Jaringan Ukhwah

13 August 2011

Ramadhan Harapan Kemenangan


1. Setiap kali kita masuk bulan Ramadhan, kita akan masuk dengan seribu satu harapan. Kerana kita cukup yakin bahawa Ramadhan adalah bulan persaingan yang menjanjikan kejayaan dan kemenangan. Lipatan sejarah Ramadhan mencatatkan kejayaan cemerlang umat Islam. Maka itulah harapannya. Sebagaimana setiap kali kita masuk pertandingan tertentu, harapannya adalah menjulang sebuah kemenangan. 
 
2. Beberapa siri kemenangan umat Islam dalam beberapa peristiwa sangat memberikan harapan baru kepada kita. Antaranya peperangan Badar al-Kubra yang berlaku pada tahun kedua Hijrah. Ia berlaku dalam bulan Ramadhan ini pada tanggal 17 haribulan dan dengan jumlah tentera Islam yang nisbahnya 1:3 berbanding musuh. Firman Allah Azza wa Jalla dalam surah Ali Imran ayat 123:
Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu dalam keadaan lemah (kerana bilangan kamu sedikit dan peralatan yang kurang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur.
3. Selain itu, pada bulan Ramadhan seumpama ini tahun kelima Hijrah, umat Islam membuat persiapan untuk berhadapan dengan tentera musuh dalam peperangan Khandaq atau Ahzab. Dengan izin Allah SWT tentera Islam mendapat kememengan tanpa sebarang pertumpahan darah dan peperangan. Sebaliknya dengan bantuan dan kelebihan daripada Allah SWT, antaranya dengan angin ribut. Ia mencetuskan harapan dan motivasi kepada kita. Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 25 bermaksud:
Dan Allah telah menghalau kembali (angkatan tentera) orang-orang yang kafir itu (ke tempat masing-masing dengan keadaan mereka geram marah (kerana gagal dan hampa), mereka tidak mendapat sebarang keuntungan. Dan Allah selamatkan orang-orang yang beriman dari bencana menghadapi peperangan itu. Dan (ingatlah) adalah Allah maha kuat, lagi maha kuasa.
4. Di samping itu, pembukaan Kota Mekah juga dalam bulan Ramadhan 21 haribulan, tahun kelapan Hijrah. Jauh perjalanan yang terpaksa dilalui oleh nabi SAW dan tentera Islam, lebih 400 kilometer. Tanpa kenderaan seperti sekarang, tiada hawa dingin dan tanpa hentian sebelah mahupun Rawat dan Rehat. Mereka mengharungi padang pasir yang kontang dan gersang. Namun, kemenangan ini juga menjadi harapan kepada kita untuk mencatat kemenangan baru. Diriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda:
Tiada lagi hijrah selepas pembukaan (kota Mekah), tetapi yang ada ialah jihad dan niat. (Riwayat al-Bukhari).
5. Demikianlah Ramadhan yang mengembalikan semula kota Mekah kepada umat Islam. Dalam bulan ini juga Rasulullah SAW seterusnya menerima kedatangan rombongan manusia yang berbondong-bondong menyatakan keIslaman mereka. Mereka daripada kabilah yang pelbagai dan datang dari tempat yang berbagai-bagai, tetapi tujuannya untuk menyatakan tauhid selepas keyakinan mereka terhadap kebenaran agama Islam.
6. Ramadhan terus mencatat kemenangan demi kemenangan yang tidak sempat untuk dicatatkan semuanya di sini satu persatu. Sekadar menyebut dan menyorot sahaja antaranya juga ialah; kemenangan ke atas tentera Salib yang dipimpin oleh Salahuddin al-Ayubi, berlaku pada tahun 584 Hijrah, kemengan peperangan Ain Jalut, dan yang terkini kemenangan peperangan ‘Asyir Ramadhan, tentera Yahudi tewas di tangan tentera Mesir dan Syria.
7. Oleh itu Ramadhan adalah kemenangan dan kemuliaan bagi umat Islam. Taghut dan kezaliman musnah, syirik dan kesesatan tewas dalam bulan ini. Umat Islam yang dikatakan lemah, pernah ditindas dan yang telah diseksa telah menang dan berjaya. Lembaran emas ini tidak boleh diubah dan dipadam. Yang pastinya kemenangan itu tidak datang percuma, kerana kememenangan memerlukan jihad, kesabaran, thabat (tetap teguh) dan taqarrub kepada Allah Azza wa Jalla. Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 45-47:
Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu bertemu dengan pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya. Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran); sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.
8. Semua ini adalah faktor dan sebab kemenangan yang perlu kita ambil perhatian. Kerana jika ia wujud pada diri kita, maknanya kita juga sudah mencukupi syarat kemenangan yang kita harapkan. Dalam bulan Ramadhan ini, kita mempelajari sabar dalam melaksanakan ibadah puasa pada siang hari dan qiam pada malam hari. Kita juga bersabar meninggalkan segala larangan puasa daripada makan minum, perkataan tidak baik, dan juga nafsu syahwat. Inilah yang disebut sebagai mujahadah, dan ia adalah pra syarat sebelum bertempur di medan perang. Diriwayatkan daripada Fadhalah bin Ubaid bahawa nabi SAW bersabda:
Tidakkah aku ingin beritahu kamu tentang orang mukmin, iaitu mereka yang manusia selamat diri dan harta mereka darinya, seorang muslim adalah orang Islam lain yang selamat daripada lidah dan tangannya. Seorang mujahid itu ialah yang besungguh-sungguh dengan dirinya dalam melaksanakan ketaatan, manakala muhajir pula ialah yang meninggalkan kesalahan dan dosa. (Riwayat Muslim)
9. Kesimpulannya, semoga kemenangan Ramadhan memberi harapan baru kepada terciptanya kemenangan yang lebih bermakna.

11 Ramadhan 1432H
Swileh, Amman

Himpunan Hadis Ramadhan

Ramadhan Image

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : Apabila telah tiba Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup semua pintu neraka dan diikat semua syaitan.(HR Imam Bukhari, Muslim, Nasai’e, Ahmad dan Baihaqi)



Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya :Siapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu.
(HR Imam Nasai’e, Ibn Majah, Ibn Hibban dan Baihaqi)


Rasulullah S.A.W telah bersabda yang maksudnya : Setiap amalan anak Adam baginya melainkan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara .Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa, demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya.(HR Imam Bukhari, Muslim, Nasai’e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Hibban dan Baihaqi)

Ramadhan Image


Barangsiapa memberi makan kepada orang yang berbuka puasa maka dia memperoleh pahalanya, dan pahala bagi yang (menerima makanan) berpuasa tidak dikurangi sedikitpun (HR Tirmidzi)


Diriwayatkan daripada Sahl bin Sa’d R.A daripada Nabi SAW bersabda yang maksudnya: ‘Sesungguhnya di dalam syurga terdapat satu pintu yang disebut Ar-Rayyan yang mana pada hari Kiamat orang-orang yang berpuasa masuk daripadanya (dan) tidak seorangpun selain mereka memasukinya. Dikatakan: ‘Dimanakah orang-orang yang berpuasa?’ Maka mereka pun berdiri (untuk memasukinya), tidak ada seorang pun selain mereka yang memasukinya. Apabila mereka telah masuk maka pintu itu ditutup sehingga tidak ada seorang pun yang masuk dari padanya.’ (HR Bukhari)


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A daripada Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: ‘Segala amal kebajikan anak Adam itu dilipat-gandakan pahalanya kepada sepuluh hinggalah ke 700 kali ganda. Allah berfirman: ‘Kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu adalah untuk-Ku dan Aku memberikan balasan (pahala) kepadanya, (kerana) dia(orang yang berpuasa) telah meninggalkan syahwat dan makan minumnya kerana Aku.’ (H.R Muslim)


Diriwayatkan daripada Abu Sa’id Al-Khudri R.A, aku mendengar Nabi SAW bersabda: Maksudnya: ‘Barangsiapa yang berpuasa sehari pada jalan Allah nescaya Allah akan menjauhkan mukanya dari api neraka (sejauh perjalanan) 70 tahun.’ (HR Bukhari)
Dari Ibnu ‘Umar RA, katanya Rasulullah saw. bersabda: ‘Carilah malam qadar itu pada sepuluh malam yang akhir bulan Ramadhan. Jika kamu lelah, maka janganlah dilewatkan pada tujuh malam yang masih tinggal.’ (HR Muslim)

Ramadhan Image


Dari Abdullah bin Umar RA. bahwa Nabi SAW. bersabda: ‘Puasa dan Al Qur’an memberi syafaat kepada hamba Allah pada hari kiamat. Puasa berkata, ‘Wahai Tuhanku, aku telah menghalanginya makan minum dan memenuhi syahwatnya pada siang hari, maka perkenankanlah aku memberi syafaat baginya.’ Dan Al Qur’an pun berkata, ‘Aku telah menghalanginya tidur pada malam hari, maka perkenankanlah aku memberi syafaat baginya.’ Lalu syafaat keduanya diterima Allah.’( H.R Ahmad)


Dari Abu Hurairah RA bahwa Nabi SAW bersabda: ‘Di dalam bulan Ramadhan umatku diberi lima perkara yang tidak pernah diberikan kepada umat-umat sebelumnya:
1. Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.
2. Para malaikat selalu meminta keampunan untuk mereka hingga mereka berbuka.
3. Setiap hari Allah menghias syurgaNya sambil berkata, ‘Hamba-hamba Ku yang soleh ingin melepas beban dan penderitaannya dan mereka rindu untuk memasukimu.’
4. Pada bulan ini diikat syaitan-syaitan yang derhaka sehingga mereka tidak berleluasa mencapai apa yang dapat dicapainya pada bulan lain.
5. Mereka diampuni oleh Allah SWT pada malam yang terakhir dari bulan itu. Para sahabat bertanya, ‘Wahai Rasulullah, apakah itu malam Lailatul Qadar?’ Beliau menjawab, ‘Tidak, kerana orang yang bekerja itu akan dipenuhi upahnya manakala sudah menyelesaikan pekerjaannya.’ (H.R Ahmad)


Dari Jabir RA bahwa Nabi SAW bersabda: ‘Puasa itu perisai yang digunakan seorang hamba untuk membentengi dirinya dari siksaan neraka.’ (HR Ahmad)


Rasulullah SAW bersabda: Sahur itu seluruhnya berkat, kerana itu janganlah kamu meninggalkannya walaupun hanya dengan seteguk air, kerana Allah dan malaikatNya memberi salawat kepada orang-orang yang makan pada waktu sahur. (H.R Ahmad)


Sabda Rasulullah SAW : ‘Tiga doa yang sangat mustajab, doa orang yang puasa, doa orang yang di zalimi dan orang yang musafir.’ (H.R Ahmad, Bukhari, Abu Dawud & Tirmidzi)
Nabi SAW bersabda; ‘Tidurnya orang yang puasa tetap dalam ibadat dan diamnya dianggap tasbih dan amalnya dilipat gandakan dan doanya mustajab dan dosanya diampunkan.’ (Riwayat Al Baihaqi)


Rasululah SAW bersabda; ‘Puasa itu bagaikan perisai, maka apabila seseorang kamu berpuasa, jangan berkata kotor dan jangan berkata kasar. Jika seseorang mencacinya atau menyerangnya maka hendaklah dia mengatakan. Aku ini puasa.’ ( Sahih Bukhari)