Jaringan Ukhwah

24 April 2011

Masalah air dan agenda politik Umno merampas Kelantan

Dalam mana-mana pemeritahan di dunia ini, sumber air untuk keperluan rakyat adalah menjadi tanggungjawab pemerintah. Ia merupakan salah satu keperluan bertaraf basic needs untuk hidup, kerana air membekalkan segala-gala untuk kesejateraan makhluk.

Justeru kerana itu, dalam Perlembagaan Persekutuan, di bawah Senarai Persekutuan, Jadual ke-9 para 11 (b) menyebutkan "kerja-kerja dan kuasa persekutuan, termasuk bekalan air, sungai dan terusan kecuali yang keseluruhannya terletak di dalam suatu Negeri atau yang dikawal selia oleh suatu perjanjian antara Negeri yang berkenaan, pengeluaran dan pembekalan kuasa air."

Sementara dalam Perlembagaan Persekutuan, di bawah Senarai Negeri, Jadual ke-9 para 6(c) menyebutkan "kerja-kerja Negeri dan air, iaitu tertakluk kepada Senarai Persekutuan, air (termasuk sungai dan terusan tetapi tidak termasuk bekalan dan perkhidmatan air); pengawalan kelodak; hak riparia."

Air di Kelantan

Justeru kerajaan Negeri Kelantan yang telah melaksanakan perjanjian berkaitan pembekalan air hanyalah bertanggungjawab dalam aspek menguruskan sumber air. Ini bermakna segala usaha menyuburkan punca air, pembiayaan dan tanggungjawab pembangunan prasarana bagi memudahkan pengurusan sumber air adalah terletak di bahu Kerajaan Pusat bukan Negeri. Dengan kata lain, tanggungjawab Kerajaan Negeri akan sempurna bila Kerajaan Pusat turut melaksanakankan tanggungjawab mengikut semangat persekutuan (rule of federalism).

Namun apa yang berlaku, Kerajaan Pusat tidak pun menyalurkan geran pembiayaan prasarana air. Apa yang berlaku, Kerajaan Negeri terpaksa meminjam daripada Kerajaan Pusat sebanyak RM520 juta. Sedangkan negeri yang dikuasai Barisan Nasional diberi geran. Maka jelaslah, Kerajaan Pusat sudah tidak ikut kehendak rule of federalisme (tidak patuh kepada perlembagaan). Ia sudah boleh diibaratkan sebagai "seorang Muslim yang sudah engkar perintah al-Quran sebagai perlembagaan hidup." Di mana kejujuran 'kuasa kerajaan' jika ia sudah dilihat engkar? Apakah pemegang kuasa yang dimandatkan oleh rakyat untuk mentadbir Negara secara Rukun Negara (kepercayaan kepada Allah, kesetiaan kepada Raja, kedaulatan undang-undang, keluhuran perlembagaan dan kesopanan dan kesusilaan)?

Rakyat Diharap Tak Keliru

Akhbar kaki fitnah oleh wartawan hati busuk

Di atas fakta tersebut, Rakyat Kelantan tidak sepatutnya terkeliru dengan omongan fitnah dan keengkaran tanggungjawab tajaan Umno di Kelantan hari ini. Apa yang sepatutnya ialah Rakyat Kelantan hendaklah bertegas dan bertekad membetuli tindakan pihak Barisan Nasional yang mentadbir Pusat. Natijahnya, Rakyat Kelantan tidak sepatutnya merestui, bersetuju dan memberi saham (sokongan) kepada salakan fitnah yang disebar oleh pemimpin Umno di pentas Gelombang Merah, di corong Radio FM Kelantan, di dada akhbar auta dan di bibir mulut pencacai itu.

Apa yang sepatutnya dibuat oleh seluruh Rakyat Kelantan adalah menghapuskan kesemua golongan pencacai itu dari tampuk kuasa. Ia suatu komitmen jitu, demi membela hak rakyat, ke arah mengembalikan amalan penghormatan kepada perlembagaan dan bertegas di atas prinsip Rukun Negara.

Sokong Kerajaan Negeri

Hakikatnya, kehebatan sebenar Rakyat Kelantan ialah sentiasa menerajui dan mencetuskan perubahan. Pencacai Umno yang menetang segala usaha baik berteraskan Membangun Bersama Islam yang dipimpin ulama adalah boleh disifatkan termasuk dalam kerja yang batal (bathil) di sisi agama. Apakah kerja bathil itu pasti meraih pahala?

Di sini, tindakan penentangan Umno dengan cara memfitnah Kerajaan Kelantan menggunakan isu air adalah satu cebisan kerja bathil yang harus dihadapi secara baik (ma'aruf) oleh semua Rakyat Kelantan. Justeru penyiaran gambar yang mengiktiraf usaha Kerajaan Negeri menangani bekalan air bersih kepada rakyat oleh salah sebuah akhbar (lihat foto di atas), kemudian diputar dengan niat mempertikainya boleh disifatkan sebagai termasuk di dalam kerja bathil. Sedangkan negeri-negeri yang dikuasai Barisan Nasional sekian lama adalah tidak kurang daif dan teruknya bekalan untuk dinikmati rakyat. Contoh terbaru, seperti mana luahan menteri besar Pahang dalam sidang dewan negeri (lihat keratan akhbar berikut).

MB UMNO akui air x dak

Begitu pula, rungutan penduduk di Sarawak yang tinggal di sepanjang Sungai Igam (lihat keratan akhbar berikut), tetapi masih tidak upaya dibekalkan air oleh Barisan Nasional yang berkuasa.

Negeri UMNO,lagi teruk masalah air

Komited Jaga Khazanah Air

Hakikatnya Kerajaan Negeri pimpinan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz tekad dan sentiasa bertanggungjawab melaksanakan yang terbaik di dalam semua segi bidang keberhasilan pembangunan untuk rakyat. Oleh itu isu air tetap menjadi keutamaan bagi Tuan Guru melalui Air Kelantan Sdn. Bhd dan Jabatan Air Negeri melakukan penambahbaikan.

Prinsip umumnya air adalah keperluan asasi rakyat. Pengalaman Nabi Ibrahim bersama isterinya Siti Hajar dan anaknya Ismail telah mencetuskan kemakmuran Kota Mekah kerana air zamzam. Justeru sumber air Kelantan yang pancut dari mata air tertinggi di Asia Tenggara, di Gunung Stong merupakan khazanah Allah untuk dipelihara oleh semua Rakyat Kelantan. Bersama-samalah Rakyat Kelantan menghadapi ujian dari agenda politik Umno, penentang kepimpinan ulama di Kelantan. Semoga kema'arufan mengatasi kebathilan dan Allah pastinya menyediakan jalan penyelesaian untuk Rakyat Kelantan.

22 April 2011

Satu Lagi Projek Membazir


RM50 Juta Sedia e-mel Tidak Munasabah, Membazir


Pelaburan RM50 juta oleh kerajaan Malaysia bagi menyediakan akaun e-mel kepada semua warga Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas, dianggap sebagai tidak munasabah dan merupakan satu pembaziran nyata yang dilakukan oleh kerajaan.

Menurut Ketua Penerangan GAMIS Pusat, Mohd Yusof Hadhari , rakyat melihat hari ini, pelbagai penyedia perkhidmatan e-mel percuma seperti Yahoo, Gmail, Hotmail dan lain-lain sedangkan kini kerajaan Malaysia dengan murah hati menyediakan RM50 juta untuk perkhidmatan emel tambahan kepada semua warga Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas.

“Emel@1Malaysia dikhabarkan akan diguna bagi urusan menghantar bil dan sebagainya. Jadi, apa perlunya kerajaan berbelanja RM50 juta untuk memperkenalkan e-mel 1Malaysia?

“Adakah untuk mengintai maklumat peribadi pengguna emel yang berurusan dengan kerajaan?” soalnya.

Menurutnya lagi, lebih meragukan, apabila kontrak bagi menyediakan perkhidmatan e-mel 1Malaysia ini diberikan kepada sebuah syarikat IT tempatan, Tricubes Berhad yang sedang menghadapi masalah kewangan dan juga sebuah syarikat yang mempunyai rekod kewangan yang buruk.

