KRISIS IDENTITI
PAS : Berindentitikan Islam.
1. Parti Islam Se Malaysia [PAS] didakwa mengalami krisis identiti oleh
Ustaz Abdullah Zaik selaku Presiden ISMA berasaskan kenyataan beberapa
individu lalu menyifatkan PAS tidak konsisten dan mengalami kekeliruan
terhadap hala tuju partinya. Asas dakwaan ini tidak valid.
2.
Pertama : Saya ucapkan terima kasih atas perhatian yang diberikan oleh
Presiden ISMA terhadap PAS sekaligus menarik perhatian umum khasnya
anggota ISMA sendiri kepada PAS untuk mengenalinya dengan lebih dekat
dan biasanya apabila dicetuskan sesuatu polemik, maka ia akan menarik
perhatian serta perasaan ingin tahu terhadap perkara tersebut. Dalam kes
ini, PAS menjadi subjek polemik yang dicetuskan oleh Presiden ISMA,
sekaligus memberikan publisiti kepada PAS.
3. Kedua : Identiti
ialah pengenalan dan jati diri. Apabila kita bercakap soal Identiti PAS,
ertinya kita bercakap mengenai pengenalan dan jati diri PAS. Kepada
siapa yang belum mengenali PAS atau buat - buat tidak kenal, maka
izinkan saya memperkenalkan buat kesekian kalinya setelah PAS ditubuhkan
sejak 1951 berasaskan undang - undang tubuhnya.
Inilah Pengenalan dan Jati diri PAS :
a] Fasal 3 . Perlembagaan PAS : Dasar PAS ialah Islam .
b] Fasal 4 . Perlembagaan PAS : Seruan PAS ialah Allahu Akbar.
c] Fasal 5 . Perlembagaan PAS : Tujuan PAS ialah :
~ Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan
pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai – nilai hidup Islam dan
hukum – hukumnya menuju keredhaan Allah .
~ Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan Negara .
d] Fasal 6 . Perlembagaan PAS : Usaha – usaha :
~ Menyeru ummat Manusia kepada syariat Allah dan Sunnah RasulNya melalui dakwah secara lisan , tulisan dan amalan .
~ Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariah serta menjadikannya
sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai –
nilai keislaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan disegenap
bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran , ekonomi dan social serta
pelajaran dan pendidikan .
4. Isu negara berkebajikan sering
dijadikan turning point untuk menyerang PAS kononnya PAS telah tersasar
dari landasan perjuangan asal iaitu Negara Islam, lalu mereka mendesak
supaya PAS kembali menggunakan istilah Negara Islam bukannya Negara
Berkebajikan.
5. Lebih menarik, UMNO juga menyatakan demikian
sedang UMNO lah antara yang paling kuat menentang hasrat PAS sewaktu PAS
menggunakan istilah Negara Islam sebelum ini. Sekarang apabila PAS
menggunakan istilah Negara Berkebajikan, mereka sibuk pula mendesak
supaya PAS tukar kembali kepada istilah Negara Islam. Mengada - ngada
betul lah mereka ni !
6. Suka saya jelaskan di sini bahawa
langkah dan usaha PAS Membangun Negara Berkebajikan adalah merupakan
Fasa 2 pembinaan Negara Islam. Setelah PAS menerbitkan dokumen Negara
Islam tempoh lalu, maka ia seperti plan induk bagi PAS menjayakan hasrat
mendaulatkan Syariat Allah swt. Itulah Fasa 1 projek PAS.
7.
Fasa ke 2 , PAS bergerak dengan lebih praktikal. Bukan sahaja membentang
plan induk [ Fasa 1 ] yang lengkap dengan teorinya, kini PAS tampil
dengan Negara Berkebajikan sebagai subtance kepada Negara Islam. Ia
adalah pengisian dan perlaksanaan. Sekaligus menjawab pelbagai tohmahan
kononnya Negara Islam adalah negara hukum semata - mata atau juga di
tohmah sebagai negara mullah.
8. Negara Islam ialah negara yang
dibina berasaskan bimbingan syariat Islam. Sementara elemen utama dalam
Syariat Islam ialah adil, telus, integriti dan amanah selain ubudiyyah
[pengabdian diri kepada Allah] . Ia menepati pembentukan Good Governence
yang menjadi sendi utama bagi Negara Berkebajikan yang mahu dibangunkan
oleh PAS.
9. Menganggap PAS telah tersasar dari landasan asal
perjuangannya adalah berpunca dari salah faham atau buat - buat tidak
faham terhadap matlamat dan objektif perjuangan PAS. Selayaknya mereka
terlebih dahulu membuka dan melihat Plan Lengkap Projek PAS bagi
memahami keseluruhan Fasa yang akan dibina oleh arkitek PAS.
10. Negara Berkebajikan bukan krisis identiti tetapi ia adalah
Pengukuhan Identiti. Justeru ia memantapkan lagi pengenalan dan jati
diri PAS dengan usaha bina dan tawaran yang lebih praktikal, mudah dan
boleh laksana.

Ust Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
1 comment:
Saya akan menyokong penuh Membangun Negra berkebajikan..iaitu negara yang pemimpinnya amanah dengan rakyatnya!
Post a Comment