Jaringan Ukhwah

09 November 2011

Jangan Runtuhkan Peradaban Negara


[Menjawab isu sembelih korban dan Seksualiti Merdeka].

1. Setiap rakyat atau warga negara bukan sahaja mesti kasih dan cinta pada negara dengan semangat patriot yang tinggi tetapi juga mestilah bertanggungjawab membina dan memelihara peradaban negara dengan memastikan kerukunan hidup bermasyarakat pelbagai kaum [ multi - racial ] juga pelbagai agama [ multi - relegion ] tanpa menafikan Islam, Agama Persekutuan sebagai tiang serinya.

2. Paling asas, peradaban sesebuah negara dipelihara dengan memastikan elemen - elemen ini tidak tergugat :

a] agama
b] ilmu
c] budaya
d] keamanan

3. Agama tidak boleh dibiarkan menjadi bahan ejekan, persendaan mahupun sinis. Agama adalah untuk dianuti dan dipraktis. Rakyat di dalam negara majmuk seperti Malaysia kebanyakkannya memiliki agama. Kalaupun mana - mana pihak enggan menerima agama persekutuan iaitu agama Islam yang diwahyukan oleh Allah swt Sang Pencipta  sebagai agama anutan dan ikutan, mereka tidak boleh dipaksa untuk menganut agama Islam malah mereka mempunyai hak - hak tertentu yang mesti dipenuhi oleh kerajaan Islam seperti tempat ibadat mereka dan sebagainya.

4. Sebagaimana Islam tidak boleh memaksa mereka menerima ajaran Islam, begitulah Islam juga melarang penganutnya mengejek agama - agama lain meskipun aqidah yang diyakini ialah Islam sebagai agama yang benar dan berhak sebagai way of life.

5. Bertolak dari nokhtah ini, saya juga menasihati semua pihak yang terdiri dari agama selain Islam supaya meletakkan penghormatan serupa terhadap Islam agama suci yang diwahyukan oleh Allah swt. Tuhan yang Mencipta Manusia dan seluruh alam ini. Jangan sekali - kali mempersenda agama Islam dan memperlekehkannya. Isu sembelih binatang korban oleh ummat Islam menjelang Aidil Adha yang telah diamal sejak beratus tahun dalam negara kita, jangan dijadikan turning point untuk cetus ketegangan antara agama dalam negara kita. Asasnya saling hormat menghormati. Selama ini negara kita aman, kenapa tiba - tiba hari ini, isu sembelih binatang korban di kawasan terbuka menjadi isu. Nama dah hari Raya Korban, mana boleh buat tertutup, menyembelih binatang korban di bawah rumah .

[ Bukakah negara ini adalah negara ummat Islam pula agama persekutuan adalah agama Islam ? harmoninya agama lain juga tidak dilarang oleh perlembagaan negara untuk dianuti oleh penganut masing - masing. Lalu apa yang jadi masaalah ? Kecualilah ada ummat Islam menyembelih binatang korban di hadapan kuil Hindu atau dalam kawasan perkampungan orang - orang Hindu, kalau begitu saya puntidak bersetuju dan Islam melarang perbuatan sedemikian kerena menghilangkan rasa hormat kepada kaum lain.]

6. Malah rakyat Malaysia boleh bersatu dalam perkara - perkara tertentu dalam memelihara keharmonian kaum serta memastikan peradaban negara kita tidak runtuh. Antaranya ialah penyimpangan seksual yang menjadi isu kebelakangan ini. Saya percaya, dengan pelbagai alasan dan apa jua sebabnya, semua agama menentang perlakuan seksual songsang yang bercanggah dengan fitrah dan norma luhur manusiawi.

7. Perlakuan Lesbian, Gay dan Biseksual bukan lahir dari ajaran mana - mana agama kecuali ia datang dari penyimpangan nafsu yang perlu dikawal dan dipulihkan agar kembali kepada fitrah.Atau sesiapa boleh  tunjukkan kepada saya mana satu agama di atas muka bumi ini yang kitab anutan mereka mendidik dan mengasuh penganutnya supaya menjadi lesbian, gay dan biseksual begitu juga transeksual ?

