Jaringan Ukhwah

05 April 2010

Siapakah yang paling baik amalannya?

Alhamdulillah..peperiksaan telah berlalu, hilanglah sedikit kekalutan yang melanda diri, tapi tak bermakna segala buku dan kitab akan diletak tepi, memang sudah menjadi wajibat penuntut, selalu berdamping dengan sumber-sumber ilmu. Tempoh masa lebih kurang tiga tahun bermusafir inilah yang akan digunakan untuk 'menelan' seberapa banyak 'bahan-bahan mentah', bahan mentah ini akan dimuntahkan di tanah air nanti, bekal buat diri untuk berdepan dengan kondisi yang sebenar..

Tarbiyyah Ilahi..

Bila direnung, muhasabah, terlalu banyak kekurangan diri ini..semuanya itu perlu kepada azam yang tinggi dan cita-cita untuk berubah ke arah yang lebih baik, tazkirah dan tarbiyah merupakan asas utama memandu diri ke arah yang terbaik.."ahsanu 'amala" yang disebut pada ayat yang kedua dalam surah Al-Mulk.

"Dialah yang mentaqdirkan adanya mati dan hidup untuk menguji dan menzahirkan siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya dan Dia maha berkuasa lagi maha pengampun"

Maha benarlah firman Allah swt, hidup dan kematian adalah tarbiyyah, untuk mengetahui siapakah yang terbaik amalannya. Hidup di dunia ini seolah-olah berada di alam fantasi, tidak hakiki, kesenangannya bukanlah kesenangan abadi, keseronokannya akan terhenti, kekayaan dan kemewahan hanya pinjaman Ilahi, kecantikan serta keindahan yang dihidangkan untuk menguji.

Hanya manusia yang punyai nurani sejati mampu hidup dengan berhati-hati, gerak langkahnya penuh teliti, seolah-olah berjalan di celahan duri. Maka merugilah bagi yang terleka dibuai duniawi, tertipu dengan diri sendiri. Dunia dirasakan segala-gala, sehingga bagaikan mereka yang miliki, hingga akhirnya kematian melewati.

Perincian Tarbiyyah

Bagi tarbiyyah itu ada  10 perinciannya (muwasofat) :

  Akidah yang sejahtera (Salimul Aqidah)
• Redha Allah sebagai tuhan, Islam sebagai Agama dan Muhammad saw sebagai Nabi.
• Sentiasa muraqabah Allah dan mengingati akhirat, memperbanyakkan nawafil dan zikir.
• Menjaga kebersihan hati, bertaubat, istighfar, menjauhi dosa dan syubhat.


Ibadah yang betul (Sahihul Ibadah)
• Perlu melakukan ibadat yang meninggikan roh dan jiwanya.
• Perlu belajar untuk membetulkan amalannya dan mengetahui halal dan haram.
• Tidak melampau atau berkurang (pertengahan).


Akhlak yang mantap (Matinul Khuluq)
• Akhlak kita ialah Al-Quran dan ditunjukkan oleh Nabi saw.
Dijelaskan beberapa unsur oleh Imam Al-Banna dalam kewajipan daie iaitu sensitif, tawadhu’, benar dalam perkataan dan perbuatan, tegas, menunai janji, berani, serius, menjauhi teman buruk dll.


Mampu berusaha (Qadiran ala Kasbi)
• Walaupun kaya, perlu bekerja.
• Meletakkan jawatan dan tempat kerja mengikut keperluan dakwah lebih utama dari gaji dan pendapatan.
• Melakukan setiap kerja dengan betul dan sebaiknya (ihsan).
• Menjauhi riba dalam semua lapangan.
• Menyimpan untuk waktu kesempitan.
• Menjauhi segala bentuk kemewahan dan pembaziran.
 

Berpengetahuan luas (Mutsaqqafal Fikri)
• Perlu berpengetahuan tentang Islam dan maklumat am supaya mampu menceritakan kepada orang lain.
• Perlu bersumberkan kepada Al-Quran dan Hadis dan diterangkan oleh ulama yang thiqah.
• Pesan Imam Banna: Perlu boleh membaca dengan baik, mempunyai perpustakaan sendiri dan cuba menjadi pakar dalam bidang yang diceburi.
• Mampu membaca Al-Quran dengan baik, tadabbur, mempelajari sirah, kisah salaf dan kaedah serta rahsia hukum yang penting.


Kuat tubuh badan (Qawiyyal Jism)
• Dakwah berat tanggungjawab dan tugas - perlukan badan yang sihat dan kuat.
• Rasulullah saw menitikberatkan soal ini. Maksud Hadis : “Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dikasihi Allah dari mukmin yang lemah, tetapi pada keduanya ada kebaikan”
• Pesanan al-Banna:
“Memeriksa kesihatan diri,mengamalkan riyadhah dan tidak memakan/minum suatu yang merosakkan badan”


Mampu melawan nafsu (Mujahadah ala Nafsi)
• Perlu azam yang kuat untuk melawan kehendak nafsunya dan mengikut kehendak Islam.
• Tidak menghiraukan apa orang kata dalam mempraktikkan Islam.
• Pendakwah mungkin melalui suasana sukar yang tidak akan dapat dihadapi oleh orang yang tidak biasa dengan kesusahan.


Menjaga waktu (Haarithun ala Waqtihi)
• Waktu lebih mahal dari emas, waktu adalah kehidupan yang tidak akan kembali semula.
• Sahabat sentiasa berdoa agar diberkati waktu yang ada pada mereka.


Tersusun dalam urusan (Munazzamun fi syu’unihi)
• Untuk manfaatkan waktu dengan baik.. perlu penyusunan dalam segala urusan.
• Gunakan segala masa dan tenaga tersusun untuk manfaat Islam dan dakwah.


Berguna untuk orang lain. (Nafi’un li ghairihi)
• Daie umpama lilin yang membakar diri untuk menyuluh orang lain.
• Daie adalah penggerak dakwah dan Islam. Masa depan Islam, hidup mati Islam bergantung kepada daie.
• Amal Islam ialah untuk menyelamatkan orang lain dari kesesatan.
• Merasa gembira bila dapat membantu orang lain, paling indah dalam hidupnya ialah bila dapat mengajak seorang manusia ke jalan Allah.





No comments: