjuangan.
Medan ini medan yang susah dan payah,
Sesusah medan Mu’tah di puncak sana,
Dan penghuninya juga harus gagah,
Segagah Kota Karak perakam sejarah,
Di sini lah kau akan membina jiwamu,
Jiwa pembela maruah agama,
Berbekalkan ilmu,berpandukan iman,
Islam pasti akan kau merdekakan.
Ketibaanmu adik-adikku,
Ku sambut dengan seribu pengharapan,
Agar kau menjadi insan berilmu,
Dan pembela nasib agamamu.
Hatimu perlu cekal dan tabah,
Sesabar tiga sahabat Rasulullah,
Jiwamu perlu subur dengan iman,
Sesubur Dataran Syam bertuah.
Kita diajar cintakan kematian,
Bagai musuh kita cinta kehidupan,
Maka di Bumi Isra’ ini tempatnya,
Kau mengenal jihad dan perjuangan.
Tetamu DataranSyam, engkaulah harapan,
Untuk ummah melihat masa depan,
Sebagai ulama’ sebagai pejuang,
Islam pasti akan kau merdekakan,
Selamat datang Tetamu Dataran Syam!
Lagu / Lirik / Nyanyian : Hasrizal Abdul Jamil
Persembahan: Usrah al-Firdaus
Album: Gemilang 1995