Jaringan Ukhwah

22 December 2010

Inilah Doktor Kami


Hari ini merupakan kelas yang terakhir untuk subjek Qosos Qur'ani yang diajarkan oleh Dr. Amin Butush. Masa begitu pantas berlalu, saya merasakan seolah-olah baru sahaja mendaftarkan subjek ini 3-4 bulan yang lepas. Masa memang cemburu, benarlah kata pepatah Melayu, "Masa itu emas".

"Sesungguhnya benda yang paling jauh ialah masa yang telah berlalu". Iya...memang jauh kerana ia sesekali tidak akan kembali lagi, bak kata pepatah Arab, "Laitassyabab ya'udu yauman". Beruntunglah sahabat-sahabat yang memanfaatkan kelas Qosos Qur'ani ini, pensyarah yang mengajar subjek ini bukan calang-calang orangnya, beliau  manusia biasa yang luar biasa.

Saya merasakan hari ini adalah yang paling menyentuh hati kecil ini, mana tidaknya ayahanda Dr. Amin memberikan nasihat-nasihat bak pesan terakhir seorang ayah kepada anak kesayangannya. Beliau seperti biasa, selalu menekankan kepada kami kepentingan juhud dalam menuntut ilmu ini, teringat kata-kata beliau, "Sememangnya tidak ada tugas yang paling utama bagi kamu melainkan belajar bersungguh-sungguh, kamu menjadi harapan besar keluarga, masyarakat, negara dan ISLAM itu sendiri! Kamu nanti akan dihujani pelbagai persoalan dari masyarakat kamu, itu memerlukan ilmu yang lengkap, mencakupi semua bidang".

"Kamu datang ke sini untuk ilmu atau untuk cari zaujah?"...pap, kena sebijik... !

Beliau menceritakan bahawa suatu ketika dahulu pernah mengahwinkan lebih kurang 10 pasangan pelajar Malaysia di sini! Beliau sendiri yang menguruskan urusan akad itu, ini  menunjukkan persoalan di atas itu bukanlah untuk menghalang dari mencari calon zaujah, sesiapa yang rasa masanya sudah sesuai, berkemampuan, silakan, bahkan itu lebih elok, masing-masing memahami + fikrah yang jelas + sehaluan...penting untuk perjuangan nanti ya.. ^_^

Saya membuat kesimpulan bahawa persoalan itu untuk muhasabah dan post mortem diri, sejauh manakah penguasaan ilmu dan usaha kita? Adakah tercapai maksud asal permusafiran kita di sini? Kalau rasa sudah tercapai, Alhamdulillah. Kalau sebaliknya, sila usahakan semampu yang boleh. Saya tertunduk ke lantai, terkedu dihujani persoalan muhasabah ini, kerana banyak cita-cita yang tercipta dalam diri sewaktu mula-mula sampai ke dataran syuhada ini. Risau, takut cita-cita itu bertukar menjadi hanya angan-angan kosong! Na'uzubillah....di sebalik hati kecil ini, cita-cita itu kian bersinar kembali.

Mengenai Profesor Dr. Amin Butush ini, beliaulah doktor kami yang memiliki dua B.A, dua M.A dan tiga P.H.D! Saya meletakkan profile beliau ini untuk tatapan kita semua, cuba bayangkan bagaimanakah kesungguhan dan disiplin ilmu yang beliau terapkan.
Wallahu a'lam.


Gambar lama beliau..saya cuba dapatkan gambar baru nanti :)



الاسم
د. أمين محمد سلام المناسية/البطوش
Dr. Amin Mohammad Sallam Al-manasyeh
Name
القسم
أصول الدين
Usoul Deen
Department
البريد الإلكتروني
Email
الجوال
0795289847
Mobile
الرتبة الأكاديمية
أســــتاذ
Professor
Rank
التخصص العام
التفسير وعلوم القرآن
Tafir and Quranic sciences
Field
مجالات التخصص
التفسير بأنواعه، التفسير الموضوعي، التفسير التحليلي، إعجاز القرآن،علوم القرآن، مناهج المفسرين، والقصص القرآني، وعقيدة..أساليب البحث
Tafir and Quranic sciences:Objective Tafsir, analysis, Stories, uloum, and I'jaz, creed, research methods.
Areas of Specialty
الدرجة العلمية
اسم الجامعة
الدولة
Country
University
Degrees
بكالوريوس
1979
الجامعة الإسلامية
السعودية
Sudia
Islamic University
1979
B.A
بكالوريوس
1979
الجامعة الإسلامية
السعودية
Sudia
Islamic University
1979
B.A
الماجستير
1983
المعهد العالي للدعوة الإسلامية
السعودية
Sudia
Higher Islamic Institute
1983
M.A
الماجستير
1986
جامعة تمبل
أمريكا
U.S.A
Temple University
1986
M.A
الدكتوراه
1988
جامعة كولمبيا باسيفيك
أمريكا
U.S.A
C. P.U.
1988
Ph.D
الدكتوراه
1989
نيويورك
أمريكا
U.S.A
N.Y.U.
1989
Ph.D
الدكتوراه
-
-
-
-
-
-
Ph.D
حوار الأديان
1994
نيويورك
أمريكا
U.S.A
Interreligious Dialogue
1994
None


Belasungkawa Syeikh Nuh 'Ali Salman al-Qudah




Seorang lagi mutiara ummah gugur, seluruh isi alam meratapi kembalinya ulama' ummah ini, Samahatus Syeikh Nuh 'Ali Salman al-Qudah, mantan mufti Jordan, ke sisi Rabbul Jalil pada pagi 19 Disember 2010, dalam usia sekitar 71 tahun. Beliau dilahirkan pada tahun 1939 di 'Ain Jina, Muhafazah 'Ajlun. Bapanya Syeikh 'Ali al-Qudah adalah faqih mazhab Syafi'i. Beliau menerima ijazah dari ramai ulama Syam, terutamanya Syeikh 'Ali al-Daqr. Antara guru-guru Syeikh Nuh al-Qudah yang lain ialah, Syeikh 'Abd al-Karim al-Rifa'i, Syeikh 'Abd al-Razzaq al-Himsi, Syeikh Mahmud al-Rankusi, Syeikh al-Murabbi Muhammad al-Hasyimi dan lain-lain. Dari Syeikh Muhamad al-Hasyimi beliau mengambil Tariqat Syaziliyyah.

Beliau juga pernah belajar dengan ramai ulama Dimasyq di Fakulti Syariah, Dimasyq, seperti Syeikh Mustafa al-Zarqa, Dr. Wahbah al-Zuhayli, Syeikh 'Abd al-Rahman al-Sabuni, Syeikh 'Abd al-Fattah Abu Ghuddah, Syeikh Fawzi FayduLlah dan lain-lain. Beliau merupakan graduan dari fakulti tersebut pada tahun 1965. Antara rakannya pada masa itu ialah al-Muhaddith Syeikh Muhammad 'Awwamah. Pada tahun 1972, beliau dilantik sebagai mufti Tentera.

Pada tahun 1977 beliau ke Kaherah, Mesir dan menimba ilmu dari ulama-ulama seperti Syeikh 'Abd al-Ghani 'Abd al-Khaliq, Syeikh Hasan al-Syazili dan juga Syeikhul Azhar pada masa itu Syeikh 'Abd al-Halim Mahmud. Beliau berjaya memperolehi ijazah masternya dari Universiti al-Azhar di bawah seliaan Syeikh Muhammad al-Anbabi dengan tajuk (قضاء العبادات والنيابة فيها) pada tahun 1980. Manakala ijazah kedoktorannya pula diperolehi dari Universiti Islam Muhammad bin Su'ud di Riyadh pada tahun 1986 dengan tajuk (إبراء الذمة من حقوق العباد).

Sepanjang tugasnya sebagai mufti, beliau telah mengeluarkan ribuan fatwa berkaitan agama dan juga manusia. Pada tahun 1996 beliau menjadi duta Kerajaan Jordan di Iran sehingga tahun 2001. Pada tahun 2004, beliau bertugas dalam bidang penfatwaan di Emirates dan juga sebagai penasihat Menteri Keadilan, Wakaf dan Hal Ehwal Islam sehingga tahun 2007. Pada tahun tersebut beliau dilantik sebagai mufti am Kerajaan Jordan sehinggalah beliau bersara pada bulan Februari 2010 yang lalu.

Antara karya-karya beliau ialah;


* قضاء العبادات والنيابة فيها.
* إبراء الذمة من حقوق العباد.
* محاضرات في الثقافة الإسلامية.
* المختصر المفيد في شرح جوهرة التوحيد.
* شرح المنهاج في الفقه الشافعي.
* كيف تخاطب الناس.
* لم تغب شمسنا بعد.
* صفات المجاهدين.
* مولد الهادي صلى الله عليه وسلم.

07 November 2010

Aku Menyahut SeruanMu

Assalamualaikum wbt..


Setinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah SWT atas pelbagai nikmatNya, sungguh banyak nikmatNya sehingga tidak terhitung, tinggallah kita sama ada hendak bersyukur atau pun engkar, sesiapa yang cerah mata hatinya itulah orang yang mencapai darjat 'falah' di dunia ini. Dia menyedari hakikat dirinya, makhluk yang amat lemah lantas dia mengagungkan Penciptanya yang Maha Kuat, Maha Kaya.


Sudah lama rasanya saya membiarkan latihan menulis ini makin menumpul, laman ini dibiarkan kosong tidak terisi, moga-moga saya kembali kepada niat asal...insya Allah..[datanglah azam itu...]


Bulan Zulhijjah yang penuh kemuliaan, barokah dan keberkatan mula menjengah kita, bakal menyajikan kita dengan segala fadhilatnya. Alhamdulillah, saya diizinkan kali ini untuk bersama-sama jemaah yang lain menjadi tetamuNya. Setinggi kesyukuran yang layak kepadaNya, saya dan sahabat-sahabat diizinkan menggunakan kelebihan berada di bumi Jordan ini, kosnya tentulah jauh lebih murah berbanding kos di tanah air. Saya memohon doa dari sahabat-sahabat sekalian agar dipermudahkan urusan di sana dan dikurniakan haji yang mabrur..insya Allah.


Zulhijjah Bulan Agung..



Allah berfirman dalam Surah Al-Fajr,maksudnya:

 "Demi fajar, dan malam yang sepuluh, " [Al-Fajr 89:1-2].

Kebanyakan ulama' bersetuju bahawa sepuluh malam ini merujuk kepada sepuluh malam pertama Zulhijjah. Ibnu Kathir juga telah membenarkan pendapat ini dengan menyatakan: "Ini adalah pendapat yang benar." [Tafsir Ibnu Katsir, 8 / 413]
Ibnu Abbas melaporkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 "Tiada amalan baik yang dilakukan pada hari-hari lain yang lebih unggul dari amalan-amalan yang dilakukan pada bulan Zulhijjah."

 Di antara amalan yang digalakkan pada sepuluh hari ini adalah berpuasa sunat, menawarkan korban binatang (biri-biri, kambing, dll), bertaubat dengan ikhlas, membaca Quran, melakukan solat malam dan akhirnya menunaikan solat hari raya pada hari kesepuluh Zulhijjah .

 Hafsah r.a menceritakan, "Ada lima perkara yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah SAW: Puasa hari 'Asyura, puasa yang 10 [iaitu pada hari pertama Zulhijah], puasa 3 hari pada setiap bulan dan solat dua rakaat sebelum solat subuh ". [diriwayatkan oleh Ahmad dan Nasa'i].

Abu Hurairah menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada hari yang lebih dicintai oleh Allah untuk anda beribadah padanya berbanding sepuluh hari Zulhijjah. Berpuasa pada mana-mana hari sepanjang waktu itu adalah sama dengan puasa satu tahun, dan melakukan solat malam pada mana-mana malam sepanjang tempoh itu adalah seperti melaksanakan solat malam pada malam Alqadr."[diriwayatkan oleh Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Baihaqi].

Nabi (s.a.w) memerintahkan kita untuk memperbanyakkan tasbih ("Subhanallah"), tahmid ("Alhamdulillah") dan takbir ("Allahu Akbar") selama waktu ini. 'Abdullah bin' Umar r.a melaporkan bahawa Nabi SAW bersabda: "Tidak ada hari yang lebih agung pada pandangan Allah dan tiada amalan-amalan yang lebih dicintaiNya berbanding sepuluh hari ini , jadi pada waktu ini banyakkanlah bertahlil ("Lailaha illallah"), takbir dan tahmid ". (HR Ahmad, 7 / 224; Ahmad Shakir menyatakan bahawa itu adalah sahih).
Kalau nak dibandingkan umur kita dengan ummat terdahulu, kitalah yang paling singkat umurnya. Kalau nak dibandingkan kelebihan sahabat baginda SAW dengan kita, sudah tentu kita tidak setanding mereka. Atas sebab itulah, amat-amat rugi andai kita tidak bijak merebut kelebihan dan ganjaran yang disajikan kepada kita ini. Wallahu a'lam...
Selamat berebut...selamat beramal.. :)