8. Sementara kelompok yang mengaku tidak beragama pula sekurang - kurang mereka masih ada aqal dan naluri untuk berfikir, mengkaji dan memahami realiti ini untuk kembali kepada fitrah. Manusia tidak boleh memerangi fitrah kelak yang binasa hanya diri mereka sendiri. Manusia mungkin boleh berpura - pura untuk menipu orang lain dan menyimpang arah hidup lalu memilih penyimpangan seksual tetapi akhirnya perkara ini membawa penderitaan pada diri sendiri. Kebahagiaan dan kepuasan yang dicari hanya bersifat sementara sedang tuntutan fitrah senantiasa membayanginya.

9. Saya setuju golongan yang memilih penyimpangan seksual ini tidak perlu di hina sebaliknya dididik dan dibimbing agar kembali kepada fitrah dan agama yang suci, tetapi wajar juga diinsafi bahawa perlakuan seks menyimpang ini adalah perbuatan yang hina malah dipandang lebih hina daripada perbuatan zina yang turut dimurkai oleh Allah swt. Justeru itu, perlakuan dan perjuangan seksualiti kelompok ini tidak boleh diterima dalam masyarakat bertamadun.

10. Jika dadah menjadikan pengambilnya sampah masyarakat apabila dadah tersebut disalah guna maka begitulah seks menjadikan pelakunya sampah masyarakat apabila seks tersebut disalah laku dan menyimpang dari fitrah manusia. Asalnya seks adalah untuk kasih sayang pasangan lelaki dan perempuan yang dicipta oleh Allah swt. pula untuk membiakkan ummat manusia di atas muka bumi ini. Perlakuannya dihalalkan melalui ijab dan qabul, lantas ia membezakan manusia dengan binatang.

11. Namun penyimpangan seksual ini merosakkan tujuan murni tersebut. Untuk apa lelaki melakukan hubungan seks sesama lelaki dan perempuan melakukan hubungan seks sesama perempuan ? Jika untuk menterjemahkan kasih sayang, mereka tidak perlu melakukan hubungan seks sesama jenis justeru mereka boleh pada bila - bila masa berkasih sayang tanpa seks kerana mereka adalah sesama jenis. Seks sesama jenis tidak mungkin menghasilkan baka atau zuriat sebaliknya ia adalah perbuatan yang keji. Jika amalan ini diiktiraf dan diamalkan oleh semua , bukan sahaja Allah murka, generasi manusia akan pupus.

12. Lihat sahaja barat pada hari ini. Satu persatu harga diri, nilai peradaban dan nurani kemanusiaan mereka lusuh dan luntur akibat kebebasan tanpa tara dan tiada kawalan fitrah ke atas runtunan nafsu dan syahwah mereka. jauh sekali kawalan agama. Kemajuan material dengan bangunan mencakar langit bukan asas peradaban yang tulen tetapi mesti dibina dengan lahirnya kelompok masyarakat yang bermoral dan beretika.

13. Kita tidak boleh memburu kemajuan seperti barat yang sedang menjunam nilai kemanusiaannya, ditambah pula dengan kemurkaan Allah swt di atas pelbagai perbuatan mungkar, fasad [kekejian] serta kezaliman yang berlaku. Lantaran itu saya melihat kewujudan sekelompok manusia yang menyimpang perlakuan seksual mereka sebagai pesakit yang perlu dirawat dan dipulihkan jiwa dan nurani mereka dengan terapi ruhani dan juga asuhan agama yang baik.

14. Setelah semua menyedari bahawa ia bertentang dengan agama, kenapa masih mahu meneruskan perlakuan itu ? setelah semua sedar bahawa perbuatan seksual sesama jenis ini adalah perbuatan keji dan bertentangan dengan fitrah, kenapa pula mesti memperjuangkan hak untuk melakukan perbuatan keji itu ? Jika ada sekelompok dua yang berkeinginan dan terjebak untuk melakukannya, janganlah kita galakkan mereka dan mengiktiraf perlakuan mereka, sebaliknya kita rawat dan pulihkan mereka. Pihak berkuasa agama mesti memainkan peranan aktif untuk menyelesaikan persoalan ini selepas mereka selesai menyusun file di atas meja pejabat mereka yang berhawa sejuk. Selamatkan mereka dari terjerumus ke jurang api neraka yang panas.

15. Sebagai contoh, semua kita setuju bahawa dadah itu bahaya dan rokok itu juga bahaya. Maka langkah sewajarnya ialah lancarkan kempen perangi dadah dan rokok, bukan mengiktiraf mereka walaupun kita menyedari bahawa mereka yang telah terjebak tidak wajar disisihkan, sebaliknya diselamat dan dipulihkan. Hatta yang telah dijangkiti virus Aids pun tidak boleh disisih sebaliknya diselamatkan. Tetapi sekali - kali mereka tidak boleh diberi pengiktirafan ! jika tidak, runtuhlah peradaban negara kita .

nota tambah : saya dapat maklumat ada pejuang Human Rights bermati - matian memperjuangkan hak golongan lesbian, gay dan biseksual ini biarpun majoriti penduduk dalam negara ini menganggap ia adalah perbuatan yang keji dan bertentangan dengan fitrah. Mereka perjuangkan atas nama Human Rights kononnya, tetapi anehnya saya tidak pernah pula mendengar golongan pejuang Human Rights memperjuangkan hak penagih dadah untuk mengambil dadah seperlu mereka. Rasanya penagih dadah juga mahu menghisap dadah dengan aman dan tenang tanpa gangguan. mana hak mereka ? kenapa tidak dipertahan dan diperjuangkan hak mereka untuk mendapatkan dadah ?

dunia - dunia ... meniaga manusia lebih untung dari meniaga unta ....

Ust Nasrudin Bin Hassan Tantawi
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

05 November 2011

LEBIHNYA HARI ARAFAH


1. Padang Arafah akan menjadi saksi sekali lagi kepada perhimpunan raksasa umat sedunia pada 9 Zul-Hijjah. Tiada agama selain Islam yang mempunyai program tahunan seumpama himpunan ini. Para jemaah haji pula sekarang sedang mempersiapkan diri, mental dan fizikal untuk hari yang sangat penting bagi ibadah haji mereka. Allah Azza wa Jalla telah menetapkan tarikh ini sebagai ijtima’ seluruh jemaah haji di tempat yang sama dan pada masa yang sama, walaupun mereka mempunyai pilihan yang banyak dalam perlaksanaan ibadah ini sama ada ifradtamattu’ dan qiran.

Wukuf di Arafah

2. Bahkan selepas tamat wukuf di Arafah juga para jemaah haji ada pilihan sama ada ingin terus ke mina untuk melontar jamarat atau ke Masjid al-Haram untuk melakukan tawaf ifadhah. Pendek kata dalam ibadah haji sendiri tidak ada manasik yang semua para hujjaj akan berhimpun di tempat yang sama dan dalam masa yang sama secara serentak melainkan wukuf di Arafah. Masanya bermula zohor 9 Zul-Hijjah dan berakhir apabila terbit fajar keesokan harinya 10 Zul-Hijjah iaitu Hari Raya Eid al-Adha. Wukuf di Arafah pada tarikh ini menjadi rukun ibadat haji. Tiada haji bagi mereka yang tidak berwukuf di Arafah. Diriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda:

Haji itu adalah (wukuf) di Arafah. (Muttafaqun ‘Alaihi)

3. Mengingat peristiwa Haji Wada’ pada zaman nabi SAW, kita bakal mengerti bahawa hari Arafah ini merupakan tarikh penting dalam agama Islam. Pada hari inilah telah disempurnakan agama ini dan dicukupkan segala nikmat. Tarikh ini menunjukkan lengkapnya syari’at Islam, tidak ada yang tertinggal dan tidak ada yang tidak cukup. Islam telah lengkap dengan semua elemen yang sepadu dan holistik. Aspek sosial, ekonomi dan politik telah mempunyai dasar dan prinsip yang diatur mengikut kehendak al-Khaliq pencipta manusia dan sekalian alam. Mungkin inilah hari raya yang bakal dirayakan dengan meriah dan gilang gemilang jika berlaku dalam agama lain. Diriwayatkan daripada Umar al-Khattab RA bahawa seorang Yahudi berkata kepadanya:
Wahai Amiru al-Mukminin, satu ayat dalam kitab kamu yang kamu membacanya, jika sekiranya ia diturunkan kepada kami orang-orang Yahudi, nescaya kami akan mengambil hari tersebut sebagai hari raya. Katanya: Ayat yang manakah? Jawabnya: (Firman Allah SWT) Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agama untuk kamu (al-Maidah ayat 3). Umar berkata: Kami mengetahui hari tersebut dan kami juga tahu tempat diturunkan ayat tersebut kepada nabi SAW, dan pada waktu itu nabi SAW sedang berdiri di Arafah pada hari Jumaat. (Riwayat al-Bukhari)