“Saya kira RM50 juta satu nilai yang cukup tinggi, projek emel 1Malaysia ini jelas kepada kita satu projek yang tidak munasabah dan merupakan pembaziran paling nyata jika diteruskan juga.
“Saya cadangkan supaya RM50 juta itu di salurkan atau ditambah dalam dana pendidikan. Sepertimana yang kita maklum, biaya pendidikan yang harus ditanggung para mahasiswa kini semakin membengkak,” ujarnya.

Gamis juga, katanya mengharapkan kerajaan akan menimbang semula cadangan untuk menyediakan akaun e-mel 1Malaysia tersebut.

18 April 2011

Syuhada Mu'tah Dalam Kenangan


Dataran Syuhada’ menjadi saksi pertempuran sengit di antara umat Islam dan Rom. Ia adalah bukti bahawa nabi SAW sangat mengambil berat untuk membebaskan Masjid al-Aqsa, yang berada dalam cengkaman kuasa Rom, walaupun hanya berjaya dibebaskan pada zaman Umar al-Khattab RA, dan sekali lagi oleh Salahuddin al-Ayubi.

Berbetulan dengan bulan Jumada al-Awal sekarang, peperangan Mu’tah berlaku dalam bulan ini. Rasulullah SAW telah menghantar Al-Harith bin Umair Al-Azdi sebagai utusan membawa surat untuk menyeru Raja Rom kepada Islam, tetapi utusan ini telah dibunuh dengan kejam. Maka Rasulullah SAW mempersiapkan tiga ribu tentera Islam untuk memerangi mereka sebagai menuntut bela atas kematian sahabat nabi ini. Al-Mubarakfuri menyatakan tentang peperangan ini, katanya:

Peperangan ini (Mu’tah) adalah pertempuran paling sengit dan peperangan paling dahsyat yang pernah dihadapi oleh umat Islam pada zaman nabi SAW. Ia adalah permulaan kepada pembukaan negara-negara nasrani, berlaku pada bulan Jamadi al-Awwal tahun ke lapan Hijrah bersamaan bulan Ogos atau September tahun 926M. (al-Rahiq al-Makhtum)

Wasiat nabi SAW sebelum peperangan sudah mengisyaratkan syahidnya beberapa panglima perang yang dilantik. Jarang berlaku dalam peperangan-peperangan sebelum ini. Namun tiada sebarang tanda-tanda gentar dalam kalangan para sahabat. Mereka berperang bukan untuk kehidupan dunia, bukan juga untuk harta dan kemewahan, tetapi untuk meninggikan kalimah Allah, bagi mereka syurga adalah segala-galanya. Slogan mereka sama ada menang atau syahid. Diriwayatkan daripada Ibn Umar RA bahawa:

Rasulullah SAW telah melantik Zaid bin Harithah sebagai panglima dalam peperangan Mu’tah, nabi SAW bersabda: Sekiranya Zaid terbunuh, maka Ja’far (menjadi panglima), dan sekiranya Ja’far terbunuh maka Abdullah bin Rawahah (menjadi panglima). (Riwayat al-Bukhari).

Imam Ibn Hajar al-Asqolani (852H) ketika menghuraikan hadith ini, menyatakan tentang salah satu kaedah perlantikan dalam kepimpinan. Beliau menjelaskan dalam kitabnya:

Daripada wasiat nabi SAW ini, menunjukkan hukum harus bagi seorang khalifah atau ketua umat Islam untuk meletakkan syarat kepada seseorang yang dilantiknya. Begitu juga boleh melantik beberapa pemimpin kepada umat Islam mengikut tertib, sebagaimana yang dilakukan oleh nabi SAW dengan melantik Zaid, kemudian Ja’far dan kemudian Abdullah bin Rawahah. Para ulama’ berkata: Dan benar jika khalifah melantik yang demikian, maka terlantiklah kesemuanya dalam satu masa, namun demikian ia tidak akan berlaku melainkan secara mengikut turutan. (Fathu al-Bari)

