Jaringan Ukhwah

14 November 2009

Apa khabar akhlakmu wahai para DA’IE ?

Bila kita sebut tentang akhlak mulia,pasti terkenang akan zaman kecik-kecik dahulu,mak ayah sangat menekankan anak-anaknya supaya berperangai elok,berfi’el mulia,sebagai contoh bila lalu di hadapan orang yang lebih tua atau tetamu,bongkokkan sedikit badan,menandakan begitu menghormati mereka. Alhamdulillah, ianya menjadi salah satu adab sopan dan amalan dalam masyarakat Melayu.

Zaman sekarang lain jadinya,didikan tidak formal ini sedikit sebanyak makin dilupakan,hasil dari pengaruh segala macam doktrin yang masuk ke dalam minda dan jiwa masyarakat,mungkin juga mak ayah masing-masing sibuk. Bukan hanya di bandar-bandar besar, malah di kampung juga,bahkan kadang-kadang di kampung itu lebih teruk.

Para Daie…

Sayugianya bagi kita semua melazimi diri untuk berakhlak dengan akhlak yang mulia lebih dahulu daripada orang lain,masyarakat dan seluruh mad’u kita. Sudah pasti nanti batang tubuh para daie dijadikan tilikan, teladan untuk masyarakat mencontohinya. Menjadi satu keaiban andai kata masyarakat memandang serong kepada para daie,ustaz,ustazah disebabkan akhlak yang tidak sepatutnya ada pada diri mereka.


Apa ada pada akhlak?

Akhlak mulia adalah natijah daripada iman yang terhunjam di lubuk hati. Orang yang sempurna imannya mesti sempurna akhlaknya. Sebaliknya orang yang runtuh akhlaknya menunjukkan atas keruntuhan iman yang ada di dalam dadanya.

Akhlak mulia adalah ciri utama bagi setiap muslim kerana hakikat iman apabila wujud di dalam hati, ia akan dapat memelihara segala tindakan dan perbuatan seseorang. Orang yang beriman bahawa Allah SWT itu mengetahui segala perbuatannya dan akan membalasnya pada hari kiamat nanti, sudah pasti ia tidak berani melakukan sebarang maksiat,sama ada terhadap Allah ataupun mengkhianati sesama makhluk. Dalam hal ini Rasulullah SAW pernah bersabda:

" لا إيمان لمن لا أمانة"

Ertinya : “ Tidak ada iman (tidak sempurna iman) bagi orang yang tidak ada sifat amanah pada dirinya ”.

Dengan demikian maka kita mendapati Rasulullah SAW adalah orang yang paling sempurna imannya. Ini adalah berdasarkan kepada kesempurnaan akhlaknya dan keperibadiannya yang tinggi. Jadi manusia yang paling tinggi tingkatan keimanannya ialah manusia yang paling tinggi akhlak dan budi pekertinya, sehingga bila mana Ummul Mukminin, Sayyidatina Aisyah R.A ditanya tentang akhlak Rasulullah SAW, maka beliau menjawab:

(كان خلقه القران " ( رواه مسلم "

Ertinya : “ Adalah akhlak Rasulullah SAW itu al-Quran ”.

Maksudnya Rasulullah SAW adalah memiliki akhlak yang paling tinggi seperti yang diterangkan di dalam al-Quran kerana baginda telah mengamalkan segala sifat-sifat kemuliaan yang telah diperintahkan di dalam al-Quran dan baginda telah meninggalkan segala sifat kecelaan yang telah dilarang di dalam al-Quran. Pastinya baginda merupakan contoh yang hidup kepada segala akhlak mulia yang dikehendaki di dalam al-Quran.Ketinggian dan keagungan akhlak baginda SAW telah diakui kawan dan lawan seperti yang banyak disebut dalam riwayat hidupnya, Allah SWT juga mengakui, firmanNYA :

(وإنك لعلى خلق عظيم" ( سورة القلم :4"

Maksudnya : “ Sesungguhnya engkau (Muhammad) berada di atas akhlak yang sangat agung”.

Oleh kerana itu maka Allah SWT menyuruh kita, lebih-lebih lagi para daie,ustaz dan ustazah untuk mengikuti akhlak Rasulullah SAW dan menjadikan baginda sebagai ikutan dan teladan. Firman Allah SWT :

( لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة " ( سورة الأحزاب : 21 "

Maksudnya : “ Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu ikutan yang baik ”.

Dan Rasulullah SAW sendiri telah menyatakan yang demikian itu dalam sabdanya :

" إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق"

Ertinya : “ Sesungguhnya aku diutuskan (oleh Allah SWT) untuk menyempurnakan akhlak yang mulia ”.

Jadi jelaslah bagi kita tujuan Rasulullah SAW diutuskan oleh Allah SWT adalah untuk mengajarkan ummatnya akhlak yang mulia,sama ada terhadap Allah SWT mahupun sesama makhluk. Saya yakin diri yang bergelar daie, ustaz dan ustazah telah pun memiliki, melazimi akhlak ini, mudah-mudahan catatan ini dapat dijadikan peringatan, tazkirah untuk diri saya dan para pembaca sekalian…Wallahu A’lam.

No comments: