Telah berdiri seorang lelaki
Hidup berbekal kecekalan diri
Walau menghadapi sejuta cabaran
Terus berpaut pada kebenaran
Berkurun sudah kau merintis jalan
Bertahun sudah hasratmu terhalang
Tetap bersemarak api keazaman
Bara keramat, doa dan harapan
Kau melangkah bermula dari lembah
Kau mendaki setangga ke setangga
Semakin hampir menjejaki puncak
Semakin sering kau ditikam onak
Namun kerana kau lelaki
Derita dapat diselindungi
Tangisanmu rahsia di hati
Kesepianlah teman nan sejati
Di dalamnya kau mengenal diri
Tenangnya wajah matangnya bicara
Kerana kau meyakini Tuhanlah Yang Maha Esa.
(Siso Kopratasa / Habsah Hassan)
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan seorang pemuda yang mengugut untuk membunuh Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz. Bukan sahaja ugut bunuh bahkan rela dihukum gantung andai berjaya membunuh TGNA (klik sini). Pemuda jenis apakah ini? Adab dan akhlaknya langsung tiada, hendak berpolitik tetapi jahil tata tertib politik, jahil adab dan disiplin politik.
Orang Kelantan khususnya mengenali susuk tubuk 'lemah' yang hendak dibunuh itu, susuk tubuh itulah yang mendidik kami semua dengan didikan Islam, beliaulah pewaris para anbiya', berfikir siang dan malam demi melihat rakyat berbahagia, kebahagiaan yang kekal abadi. Hampir 20 tahun merintis jalan, jalan yang dahulunya diketawakan orang, menjadi bahan lawak dan sembang di kedai-kedai kopi, bahkan ada yang mengatakan hanya kekal selama tiga bulan sahaja.
Alhamdulillah hari ini, hampir 20 tahun beliau menerajui pemerintahan bersumberkan wahyu Ilahi, sekaligus menutup mulut para pengkeji sebelum ini. Semenjak saya mengenali Menteri Besar Kelantan, selama itulah saya mendapati orangnya penuh tawadhuk, sentiasa dengan wudhuk, siang malam rukuk dan sujudnya penuh khusyu'.
Adakah wajar susuk tubuh yang setiap pagi Jumaat menyampaikan kuliah di hadapan beribu-ribu rakyat dihina sebegini rupa? Saya tidak rela beliau diperlakukan sedemikian, saya pasti ummat Islam di luar sana pun berpendirian serupa. Saya dapat bersabar jika sebelum ini pelbagai kejian dan fitnah yang dilemparkan kepada TGNA, tapi ugutan bunuh kali ini memang melampau. Ramai pencinta kebenaran di luar sana telah pun melaporkan kepada pihak berwajib, tindakan samseng sebegini seharusnya diambil tindakan. Jika dibiarkan pasti ramai lagi yang berani bertindak samseng selepas ini. Pemuda itu rasanya tidak mengenali siapa yang diugutnya itu, mungkin hanya terikut-ikut dan terpengaruh dengan 'geng-geng'nya sahaja.
Saya mendoakan agar pemuda itu kembali ke pangkal jalan, kenal ulama' dan buka minda untuk cuba menerima pandangan serta pendapat orang lain. Itulah sebenarnya adab dan akhlak dalam berpolitik, bukan sekadar berani mengeluarkan pendapat dan pandangan yang tidak berasas sahaja. Politik itu hendaklah berilmiah dan terisi dengan 'tertib terning'nya, inilah kehendak politik zaman perubahan!
No comments:
Post a Comment