Jaringan Ukhwah

18 April 2011

Politik dan Mahasiswa

Alhamdulillah, Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Mutah (PERMATA) melalui program
IMC 1432 menganjurkan satu diskusi ilmiah, suatu diskusi yang agak matang saya kira. Mahasiswa kini tidak lagi hanya membicarakan soal yang membatasi dalam dewan kuliah sahaja, bahkan jauh melangkaui isu-isu yang bermain di pentas negara. Diskusi ini optimis saya katakan telah menafikan desas desus yang mengatakan mahasiswa luar negara lesu dan terlalu naif untuk berbicara tentang isu negara. Tahniah kepada seluruh ajk penggerak.


Adinda Syakir mempengerusikan majlis sebelum forum bermula

Ketika GAMIS di Malaysia menganjurkan Forum Siswa Rakyat, PERMATA di sini mengorak langkah membawakan Diskusi Ilmiah : Politik dan Mahasiswa, Perspekstif dan Kecenderungan Masa Kini dengan menampilkan dua panel, Ustazah Siti Aisyah Binti Mohd Juki, pelajar tahun akhir Universiti Ali-Albayt, Mafroq dan seorang panel PHD, Ustaz Haji Anhar Bin Opir yang sememangnya tidak asing lagi di bumi Malaysia. Beliau baru sahaja menjejakkan kaki ke Bumi Isra' ini dua bulan yang lalu untuk menyambung peringkat PHD.

Berkenaan takrifan politik, dalam hadis ada disebutkan :

كانت بنو إسرائيل تسوسهم الأنبياء
“Bani Israel telah ditadbir (tasusuhum (mereka disiyasahkan)) oleh para nabi.”

أي تتولَى أمورهم كما تفعل الأمراء والولاة بالرعية
Maksudnya, nabi-nabi menguruskan hal-ehwal mereka sebagaimana yang dilaksanakan oleh para pemerintah yang menguruskan hal-ehwal rakyatnya.



Moderator cuba meniru gaya Prof. Agus :)


Diapit oleh kedua-dua panel yang mantap

Al-siyasah dari sudut istilah pula memiliki beberapa definisi. Di antaranya adalah mentadbir urusan negara. Juga disebutkan sebagai suatu ilmu atau kemahiran dalam urusan memerintah negara. Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H) menukilkan,

فقال ابن عقيل السياسة ما كان فعلا يكون معه الناس أقرب إلى الصلاح وأبعد عن الفساد وإن لم يضعه الرسول صلى الله عليه و سلم ولا نزل به وحي

Menurut Ibnu ‘Aqil, siyasah itu adalah apa jua tindakan yang mampu mendekatkan manusia (rakyat) kepada kebaikan dan menjauhkan mereka daripada keburukan walaupun tidak ditegaskan oleh Rasulullah SAW dan tidak diturunkan wahyu padanya.” (Ibnul Qayyim, at-Turuq al-Hukumiyat)

Wakil muslimat memulakan diskusi,menyentuh realiti mahasiswa kini

Ustaz Anhar ketika ditanya bagaimanakah mahasiswa perlu menghadapi realiti politik tanah air yang telah dicabuli kesuciannya dengan politik kotor seperti video seks dan sebagainya, beliau menjawab seharusnya kita membetulkan kembali istilah yang telah disalahtafsirkan oleh sesetengah pihak sehingga menampakkan politik itu amat kotor dan jijik sehingga tidak menampakkan kaitannya dengan Islam.


Ust Anhar sememangnya teramat sesuai untuk membincangkan isu ini

Barat sememangnya sengaja memasukkan jarumnya ke dalam negara-negara umat Islam, malah diteruskan lagi oleh pemimpin didikan mereka. Mereka mencorakkan politik mengikut kehendak nafsu, etika dan akhlak entah ke mana asalkan kekuasaan dan harta berjaya dikekalkan. Maka tugasan ini menanti mahasiswa sebagai pemimpin pelapis untuk memperbetulkan kembali istilah yang telah disalah ertikan.(tahdid mustolah)


Ahli PERMATA yang hadir

Islam sememangnya berkait rapat dengan sistem pemerintahan atau politik ini. Atas dasar itulah baginda SAW menerima arahan supaya berhijrah ke Madinah agar Islam dapat diterjemahkan sebagai suatu sistem hidup di sana. Natijahnya kembalikan politik ini kepada bahasa agama, biarkan rakyat mengetahui bahawa politik ini salah satu kesempurnaan Islam.

Resolusi diskusi ini boleh saya katakan, seharusnya mahasiswa peka dan cakna dengan isu negara kerana merekalah golongan yang mampu melangkaui jauh melebihi pandangan politikus. Seharusnya mahasiswa mengeluarkan segala mutiara hikmah yang terkandung dalam buku-buku dewan kuliah ke tengah masyarakat untuk dikongsikan bersama. Mahasiswa aset berharga, pandangan mereka didengari oleh kerajaan mahupun pembangkang!

No comments: