Jaringan Ukhwah

26 August 2010

Perang Badar Dan Nuzul Al-Quran



Dua peristiwa besar dalam Islam yang berlaku pada 17 Ramadan ialah nuzul al-Quran dan peperangan badar. Nuzul al-Quran dalam konteks ini ialah penurunan al-Quran buat kali yang pertama.

Penulis sumber sejarah Islam yang berautoriti seperti Ibn Ishaq, al-Tabari, Ibn Hisyam, al-Asqalani dan Ibn Sayyid al-Nas mencatatkan bahawa peristiwa nuzul al-Quran berlaku ketika Nabi Muhammad S.A.W.bertahannuth di gua Hira'.

Baginda dilaporkan pergi ke gua Hira' bersama-sama isterinya Khadijah. Ketika sedang tidur, baginda didatangi Jibrail yang memintanya membaca. "Bacalah! Namun, Nabi Muhammad SAW menjawab: Apa akan ku baca (wa ma aqra'?)"

Sebaik sahaja mendengar jawapan Nabi Muhammad SAW, Jibrail terus memeluk baginda dengan kuat sehingga baginda sukar untuk bernafas. Kemudian baginda dilepaskan lalu disuruh lagi: "Bacalah! Nabi Muhammad masih menjawab: Apa akan ku baca?" Lalu Jibrail menarik dan memeluknya sekali lagi. Perkara ini berterusan sehingga beberapa kali. Lalu Jibrail melepaskan Nabi Muhammad SAW dan seterusnya membacakan lima ayat pertama dari surah al-Alaq.

Lima ayat pertama dari surah al-Alaq inilah yang pertama diturunkan kepada baginda SAW. Lima ayat ini jugalah yang mempunyai kaitan langsung dengan peristiwa nuzul al-Quran.

Apa pula kaitan antara nuzul al-Quran dengan peperangan Badar? Untuk melihat lebih lanjut mengenai perkara ini, mari kita lihat pandangan-pandangan yang timbul mengenai tarikh berlakunya peristiwa nuzul al-Quran. Pandangan-pandangan inilah nantinya akan membawa kita kepada hubung kait antara nuzul al-Quran dengan peperangan Badar.

Ulama menyepakati bahawa nuzul al-Quran berlaku pada hari Isnin. Jika ditinjau pandangan Ibn Kathir, kita akan dapati bahawa persepakatan ini disandarkan kepada sabda Nabi Muhammad SAW sendiri ketika ditanya tentang puasa pada hari Isnin. Baginda mengatakan bahawa baginda dilahirkan pada hari Isnin dan al-Quran juga diturunkan kepadanya pada hari Isnin.

Sekalipun terdapat persepakatan dari segi hari berlakunya peristiwa nuzul al-Quran, namun terdapat perselisihan pendapat dari segi tarikh dan bulan berlakunya peristiwa tersebut.

Beberapa tarikh telah dilaporkan oleh sumber sejarah Islam sebagai tarikh berlakunya nuzul al-Quran seperti 10 Ramadan, 17 Ramadan, 18 Ramadan ataupun 24 Ramadan.

Selain bulan Ramadan, terdapat juga pandangan yang mengatakan bahawa nuzul al-Quran berlaku pada bulan Rabiulawal atau bulan Rejab. Walau bagaimanapun, pandangan yang paling masyhur menyebut bahawa peristiwa nuzul al-Quran berlaku pada bulan Ramadan.

Kebanyakan sumber sejarah Islam yang menyebut mengenai perkara ini di dapati melaporkan pandangan Ibn Ishaq.

Mari kita lihat apa pula bukti yang mengukuhkan hujah bahawa nuzul al-Quran berlaku pada bulan Ramadan.

Menurut kebanyakan penulis sumber sejarah Islam yang berautoriti seperti Ibn Ishaq, Ibn Hisham, Ibn Kathir, al-Suhayli dan juga al-Bayhaqi, ayat 185 surah al-Baqarah adalah bukti jelas bahawa nuzul al-Quran berlaku pada bulan Ramadan.

Ini terbukti menerusi apa yang boleh difahami dari ayat tersebut iaitu, "bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu…".

Selain ayat tersebut, terdapat juga ayat lain yang turut digunakan sebagai bukti bahawa peristiwa nuzul al-Quran berlaku pada bulan Ramadan. Antaranya ialah ayat 41 surah al-Anfal.

Menariknya ialah, ayat ini tidak hanya menentukan bulan berlakunya peristiwa tersebut. Bahkan ia juga turut mendedahkan tarikh berlakunya peristiwa nuzul al-Quran itu sendiri.

Ini boleh difahami menerusi maksud ayat tersebut iaitu ketahuilah, sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil, jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami Muhammad di hari Furqan iaitu hari bertemunya dua pasukan.

Apa yang dimaksudkan dengan hari bertemunya dua pasukan di sini ialah pertemuan antara orang Islam dan orang kafir dalam peperangan Badar yang berlaku pada 17 Ramadan.

Oleh kerana ayat 41 sebelum ini menjelaskan mengenai nuzul al-Quran berlaku pada hari tersebut, maka tarikhnya pastilah 17 Ramadan. Cuma bezanya, peperangan Badar berlaku pada 17 Ramadan tahun ke-2 hijrah.

Walau bagaimanapun, baik nuzul al-Quran mahupun peperangan Badar, kedua-duanya adalah peristiwa besar dalam sejarah Islam. Nuzul al-Quran menjadi titik tolak kepada pelantikan Nabi Muhammad SAW sebagai utusan Allah untuk membawa risalah Islam.

Peperangan Badar pula mencerminkan kekuatan pihak Islam hanya dalam tempoh lebih kurang dua tahun selepas mereka meninggalkan kota Mekah untuk berhijrah ke Madinah.

*Sumber : Mymaqaz

17 August 2010

Hadis Keutamaan dan Kelebihan Ramadhan

Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya : Apabila telah tiba Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup semua pintu neraka dan diikat semua syaitan.(HR Imam Bukhari, Muslim, Nasai’e, Ahmad dan Baihaqi)

Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya :Siapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu.
(HR Imam Nasai’e, Ibn Majah, Ibn Hibban dan Baihaqi)

Rasulullah S.A.W telah bersabda yang maksudnya : Setiap amalan anak Adam baginya melainkan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara .Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa, demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya.(HR Imam Bukhari, Muslim, Nasai’e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Hibban dan Baihaqi)

Barangsiapa memberi makan kepada orang yang berbuka puasa maka dia memperoleh pahalanya, dan pahala bagi yang (menerima makanan) berpuasa tidak dikurangi sedikitpun (HR Tirmidzi)

Diriwayatkan daripada Sahl bin Sa’d R.A daripada Nabi SAW bersabda yang maksudnya: ‘Sesungguhnya di dalam syurga terdapat satu pintu yang disebut Ar-Rayyan yang mana pada hari Kiamat orang-orang yang berpuasa masuk daripadanya (dan) tidak seorangpun selain mereka memasukinya. Dikatakan: ‘Dimanakah orang-orang yang berpuasa?’ Maka mereka pun berdiri (untuk memasukinya), tidak ada seorang pun selain mereka yang memasukinya. Apabila mereka telah masuk maka pintu itu ditutup sehingga tidak ada seorang pun yang masuk dari padanya.’ (HR Bukhari)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A daripada Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: ‘Segala amal kebajikan anak Adam itu dilipat-gandakan pahalanya kepada sepuluh hinggalah ke 700 kali ganda. Allah berfirman: ‘Kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu adalah untuk-Ku dan Aku memberikan balasan (pahala) kepadanya, (kerana) dia(orang yang berpuasa) telah meninggalkan syahwat dan makan minumnya kerana Aku.’ (H.R Muslim)

Diriwayatkan daripada Abu Sa’id Al-Khudri R.A, aku mendengar Nabi SAW bersabda: Maksudnya: ‘Barangsiapa yang berpuasa sehari pada jalan Allah nescaya Allah akan menjauhkan mukanya dari api neraka (sejauh perjalanan) 70 tahun.’ (HR Bukhari)
Dari Ibnu ‘Umar RA, katanya Rasulullah saw. bersabda: ‘Carilah malam qadar itu pada sepuluh malam yang akhir bulan Ramadhan. Jika kamu lelah, maka janganlah dilewatkan pada tujuh malam yang masih tinggal.’ (HR Muslim)

Dari Abdullah bin Umar RA. bahwa Nabi SAW. bersabda: ‘Puasa dan Al Qur’an memberi syafaat kepada hamba Allah pada hari kiamat. Puasa berkata, ‘Wahai Tuhanku, aku telah menghalanginya makan minum dan memenuhi syahwatnya pada siang hari, maka perkenankanlah aku memberi syafaat baginya.’ Dan Al Qur’an pun berkata, ‘Aku telah menghalanginya tidur pada malam hari, maka perkenankanlah aku memberi syafaat baginya.’ Lalu syafaat keduanya diterima Allah.’( H.R Ahmad)

Dari Abu Hurairah RA bahwa Nabi SAW bersabda: ‘Di dalam bulan Ramadhan umatku diberi lima perkara yang tidak pernah diberikan kepada umat-umat sebelumnya:
1. Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.
2. Para malaikat selalu meminta keampunan untuk mereka hingga mereka berbuka.
3. Setiap hari Allah menghias syurgaNya sambil berkata, ‘Hamba-hamba Ku yang soleh ingin melepas beban dan penderitaannya dan mereka rindu untuk memasukimu.’
4. Pada bulan ini diikat syaitan-syaitan yang derhaka sehingga mereka tidak berleluasa mencapai apa yang dapat dicapainya pada bulan lain.
5. Mereka diampuni oleh Allah SWT pada malam yang terakhir dari bulan itu. Para sahabat bertanya, ‘Wahai Rasulullah, apakah itu malam Lailatul Qadar?’ Beliau menjawab, ‘Tidak, kerana orang yang bekerja itu akan dipenuhi upahnya manakala sudah menyelesaikan pekerjaannya.’ (H.R Ahmad)

Dari Jabir RA bahwa Nabi SAW bersabda: ‘Puasa itu perisai yang digunakan seorang hamba untuk membentengi dirinya dari siksaan neraka.’ (HR Ahmad)

Rasulullah SAW bersabda: Sahur itu seluruhnya berkat, kerana itu janganlah kamu meninggalkannya walaupun hanya dengan seteguk air, kerana Allah dan malaikatNya memberi salawat kepada orang-orang yang makan pada waktu sahur. (H.R Ahmad)

Sabda Rasulullah SAW : ‘Tiga doa yang sangat mustajab, doa orang yang puasa, doa orang yang di zalimi dan orang yang musafir.’ (H.R Ahmad, Bukhari, Abu Dawud & Tirmidzi)
Nabi SAW bersabda; ‘Tidurnya orang yang puasa tetap dalam ibadat dan diamnya dianggap tasbih dan amalnya dilipat gandakan dan doanya mustajab dan dosanya diampunkan.’ (Riwayat Al Baihaqi)

Rasululah SAW bersabda; ‘Puasa itu bagaikan perisai, maka apabila seseorang kamu berpuasa, jangan berkata kotor dan jangan berkata kasar. Jika seseorang mencacinya atau menyerangnya maka hendaklah dia mengatakan. Aku ini puasa.’ ( Sahih Bukhari)

Semoga mendapat faedah dan manfaat daripada perkongsian ringkas ini. Dan mungkin juga boleh dikongsikan dengan sahabat-sahabat yang lain.

* sumber :Artikel Indahnya Ramadhan di http://www.islam.gov.my/e-rujukan/

    11 August 2010

    Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan..



    Ahlan wasahlan Ramadhan Kareem..... 


    Ramadhan yang sama, natijah yang berbeza

    Salam Ramadhan, salam imtihan diucapkan kepada semua sahabat khususnya di perantauan ini yang akan menghadapi peperiksaan akhir tidak lama lagi, mudah-mudahan barokah dan semangat Ramadhan mengalir dalam diri kita, menyebabkan kita semua bersemangat untuk study ya..

    Masa begitu pantas berlalu, Alhamdulillah tahun ini kita sekali lagi diberi peluang utk berada dalam bulan rahmat, bulan padanya satu malam yang lebih baik dari seribu malam, bulan Quran, bulan qiam, bulan infaq dan bulan pembebasan dari neraka Allah SWT. Bagaimanakah persediaan kita utk menyambut tetamu mulia ini?

    Ya Allah jadikan kami golongan yang mendirikan Ramadhan dgn penuh kesungguhan.Jangan sesekali jadikan kami golongan yang menyembah Ramadhan kerana sesungguhnya sesiapa yang beribadah krn Ramadhan, maka Ramadhan akan berlalu meninggalkannya,sesiapa yang beribadah menyembah Allah SWT,maka Allah Maha Hidup dan sesekali tidak akan mati.