22 October 2010

20 Tahun Kelantan Menerajui Perubahan


Assalamualaikum wbt...
Semalam, 20 Oktober 2010 genaplah 20 tahun pemerintahan kerajaan negeri Kelantan di bawah PAS. Dengan dasar ‘Membangun Bersama Islam’ yang menjadi slogan yang sentiasa segar di hati rakyat dan pemerintah, kini negeri Kelantan dengan megahnya memperkenalkan Islam sebagai al deen dan al daulah ( agama dan negara ) kepada rakyat Malaysia, bahkan seluruh dunia sekeliannya.
Malam tadi, kerajaan negeri mengadakan majlis ulang tahun sempena 20 tahun pentadbiran yang berasaskan Islam itu dengan kehadiran Sultan Kelantan yang baru, Sultan Muhammad keV yang sudi mencemar duli untuk bersama menjadikannya besar dan dipahat dalam sejarah Kelantan yang bersinar.  
Jika BN yang menawan kerajaan pusat dengan angkuh memperlekeh kehadiran kerajaan Islam di Kelantan sejak dulu dengan menekan dan menindas rakyatnya melalui sekatan dan halangan termasuklah yan terbaru dengan menahan royalti petrolium untuk kerajaan Kelantan yang bernilai berbilion ringgit, Allah tidak pernah meninggalkan rakyat Kelantan.  Hidup kekal panjang di bawah pentadbiran Islam adalah nikmat tak terperi, tak ternilai oleh buakan minyak yang keluar dari perut negeri Kelantan yang menjadi rebutan dan bahan bakar sifat tamak haloba kerajaan ‘orang minyak’ di Putra Jaya.
Di Putra Jaya, mereka memerintah rakyat dan al Quran dengan otak mereka. Di Kelantan, al Quran memerintah otak pemerintah dan  pemerintah memerintah sallaLlahu alaihi wasallam rakyat dengan al Quran. Di Putra Jaya, Allah ditinggalkan di masjid besi sedang di Kelantan, Allah disujudi di segenap tanah dan bucu.
Di Putra Jaya, Datin Seri Rosmah Mansor berjaya menghina dan meletakkan nama nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam di belahan dada terdedah pada busana peragaan wanita muslim yang terhina oleh ugama, sedang di Kelantan, wanitanya mengajar anak – anak mereka mencintai dan menjulang ajaran Rasulullah  sallaLlahu alaihi wasallam yang menjadi qudwah pemerintahan Meteri Besarnya.
Jika tidak kerana kuasa yang terhad, pastinya Kelantan akan lebih memecut ke depan meninggalkan Putra Jaya juh di belakang. Jika tidak kerana sekatan dan halangan terhadap hak sendiri, sudah pasti rakyat Kelantan akan menerima yang lebih baik daripada kerajaan PAS Kelantan. Jika tidak kerana tekanan dan ikatan, barang pasti keharuman pemerintahan kerajaan Kelantan akan lebih semerbak sampai ke Selat Tebrau dan puncak Kinabalu. Dan, jika tidak kerana fitnah dan tohmahan yang menjijikkan, semestinya Putra Jaya telahpun dimiliki PAS.
Tetapi Allah menghendaki untuk rakyat Kelantan apa yang dimahuNya. Hari ini, kewajiban kita adalah mensyukuri nikmatNya yang agung dan kita mesti mempertahankan nikmat ini daripada dirampas secara kejam dan zalim oleh penguasa yang zalim.
Marilah mari bersama mengingati kebesaran nikmat Allah ke atas kita;
1) Kitalah kerajaan yan mengharamkan riba di saat manusia beriman dengan keajaiban ekonomi berasaskan riba. Akhirnya, selepas berdegil beberapa tahun, kerajaan pusat tunduk kepada tuntutan rakyat untuk membuka ruang aktiviti ekonomi tanpa riba dengan menggalakkan bank – bank membuka jendela perbankan tanpa riba.
2) Kitalah kerajaan yang berjaya mengangkat darjat wanita Islam dengan galakan memakai pakaian Islam yang menutup aurat dan meluluskan enakmen berkaitannya untuk premis – premis perniagaan. Malangnya, Datin Seri Rosmah masih keras hatinya, lalu menguasai Perdana Menteri untuk terus menghina wanita Islam dengan memperagakan wanita Islam yang menghina RasuluLLah sallaLlahu alaihi wasallam sendiri.
3) Kitalah kerajaan yang berjaya mengangkat darjat wanita dengan memberi mereka, sebagai contoh, hak cuti bersalin selama 60 hari. Akhirnya selepas kekal bebal dan pekak beberapa tahun, kerajaan pusat akur untuk menurut kerajaan negeri dan hari ini, mereka menambah sehingga 90 hari kerana keinginan menurut cara negara – negara maju. Tidakkah jika Kelantan adalah sebuah negara, Kelantan telah lama menjadi negara maju?
4) Kitalah kerajaan yang berjaya mengubah wajah pendidikan Islam terhadap anak – anak bangsa pewaris negara. Sistem pendidikan Yayasan Islam Kelantan terus unggul dengan kelahiran pelajar – pelajar cemerlang di dalam akademik setiap tahun selain mendadaknya sambutan rakyat Malaysia terhadap sekolah – sekolah menengah tahfiz dan terkini, tahfiz sains yang dipelopori kerajaan negeri Kelantan. 
5) Kitalah kerajaan yang berjaya memperkenalkan konsep ‘negeri berkebajikan’ dengan membantu rakyat miskin yang kesusahan dengan sistem yang lebih terancang dan terjamin dan tidak hanya bersifat kosmetik, tampalan dan subsidi seperti kejayaan sistem Ladang Rakyat dan Kifalah.
6) Kitalah kerajaan yang berjaya memperkenalkan diri sebagai kerajaan solat. Mendirikan solat adalah kewajiban kerajaan, bukan hanya individu. Justeru lihatlah wajah kerajaan Kelantan. Tidakkah anda melihat Menteri Besar bersama rakyatnya sedang bersolat dan menadah tangan?
Itulah sebahagian contoh yang menjadi obor untuk dilihat dan dikecapi oleh rakyat. Ia sukar dilaksanakan diawalnya dek sekatan, fitnah dan tohmahan, tetapi dengan dan demi perjuangn yang suci, Allah memenangkan hamba – hambaNya dengan keberanian dan keyakinan.
Bersyukur adalah sebaik – sebaik persembahan hamba kepada tuhannya. Sebaik – baik rasa syukur adalah mempertahankan kerajaan negeri Kelantan untuk terus maju bersama Islam. Semoga sambutan 20 tahun pemerintahan PAS di Kelantan akan terus membakar semangat pejuang untuk terus membangunkan Kelantan dengan Islam yang syumul.
Sumber: Ust Nik Abduh

