Jaringan Ukhwah

19 February 2010

Kami Merinduimu Duhai Kekasih Allah.

Assalamualaikum wbt..

Seinfiniti kesyukuran dipanjatkan kepada Allah SWT atas kurniaan nikmat yang paling besar nilaiannya, nikmat Iman dan Islam, juga nikmat-nikmat lain yang kita menggunakannya tanpa diminta bayaran melainkan mengikuti segala titah perintahNya, menjadi hamba yang sebenarnya. Alangkah indahnya manusia itu melaksanakan segala perintahnya selama hidup di dunia ini tanpa ada bangkangan, hasilnya pasti dia berjaya di dunia lebih-lebih lagi di akhirat sana!

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda, para sahabat dan sekalian para tabi'in. Dengan rahmat bagindalah kita semua berada dalam keadaan yang terbaik pada hari ini..

Ya Salaam 'ala Sayyidina Muhammad!



Rabi'ul Awwal menjelang lagi,
terkenang kita rasul pilihan,
nabi Muhammad pemimpin ummat,
pembawa rahmat pembawa berkat,
Nabi'ul Hadi rasul Musthofa..
(lagu nasyid masa kecik2 dulu,Nada Bushro,SMUA Saniah)





Kami merinduimu Ya Rasulallah..

Tak terkira begitu banyak pengorbanan yang dilakukan oleh baginda saw demi melihat agama yang benar ini berkesinambungan, berterusan hingga hari qiamat. Sejak mula baginda dibangkitkan di kalangan jahiliyyah Mekah, baginda begitu tabah, cekal dan sabar dalam menyeru ummat agar beralih dari menyembah berhala kepada pengabdian yang hakiki, menyembah Tuhan yang selayaknya.

Pelbagai cemuhan, kata-kata keji, fitnah untuk melemahkan baginda termasuklah gangguan terhadap batang tubuh sehinggakan usaha untuk membunuh baginda saw dihadapi dengan tenang, berbekalkan pengharapan dan tawakkal kepada Allah, semata-mata kerana ingin melaksanakan amanah kenabian dan kerasulan yang diamanahkan. Begitu sekali engkau mewakafkan diri untuk agama ini Ya Habiballah..! Firman Allah swt:



وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

maksudnya: " Dan tidaklah kami utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam " 
(al-Anbiya',107)


Sayugianya yang perlu kita renungkan adalah lahirnya seorang pemimpin yang dipercayai dan menjadi rahmat untuk sekalian alam dengan akhlak yang penuh dengan etika, dapat mengubah perilaku masyarakat jahiliyah menjadi masyarakat yang berakhlak sehingga boleh bertoleransi antara mereka, tiada lagi perbalahan kabilah hanya disebabkan oleh perkara kecil, malah boleh menyatukan antara Muhajirin dan Ansor semasa hijrah ke Madinah.




لقد كان لكم في رسول الله اسوة حسنة لمن كان يرجوا الله واليوم الاخر وذكر الله كثيرا 

maksudnya: " Telah ada pada diri Rasulullah itu teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan yang banyak mengingati Allah" 
(al-Ahzab,21)


Memperingati lahirnya Nabi Muhammad saw, bukan memenuhi kegiatan tradisi saja, namun yang lebih utama adalah bagaimana kita dapat mengambil hikmah yang terkandung dalam diri Rasulullah saw di dalam berjuang menyebarkan agama Islam dengan penuh kesabaran dan pengorbanan. 

Ketika masyarakat khususnya muda mudi pada hari ini berada dalam kecelaruan identiti yang teramat parah, seolah-olah mereka tiada panduan, maka majlis untuk memperingati baginda saw amat sesuai diadakan. Hasilnya, mudah-mudahan sirah baginda saw dapat diteladani seterusnya dihayati.



Ya Imamarrusuli Ya Sanadi...
Anta ba'dallahi mu'tamadi...










18 February 2010

Sasarkan tujuan agar elok natijahnya

Berapa ramai di antara kita yang pernah memikirkan apakah tujuannya diciptakan? Apakah pula matlamat hidup di dunia ini?

Adakah hanya ingin mencapai lima rukun hidup, sebagaimana ada lima rukun negara, ada lima rukun Islam maka dia pun meletakkan dirinya juga perlu ada lima rukun ini iaitu makan, minum, kerja, rehat dan kahwin.
Agak malang bagi sesiapa yang mensasarkan hanya ini matlamat hidupnya sehinggakan langsung dia tertipu dengan kehidupan yang sementara ini dan jadilah dia orang suruhan kepada dunia.

Matlamat hidup yang Al-Quran sasarkan


Al-Quran sebenarnya telah memberikan penjelasan kepada kita tentang tujuan hidup dan sasaran yang harus dicapai di dalam hidup ini. Dengan tegas Al-Quran telah memberikan tanggapan kepada kehidupan manusia yang hanya mementingkan soal makan dan minum (kenikmatan duniawi) sepertimana firman Allah:

Maksudnya: "Dan orang-orang yang kafir itu bersenang- senang (di dunia) dan mereka makan seperti makannya binatang-binatang. Dan neraka adalah tempat tinggal mereka”. ( Surah Muhammad:12)
Demikian juga Al-Quran memberi penjelasan bagi umat manusia yang sibuk mencintai kebendaan yang fana, firman Allah swt;

Maksudnya: "Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik (syurga)''.
( Ali Imran:14)


Al-Quran juga menjelaskan perilaku umat manusia yang suka menyebarkan fitnah dan memaparkan kejelekan serta membuat kerosakan di atas muka bumi, firman Allah;

Maksudnya: "Dan di antara manusia ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu, dan dipersaksikannya kepada Allah (atas kebenaran) isi hatinya, padahal ia adalah penentang yang paling keras. Dan apabila ia berpaling (dari mukamu), ia berjalan di bumi untuk mengadakan kerosakan padanya, dan merosak tanam-tanaman dan binatang ternak dan Allah tidak menyukai kebinasaan ".
( Al-Baqarah:204-205)

Itulah antara tujuan yang lumrah dikejar oleh umat manusia di dalam kehidupan di dunia. Semoga Allah membebaskan kaum yang beriman dari perbuatan tersebut itu. Dan semoga Allah menganugerahkan tugas yang lebih mulia dari seluruh perbuatan seperti itu iaitu tugas memberi petunjuk kepada umat manusia, membimbing kepada kebaikan dan memakmurkan dunia dengan risalah Islam, seperti seruan Allah di dalam kitabNya;

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, ruku'lah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Tuhanmu dan perbuatlah kebajikan, supaya kamu mendapat kemenangan dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang orang muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al-Quran) ini, supaya rasul itu menjadi saksi atas segenap manusia, maka dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kama pada tali Allah. Dia adalah pelindungmu, maka Dialah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong"
( Surah Al-Hajj:77-78)
Berdasarkan penjelasan dari ayat di atas, Allah telah memberikan ruang yang begitu luas kepada umat Islam agar membimbing umat manusia ke jalan yang benar. Begitu juga Al-Quran memberikan hak menguasai bumi di dalam rangka melaksanakan segala suruhan Allah yang luhur itu. Justeru itu hak kepimpinan dan peradaban di dunia ini mutlak menjadi milik umat Islam, dan bukannya peradaban Barat.

Manusia yang betul-betul merasakan dirinya hamba akan merancang jalan yang terbaik untuk bertemu dengan penciptaNya, tanpa mengharapkan apa-apa balasan kerana itulah sifat dan tugas seorang hamba. Hanya redha dan kasih sayang tuanNya yang dia harapkan. Untuk itu dia mensasarkan tujuan serta matlamat kehidupannya agar elok natijahnya kelak.
Wallahu a'lam..

*diedit dari "Ke Mana Kita Menyeru" (Imam hasan Al-Banna)

17 February 2010

IDEOLOGI MODEN & KESAN TERHADAP ISLAM

Kekalahan tentera salib yang dipimpin oleh Raja Louis (Perancis) dalam peperangan salib ke-8 pada tahun 1291M (690H) telah mendorong beliau untuk menulis 1 watikah yang menyatakan bahawa tiada lagi jalan untuk menewaskan umat Islam melainkan melalui serangan pemikiran.

Bermula dari saat itulah Barat mula mengatur langkah. Pertembungan antara Islam dan musuhnya kini beralih ke medan Aqidah & pemikiran. Barat menggerakkan seribu satu senjata dan wasilah dalam usaha mereka menyelewengkan umat Islam daripada landasan kebenaran. Benarlah firman Allah SWT dalam Al-Quran:



Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. 
(Al-Baqarah : 120)


Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran)
(Al Baqarah : 217)


Musuh-musuh Islam tidak pernah jemu menjalankan tugas-tugas mereka. Serangan pemikiran dilancarkan ke atas umat Islam meliputi hampir keseluruhan bidang kehidupan manusia. Atas dasar inilah munculnya ideologi-ideologi ciptaan yang merupakan racun berbisa kepada pemikiran umat Islam.

DEFINISI IDEOLOGI

Ideologi berasal daripada perkataan Perancis, merupakan istilah yang sukar untuk ditakrifkan. Para pengkaji bertentangan pendapat dalam mentafsirkan istilah moden ini. Ada pendapat yang menyempitkan skopnya dengan menghadkan ideologi kepada fahaman-fahaman & aliran-aliran pemikiran yang berkaitan dengan politik, kuasa & pemerintahan negara sahaja. Sememangnya definisi inilah yang digunakan dan difahami oleh masyarakat. Namun hakikatnya lebih luas daripada itu, meliputi segala jenis hasil pemikiran dan thaqafah masyarakat, merangkumi politik, ekonomi, sosial, psikologi, thaqafah & sebagainya.

Oleh itu, ideologi ditakrifkan ‘Fahaman dan pegangan yang dihasilkan melalui pemikiran & thaqafah masyarakat’.

Ada juga yang mentakrifkan ideologi sebagai ‘Rangkaian pemikiran dan pandangan bertujuan menentukan pendirian seseorang terhadap isu-isu dan persoalan-persoalan kehidupan yang dihadapi oleh masyarakat’.

Berdasarkan kepada takrif di atas, perbezaan ketara antara keduanya adalah ideologi bersumberkan akal manusia, manakala agama, sumbernya wahyu Ilahi.

Oleh kerana ideologi manusia terlalu banyak, di mana bermulanya ideologi pada ketika umat manusia mula melanggar hukum-hakam Allah SWT dan menjadikan akal & hawa nafsu sebagai tuhan mereka.

1- RASIONALISME (AQLANIYAH)

Rasionalisme atau ‘Aqlaniyah adalah aliran yang menjadikan akal manusia sebagai asas dan tunggak yang menentukan hak atau batil, dengan mengenepikan agama sebagai sumber utama dalam menentukan hukum.

Daripada aliran ini, terpancarnya pelbagai mazhab dan teori dalam pelbagai bidang ilmu, pemikiran & kehidupan. Pendokong-pendokong fahaman ini menggunakan akal semata hatta dalam perkara ghaib, yang terbatas pada pemikiran manusia. Justeru lahirlah pandangan-pandangan berkenaan hakikat manusia, kejadian alam, yang didasarkan kepada akal semata-mata, bertentangan dengan hakikat yang sebenar.

Fahaman ini lahir lebih awal sedikit daripada sekularisme iaitu selepas pemberontakan rakyat terhadap penyelewengan gereja. Rasionalisme menolak ketuhanan sebagai sumber, sekaligus bermakna pemberontakan terhadap agama Kristian di Eropah ketika itu. Walaubagaimanapun fahaman ini tenggelam selepas kemunculan sekularisme pada zaman kebangkitan Eropah (Renaissance; kurun ke-16) yang menggabungkan antara akal & fakta-fakta ilmu yang dihasilkan melalui kajian & percubaan .

2- SEKULARISME (العلمانية)

Definisi :

Sekularisme berasal daripada perkataan Inggeris (Secularism) yang bererti : fahaman tidak beragama. ‘Secular’ ditakrifkan oleh kamus Oxford sebagai : ‘Wordly or material, not religious or spiritual’ yang bermaksud : Keduniaan atau kebendaan, tidak beragama atau tiada roh.

Dalam bahasa Arab, para ulama’ berbeza pendapat dalam mencari istilah terbaik terhadap istilah Inggeris (Secularism).

a) Pendapat pertama menyatakan istilah sebetulnya adalah (العلمانية) yang dinisbahkan kepada (العلم) yang bermaksud (العالم) alam atau dunia; iaitu fahaman keduniaan dan kebendaan, material, bertentangan dengan roh, alam ghaib dan ketuhanan. Bukannya (العلمانية) dinisbahkan kepada (العلم). Mereka yang berpendapat sebegini ialah Dr. Abdul Halim Mahmud, Dr. Mohd Al-Bahiy & Sheikh Jadal Haq Ali Jadal Haq.

Mu’jam Arabi Asasi juga sealiran dengan pendapat ini, di mana disebut definisi (علماني) ;

علماني (منسوب الى العلم و هو العالم): غير ديني (لا ديني)

b) Pendapat yang menyatakan terjemahan yang betul adalah (العلمانية) dinisbahkan kepada (العلم) ilmu kerana asal sekularisme adalah daripada perkataan Latin (Secularius) yang bermaksud : Orang yang berilmu tinggi. Pendapat ini adalah pandangan Dr. Ali Juraishah.

Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menyatakan, diterjemahkan (Secularism) kepada (العلمانية) dinisbahkan kepada (العلم) ilmu kerana yang dikehendaki di situ adalah ilmu yang dihasilkan melalui kajian-kajian, percubaan material dan pemikiran manusia yang tiada kaitan dengan agama, wahyu & ketuhanan.

Perlu difahami bahawa sekularisme tidak mengingkari kewujudan tuhan & alam ghaib. Sekularisme hanya mengenepikan agama daripada urusan kenegaraan, kemasyarakatan & ekonomi. Sekularisme berlainan daripada fahaman Atheis yang mengingkari kewujudan tuhan. Sekularisme meletakkan agama dalam ruang lingkup yang sempit dan membenarkan setiap individu menganut agama yang disukainya.

Sejarah Kemunculan :

Sekularisme lahir di tengah-tengah masyarakat Eropah yang dikuasai gereja. Pada zaman kegelapan (عصر الظلام) sehingga kurun ke 17, gereja berkuasa penuh dalam pemerintahan negara. Penyelewengan agama Allah SWT yang diturunkan kepada Nabi Isa AS dilakukan sesuka hati gereja berdasarkan maslahat & kepentingan duniawi semata. Pada tahun 1215M, perhimpunan Rome memberikan Pope hak pengampunan dosa & kesalahan. Pada 1869M pula, perhimpunan yang sama memberikan Pope keistimewaan terpelihara daripada dosa (عصمة) dan kesilapan, sekaligus memberikan hak ketaatan mutlak kepada Pope daripada para penganut Kristian. Inilah gambaran penyelewengan gereja yang bertujuan mengekalkan kuasa mereka.

Tidak cukup dengan itu, pada tahun 1478M, ditubuhkan di Sepanyol (ada yang menyatakan di Perancis) mahkamah yang dinamakan (محاكم التفتيش) yang menggambarkan sifat gereja dan kemenangan mereka yang tidak terhingga. Mahkamah ini bertugas menghukum sesiapa sahaja yang menentang atau mempertikaikan gereja & kebenaran ajaran pegangannya. Dianggarkan mangsa mahkamah ini menjangkau angka 300 ribu. Sebanyak 32 ribu dibakar hidup-hidup. Antaranya ialah ahli geografi terkenal, Bruno yang mengeluarkan teori pusingan bumi.

Dari segi politik & ekonomi, sistem feudal berleluasa. Politik & ekonomi dilindungi golongan feudal yang memperhambakan rakyat. Pemerintah-pemerintah negara mengamalkan sistem diktator yang menghalang kesedaran rakyat untuk bersuara dan menikmati hak-hak mereka.

Tekanan-tekanan yang melingkungi dunia barat inilah yang meledakkan kebangkitan rakyat bagi mengubah keadaan. Lalu muncullah seruan agar dipisahkan agama daripada urusan negara dengan meletakkan Kristian di sudut yang sempit sahaja. Lahirlah para pemikir, ahli falsafah, tokoh reformasi seumpama Martin Luther, Voltier, Jean Jack Rosseau dan sebagainya yang menyeru ke arah pembaharuan, antaranya pemisahan agama daripada urusan pemerintahan.

Kemunculan arus pembaharuan ini berlaku apabila tercetusnya Revolusi Perancis pada tahun 1789M yang mengangkat slogan ‘Gantunglah Raja Yang Terakhir Dengan Tali Perut Paderi Yang Terakhir’.

Revolusi Perancis telah membuahkan beberapa perkara :

i- Menyempitkan bidang agama Kristian dalam bidang-bidang keagamaan sahaja.
ii- Menolak kristian sebagai sistem politik, ekonomi & pelbagai sistem kehidupan
iii- Muncul aliran rasionalisme yang meletakkan akal sebagai asas
iv- Muncul fahaman sekularisme & individualisme yang memberikan kebebasan penuh kepada manusia dalam menjalani kehidupannya.

Suasana baru yang melanda Eropah telah membawa mereka kepada Zaman Pembaharuan & Pembangunan. Eropah berjaya mencetuskan Revolusi Perindustrian yang memberikan saham utama kepada Eropah bagi membina kekuatan mereka. Kemudian berlaku perluasan kuasa di Eropah apabila mereka menjajah negara-negara di bawah Khilafah Uthmaniyah dan akhirnya menghancurkan khilafah.

Pada ketika itu, bermulalah pertarungan antara Islam & sekularisme.

Ciri-ciri fahaman sekularisme:

i- Mengenepikan perkara-perkara ketuhanan, alam roh & segala pegangan yang berkaitan dengannya dalam seluruh kajian & teorinya.
ii- Memusuhi agama, berusaha meletakkan agama dalam lingkungan yang sempit dan menjadikan agama sebagai hak kebebasan individu
iii- Material, kebendaan & duniawi semata

Sekularisme dalam beberapa bidang sosial:

Pendidikan
i) Menyekat pendidikan agama
ii) Menggalakkan pendidikan bukan agama
iii) Memandang rendah pendidikan agama & menyifatkannya sebagai kolot & mundur
iv) Menghadkan peluang pekerjaan bagi lulusan bidang agama.
v) Membangunkan dengan pesat pusat-pusat pengajian yang tiada pengajian agama
vi) Memperbanyakkan penghantaran pelajar-pelajar ke luar negara dalam pelbagai bidang ilmu selain bidang agama
vii) Menggalakkan percampuran lelaki & perempuan di sekolah & pusat pengajian
viii) Tiada penekanan akhlak & norma-norma Islam; menutup aurat, pakaian Islam & sebagainya.

Media Massa
Seandainya pensekularan pendidikan bertujuan untuk melahirkan generasi yang memisahkan agama & kehidupan pada masa akan datang, maka pensekularan media massa bertujuan mendoktrinkan pemikiran generasi masa kini. Bidang pendidikan hanya membabitkan golongan pelajar sahaja, tetapi media massa mampu menusuk masuk ke kepala setiap anggota masyarakat.

Media massa dikotori dengan cara :
i) Menyiarkan gambar & filem yang lucah
ii) Menyiarkan filem-filem yang menghina & memburukkan Islam
iii) Mengagung-agungkan kehidupan dunia, alam maksiat & fasiq
iv) Mengagungkan artis & seniman
v) Menggalakkan unsur-unsur seks, ganas & keruntuhan nilai & akhlak
vi) Mengagungkan dunia barat sebagai simbol kemajuan, pembangunan & kemajuan dunia
vii) Menyebarkan ideologi-ideologi manusia yang tidak bertepatan lagi bertentangan dengan agama.

Undang-undang
Pensekularan undang-undang di dunia Islam bermula di Turki pada 1857M, kemudian merebak ke Mesir pada 1875M, di mana munculnya beberapa undang-undang yang diambil bukan bersumberkan syariah Islamiyah.

Di Turki, apabila khilafah dihapuskan secara rasmi pada tahun 1924, undang-undang Turki diubah:
1- Undang-undang sivil diambil dari Switzerland
2- Undang-undang jenayah diambil dari Itali
3- Undang-undang perniagaan diambil dari Jerman
Undang-undang Islam yang menjadi kanun di kebanyakan negara umat Islam berjaya ditukar dengan undang-undang sekular oleh Barat, berlaku ketika penjajahan Barat ke atas negara-negara umat Islam. Negara kita Malaysia juga tidak terlepas daripada usaha ini.

Perlembagaan negara sehingga kini adalah perlembagaan yang diletakkan oleh Suruhanjaya Lord Reid diambang kemerdekaan dahulu. Begitu juga kebanyakan undang-undang negara adalah tidak berdasarkan kepada syariat Allah SWT, bahkan membelakangkan syariat-Nya.

Wasilah-wasilah penyebaran sekularisme:

1) Orientalis - Gerakan yang diasaskan oleh Barat untuk mengkaji ilmu, adab, bahasa, thaqafah & tamadun Timur khasnya Islam, dengan tujuan menjahanamkannya.
2) Gerakan Kristianisasi
3) Gerakan Pembaratan - Seperti usaha Mustafa Kamal Attartuk membaratkan negara Turki selepas keruntuhan Khilafah Uthmaniyah.
4) Penjajahan negara umat Islam
5) Gerakan Yahudi Sedunia (FREEMASON).

3- LIBERALISME (اللبرالية)

Falsafah ini muncul di Eropah pada permulaan kurun ke-19. Tiada satu definisi yang disepakati terhadap istilah ini. Kefahamannya berlainan antara satu tempat dengan yang lain, antara seorang ahli falsafah dengan yang lain.

Fahaman ini mula-mula muncul di England, bermaksud menyeru kepada kebebasan individu dalam menjalani hak-hak mereka tanpa ada campurtangan negara. Fahaman ini menekankan aspek persamaan taraf & kebebasan.

Ia memusuhi agama yang dianggap menyekat kebebasan manusia. Liberisme biasanya dikaitkan dengan slogan ‘Pembangunan & Kemajuan’. Berakar umbikan fahaman inilah munculnya kapitalisme yang terpengaruh dengan pendapata Adam Smith, yang memberikan kebebasan berniaga & berlumba dalam pasaran.

Liberalisme muncul kesan daripada kekejaman gereja & kediktatoran pemerintah pada waktu itu yang membawa kepada pemberontakan rakyat menuntut hak-hak mereka.

4- KAPITALISME

Sistem ekonomi lahir ekoran daripada fahaman sekularisme, individualisme & liberalisme. Pengasasnya ialah Adam Smith (1723-1790) yang mengarang buku bertajuk ‘An Inquiry into the Nature and Causes of the Wealth of Nations’.

Buku beliau dikira pencetus kapitalisme sebagai sebuah sistem ekonomi.

Antara ciri-ciri kapitalisme :
i- Kebebasan ekonomi
ii- Kebebasan individu memiliki harta; dibahagikan kepada 2 peringkat:
• Pemilikan mutlak tanpa sebarang had (peringkat permulaan munculnya kapitalisme)
• Pemilikan tidak mutlak, dihadkan sebahagian milik individu sebagai kepentingan sosial. (Peringkat inilah yang berleluasa di negara-negara kapitalis ketika ini)
iii- Sistem faedah atau riba’

Antara kegagalan sistem ini :
i- Pengangguran
ii- Inflasi
iii- Ihtikar
iv- Sifat individualisme yang menghancurkan hubungan dalam masyarakat
v- Kebebasan perniagaan yang tiada had meliputi anasir-anasir yang memudaratkan seperti dadah, arak & seumpamanya.

5- SOSIALISME & KOMUNISME

Sosialisme adalam sistem ekonomi yang dihasilkan oleh pemikiran komunis. Karl Marx dianggap pengasas kepada sistem ini. Sosialisme adalah marhalah pelaksanaan ekonomi yang akan membawa akhirnya kepada komunisme. Perbezaan antara kedua-duanya boleh dilihat dalam slogan ini :

Sosialisme -

من كل حسب طاقته, و لكل حسب عمله

Daripada setiap individu mengikut kekuatan & tenaganya (penentu kerja) dan bagi setiap individu mengikut kerja yang dilakukan (upah).
Komunisme –
من كل حسب طاقته, و لكل حسب حاجته

Daripada setiap individu mengikut kekuatan dan tenaganya dan bagi setiap individu mengikut keperluannya.

Ciri utama sistem ini adalah menghapuskan hak milik harta individu. Namun penghapusan ini tidaklah secara total seperti mana yang dilaungkan. Negara memiliki komponen-komponen pengeluaran & rakyat berhak memiliki barang keperluan.

Kegagalan sistem sosialis tidak dapat dinafikan lagi. Fenomena ekonomi & kemunduran yang wujud di negara-negara sosialis dan kejatuhan Soviet Union menjadi sejelas-jelas bukti kegagalan sistem ini.


SLOGAN-SLOGAN BERACUN

Dalam usaha Barat memastikan kejayaan mereka meracuni pemikiran umat Islam, pelbagai slogan yang mengaburkan mata dilaungkan di samping ideologi-ideologi perosak yang lain. Melalui tangan-tangan penjajah, zionis sedunia, orientalis & musuh-musuh Islam yang lain, mereka berjaya mengubah corak pemikiran umat Islam.

Slogan-slogan yang sering dipromosi sebagai slogan kemanusiaan adalah :

A) Kebebasan

Mencakupi segala-galanya; berfikir, beri’tikad, bersosial, bersuara dan sebagainya. Kebebasan yang tidak dihadkan dengan Ubudiyyah kepada Allah SWT.

B) Persamaan taraf dalam segalanya sehingga wanita pun menuntut persamaan taraf dengan lelaki

C) Kemajuan & kemunduran

Pengukur kemajuan & kemunduran berdasarkan material semata. Barat & tamadunnya digambarkan sebagai simbol kemajuan. Islam & tamadunnya pula dicop sebagai mundur & kolot.

D) Semangat perkauman (nasionalisme)

Dengan tujuan memecah-belahkan umat manusia & memadamkan kekuatan Islam yang mampu menyatukan bangsa yang berbilang-bilang

E) Kebebasan wanita

Tuntutan wanita akan hak-hak kebebasan mereka dalam kehidupan tanpa hudud atau sempadan yang menyekat kebebasan mutlak wanita. Tujuan jahat mereka ini bertitik tolak daripada pengetahuan bahawa jalan paling dekat untuk merosakkan sesebuah masyarakat adalah dengan merosakkan terlebih dahulu wanitanya.

Ideologi yang bertumbuh di Barat seperti cendawan merebak ke negara-negara umat Islam. Negara-negara yang mengamalkan Islam sebagai cara hidup meliputi bidang-bidang sosial, politik, ekonomi dan sebagainya.

Persoalan timbul; adakah ideologi-ideologi tersebut sesuai untuk menggantikan Islam sebagaimana Kristian digantikan di Barat?

Sudah tentulah jawapannya tidak, kerana Islam Deen yang syumul merangkumi segenap aspek kehidupan manusia. Tidak boleh disamakan sama sekali dengan keadaan yang wujud di dunia Barat. Perbezaan tersebut ternyata sekali :

(1) Kristian menerima pemisahan antara perkara-perkara ibadah dan ketuhanan dengan perkara-perkara pemerintahan & negara. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh injil kata-kata Nabi Isa AS

دع ما لقيصر لفيصر , و ما للٌة للُة

(2) Di dalam kristian tiada manhaj kehidupan yang sempurna berbanding Islam yang mencakupi segala penjuru kehidupan
(3) Tiada dalam Islam kuasa mutlak ketua agama, sebagaimana Pope dalam Kristian
(4) Sejarah Kristian berlainan daripada sejarah Islam. Zaman Kristian memerintah di Eropah (kurun 11-16) dikenali sebagai Zaman Kegelapan. Sementara Islam ketika menerajui kepimpinan dunia mencipta keagungan tamadun yang tiada tolok bandingnya dalam sejarah manusia.

Faktor-faktor Ideologi dianuti dalam dunia Islam

i) Umat Islam meninggalkan ajaran Islam yang syumul
ii) Kejahilan tentang Islam
iii) Tersebarnya ideologi-ideologi tanpa disedari
iv) Usaha sungguh musuh-musuh Islam
v) Kagum dengan Tamadun Material Barat

Senario pertembungan antara Islam & musuh-musuhnya tidak pernah berakhir. Sejak kebangkitan Rasulullah SAW membawa risalah Islam sehingga hari ini, Islam sentiasa dicabar & tercabar. Musuh sentiasa memerhatikan gerak geri umat Islam dan tidak henti-henti mencari peluang untuk merosakkan Islam.

Umat Islam mestilah bersedia menghadapi cabaran ini sekiranya mahu melihat Islam kembali menerangi dunia yang sekian lama diliputi awan mendung.


**diringkas & diedit semula daripada Kertas Kerja susunan Unit Bimbingan Rohani PERMATA sesi 2001/2002


05 February 2010

Hayati Keindahan CiptaanNya ini!

Alhamdulillah, semalam merupakan hari bersejarah dalam hidup, dapat merasai salji secara 'live', maklumlah anak khatulistiwa diberi peluang bermusafir di Dataran Syam, pastinya anugerah ini dihayati sebaiknya, meminjam kata anak khatulistiwa dari abang seusrah..

Tempat yang paling menarik kalau musim-musim salji begini tentulah di jami'ah, seawal 7 pagi bergerak beramai-ramai, bermonolog sendirian, andaikata tidak ada coaster (bas pendek) sekalipun, berjalan kaki pun sampai jugak ke sana. Hendak seribu daya tak hendak seribu awta, prinsip ini dipegang demi merasai nikmat bersalji!
Bersalji sekitar jami'ah..


buleh buat abc ni..



gaya terbang roomate..






Pemandangan di Iraq memukau pandangan, salji d' Iraq..





Iraq...panorama indah berhampiran Mu'tah.


04 February 2010

Tanyakan khabar iman..

Alhamdulillah, pujian selayaknya untuk empunya Agung, maha suciNya dari segala kekurangan, selawat dan salam ke atas junjungan besar baginda saw, para sahabat dan sekalian para tabi'en.. Manusia sememangnya amat-amat prihatin dengan fizikal dan tubuh badan mereka sehinggakan alat-alat mekap, menjadi kemestian, bukan sahaja perempuan malah lelaki juga ada alatan mekap yang khusus untuk mereka. Kosmetik ini pasti cukup bekalannya kerana pelbagai istilah pengguna bijak diamalkan; belilah secara borong,kenapa bayar lebih? anda pembeli bijak, belilah secara borong dan berbagai-bagai moto menggoda pengguna yang lain. Kalau kehabisan stok mereka terus berusaha untuk mencari yang baru sebagai ganti, penerus alat mekap yang lama, takut-takut memberi kesan sampingan dan tidak berkesan sepenuhnya andai tidak istiqomah, mereka sangat istiqomah menjaga tubuh badan mereka, sifat istiqomah itu digunakan dalam bab ini! Fitrah manusia itu mudah terpengaruh dengan sesuatu yang nampak zahir pada pandangannya, berapa ramai antara manusia yang merasai rohaninya perlu kepada pengisian? Perlunya penggilap khusus untuk hati agar sentiasa tenang, sabar dalam mentaati perintah Pencipta? Berapa ramai yang inginkan ramuan khas agar nafsu tunduk menyerah diri, agar hati menjadi raja dalam diri? Siapakah yang istiqomah menambah saham akhirat takut-takut menyesal di sana nanti? Orang yang memiliki iman yang mantap sudah tentu sentiasa ada dalam hati mereka sifat-sifat di atas tadi, walaupun tidak zahir pada pandangan mata tetapi mata hati merekalah yang memberi isyarat sedemikian. Jarang antara kita yang bertanyakan khabar iman, renung ke dalam diri, selidiki iman yang terkadang naik dan turun ini. Apa itu iman? Iman ialah ikrar dengan lisan, iktikad di hati, beramal dengan seluruh anggota badan, ia bertambah dengan ketaatan (ibadah) dan berkurangan dengan kemaksiatan. Iman juga dimaksudkan dengan keyakinan atau keimanan iaitu; ikatan tauhid yang kukuh, teguh dan kuat sehingga memantapkan keyakinan seseorang terhadap Allah swt, para MalaikatNya, kitab-kitabNya, para rasulNya, hari akhirat dan keyakinan terhadap penentuan qada' dan qadar, sama ada yang baik atau buruk semuanya adalah dari Allah swt. Maksud hadis nabi saw: "Iman itu ialah mengimani Allah, para MalaikatNya, Kitab-KitabNya, para RasulNya, Hari Akhir dan beriman dengan Qadar sama ada yang baik atau yang buruk" (HR Muslim)
dunia ladang akhirat..berhasilkah tanaman kita?
Iman kita, kitalah yang menjaganya, taqwa lahir dari iman yang terisi dalam hati, sesungguhnya iman inilah yang akan mengenderai hati agar menjadi raja dalam diri. Wallahu a'lam..