    Rasulullah SAW telah bersabda sebagaimana yg diriwayatkan Bukhari dan Muslim: “ Sesiapa yang berpuasa (mendirikan) Ramadhan dengan penuh keimanan (iaitu dgn Allah) dan penuh pengharapan (dgn ganjaran dari Allah),maka akan diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu”.

    Allah SWT telah berfirman dalam Hadis Qudsi: “ Setiap amalan anak Adam bagi mereka sendiri melainkan puasa, sesungguhnya ia bagiKu, Aku sendiri yang akan akan membalasnya”. Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan, satu kegembiraan ketika berbuka puasa dan satu kegembiraan ketika bertemu Tuhannya.

    Ini hanya sebahagian kecil dari kelebihan dan keutamaan Ramadhan, seolah-olah satu promosi jualan besar-besaran yang menyediakan diskaun tertinggi sedang dijalankan, hanya menunggu pembeli yang bijak dan berfikiran jauh sahaja untuk mendapatkannya.

    Marilah sama-sama kita bermuhasabah, merenung ke dalam diri dan beristighfar di atas segala kelalaian yang lalu, marilah kita menyambut tetamu mulia ini dalam keadaan bersedia dan pastinya kita mengharapkan segala ganjaran yang ditawarkan. Mudah-mudahan kita keluar dari Universiti Ramadhan nanti dengan penuh ketaqwaan seperti yang dijanjikan Allah SWT.


    Amalan wajib daie khususnya dalam bulan Ramadhan:

    - Solat berjemaah di masjid (syabab)
    - Baca dan tadabbur Al-Quran
    - Berzikir
    - Al-Mathurat pagi dan petang
    - Qiamullai
    - Solat tarawih dan witir
    - Banyakkan berselawat
    - Lazimi bersedekah
    - Banyakkan berdoa
    - Bersihkan hati (banyakkan beristighfar)
    - Banyakkan bersabar
    - Banyakkan beriktikaf di masjid

    10 July 2010

    Keputusan Pilihanraya PERMATA 2010




    KEPUTUSAN PILIHANRAYA PERMATA 2010
    PRESIDEN 
    Muhammad Hussin Bin Mohd Fauzi : 120 Undian [63 majoriti]
    TIMBALAN PRESIDEN II
    Nur Al-Farhain Binti Kamaruzzaman : 118 Undian [68 majoriti]
    AHLI LEMBAGA TADBIR SISWA :

    Mohd Ihsan Fadhli Bin Che Min : 166 undian
    Azmir Azri Bin Ahmad : 160 Undian
    Mohamad Amiro Safwan Bin Mohd Kamil : 130 Undian
    Muhammad Syafiq Bin Ibrahim : 132 Undian
    Junaid Bin Mohd Yusoff : 131 Undian
    Nazmi Afifi Bin Mohd Nor : 130 Undian
    Mohd Syahid Azim Bin Mohd Saufi : 124 Undian
    Azmuddin Bin Razali : 118 Undian
    Mohd Rasyidi Bin Ali : 113 Undian
    Wan Mohd Awis Qarny Bin Othman : 112 Undian
    AHLI LEMBAGA TADBIR SISWI

    Siti Fatimah Binti Rafik : 163 Undian
    Noraziah Binti Md Esa : 150 Undian
    Nur Fatin Najihah Binti Khoirussifa : 139 Undian
    Fathi Insyirah Binti Sabri : 138 Undian
    Nor Aisyah Binti Mohamed Rais : 130 undian
    Sharifah Nawwar Binti Syed Mustaffa : 129 Undian
    Nurzuriana Binti Abu Zarim : 126 Undian
    Sya'wanah Binti Yusuff : 117 Undian
    Afifah Binti Azzam : 112 Undian
    Jumlah keluar mengundi : 191 orang ahli
    Peratus keluar mengundi : 85%

    Sumber : SPR PERMATA 2010


    08 July 2010

    Sembang-sembang Facebook :Calon Presiden PERMATA 10/11


    klik untuk besarkan gambar


    Sembang-sembang ini saya ambil dari facebook, mereka berbicara tentang kepimpinan Ust Husin Mohamad Fauzi. Amat sesuai sekali Ust Husin dipilih sebagai presiden PERMATA kali ini. Berdasarkan pengalaman,kemahiran, kenangan pahit dan manis di bumi Syam ini, pastinya semua itu mematangkan beliau dan mampu menguruskan PERMATA insya Allah dengan baik.

    Biodata

    Pendidikan :
    -          Smu(A) Darul Anwar, Pulau Melaka, Kelantan.
    -          STAM di Smu(A) Arrahmah Kenali, Kelantan
    -          Maahad Abu Nur, Syria
    -          Maahad Tahzib, Syria
    -          Pernah mendapat biasiswa belajar percuma dari Kerajaan Syria
    -          Universiti Mu’tah

    Pengalaman :
    -          Setiausaha Biro Dakwah Persatuan Pelajar Malaysia Syria (PPMS)
    -          Setiausaha Unit Dakwah Badan Kebajikan Anak Negeri Selangor Syria
    -          ALT PERMATA 09/10

    Program2 PERMATA yang telah dilaksanakan oleh beliau:
    -          T.D.I (Tour De Ilmi)
    -          Ihya Ramadhan
    -          A.P.I (Akses Pemikiran Islam)
    -          Sambutan Maal hijrah
    -          Majlis Sambutan Aidil Adha
    -          Majlis Korban
    -          Program Biah solehah
    -          Umrah dan Ziarah PERMATA



    Sudut pandang sahabat-sahabat terhadap Ust Hussin...

    *Taufiq Ismail@Topek berkata:
    Sepanjang bekerjasama dgn Husin dlm memasak,beliau org yg disiplin,amanah,jujur dlm masakan beliau,kebersihan dijaga demi kualiti makanan wlaupun terpaksa berjaga malam utk sediakan makanan yg terbaik setiap kali diberi amanah utk memasak.Saya tidak pernah lagi rasa tertekan spnjg memasak bersamanya krn beliau sentiasa mudah senyum..saya anggap beliau sebagai GURU dalam masakan..saya rasa x dk masalah jika beliau dinobatkan sbg presiden PERMATA,bg sesiapa yg selalu kontrovesi dgn Husin,saya VOLUNTEER utk menjawab segala soalan tentang beliau…undilah MUH..saya yakin dgn kepimpinan beliau.


    *AMT MPPMJ merangkap Ketua BA (Ustaz Azmuddin), Mantan Presiden MPPMJ (Ustaz Shahrul Adnan), YDP MUTIARA (Ustaz Shakir), YDP BKAPJ (Ustaz Adi Amzar) YDPAH PUTRA (Ustazah Rashidah), TYDP KMKJ merangkap Ketua BKP (Ustaz Hazmi) Mantan YDP PUTRA (Ustaz Nik Zaim), TYDP MUTIARA (Ustaz Fatin), T. Presiden II (Ustazah Basyirah), Bendahari Agung (Ustaz Arif), Ketua BPP (Ustaz Shaifuddin), Tim Ketua BBR (Ustazah Farhain), Bendahari MPKJ (Ustaz Muzammil) telah menyatakan sokongan mereka kpd Ustaz Hussin kerana mereka melihat Ustaz Hussin layak utk jawatan Presiden PERMATA. Bukan hanya mereka, sahabat dari Mesir, Syria, Malaysia (UKM) turut menyokong beliau. Vote MUH n JPA

    Berdasarkan pengalaman dan kelebihan yang ada pada beliau ini,maka marilah kita sama-sama membuat pilihan terbaik,calon-calon lain kita letakkan sebaris dalam AMT/ALT agar memantapkan PERMATA kali ini...ukhuwwah kita mudah-mudahan tetap utuh.. :)










    08 June 2010

    Lambaian Kaabah...ku sahut seruanMu..

    Assalamualaikum wbt..
    Agak lama laman ini dibiarkan tidak terisi, mungkin sibuk dengan persiapan untuk menghadapi imtihan. Saat ini saya cuba gagahkan diri untuk menaip, bermonolog sendirian. Peperiksaan berbaki satu kertas lagi, madah Fiqh Ibadah oleh Dr. Ali Zuqaili bakal melabuhkan tirai imtihan kali ini.