Iman yang benar menatijahkan kekuatan dan keajaiban. Semua ujian dan rintangan yang terbentang bukan penghalang untuk meneruskan perjalanan. Ia hanya cabaran yang mesti dilalui sebelum sampai ke destinasi. Matlamat yang lebih besar iaitu redha Allah menjadikan selainnya kecil dan tidak bernilai. Itulah iman dan keyakinan terhadap janji Allah. Keyakinan tentang hari akhirat yang kekal abadi, hari pengadilan yang tiada kezaliman dan hari kebahgiaan untuk mereka yang telah dijanjikan. Keimanan inilah yang menjadikan Abdullah bin Rawahah meminta kepada tentera Islam untuk meneruskan misi walaupun akan berhadapan dengan jumlah tentera Rom yang terlalu ramai. Ibn al-Qaiyim al-Jauziah (751H) merakamkan:

Kemudian mereka semua bertolak sehinggalah sampai di Ma’an. Maka Sampai berita yang menyatakan Hiraqle di al-Balqa’ bersama tentera Rom yang berjumlah seratus ribu orang, kemudian bergabung lagi tentera daripada Lakhmin, Judzam, Balqain, Bahra’ dan Baliy seramai seratus ribu orang. Apabila tentera Islam mengetahui berita tersebut, mereka berbincang di Ma’an selama dua malam... Abdullah bin Rawahah telah memberi motivasi kepada mereka, katanya: Wahai kaum, demi Allah apa yang kamu semua bencikan untuk keluar mendapatkan syahid. Kita bukan berperang kerana kuantiti, atau kekuatan atau jumlah yang ramai. Tiadalah kita berperang dengan mereka melainkan kerana agama ini, yang Allah telah muliakan kita dengannya. Berjalanlah, sesungguhnya ia adalah salah satu daripada dua kebaikan, sama ada menang atau syahid. (Zad al-Ma’ad, jilid 3, hlmn 336).

Keajaiban iman juga yang menyaksikan bagaimana syahidnya Ja’far yang baru berusia tiga puluh tiga tahun, sehingga mendapat gelaran al-Toiyyar (yang terbang) menerusi peperangan Mu’tah ini. Diriwayatkan daripada al-Sya’bi bahawa:

Adalah Ibn Umar RA apabila memberi salam kepada anak Ja’far, dia akan berkata: Assalamualaika wahai anak kepada zi al-janahain (yang mempunyai dua sayap). Dinamakan demikian kerana khabar daripada nabi SAW yang menyebut bahawa Allah SWT menggantikan kedua-dua tangannya yang terpotong dalam peperangan Mu’tah dengan dua sayap yang membolehkannya terbang di dalam syurga. (Riwayat al-Bukhari)  

Jaafar At-Thoyyar r.a
Makam Jaafar At-Thoyyar di Mazar,Karak,Jordan

Peperangan ini juga mencatatkan kepentingan syura walaupun di saat genting, dan juga keperluan ijtihad meskipun ketika hayat baginda SAW. Rasulullah hanya menyebut tiga orang panglima dalam peperangan ini, namun ketiga-tiganya telah syahid. Para sahabat tidak hilang punca sebaliknya mereka mecadangkan Khalid bin al-Walid yang baru sahaja tiga bulan masuk Islam untuk memimpin pasukan tentera Islam, sehingga berjaya mengundurkan tentera musuh. Anas bin Malik meriwayatkan bahawa:

Nabi SAW berkabung bersama umat Islam atas syahidnya Zaid, Ja’far dan Ibn Rawahah sebelum berita sampai kepada orang ramai. Nabi bersabda: Zaid memegang bendera, kemudian terbunuh, Ja’far pula mengambil bendera, kemudian terbunuh, seterusnya Ibn Rawahah mengambil bendera, dan kemudian terbunuh, kedua-dua mata nabi SAW bergenang air mata, sabdanya lagi: hinggalah pedang daripada pedang-pedang Allah (Khalid bin al-Walid) mengambil bendera, lalu Allah membukakan ke atas mereka. (Riwayat al-Bukhari)

Zaid Harithah r.a
Bersemadinya Zaid Bin Harithah di kawasan yang bersebelahan

Abdullah Rawahah r.a
Makam Abdullah Rawahah agak berjauhan sket dari kedua-dua sahabat di atas