4. Hari Arafah ini juga sebenarnya adalah hari perjanjian di antara manusia dengan Allah Azza wa Jalla. Tarikh ini menjadi saksi kepada perjanjian penting ini. Memang ada juga manusia yang memungkirinya dan ada juga yang tidak ambil tahu tentangnya, tetapi hari berlakunya perjanjian ini adalah sejarah yang tidak boleh diubah. Ini berdasarkan kepada riwayat Ibn Abbas bahawa nabi SAW bersabda bermaksud:
Sesungguhnya Allah mengambil janji daripada Adam di Na’man (iaitu Arafah), dan Dia telah mengeluarkan zuriat dari sulbinya, maka menjadi ramai di hadapannya seumpama semut kecil, kemudian Allah berfirman kepada mereka: Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang ini. Atau supaya kamu tidak mengatakan: Sesungguhnya ibu bapa kamilah yang melakukan syirik dahulu sedang kami ialah keturunan (mereka) yang datang kemudian daripada mereka. Oleh itu, patutkah Engkau (wahai Tuhan kami) hendak membinasakan kami disebabkan perbuatan orang-orang yang sesat itu? (al-A’araf ayat 171-172). (Riwayat Ahmad)

5. Di samping itu, hari Arafah ini merupakan salah satu hari yang Allah Azza wa Jalla bersumpah dengannya. Allah SWT yang sifatnya maha agung sudah pasti akan bersumpah dengan sesuatu yang agung dan besar juga. Dalam surah al-Buruj ayat yang ketiga kita akan bertemu dengan perkataan masyhud. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud:
Al-Yaumu al-maw’ud (hari yang dijanjikan) adalah hari kiamat, adapun al-yaumu al-masyhud pula adalah hari Arafah, manakala al-syahid pula adalah hari Jumaat. (Riwayat Tirmizi).

Hari keampunan bagi para hujjaj

6. Bagi jemaah haji yang berwukuf di Arafah pada hari ini, mereka beruntung kerana hari ini merupakan hari pengampunan dan pembebasan daripada api neraka untuk mereka. Allah SWT juga berbangga dengan mereka pada hari ini. Diriwayatkan daripada ‘Aisyah RA bahawa nabi SAW bersabda:
Tiada satu hari yang Allah membebaskan hambanya dari api neraka lebih banyak daripada hari Arafah. Sesungguhnya Dia akan (turun) rendah kemudian berbangga di hadapan malaikat, lalu berfirman: Apakah yang mereka semua inginkan? (Riwayat Muslim)    

7. Demikianlah para hujjaj yang Allah Azza wa Jalla berbangga dengan apa yang sedang mereka lakukan pada hari Arafah. Diriwayatkan daripada Ibn Umar RA bahawa nabi SAW besabda bermaksud:
Sesungguhnya Allah SWT berbangga di hadapan malaikatnya dengan ahli Arafah, lalu berfirman: Lihatlah kepada hamba-hambaKu, mereka datang kepadaKu dalam keadaan rambut kusut masai dan berdebu. (Riwayat Ahmad)  

8. Bagi para hujjaj, jaminan dan peluang yang sangat cerah untuk mendapat kelebihan ini. Mereka bertuah kerana berpeluang dan mendapat rezeki berada di Arafah pada hari yang besar ini bersama-sama jutaan manusia yang kembali kepada Allah SWT dengan hati yang khusyu’ syahdu dan linangan air mata taubat yang mampu membelah kekerasan batu. Berapa ramai daripada mereka yang menjadi takut walaupun dahulu sangat takabbur, tidak kurang yang datang dalam keadaan biasa, menjadi terlalu rindu untuk bertemu denganNya, dan tidak sedikit yang menjadi yakin dengan janjiNya. Maka sepatutnya mereka menjaga dan memastikan semua asbab yang melayakkan mereka mendapat keampunan dan pembebasan api neraka sebagaimana yang dijanjikan khusus untuk mereka. Beberapa adab dan amalan hendaklah dilaksanakan sebagaimana catatan sebelum ini dalam tajuk supaya mendapat haji yang mabrur.