26 August 2010

Perang Badar Dan Nuzul Al-Quran



Dua peristiwa besar dalam Islam yang berlaku pada 17 Ramadan ialah nuzul al-Quran dan peperangan badar. Nuzul al-Quran dalam konteks ini ialah penurunan al-Quran buat kali yang pertama.

Penulis sumber sejarah Islam yang berautoriti seperti Ibn Ishaq, al-Tabari, Ibn Hisyam, al-Asqalani dan Ibn Sayyid al-Nas mencatatkan bahawa peristiwa nuzul al-Quran berlaku ketika Nabi Muhammad S.A.W.bertahannuth di gua Hira'.

Baginda dilaporkan pergi ke gua Hira' bersama-sama isterinya Khadijah. Ketika sedang tidur, baginda didatangi Jibrail yang memintanya membaca. "Bacalah! Namun, Nabi Muhammad SAW menjawab: Apa akan ku baca (wa ma aqra'?)"

Sebaik sahaja mendengar jawapan Nabi Muhammad SAW, Jibrail terus memeluk baginda dengan kuat sehingga baginda sukar untuk bernafas. Kemudian baginda dilepaskan lalu disuruh lagi: "Bacalah! Nabi Muhammad masih menjawab: Apa akan ku baca?" Lalu Jibrail menarik dan memeluknya sekali lagi. Perkara ini berterusan sehingga beberapa kali. Lalu Jibrail melepaskan Nabi Muhammad SAW dan seterusnya membacakan lima ayat pertama dari surah al-Alaq.

Lima ayat pertama dari surah al-Alaq inilah yang pertama diturunkan kepada baginda SAW. Lima ayat ini jugalah yang mempunyai kaitan langsung dengan peristiwa nuzul al-Quran.