    Alhamdulillah, rasa sedikit ketenangan setelah hari-hari yang dilalui agak mencabar, berhempas pulas mencipta ayat dan formula baru menjawab soalan-soalan yang dikemukakan. Minggu depan akan bermulanya cuti sebelum semester soifi (musim panas) menjengah, ada yang merancang percutian, ziarah, jaulah untuk menambah pengalaman dan pengetahuan luar bilik kuliah.


    Syria medan ilmu dan mujahadah, Turki tinggalan Sultan Muhammad Al-Fateh pastinya dalam lakaran peta jaulah. Mudah-mudahan manfaat diperolehi, taqwa dikecapi, ruh pemuda pemudi Islam makin melekat dalam diri..natijahnya hamba hakiki..


    Saya pula menanti saat untuk menziarahi rumahNya..pertama kali bakal mengerjakan umrah, mudah-mudahan tercapai hasrat itu. Saya mengikuti rombongan umrah PERMATA dan dijangka bertolak dari bumi syuhada' ini pada hari Khamis (10/6/2010) Ya Allah, permudahkan urusan hambaMu ini..!


    Saya mengharapkan doa dari sahabat-sahabat sekalian, dilicinkan segala urusan perjalanan dan dikurniakan tubuh badan yang sihat seterusnya dapat mengerjakan ibadah dengan sempurna. Segala salah dan silap harapnya dimaafkan agar ketenangan mengiringi di sana nanti..hayyakumulah..Allahu yu'tikumul 'afiah..


    labbaikallahumma labbaik...Ya Allah, hambaMu ini menyahut seruanMu..

    Ya Rasulallah..kami merinduimu, izinkan kami bersamamu..








    15 May 2010

    KISAH KAAB BIN MALIK

    Gambar hiasan


    Dalam perang Tabuk, ada beberapa sahabat yang tidak berangkat berperang. Salah seorang di antara mereka adalah Ka’ab bin Malik.


    “Aku sama sekali tidak pernah tinggal daripada mengikuti semua peperangan bersama Rasululah saw, kecuali dalam perang Tabuk. Aku tidak turut serta dalam perang Tabuk itu adalah karena kelalaian diriku terhadap perhiasan dunia; yang ketika itu keadaan ekonomiku jauh lebih baik daripada hari-hari sebelumnya” bisik hati Kaab keseorangan.


    “Demi Allah, aku tidak pernah memiliki barang dagangan lebih dari dua muatan unta, akan tetapi pada waktu peperangan itu aku memilikinya” sambung bisikan hatinya lagi.


    Ketika berlaku peperangan tabuk, keadaan sangat panas. Disamping, perjalanan dari Madinah ke Tabuk [tempatnya di antara hijir dan Damsyik di syria] amat jauh, juga pertempuran kali ini dengan bala tentera Rom, yang merupakan suatu kuasa besar di dunia ketika itu.


    Ketika Rasulullah SAW mempersiapkan untuk berangkat, Kaab juga bersiap-siap. Namun, sedang dia bersiap-siap, hatinya mula berkata-kata untuk membatalkan hasratnya untuk tidak turut serta bersama dengan Nabi SAW.


    Para sahabat sudah bertolak meninggalkan Madinah bersama dengan Nabi. Kaab bin Malik masih lagi berlengah-lengah di Madinah, sehingga semua para sahabat telah meninggalkan Madinah.


    Ketika semua para sahabat telah meninggalkan Madinah, maka tinggallah Kaab bin malik. Apabila beliau keluar dari rumah, beliau hanya ternampak golongan yang tidak diwajibkan berperang, seperti orang-orang tua, kanak-kanak, perempuan dan sebilangan orang-orang munafiq.


    Melihat keadaan itu, menyebabkan hati Kaab bin Malik mula mengeluh. Beliau sedar, bahawa beliau bukan dari kalangan mereka, terutama beliau bukan salah seorang dari kalangan orang munafiq.


    Di Tabuk, Rasulullah SAW ada bertanya sahabat tentang Kaab. Soalan Rasulullah SAW itu dijawab oleh seorang lelaki dari Bani Salamah dengan menyatakan bahawa Kaab seorang yang sombong sehingga tidak terlibat dalam peperangan Tabuk pada kali itu.


    Jawapan lelaki dari Bani Salamah itu disangkal oleh Mu’az bin Jabal, dan Kaab bin Malik dipertahankan oleh Mu’az dengan sedemikian hebat sekali.