Puasa dan takbir bagi selain hujjaj

9. Bagi kita yang belum mendapat rezeki berada di Arafah pada hari agung ini dengan pelbagai kelebihan yang tersedia, janganlah berdukacita. Tanamkan azam dan niat yang benar untuk berada di tanah dan tarikh bertuah ini. Azam dan niat yang benar ini memerlukan tindakan. Kerana kita tidak akan sampai ke tempat ini tanpa menabung daripada sekarang dengan merancang kewangan dan masa yang ada. Alasan 'belum sampai seru' adalah tidak relevan dan memustahilkan sebuah kemungkinan dan peluang.

10. Kita juga perlu menyatakan kebersamaan kita dengan para hujjaj yang wukuf di Arafah dengan melakukan puasa sunat pada tarikh ini. Dengan rahmat daripadaNya, Allah SWT memberikan kepada kita fadhilat lain walaupun bukan menjadi hujjaj yang berada di Arafah. Maha suci Allah Azza wa Jalla yang maha pemurah dengan hamba-hambanya, walaupun hanya sedikit dalam kalangan mereka yang bersyukur. Tentang fadhilat puasa 9 Zul-hijjah ini bagi selain jemaah haji, diriwayatkan bahawa:
Nabi SAW ditanya tentang puasa pada hari Arafah. Jawabnya: Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun akan datang (Riwayat Muslim)


11. Kita juga boleh mula bertakbir pada hari ini sebagaimana mazhab sebahagian para sahabat. Para ulama’ telah menyatakan bahawa takbir terbahagi kepada dua iaitu muqaiyaddan mutlaq. Yang dimaksudkan di sini adalah takbir muqaiyad iaitu yang dilakukan setiap kali selepas solat fardhu, dan ia bermula dari selepas terbit fajar hari Arafah. Ibn Hajar al-Asqolani (852H) menyatakan:
Tidak thabit sebarang hadith perkara itu daripada nabi SAW. Dan yang paling tepat apa yang warid daripada sahabat iaitu kata-kata Ali dan Ibn Mas’ud RA, bahawa ia (takbir) bermula daripada subuh hari Arafah sehingga akhir hari-hari Mina. (Ibn Hajar, Fathu al-Bari)

12. Kesimpulannya, hari Arafah merupakan hari istimewa bagi umat Islam yang mempunyai pelbagai fadhilat. Ia hanya boleh diperolehi dengan amal dan usaha yang bersungguh-sungguh daripada sama ada para hujajj atau kita yang tidak berada di Arafah. Salam Eid al-Adha untuk seluruh umat Islam.

7 Zul-Hijjah 1432H
Sweileh, Amman

01 November 2011

Kelebihan Ibadah Qurban

Korban merupakan ibadah yang sunat kifayah (sekiranya seorang ahli keluarga berkorban maka seluruh ahli keluarga mendapat pahala) dilakukan oleh sesebuah keluarga pada hari raya `Idil Adha dan 3 hari Tasyriq iaitu 10-13 zulhijjah.


Gambar hiasan



Gambar hiasan (Y.M Sultan Kelantan melakukan peyembelihan)


Firman Allah SWT :


Sesungguhnya Kami (Allah) telah memberi engkau (Muhammad) kebajikan yang banyak. Oleh itu dirikanlah solat kerana Tuhanmu ( pada Hari Raya Haji) dan sembelihlah (binatang) korbanmu (sebagai ibadah dan mensyukuri nikmat Tuhanmu).” (Al-Kauthar : ayat 1-2)


“Dan telah Kami (Allah) jadikan untuk kamu unta-unta itu sebagai syiar agama Allah. Kamu banyak memperoleh kebaikan daripadanya, maka sebutlah nama Allah ketika kamu menyembelihnya.” ( Al-Haj ; 36)


Nabi Muhammad SAW bersabda: 



مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ إِنَّهَا لَتَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا وَأَنَّ الدَّمَ 
لَيَقَعُ مِنْ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنْ الْأَرْضِ فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا




Maksudnya :


“Tidak ada satu amalan anak Adam di hari-hari Nahar (Hari-hari ‘Idul Adha) yang paling Allah sukai selain daripada menumpahkan darah (sembelih), kerana ia (binatang korban) itu akan datang di hari kiamat nanti dengan tanduk dan kukunya dan bulu-bulunya (sebagai saksi ke atas ibadah korban tuannya), dan sesungguhnya darah (binatang korban itu) akan tumpah di sisi Allah di suatu tempat sebelum tumpah ke bumi, oleh itu pilihlah olehmu binatang terbaik (paling menarik) untuk dikorbankan. ” (Hadis riwayat Hakim, Ibnu Majah dan Tirmizi dan dianggap sebagai Hadis Hasan Gharib)