Apa pula kaitan antara nuzul al-Quran dengan peperangan Badar? Untuk melihat lebih lanjut mengenai perkara ini, mari kita lihat pandangan-pandangan yang timbul mengenai tarikh berlakunya peristiwa nuzul al-Quran. Pandangan-pandangan inilah nantinya akan membawa kita kepada hubung kait antara nuzul al-Quran dengan peperangan Badar.

Ulama menyepakati bahawa nuzul al-Quran berlaku pada hari Isnin. Jika ditinjau pandangan Ibn Kathir, kita akan dapati bahawa persepakatan ini disandarkan kepada sabda Nabi Muhammad SAW sendiri ketika ditanya tentang puasa pada hari Isnin. Baginda mengatakan bahawa baginda dilahirkan pada hari Isnin dan al-Quran juga diturunkan kepadanya pada hari Isnin.

Sekalipun terdapat persepakatan dari segi hari berlakunya peristiwa nuzul al-Quran, namun terdapat perselisihan pendapat dari segi tarikh dan bulan berlakunya peristiwa tersebut.

Beberapa tarikh telah dilaporkan oleh sumber sejarah Islam sebagai tarikh berlakunya nuzul al-Quran seperti 10 Ramadan, 17 Ramadan, 18 Ramadan ataupun 24 Ramadan.

Selain bulan Ramadan, terdapat juga pandangan yang mengatakan bahawa nuzul al-Quran berlaku pada bulan Rabiulawal atau bulan Rejab. Walau bagaimanapun, pandangan yang paling masyhur menyebut bahawa peristiwa nuzul al-Quran berlaku pada bulan Ramadan.

Kebanyakan sumber sejarah Islam yang menyebut mengenai perkara ini di dapati melaporkan pandangan Ibn Ishaq.

Mari kita lihat apa pula bukti yang mengukuhkan hujah bahawa nuzul al-Quran berlaku pada bulan Ramadan.

Menurut kebanyakan penulis sumber sejarah Islam yang berautoriti seperti Ibn Ishaq, Ibn Hisham, Ibn Kathir, al-Suhayli dan juga al-Bayhaqi, ayat 185 surah al-Baqarah adalah bukti jelas bahawa nuzul al-Quran berlaku pada bulan Ramadan.

Ini terbukti menerusi apa yang boleh difahami dari ayat tersebut iaitu, "bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu…".

Selain ayat tersebut, terdapat juga ayat lain yang turut digunakan sebagai bukti bahawa peristiwa nuzul al-Quran berlaku pada bulan Ramadan. Antaranya ialah ayat 41 surah al-Anfal.

Menariknya ialah, ayat ini tidak hanya menentukan bulan berlakunya peristiwa tersebut. Bahkan ia juga turut mendedahkan tarikh berlakunya peristiwa nuzul al-Quran itu sendiri.

Ini boleh difahami menerusi maksud ayat tersebut iaitu ketahuilah, sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil, jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami Muhammad di hari Furqan iaitu hari bertemunya dua pasukan.

Apa yang dimaksudkan dengan hari bertemunya dua pasukan di sini ialah pertemuan antara orang Islam dan orang kafir dalam peperangan Badar yang berlaku pada 17 Ramadan.

Oleh kerana ayat 41 sebelum ini menjelaskan mengenai nuzul al-Quran berlaku pada hari tersebut, maka tarikhnya pastilah 17 Ramadan. Cuma bezanya, peperangan Badar berlaku pada 17 Ramadan tahun ke-2 hijrah.

Walau bagaimanapun, baik nuzul al-Quran mahupun peperangan Badar, kedua-duanya adalah peristiwa besar dalam sejarah Islam. Nuzul al-Quran menjadi titik tolak kepada pelantikan Nabi Muhammad SAW sebagai utusan Allah untuk membawa risalah Islam.

Peperangan Badar pula mencerminkan kekuatan pihak Islam hanya dalam tempoh lebih kurang dua tahun selepas mereka meninggalkan kota Mekah untuk berhijrah ke Madinah.

*Sumber : Mymaqaz

17 August 2010

Hadis Keutamaan dan Kelebihan Ramadhan

Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya : Apabila telah tiba Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup semua pintu neraka dan diikat semua syaitan.(HR Imam Bukhari, Muslim, Nasai’e, Ahmad dan Baihaqi)

Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya :Siapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu.
(HR Imam Nasai’e, Ibn Majah, Ibn Hibban dan Baihaqi)

Rasulullah S.A.W telah bersabda yang maksudnya : Setiap amalan anak Adam baginya melainkan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara .Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa, demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya.(HR Imam Bukhari, Muslim, Nasai’e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Hibban dan Baihaqi)

Barangsiapa memberi makan kepada orang yang berbuka puasa maka dia memperoleh pahalanya, dan pahala bagi yang (menerima makanan) berpuasa tidak dikurangi sedikitpun (HR Tirmidzi)

Diriwayatkan daripada Sahl bin Sa’d R.A daripada Nabi SAW bersabda yang maksudnya: ‘Sesungguhnya di dalam syurga terdapat satu pintu yang disebut Ar-Rayyan yang mana pada hari Kiamat orang-orang yang berpuasa masuk daripadanya (dan) tidak seorangpun selain mereka memasukinya. Dikatakan: ‘Dimanakah orang-orang yang berpuasa?’ Maka mereka pun berdiri (untuk memasukinya), tidak ada seorang pun selain mereka yang memasukinya. Apabila mereka telah masuk maka pintu itu ditutup sehingga tidak ada seorang pun yang masuk dari padanya.’ (HR Bukhari)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A daripada Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: ‘Segala amal kebajikan anak Adam itu dilipat-gandakan pahalanya kepada sepuluh hinggalah ke 700 kali ganda. Allah berfirman: ‘Kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu adalah untuk-Ku dan Aku memberikan balasan (pahala) kepadanya, (kerana) dia(orang yang berpuasa) telah meninggalkan syahwat dan makan minumnya kerana Aku.’ (H.R Muslim)

Diriwayatkan daripada Abu Sa’id Al-Khudri R.A, aku mendengar Nabi SAW bersabda: Maksudnya: ‘Barangsiapa yang berpuasa sehari pada jalan Allah nescaya Allah akan menjauhkan mukanya dari api neraka (sejauh perjalanan) 70 tahun.’ (HR Bukhari)
Dari Ibnu ‘Umar RA, katanya Rasulullah saw. bersabda: ‘Carilah malam qadar itu pada sepuluh malam yang akhir bulan Ramadhan. Jika kamu lelah, maka janganlah dilewatkan pada tujuh malam yang masih tinggal.’ (HR Muslim)

Dari Abdullah bin Umar RA. bahwa Nabi SAW. bersabda: ‘Puasa dan Al Qur’an memberi syafaat kepada hamba Allah pada hari kiamat. Puasa berkata, ‘Wahai Tuhanku, aku telah menghalanginya makan minum dan memenuhi syahwatnya pada siang hari, maka perkenankanlah aku memberi syafaat baginya.’ Dan Al Qur’an pun berkata, ‘Aku telah menghalanginya tidur pada malam hari, maka perkenankanlah aku memberi syafaat baginya.’ Lalu syafaat keduanya diterima Allah.’( H.R Ahmad)

Dari Abu Hurairah RA bahwa Nabi SAW bersabda: ‘Di dalam bulan Ramadhan umatku diberi lima perkara yang tidak pernah diberikan kepada umat-umat sebelumnya:
1. Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.
2. Para malaikat selalu meminta keampunan untuk mereka hingga mereka berbuka.
3. Setiap hari Allah menghias syurgaNya sambil berkata, ‘Hamba-hamba Ku yang soleh ingin melepas beban dan penderitaannya dan mereka rindu untuk memasukimu.’
4. Pada bulan ini diikat syaitan-syaitan yang derhaka sehingga mereka tidak berleluasa mencapai apa yang dapat dicapainya pada bulan lain.
5. Mereka diampuni oleh Allah SWT pada malam yang terakhir dari bulan itu. Para sahabat bertanya, ‘Wahai Rasulullah, apakah itu malam Lailatul Qadar?’ Beliau menjawab, ‘Tidak, kerana orang yang bekerja itu akan dipenuhi upahnya manakala sudah menyelesaikan pekerjaannya.’ (H.R Ahmad)

Dari Jabir RA bahwa Nabi SAW bersabda: ‘Puasa itu perisai yang digunakan seorang hamba untuk membentengi dirinya dari siksaan neraka.’ (HR Ahmad)

Rasulullah SAW bersabda: Sahur itu seluruhnya berkat, kerana itu janganlah kamu meninggalkannya walaupun hanya dengan seteguk air, kerana Allah dan malaikatNya memberi salawat kepada orang-orang yang makan pada waktu sahur. (H.R Ahmad)