    Setelah pulang dari Tabuk, kebiasaan Rasulullah SAW setelah pulang dari medan peperangan, Baginda SAW tidak terus pulang ke rumah, sebaliknya menuju ke Masjid terlebih dahulu, dan menunaikan solat dua rakaat, dan berjumpa dengan tetamu-tetamu yang berkunjung tiba.


    Setelah selesai menunaikan solat, ramai yang datang berjumpa dengan Rasulullah SAW. kebanyakkan mereka yang hadir ketika itu adalah orang-orang yang tidak terlibat dalam peperangan. Berbagai-bagai alasan yang dikemukakan, sehingga tidak dinafikan juga ada dari kalangan mereka yang bersumpah dengan nama Allah untuk mengukuhkan alasan mereka dihadapan Rasulullah SAW. Selalunya, mereka yang bersumpah tersebut adalah orang-orang munafiq.


    Antara yang turut hadir berjumpa dengan Rasulullah SAW ketika itu adalah Kaab bin Malik. Apabila melihat Kaab hadir, Rasulullah SAW senyum kelat terhadap Kaab, namun tetap juga memanggil Kaab agar datang berhampiran dengan baginda.


    Rasulullah bertanya Kaab, mengapa beliau tidak turut serta dalam peperangan Tabuk. Kaab berterus terang, memberitahu kepada Rasulullah atas tindakannya yang tidak hadir dalam peperangan Tabuk tersebut.


    Mendengar penjelasan tulus dari Kaab bin Malik, Nabi SAW terus mengarahkan Kaab pergi. Tidak lama kemudian, kedengaran bahawa Nabi SAW telah mengarahkan para sahabat agar memboikot Kaab bin Malik; agar tidak bercakap dan melayan kaab bin Malik.


    Arahan itu, bukan sahaja terhadap Kaab bin Malik, malahan terhadap dua orang sahabat lagi, iaitu Murarah bin Rabi’ Al-Amiri dan Hilal bin Umayyah Al-Waqifi.


    Kemana sahaja Kaab pergi, boleh dikatakan semua tidak melayan beliau. Keadaan ini berlanjutan, sehingga Kaab dan dua orang sahabat lagi hidup dalam keadaan amat tertekan sekali.


    Waima diboikot, Kaab tetap juga ’menebalkan mukanya’ menghadiri majlis-majlis yang melibatkan Nabi SAW, seperti majlis ilmu dan solat berjemaah.


    Namun, disebabkan diboikot oleh sahabat, Madinah yang dahulunya dikenali sebagai bandar tempat mereka berbahagia telah bertukar seperti tempat yang dipenuhi dengan seribu satu kedukacitaan. Semuanya berpunca dari sikap malas mereka tidak mahu terlibat dalam peperangan Tabuk, ekoran mengenangkan ekonomi mereka perlu didahulukan.


    Suatu hari, Kaab bin Malik telah pergi ke rumah Abu Qatadah. Semasa sampai di situ, Kaab mengetuk mengetuk pintu rumah Abu Qatadah.


    Kaab mengucapkan salam kepada Abu Qatadah, tetapi salam Kaab itu tidak dijawab.


    Kaab menegur, “Wahai Abu Qatadah! Aku mohon dengan nama Allah, apakah kau tahu bahawa aku mencintai Allah dan Rasul-Nya?”


    Abu Qatadah diam. Sekali lagi, Kaab mengulangi perkataannya, namun Abu Qatadah tetap mendiamkan diri. Berkali-kali Kaab mengulangi perkataannya, tetapi tetap Abu Qatadah mengambil sikap mendiam diri sehingga dia hanya menyebut, “Allah dan Rasul-Nya lebih tahu!”


    keadaan itu, benar-benar terkesan pada diri Kaab bin Malik, menyebabkan air matanya tidak tertahan lagi, menitis gugur ke bumi.


    Kaab pulang ke rumah dalam keadaan sedih. Kesedihan seperti itu berlanjutan berhari-hari. Sehari dirasakan bagaikan setahun. Betapa dahsyatnya tekanan yang dihadapi oleh Kaab.


    Dalam keadaan kesedihan sedemikian rupa, suatu hari datang seorang lelaki dari negara Syam menemui Kaab. Dia telah memberikan kepada Kaab sepucuk surat. Apabila Kaab membaca surat itu, ternyata ia datang dari Raja Ghassan.


    Kandungan surat itu antara lain menyebut, ”… Selain dari itu, bahawa sahabatmu sudah bersikap dingin terhadapmu. Allah tidak menjadikan kamu hidup terhina. Maka, ikutlah dengan kami di Ghassan, kami berjanji akan menghiburkanmu!”


    membaca kandungan surat itu, hati Kaab terus berkata, “Ini juga salah satu ujian!”


    Lalu Kaab telah memasukkan surat itu ke dalam tungku dan membakarnya.


    Dalam keadaan sedemikian sedih sekali, datang pula seorang utusan dari Rasulullah SAW kepada Kaab.


    “Rasulullah memerintahkan kepadamu supaya kamu menjauhi isterimu!” kata lelaki itu sebagai membawa pesanan dari Rasulullah SAW.


    Pesanan itu menambah lagi kesedihan hati Kaab.


    ”Apakah Rasulullah mengarahkanku agar aku menceraikan isteriku itu?” soal Kaab kepada lelaki terbabit.


    “Tidak. Akan tetapi, kamu harus menjauhkan dirimu darinya dan isterimu itu, hendaklah menjauhkan dirinya dari dirimu!” kata utusan Rasulullah SAW itu lagi.


    Arahan tersebut, bukan sekadar terkena kepada Kaab bin Malik, malahan terkena juga kepada dua lagi sahabat, iaitu Murarah bin Rabi’ Al-Amiri dan Hilal bin Umayyah Al-Waqifi.


    Kesedihan dan hidup dalam keadaan serba salah itu berlarutan sehingga sampai cukup bilangan 50 hari. Setelah cukup 50 hari, di suatu pagi ketika Kaab baru selesai menunaikan solat subuh, sedang berzikir dan berdoa meminta ampun dengan Allah, agar dilepaskan dari kesempitan hidup dalam alam yang luas ini.


    Sedang bermunajat tersebut, tiba-tiba kedengaran suara memanggil namanya.


    ”Wahai Kaab, bergembiralah kamu. Wahai Kaab bergembiralah kamu” kedengaran suara begitu berkali-kali.


    Mendengar suara menyebut demikian, Kaab terus memahami bahawa Allah SWT telah memberi kemaafan terhadap kesilapan yang telah dilakukannya.


    Dia terus sujud kepada Allah, mengucapkan syukur kepada ilahi. Apabila dia keluar dari rumah, kelihatan ramai yang hadir hendak memaklumkan berita gembira itu kepada Kaab. Ada yang datang dengan menaiki kuda, ada yang berlari-lari dan sebagainya.


    Mulut mereka, tidak habis-habis menyebut, ”wahai Kaab, berbahagialah kamu. Wahai Kaab, berbahagialah kamu”


    Kaab pun terus pergi mencari Rasulullah SAW. sesampai di hadapan Masjid, didapati ramai dari kalangan sahabat yang sedang menunggu kedatangan Kaab. Apabila sampai, Kaab terus masuk untuk berjumpa dengan rasulullah SAW dan didapati, bersama baginda ada dua orang sahabat lagi, iaitu Hilal bin Umayyah dan Murarah bin Rabi'.


    Apabila berjumpa dengan Rasullullah SAW, Kaab tersenyum melihat Baginda, dan senyuman kaab itu dibalas oleh Rasulullah SAW. Baginda SAW terus membacakan satu firman Allah dari surah At-Taubah ayat ke 118 yang berbunyi;


    وَعَلَى الثَّلَاثَةِ الَّذِينَ خُلِّفُوا حَتَّى إِذَا ضَاقَتْ عَلَيْهِمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ وَضَاقَتْ عَلَيْهِمْ أَنْفُسُهُمْ وَظَنُّوا أَنْ لَا مَلْجَأَ مِنَ اللَّهِ إِلَّا إِلَيْهِ ثُمَّ تَابَ عَلَيْهِمْ لِيَتُوبُوا إِنَّ اللَّهَ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ


    Maksudnya;
    ”Dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat) mereka, hingga apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka, padahal bumi itu luas dan jiwa merekapun telah sempit (pula terasa) oleh mereka, serta mereka telah mengetahui bahwa tidak ada tempat lari dari (siksa) Allah, melainkan kepada-Nya saja. Kemudian Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah-lah Yang maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang”




    *sumber : Al-Bakistani