Maksud hadis Nabi SAW yang lain :



Para sahabat pernah bertanya Rasulullah SAW : “Ya Rasulullah apakah yang dimaksudkan dengan Udhiyyah?” Rasulullah Saw menjawab: “ Itulah sunnah bapamu Ibrahim.” Para sahabat bertanya lagi : “Apakah yang kita akan perolehi daripada ibadah Udhiyyah?” Baginda menjawab : “ Tiap helai bulu (dari binatang yang dikorbankan) kamu akan mendapat satu kebaikan.” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

“Barangsiapa yang diberikan kemudahan, sehingga memampukan dia untuk berkorban, akan tetapi dia tidak mahu berkorban, maka janganlah dia mendekati tempat solat kami (masjid) ini.” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)


ZULHIJJAH DAN AMAL SOLEH


Sebenarnya bulan Zul-Hijjah mempunyai fadhilatnya yang tersendiri yang telah Allah Azza wa Jalla pilih berbanding bulan-bulan lain. Selain ia termasuk miqat zamani(ketentuan masa) bagi ibadah haji bersama-sama bulan Syawal dan Zul-Qa’idah, ia juga sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 27-28 bermaksud:
Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan Ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari pelbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.


Berkenaan ayat ini, diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA dalam Sohih al-Bukhari bahawa maksud pada hari-hari yang tertentu ialah hari-hari yang sepuluh. Kita juga boleh merujuk tentang hari-hari yang sepuluh ini menerusi firman Allah SWT dalam surah al-Fajr ayat 1-2 bermaksud:
Demi waktu fajar. Dan malam yang sepuluh.

Majoriti ahli tafsir menyatakan bahawa malam-malam yang sepuluh itu ialah sepuluh yang pertama daripada bulan Zul-Hijjah. Antaranya Ibn Kathir (774H) berkata tentang ayat ini:
Daripada Ibn Abbas bahawa ia adalah sepuluh malam yang pertama daripada Zul-Hijjah. (Ibn Kathir, Tafsir al-Qur'an al-‘Azim).

Fadhilat bulan Zul-Hijjah kerana berhimpunnya kebanyakan ibadah pada satu masa yang sama dalam bulan ini. Ibn Hajar al-Asqolani (852H) menyatakan:
Dan apa yang nyata bahawa sebab lebihnya sepuluh hari yang pertama bulan Zul-Hijjah kerana ia menghimpunkan ibu ibadah di dalamnya, iaitu solat, puasa, sedekah dan haji. Ia tidak berlaku pada selainnya. (Ibn Hajar, Fath al-Bari)

Ibn al-Qaiyim (751H) pula menyatakan tentang fadhilat bulan Zul-Hijjah katanya:
Maka sesungguhnya tiada satu hari pun yang beramal pada hari tersebut lebih disukai oleh Allah SWT selain daripada sepuluh hari pertama Zul-Hijjah. Padanya terdapat hari Arafah (9hb), hari Nahar (10hb) dan hari Tarwiyah (8hb). Adapun sepuluh malam terakhir Ramadhan pula ialah malam-malam untuk dihidupkan sebagaimana nabi SAW menghidupkan kesemua malamnya, dan salah satu daripadanya lebih baik daripada seribu bulan. (Ibn al-Qaiyim, Bada’ie al-Fawa’id)

GALAKAN AMAL SOLEH

Dengan sebab fadhilat yang ada pada sepuluh hari yang awal daripada bulan Zul-Hijjah, maka kita sangat digalakkan untuk memperbanyakkan amal soleh pada hari-hari tersebut, iaitu di antara 1 hingga 10 haribulan Zul-Hijjah. Ini kerana diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud:
Tiada amalan yang lebih afdhal daripada beramal pada hari-hari ini. Mereka bertanya: Walaupun jihad? Nabi SAW menjawab: Walaupun jihad, kecuali seorang lelaki yang keluar membahayakan (jihad) diri dan hartanya dan tidak kembali dengan sesuatu pun. (Riwayat al-Bukhari)

Terdapat juga riwayat-riwayat lain yang menyatakan fadhilat yang seperti hadith di atas. Di samping ia menunjukkan kelebihan berjihad di jalan Allah SWT, ia juga memberi isyarat kepada kita kelebihan melakukan amalan soleh secara umum pada sepuluh hari tersebut. Ibn Hajar al-‘Asqolani (852H) menyatakan:
Di dalamnya (hadith) melebihkan sebahagian masa berbanding yang lain sebagaimana juga tempat. Dan jelaslah faedah daripadanya seperti sesiapa yang bernazar untuk berpuasa, atau melakukan satu amalan pada hari-hari yang afdhal. Jika ingin salah satu daripadanya maka pilihlah hari Arafah (9hb Zul-Hijjah) kerana ia merupakan hari yang paling afdhal daripada sepuluh yang lain menurut riwayat yang sohih. (Ibn Hajar, Fath al-Bari)

Jelas bahawa daripada sepuluh hari pertama bulan Zul-Hijjah, hari Arafah iaitu 9 haribulan adalah lebih utama. Kita yang tidak menunaikan ibadah haji disunatkan berpuasa pada tarikh ini. Bahkan sebahagian ulama’ menyatakan sunat juga berpuasa bermula darpada 1 hingga 9 haribulan Zul-Hijjah. Ibn Rejab al-Hanbali (795H) dalam kitabnya Lato’if al-Ma’arif menyatakan antara sahabat nabi SAW yang mengamalkan puasa sembilan hari ini ialah Abdullah bin Umar RA. Ia tidak bercanggah dengan riwayat daripada ‘Aisyah RA yang menyebut:
Aku tidak pernah melihat nabi SAW berpuasa pada sepuluh haribulan (ZulHijjah). (Riwayat Muslim)

Ketika membicarakan hadith ini, imam al-Nawawi (676H) berkata:
Sesungguhnya hadith ini menjadikan orang menyangka tidak boleh berpuasa sepuluh. Dan maksud daripada sepuluh ialah sembilan hari pertama daripada bulan Zul-Hijjah. Mereka berkata: Dan ini sebahagian daripada ta’wilan. Tiadalah berpuasa pada sembilan hari ini makruh hukumnya, bahkan ia sangat-sangat digalakkan, terutamanya pada sembilan haribulan iaitu hari Arafah. (al-Nawawi, Syarh Sohih Muslim)

Terdapat riwayat khusus yang menggalakkan berpuasa pada hari Arafah iaitu 9 Zul-Hijjah. Bagi sesiapa yang berpuasa pada tarikh ini dosanya selama dua tahun akan diampunkan oleh Allah SWT. Diriwayatkan daripada Qotadah al-Ansori RA bahawa nabi SAW ditanya tentang berpuasa pada hari Arafah, jawab nabi SAW:
Ia akan menghapuskan dosanya setahun yang lalu dan akan datang. (Riwayat Muslim)

Dosa yang akan diampunkan adalah dosa-dosa kecil bukannya dosa besar, sebagaimana wudhu’ boleh menghapuskan dosa kecil. Jika tiada dosa kecil, semoga Allah Azza wa Jalla akan mengangkat darjat kita semua. Maka perbanyakkanlah amalan soleh pada hari-hari ini dan seluruh hari yang lain sepanjang tahun seperti berzikir, membaca al-Qur’an, bertaubat, qiamullail dan sebagainya. Mereka yang ada kelebihan dan kemampuan melakukan ibadah korban juga, ia sangat-sangat dituntut. Bagi yang sudah berniat dan mewajibkan dirinya berkorban maka jangan lepaskan peluang melakukan beberapa perkara sunat, antaranya elakkan memotong kuku dan rambut bermula awal bulan Zul-Hijjah hinggalah binatang korbannya disembelih. Diriwayatkan daripada Ummu Salamah RA bahawa nabi SAW bersabda bermaksud:
Barangsiapa yang melihat anak bulan Zul-Hijjah, dan berniat ingin melakukan korban, maka janganlah dia mengambil (memotong) daripada rambut dan kukunya. (Riwayat Tirmizi)

Kesimpulannya, fadhilat sepuluh hari pertama ZulHijjah perlu direbut dengan melakukan pelbagai amalan soleh. Membiarkannya berlalu begitu sahaja merupakan kerugian yang tidak sepatutnya.

Amman, Jordan.