Jaringan Ukhwah

26 December 2009

Sekitar Kelebihan Bulan Muharram

بسم الله الرحمن الرحيم




Bulan Muharram adalah di antara bulan-bulan yang terdapat di dalam kalendar Hijrah.Setiap bulan dalam Islam mempunyai kelebihan masing-masing, sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud:


"Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) di dalam kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul dan lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya)..." ( Surah At-Taubah :36)


Empat bulan yang dihormati "arba'ty haram" yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah bulan Rejab, Zulqaedah, Zulhijjah dan Muharram. Oleh itu, bulan Muharam ini adalah bulan untuk kita berlumba-lumba meraih kebajikan yang telah dijanjikan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya menشnam azam, memperbaharui tekad, dan menambahkan bekalan sebagشi persediaan mereka untuk meneruskan perjalanan menuju ke tempat yang abadi untuk bertemu Allah SWT.


Dalam bulan yang mulia ini terdapat satu hari yang amat bersejarah dalam Islam, iaitu Hari 'Asyura'.Dari Abu Qatadah Al-Anshari r.a. katanya Rasulullah s.a.w. ditanya orang tentang puasa hari arafah. Jawab baginda saw :


"Semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu dan yang akan datang". Kemudian Nabi ditanya pula tentang puasa hari asyura. Jawab baginda, "semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu". (Sahih Muslim)


Dari Aisyah r.a. katanya :


"Biasanya orang Quraisy pada masa jahiliah berpuasa pada hari asyura dan Nabi s.a.w. pun berpuasa. Ketika Baginda tiba di Madinah, Baginda juga berpuasa pada hari asyura dan menyuruh orang lain berpuasa juga". (SahihMuslim)


Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, ketika Nabi s.a.w. tiba di Madinah, Baginda melihat orang yahudi berpuasa pada hari asyura. Nabi pun bertanya, "Hari apa ini ?". Jawab mereka, "Hari ini ialah hari yang baik. Pada hari ini Allah melepaskan Bani Israil dari musuh mereka, kerana itu Nabi Musa berpuasa kerananya". Sabda Nabi, "Aku lebih berhak daripada kamu dengan Musa". Oleh itu Nabi berpuasa dan menyuruh orang lain berpuasa pada hari asyura.(Sahih Bukhari)


Manakala disunatkan juga berpuasa pada 9 Muharram sebagai mukhalafah (membezakan) di antara kaum Yahudi yang turut berpuasa pada 10 Muharram. Sabda nabi saw : "Sekiranya aku masih hidup sehingga tahun hadapan nescaya aku akan puasa pada hari kesembilan (Tasu'a') dan hari kesepuluh (Asyura'). (Hadith Riwayat Muslim).





Dengan kedatangan hari yang penuh keberkatan ini, marilah sama-sama kita berpuasa dan merebut segala peluang yang ada untuk menambahkan lagi amal kebajikan yang telah kita lakukan selama ini.Dan janganlah kita mensia-siakan peluang yang terbentang di hadapan mata kita demi untuk kebahagian dan kesejahteraan kita di dunia dan di akhirat.

No comments: