Jaringan Ukhwah

21 July 2011

AHLAN YA RAMADHAN: 4 CHECKPOINT MESTI DILALUI



1. Tidak lama lagi kita akan bertemu dengan bulan yang mulia insyaAllah. Ahlan wa sahlan ya Ramadhan. Bulan kebajikan dan pesta amal ibadah yang penuh dengan rahmat dan keampunan Allah Azza wa Jalla. Bulan yang dinantikan kehadirannya oleh seluruh umat Islam. Bulan yang mampu mengubah seseorang; daripada jauh menjadi dekat dengan Allah SWT dan daripada pelaku maksiat kepada ahli ibadah.

ahlan wasahlan Ya Ramadhan..


2. Mulianya bulan Ramadhan kerana al-Qur’an yang merupakan kitab petunjuk kepada seluruh makhluk diturunkan pada bulan ini. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 185 bermaksud:
Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Qur’an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.

3. Imam Ibn Kathir (774H) menyatakan tentang ayat ini:
Allah SWT memuji bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan yang lain dengan memilihnya untuk diturunkan al-Qur’an al-‘Azim. (Ibn Kathir, Tafsir al-Qur’an al-‘Azim)  

4. Namun sebelum kita sampai dan bertemu dengan bulan yang sangat mulia ini, terdapat empat checkpoint yang perlu kita lalui untuk memastikan kita berjaya memasukinya dan cemerlang ketika keluar meninggalkannya:
Checkpoint 1: Bersyukur
Perkara utama yang perlu kita lakukan ialah bersyukur di atas nikmat peluang bertemu sekali lagi dengan bulan ini. Kerana ia merupakan nikmat yang sangat besar nilainya yang telah Allah SWT berikan kepada kita. Tidak semua orang berpeluang dengan nikmat seumpama ini. Berapa ramai mereka yang ingin bertemu dengan Ramadhan tetapi ajal mendahuluinya, lalu Ramadhan tiba tetapi mereka sudah menjadi arwah dan jenazah.

Oleh itu, jika kita sempat dengan Ramadhan maka bersyukurlah menerusi lidah dan amal dengan melakukan ketaatan dan meninggalkan maksiat. Semoga dengan kesyukuran ini, Allah SWT akan tambahkan lagi nikmatnya buat kita, sebagaimana firmanNya dalam surah Ibrahim ayat 7:
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahkan lagi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.

Checkpoint 2: Berniat dan berazam
Kita juga hendaklah berazam dan memasang niat untuk memperbaiki diri dari aspek perkataan dan perbuatan untuk tunduk dan patuh dengan syari’atNya, serta mendekatkan diri kepadaNya dengan ketaatan dan ibadah yang baik.

Niat dan azam seumpama ini melayakkan seseorang untuk memperolehi pahala penuh Ramadhan walaupun meninggal dunia pada hari kedua Ramadhan. Ini kerana mereka yang berniat melakukan kebaikan tetapi meninggal sebelum sempat melakukannya maka layak mendapat ganjaran kebaikan tersebut. Allah SWT merakamkan kisah seorang yang berhijrah, tetapi meninggal dunia di pertengahan jalan sebelum sempat sampai ke destinasi, menerusi firmanNya dalam surah al-Nisaa’ ayat 100 bermaksud:
Dan barangsiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian dia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah maha pengampun lagi maha mengasihani.

Checkpoint 3: Proposal ibadat
Kita juga perlu mempunyai perancangan lengkap tentang amal ibadah yang bakal kita lakukan sepanjang bulan ini. Kerana berpuasa bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum, tetapi juga menahan nafsu dan seluruh pancaindera daripada melakukan maksiat kepada Allah Azza wa Jalla.

Banyak wasiat nabi SAW yang perlu kita ambil pedoman untuk dilaksanakan atau ditinggalkan sepanjang bulan Ramadhan. Antaranya sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa nabi SAW bersabda:
Apabila seseorang daripada kamu pada hari berpuasa, maka janganlah bercakap dengan perkataan yang keji dan janganlah mengutuk. Jika ada orang lain mencercanya atau mengajaknya bergaduh, maka katakanlah kepadanya: Sesungguhnya aku ini sedang puasa. (Riwayat al-Bukhari)   

Rancanglah dan isilah sebulan Ramadhan dengan pelbagai ibadah, yang wajib terus dilakukan dan amalan-amalan sunat perlu dimeriahkan dan dipelbagaikan.  

Checkpoint 4: Mengetahui format dan garis panduan
Dengan kita mengetahui format dan garis panduan ibadah puasa menjadikan kita sentiasa dalam trek yang betul, tidak terbatal atau dibatalkan. Kerana puasa ada peraturannya tersendiri, daripada perkara yang wajib, syarat sah, sunat, adab dan sebagainya. Oleh itu, kita perlu bertafaqquh dan mendalami ilmu puasa sebelum kita berpuasa. Adakan diskusi dan perbincangan ilmiah berkaitan dengan feqh puasa, atau sekurang-kurangnya lakukan inisiatif sendiri membaca buku feqh tentang puasa. Paling mudah tanyalah mereka yang ‘alim tentang ibadah ini.

Salah satu yang berkaitan dengan format ini ialah, selesaikan hutang tertunggak (qadha’) sebelum masuk bulan Ramadhan. Gagal melangsaikannya tanpa sebarang keuzuran syar’ie bererti bayaran penalti menanti. Dalam mazhab al-Shafie, ia perlu qadha’ dan dikenakan fidyah. Fidyah ini pula akan berganda setiap kali menjelang Ramadhan yang lain. Imam al-Nawawi (676H) mengatakan:
Jika seseorang melewatkan qadha’ sehingga Ramadhan berikutnya tanpa sebarang keuzuran maka dia berdosa, dan dia mesti berpuasa Ramadhan yang sekarang di samping qadha’ Ramadhan yang luput, dan satu mud (dua tapak tangan) makanan (fidyah=750g) beserta qadha’ bagi setiap hari yang luput sekiranya masuk Ramadhan yang kedua. (al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jld 6, hlmn 385)  

Seorang rakan pernah bertanya tentang masalah seumpama ini, iaitu berkaitan fidyah suami yang telah meninggal dunia tidak berpuasa selama tujuh tahun. Atas nasihat doktor, suaminya tidak boleh berpuasa kerana mengidap penyakit athma’ yang kronik. Jadi, berapa cupak/kg beras perlu untuk bayar fidyah bagi tujuh tahun tidak puasa berturut-turut? Dalam hal ini, dia dikenakan 157.5kg beras sebagai fidyah atau nilainya (30hari x 7tahun x 750g), kerana suami yang sakit dihukumkan sama dengan seorang yang telah lanjut usia yang tidak mampu berpuasa, dibolehkan berbuka dan dikenakan fidyah dengan memberi makan kepada seorang miskin bagi setiap hari yang luput tanpa perlu qadha’. Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA bahawa:
Diturunkan (ayat al-Baqarah 184) sebagai rukhsah (kelonggaran) kepada golongan lelaki dan wanita yang lanjut usia, kerana kedua-duanya tidak mampu berpuasa, maka hendaklah kedua-duanyanya memberi makan kepada seorang miskin bagi setiap hari yang luput. (Riwayat al-Bukhari)

5. Oleh itu, kedatangan Ramadhan yang mulia ini perlu disambut dengan persediaan dan persiapan yang sewajarnya. Dengan harapan yang besar serta menggunung agar Ramadhan pada tahun ini adalah lebih baik daripada sebelumnya atau mungkin jadikan ia seakan-akan yang terakhir dalam hidup kita.

6. Kesimpulannya, semoga kita mampu melalui setiap checkpoint dengan selamat sebelum kita mengucapkan ahlan ya Ramadhan.


Sumber : Ustaz Haji Anhar

10 July 2011

Kejamkah Polis Diraja Malaysia?


Tahniah buat seluruh rakyat Malaysia yang menjayakan BERSIH 2.0. Perhimpunan ini berkonsepkan Malaysia, buktinya seluruh rakyat berbilang bangsa tanpa mengira fahaman agama dan warna kulit bersama-sama menuntut keadilan serta hak-hak mereka yang dinafikan. Contohnya, mereka bersilang tangan, membentuk saf berjalan walaupun disekat polis yang menembak air bercampur kimia dan gas pemedih mata di Jalan Pudu. 

Tahniah kepada pasukan Polis Di Raja Malaysia yang berjaya menjalankan tugas anda, habis semua anggota dikerah demi menyekat kemaraan rakyat, andalah pasukan terbaik abad ini. Rakyat menjadi anak tiri di negara sendiri, merana kerana kerakusan serta keangkuhan sang penguasa.





Gambar bersejarah..anda tafsirlah sendiri! (kredit to Ust Badrulamin)