Sabda Rasulullah SAW : ‘Tiga doa yang sangat mustajab, doa orang yang puasa, doa orang yang di zalimi dan orang yang musafir.’ (H.R Ahmad, Bukhari, Abu Dawud & Tirmidzi)
Nabi SAW bersabda; ‘Tidurnya orang yang puasa tetap dalam ibadat dan diamnya dianggap tasbih dan amalnya dilipat gandakan dan doanya mustajab dan dosanya diampunkan.’ (Riwayat Al Baihaqi)

Rasululah SAW bersabda; ‘Puasa itu bagaikan perisai, maka apabila seseorang kamu berpuasa, jangan berkata kotor dan jangan berkata kasar. Jika seseorang mencacinya atau menyerangnya maka hendaklah dia mengatakan. Aku ini puasa.’ ( Sahih Bukhari)

Semoga mendapat faedah dan manfaat daripada perkongsian ringkas ini. Dan mungkin juga boleh dikongsikan dengan sahabat-sahabat yang lain.

* sumber :Artikel Indahnya Ramadhan di http://www.islam.gov.my/e-rujukan/

    11 August 2010

    Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan..



    Ahlan wasahlan Ramadhan Kareem..... 


    Ramadhan yang sama, natijah yang berbeza

    Salam Ramadhan, salam imtihan diucapkan kepada semua sahabat khususnya di perantauan ini yang akan menghadapi peperiksaan akhir tidak lama lagi, mudah-mudahan barokah dan semangat Ramadhan mengalir dalam diri kita, menyebabkan kita semua bersemangat untuk study ya..

    Masa begitu pantas berlalu, Alhamdulillah tahun ini kita sekali lagi diberi peluang utk berada dalam bulan rahmat, bulan padanya satu malam yang lebih baik dari seribu malam, bulan Quran, bulan qiam, bulan infaq dan bulan pembebasan dari neraka Allah SWT. Bagaimanakah persediaan kita utk menyambut tetamu mulia ini?

    Ya Allah jadikan kami golongan yang mendirikan Ramadhan dgn penuh kesungguhan.Jangan sesekali jadikan kami golongan yang menyembah Ramadhan kerana sesungguhnya sesiapa yang beribadah krn Ramadhan, maka Ramadhan akan berlalu meninggalkannya,sesiapa yang beribadah menyembah Allah SWT,maka Allah Maha Hidup dan sesekali tidak akan mati.

    Rasulullah SAW telah bersabda sebagaimana yg diriwayatkan Bukhari dan Muslim: “ Sesiapa yang berpuasa (mendirikan) Ramadhan dengan penuh keimanan (iaitu dgn Allah) dan penuh pengharapan (dgn ganjaran dari Allah),maka akan diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu”.

    Allah SWT telah berfirman dalam Hadis Qudsi: “ Setiap amalan anak Adam bagi mereka sendiri melainkan puasa, sesungguhnya ia bagiKu, Aku sendiri yang akan akan membalasnya”. Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan, satu kegembiraan ketika berbuka puasa dan satu kegembiraan ketika bertemu Tuhannya.

    Ini hanya sebahagian kecil dari kelebihan dan keutamaan Ramadhan, seolah-olah satu promosi jualan besar-besaran yang menyediakan diskaun tertinggi sedang dijalankan, hanya menunggu pembeli yang bijak dan berfikiran jauh sahaja untuk mendapatkannya.

    Marilah sama-sama kita bermuhasabah, merenung ke dalam diri dan beristighfar di atas segala kelalaian yang lalu, marilah kita menyambut tetamu mulia ini dalam keadaan bersedia dan pastinya kita mengharapkan segala ganjaran yang ditawarkan. Mudah-mudahan kita keluar dari Universiti Ramadhan nanti dengan penuh ketaqwaan seperti yang dijanjikan Allah SWT.


    Amalan wajib daie khususnya dalam bulan Ramadhan:

    - Solat berjemaah di masjid (syabab)
    - Baca dan tadabbur Al-Quran
    - Berzikir
    - Al-Mathurat pagi dan petang
    - Qiamullai
    - Solat tarawih dan witir
    - Banyakkan berselawat
    - Lazimi bersedekah
    - Banyakkan berdoa
    - Bersihkan hati (banyakkan beristighfar)
    - Banyakkan bersabar
    - Banyakkan beriktikaf di masjid