Begitulah ajaibnya iman, ia mampu bertahan dan melawan. Ia mampu mencipta sejarah. Rom tidak pernah terfikir yang mereka akan diusir oleh kuasa keimanan yang dimiliki oleh  orang-orang Arab yang satu ketika dahulu adalah bangsa yang tidak pernah mereka hiraukan. Rom tidak pernah menyangka jumlah mereka yang banyak boleh dikalahkan oleh ketulenan iman kumpulan yang sedikit. Dan Rom tidak pernah terlintas yang empayar kuasa besar mereka boleh digugat oleh keajaiban keimanan umat pimpinan utusan akhir zaman.


Sumber : Ustaz Anhar Opir

Politik dan Mahasiswa

Alhamdulillah, Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Mutah (PERMATA) melalui program
IMC 1432 menganjurkan satu diskusi ilmiah, suatu diskusi yang agak matang saya kira. Mahasiswa kini tidak lagi hanya membicarakan soal yang membatasi dalam dewan kuliah sahaja, bahkan jauh melangkaui isu-isu yang bermain di pentas negara. Diskusi ini optimis saya katakan telah menafikan desas desus yang mengatakan mahasiswa luar negara lesu dan terlalu naif untuk berbicara tentang isu negara. Tahniah kepada seluruh ajk penggerak.


Adinda Syakir mempengerusikan majlis sebelum forum bermula

Ketika GAMIS di Malaysia menganjurkan Forum Siswa Rakyat, PERMATA di sini mengorak langkah membawakan Diskusi Ilmiah : Politik dan Mahasiswa, Perspekstif dan Kecenderungan Masa Kini dengan menampilkan dua panel, Ustazah Siti Aisyah Binti Mohd Juki, pelajar tahun akhir Universiti Ali-Albayt, Mafroq dan seorang panel PHD, Ustaz Haji Anhar Bin Opir yang sememangnya tidak asing lagi di bumi Malaysia. Beliau baru sahaja menjejakkan kaki ke Bumi Isra' ini dua bulan yang lalu untuk menyambung peringkat PHD.

Berkenaan takrifan politik, dalam hadis ada disebutkan :

كانت بنو إسرائيل تسوسهم الأنبياء
“Bani Israel telah ditadbir (tasusuhum (mereka disiyasahkan)) oleh para nabi.”

أي تتولَى أمورهم كما تفعل الأمراء والولاة بالرعية
Maksudnya, nabi-nabi menguruskan hal-ehwal mereka sebagaimana yang dilaksanakan oleh para pemerintah yang menguruskan hal-ehwal rakyatnya.



Moderator cuba meniru gaya Prof. Agus :)


Diapit oleh kedua-dua panel yang mantap

Al-siyasah dari sudut istilah pula memiliki beberapa definisi. Di antaranya adalah mentadbir urusan negara. Juga disebutkan sebagai suatu ilmu atau kemahiran dalam urusan memerintah negara. Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H) menukilkan,

فقال ابن عقيل السياسة ما كان فعلا يكون معه الناس أقرب إلى الصلاح وأبعد عن الفساد وإن لم يضعه الرسول صلى الله عليه و سلم ولا نزل به وحي

Menurut Ibnu ‘Aqil, siyasah itu adalah apa jua tindakan yang mampu mendekatkan manusia (rakyat) kepada kebaikan dan menjauhkan mereka daripada keburukan walaupun tidak ditegaskan oleh Rasulullah SAW dan tidak diturunkan wahyu padanya.” (Ibnul Qayyim, at-Turuq al-Hukumiyat)

Wakil muslimat memulakan diskusi,menyentuh realiti mahasiswa kini

Ustaz Anhar ketika ditanya bagaimanakah mahasiswa perlu menghadapi realiti politik tanah air yang telah dicabuli kesuciannya dengan politik kotor seperti video seks dan sebagainya, beliau menjawab seharusnya kita membetulkan kembali istilah yang telah disalahtafsirkan oleh sesetengah pihak sehingga menampakkan politik itu amat kotor dan jijik sehingga tidak menampakkan kaitannya dengan Islam.


Ust Anhar sememangnya teramat sesuai untuk membincangkan isu ini

Barat sememangnya sengaja memasukkan jarumnya ke dalam negara-negara umat Islam, malah diteruskan lagi oleh pemimpin didikan mereka. Mereka mencorakkan politik mengikut kehendak nafsu, etika dan akhlak entah ke mana asalkan kekuasaan dan harta berjaya dikekalkan. Maka tugasan ini menanti mahasiswa sebagai pemimpin pelapis untuk memperbetulkan kembali istilah yang telah disalah ertikan.(tahdid mustolah)


Ahli PERMATA yang hadir

Islam sememangnya berkait rapat dengan sistem pemerintahan atau politik ini. Atas dasar itulah baginda SAW menerima arahan supaya berhijrah ke Madinah agar Islam dapat diterjemahkan sebagai suatu sistem hidup di sana. Natijahnya kembalikan politik ini kepada bahasa agama, biarkan rakyat mengetahui bahawa politik ini salah satu kesempurnaan Islam.

Resolusi diskusi ini boleh saya katakan, seharusnya mahasiswa peka dan cakna dengan isu negara kerana merekalah golongan yang mampu melangkaui jauh melebihi pandangan politikus. Seharusnya mahasiswa mengeluarkan segala mutiara hikmah yang terkandung dalam buku-buku dewan kuliah ke tengah masyarakat untuk dikongsikan bersama. Mahasiswa aset berharga, pandangan mereka didengari oleh kerajaan mahupun pembangkang!

13 April 2011

Suruhanjaya Pembantai Rakyat Malaysia kah?


'Pegawai SPRM belasah saya dengan batang besi'

Seorang pegawai pemasaran berkata beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membelasahnya selepas menahannya dua tahun lalu atas dakwaan menerima rasuah. Beng Hock berkata seorang daripada pegawai itu juga menggunakan sebatang besi yang dibungkus dengan surat khabar bagi membelasahnya. Pukul di kemaluan, letak ais

"Seorang lagi yang dikenali sebagai Mohd Ashraf Mohd Yusof menggunakan rotan bagi memukul di bahagian kemaluan saya. Seorang lagi meletakkan ais di tempat sulit saya.

"Semua ini berlaku ketika saya ditahan oleh SPRM Selangor dan tangan saya digari. Saya juga dibogelkan dan hanya dibenarkan memakai seluar dalam dan semua ini berlaku di Plaza Masalam," dakwanya.

Selain Ashraf, beliau juga menamakan Khairul Nizam, Zulkifli, dan Hairul Ilham Hamzah sebagai pegawai yang memukulnya itu.

Menyambung keterangannya, Sivanesan berkata pada permulaannya, dia ditampar dan ditendang berulang kali oleh lima hingga enam anggota suruhanjaya berkenaan.

Lelaki itu juga berkata seorang pegawai yang dinamakannya sebagai Mogan memaklumkannya bahawa tempat tahanan itu akan menjadi neraka sekiranya beliau tidak berkerjasama.

"Mereka mahu saya tandatangan mengaku bahawa saya setuju ditahan SPRM tetapi saya tak setuju,” katanya.

Sivanesan  berkata beliau kemudiannya dibawa kepada seorang majistret yang kemudiannya mengeluarkan arahan tahanan reman selama empat hari.

Menurutnya, SPRM menuduhnya menerima rasuah sebanyak RM30,000 dan malah menggelidah rumahnya tetapi tidak menjumpai apa-apa.

"Berikutan tahana reman itu, mereka terus pukul saya selama 15 hingga 20 minit apabila saya pergi ke Plaza Masalam," katanya.

Sumber : Malaysiakini.com

12 April 2011

Optimis Dengan ISLAM

ISLAM datang dengan penuh sempurna, mencakupi segala aspek kehidupan, tiada pertambahan dan tiada kekurangan, kerana itulah Saidina Umar r.a pernah berkata:


" Kami adalah satu kaum yang dimuliakan Allah dengan Islam. Sekiranya kami mencari kemuliaan selain dari kemuliaan yang telah dijanjikan Allah (Islam), kami pasti akan dihina Allah".


[Optimis bahawa ISLAM adalah sistem hidup yg lengkap....]